Bab
5
Pisang emas masak sebiji,
Masak pula di atas peti,
Dugaan Allah selalu menguji,
Itulah tanda Allah memerhati.
Sebelum
bergerak ke hospital aku sempat melihat detektif gemuk itu bercakap dengan
Estaban berdua di dalam bilik siasatan itu. Aku tidak tahu apa yang mereka
bualkan namun akhirnya aku dapat melihat dua manusia itu berjabat tangan berdua
seolah-olah ada janji yang telah termetrai. Detektif Martin nampak gembira
dengan apa yang Estaban ucapkan kepadanya. Hati ku semakin tidak sedap melihat
keadaan itu.
Aku dibawa ke Hospital King Hedgest dengan kederaan polis
bersama Ameena dan Hamizah. Hampir setengah jam aku terkurung sahaja di dalam
bilik pemeriksaan seorang diri. Sementara itu mata ku dapat melihat Detektif
Martin sibuk berbual dengan seorang petugas perubatan lelaki. Mereka bercakap
dengan nada perlahan sambil memandang ke arah ku berkali-kali. Sekejap kemudian
mereka ketawa pula. Entah apa yang lucu benar.
Aku tidak tahu samaada perasaan ini hanya hayalan ku
ataupun mereka sememangnya sedang cuba melakukan sesuatu kepada diri ku.
Alangkah sukar ku rasakan kala ini kerana setahu ku kesemua pelajar jurusan
yang melibatkan perubatan dan farmasi membuat latihan di hospital ini.
Sebenarnya ini adalah hospital milik universiti. Alangkah malunya aku nanti
jika ada pelajar-pelajar lain yang tahu apa yang telah terjadi kepada diri ku.
Selepas puas dibiarkan sendiri akhirnya petugas itu mendekati
ku bersama dengan Detektif Martin. “Dia akan memeriksa kamu..” kata Detektif
Martin sekadar memberitahu.
Aku mahu mengangguk tetapi terasa amat payah. Dalam diri
ku, aku benar-benar tidak rela membiarkan lelaki itu menilik setiap inci tubuh
ku, biarpun untuk tujuan yang penting begini. Tubuh badan wanita adalah rahsia
bagi lelaki yang bukan muhrim kecualilah jika aku sedang dalam keadaan darurat.
Tubuh ku ini bukannya untuk pandangan mata lelaki asing apatah lagi yang bukan
beragama islam. Mana hendak aku letakkan muka ku ini disaat dia membelek segala
rahsia milik ku? Nauzubillah.. aku tidak sanggup!
“Tolong tanggalkan pakaian,” ujar lelaki itu serius.
Spontan aku terus ternganga mendengar arahan pendek itu.
Tanggalkan pakaian? Perlukah itu? Di hadapannya? Oh! Tidak! “Untuk apa?” soal
ku pantas.
Petugas perubatan itu berpandangan dengan sedikit senyuman
kepada pegawai polis itu. Kemudian dia menggeleng seolah-olah sedang mengutuk
kebodohan soalan yang ku lemparkan kepadanya. Detektif Martin juga tergelak
sinis bagaikan mengata kobodohan ku kerana bertanyakan soalan sebegitu.
“Kami harus memeriksa awak untuk memastikan ada kesan DNA
orang yang dituduh merogol awak. Kita akan menghantar sampelnya ke bahagian
patalogi. Selain itu saya juga harus memastikan samaada ada awak dirogol atau
perhubungan seks itu atas kerelaan awak sendiri. Semuanya harus dipastikan
sebelum mereka membuat pertuduhan di mahkamah nanti. Ini adalah prosedur wajib
bagi semua mangsa rogol,” jelas petugas itu kepada ku.
“Boleh saya dapatkan petugas wanita untuk memeriksa
saya?” aku segera membuat pemintaan itu. Tidak kisahlah prosedur ke apa.. yang
penting aku tidak mahu berbogel di hadapan lelaki-lelaki itu.
“Tak terdapat petugas wanita sekarang. Hanya saya yang
bertugas di sini hari ini. Saya yang akan memeriksa awak samaada awak suka atau
tidak. Awak takde pilihan lain.” ucap petugas itu tanpa mahu mempertimbangkan
apa yang diminta oleh ku.
Aku mula menelan liur kepahitan. Keadaan benar-benar membuatkan
aku merasa tersepit saat ini. Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan
lagi jika orang yang aku harapkan tidak mahu membantu ku. Mereka juga mahu
menjahanamkan aku.
“Apa nak dimalukan? Kalau bukan kami yang melihat kamu,
sudah ada lelaki lain yang melihat tubuh kamu. Dia sudah mendapat lebih
daripada apa yang kami dapat,” ujar Detektif Martin sinis sambil tergelak
sendiri.
“Apa maksud awak ni, detektif?” tidak tertahan akhirnya
terhambur kemarahan ku. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku tampar mulut lelaki
gemuk itu yang biadap.
“Masalah rogol adalah jenayah berat di sini. Bukan awak
sahaja yang pernah mengalaminya tetapi ramai lagi. Tetapi dengan lelaki ternama
seperti Estaban Joseph Buhler tu, saya tak rasa awak akan berjaya mendapatkan
pembelaan yang awak mahukan. Keluarga dia kaya dan banyak pengaruh di sini.
Ayah dia pasti akan mendapatkan pembelaan yang terbaik untuk anaknya. Awak
hanya memalukan diri sendiri. Semua ini bukannya semudah yang awak bayangkan.
Tengok sahaja sekarang, baru saya meminta lelaki ini memeriksa awak, awak sudah
tidak sanggup. Setiap apa yang kami periksa nanti akan didedahkan di mahkamah
untuk pemerhatian juri,” ujar Detektif Martin itu cukup selamba.
Aku terus terdiam mendengar kata-kata pegawai polis itu.
Sesungguhnya selama ini aku tidak tahu tentang semua itu. Aku memang tersilap
kerana tidak pernah mengambil tahu apa yang akan dilakukan kepada wanita yang
menjadi mangsa rogol seperti ku. Kerana hari ini aku sama sekali tidak
menyangka aku akan digolongkan bersama beribu-ribu wanita lain yang menjadi
mangsa kepada jenayah itu. Aku benar-benar tidak tahu segala prosedur yang
diperlukan untuk wanita yang sudah diperkosa. Alangkah naifnya aku..
“Kita boleh mulakan sekarang kalau awak mahu. Saya akan
melakukannya dengan cepat. Tetapi saya tetap perlu meminta awak menanggalkan
pakaian dan saya perlu melakukan pemeriksaan kepada vagina awak apakah terdapat
koyakan pada selaput dara,” ujar petugas itu sambil mendekati ku.
“Jangan!” bentak ku terus menggelabah. Tebal wajah ku
menahan malu bagaikan tidak dapat diukur. Bagaimana untuk aku membiarkan lelaki
itu menyentuh dan memeriksa bahagian yang terlalu sulit pada diri ku ini?
Petugas itu tersentak mendengar jerkahan ku. Dia menatap
Detektif Martin dan mula tersenyum penuh makna. Mereka sedang meraikan suatu kejayaan
melalui pandangan mata dan senyuman mereka.
“Takkan saya tidak boleh mendapatkan petugas wanita untuk
memeriksa saya? Saya telah diperkosa masakan saya harus membiarkan lelaki juga
yang melihat apa perbuatan lelaki binatang itu kepada saya? Panggillah sesiapa
sahaja asalkan dia perempuan. Tolonglah!” aku cuba merayu lagi.
“Dalam soal ini tidak wujud ketidaksamaan kaum. Lelaki
atau wanita yang memeriksa kamu tidak penting. Apa yang penting kami dapat
membuktikan apa yang awak katakan itu benar,” jawab petugas lelaki itu.
“Bagaimana saya tahu awak benar atau tidak? Dektektif,
saya nampak awak bercakap dengan Estaban sebentar tadi. Saya tak tahu apa yang
awak bincangkan dengan dia tapi saya tahu dia sudah tentu ada menawarkan awak
sesuatu kerana dia kaya, seperti yang awak katakan tadi. Mungkin awak hanya nak
mempermainkan saya,” bentak ku kepada detektif gemuk itu. Mungkin aku sekadar
menuduh tanpa bukti tetapi demi Allah aku melihat semua itu dengan jelas. Tidak mungkin Estaban akan mengaku
salah begitu sahaja. Dan apa perlunya lelaki yang seharusnya menjadi penegak
keadilan ini berjabat tangan dengan rianya bersama dengan penjenayah seperti
Estaban itu?
“Awak menuduh saya ke?” soal Detektif Martin keras.
Aku sudah benar-benar tertekan sehingga air mata ku mula
mengalir. Di sekeliling ku ini bukan hanya ada Estaban yang menanti untuk
melihat hidup ku musnah. Tetapi tidak ketinggalan lelaki-lelaki ini juga. Aku
sudah mula terasa kekalahan sedang berada dipihak ku. Dunia ku terasa gelap.
Aku sedar kudrat ku tidak sekuat mana untuk menahan segalanya.
Dengan kasar aku
menyeka air mata di pipi ku. “Saya bukannya buta. Lelaki macam awak tak kurang
sama saja macam binatang tu. Saya tak tahu apakah saya boleh percayakan awak.
Sebab itu saya mahukan petugas wanita yang memeriksa saya. Kenapa awak tak
faham?” rayu ku dalam esakan halus.
“Tidak ada petugas wanita di sini! Samaada awak merelakan
dia memeriksa awak atau saya akan sumbat awak ke lokap kerana cuba membuat
laporan palsu! Pilih yang mana awak suka! Awak harus ingat, lelaki yang awak
tuduh itu adalah lelaki kenamaan di sini. Jangan nanti awak yang kembali
mendapat susah kerana aduan awak sendiri!” dengan jerkahan itu Detektif Martin
memarahi aku semula.
Akibat tidak sanggup lagi menentang ini semua, aku terus
bangun dari katil pemeriksaan itu. Aku sudah tidak tahu samaada aku harus terus
berada di situ atau pergi sahaja. Tetapi apa yang aku benar-benar tahu aku
memang tidak sanggup membiarkan lelaki-lelaki ini melihat diri ku tanpa
pakaian.
Aku nekad berlari keluar dari bilik itu. Rempuhan kuat
pada pintu bilik itu memeranjatkan Hamizah dan Ameena yang sedang duduk menanti
di kerusi di hadapan bilik itu. Dalam terpinga-pinga mereka mengejar ku yang
berlari keluar dari kawasan hospital itu.
“Syira, kenapa ni?” soal Ameena tidak mengerti apabila
dia terhenti di sisi ku di kawasan luar hospital. Aku sudah menangis
tersedu-sedu.
“Dia tu binatang, Meen. Dia nak hancurkan hidup aku..”
Aku terus menghamburkan tekananku dalam esakan yang tidak tertahan.
“Siapa? Estaban ke? Apa dah jadi ni? Kau dah diperiksa ke
belum?” soal Ameena bertubi-tubi. Dia panik melihat keadaan ku begitu.
Aku hanya mampu menggeleng dengan tangisan yang semakin
kuat. Hati ku sudah hancur lumat saat ini. Entah apa dosa ku sehingga perkara ini
boleh terjadi kepada diri ku. Hakikatnya aku tidak rela membiarkan dua lelaki
itu menjadi orang yang seterusnya mencemarkan maruahku, sesudah aku dicemari
oleh binatang bertopengkan manusia seperti Estaban. Mengapa di bumi penjajah
ini keadilan untuk diri ku terlalu sukar? Hanya kerana aku seorang perempuan?
Atau kerana aku orang miskin?
“Kenapa kau tak diperiksa?” Hamizah pula yang menyoal.
“Dia dah rasuah polis tu. Aku tahu polis tu bukan
sebenarnya nak membantu aku tetapi dia nak memalukan aku. Aku tak sanggup,
Izah. Dia orang tu lelaki. Dia orang nak aku tanggalkan pakaian depan dia orang.
Aku malu, Izah. Aku tak sanggup!” kata ku dalam tangisan yang tidak dapat
ditahan.
Hamizah dan Ameena terdiam sambil berpandangan.
“Aku dah minta pegawai wanita yang memeriksa aku tapi
mereka tak benarkan..” Aku terus menangis teresak-esak tanpa rasa silu di situ.
Beberapa orang yang lalu lalang sempat memandang kami dengan pandangan yang
pelik.
“Ya Allah, Syira.. Apa kita nak buat ni? Takkan kita nak
lepaskan jantan tu macam tu aja?” Hamizah ikut kebuntuan dengan jalan yang
masih tinggal.
“Aku nak bunuh dia, Izah. Biar aku sama-sama mati dengan
dia. Aku nak cari dia..” dalam keadaan hati yang rapuh itu aku nekad memasang
niat mahu membalas dendam. Langkahnya terus ku atur untuk keluar dari situ.
Hanya satu yang aku mahu. Binatang bernama Estaban itu! Tetapi belum sempat aku
pergi jauh Ameena sudah menarik aku.
“Syira, sabar dulu. Jangan ikutkan hasutan iblis. Kalau
kau buat begitu macamana dengan mak dan abah kau? Pasti ada caranya, Syira.
Jangan macam ni,” pujuk Ameena sambil memegang erat lengan ku, cuba menghalang
tindakan nekad ku itu.
“Cara apa, Meen?? Dia banyak duit. Dia boleh buat apa
yang dia suka. Semua orang dia boleh bayar. Aku apa yang ada? Semuanya dah musnah!”
aku meluahkan perasaan yang tertekan dengan nada yang kuat. Aku sudah tidak
tahan lagi. Semenjak dari mula aku mengenali lelaki itu, hanya kesakitan yang
dia berikan kepada ku. Kenapa mesti aku yang menjadi mangsanya?
“Jangan, Syira. Bawa mengucap, ingat Allah!” Hamizah terus
memeluk ku untuk menenangkan aku. “Beristighfarlah, Syira. Allah ada dengan
kita. Kalau kita tak mampu balas perbuatan dia, biar Allah yang balas. Doa
orang yang dianiaya akan dimakbulkan Allah,” bisik Hamizah saat dia memeluk ku.
Aku terus menangis di situ. Sesungguhnya aku buntu dengan
apa yang perlu dilakukan untuk membawa Estaban ke muka pengadilan. Apakah
kerana aku menumpang sahaja di sini maka aku tiada hak untuk mendapatkan
pembelaan setelah dianiaya oleh orang lain?
“Apa kita nak buat ni, Izah?” keluh Ameena semakin kebuntuan.
Hamizah diam sahaja. Agaknya dia juga ketandusan akal.
Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu aku. Kemudian aku terdengar dia
mengeluh panjang.
Bagi ku selain membunuh lelaki bajingan itu, sudah tiada
jalan lagi untuk aku mendapatkan pembelaan buat diri ku. Hidup ku sudah hancur
semuanya. Rasanya lebih baik aku mati sahaja daripada terus hidup dalam keadaan
seperti ini. Tetapi sayangnya aku tidak mahu mati dalam keadaan berputus asa
kepada Allah.
Estaban.. aku tidak akan memaafkan kau atas apa yang kau
dah lakukan pada aku hari ini. Mungkin dengan wang ringgit kau boleh menutup segala
kekejian yang sudah kau lakukan. Tetapi kebenaran tetap kebenaran. Suatu hari
nanti balasan Allah akan sampai juga. Tidak akan ada ruang kemaafan dalam hidup
ku ini untuk lelaki sekeji kau! Hutang darah dibayar dengan darah. Tetapi
hutang sengsara maka sengsara jugalah bayarannya!
Tidak akan ada kemaafan sama sekali biarpun kau datang
merangkak dan melutut di hujung kaki ku ini! Takkan!
Enam hari berlalu begitu sahaja..
Paling menyedihkan mendengar tangisan emak setelah mendapat tahu apa yang
berlaku kepada ku. Emak dan abah ku terlalu terkilan dengan apa yang menimpa.
Abah sampai tidak terkata jadinya semenjak mula dikhabarkan berita pedih itu.
Aku tahu abah sedih. Lebih sedih apabila mendapat tahu hak diri ku diketepikan
hanya kerana aku seorang pendatang di tanah itu. Amat berat dugaan ini namun
abah sudah menyatakan pendirian yang dia reda dengan ujian Allah ini.
Sehari-hari ini aku hanya berair mata sahaja.
Kebetulan pula beberapa hari lagi cuti semesta dijadualkan akan bermula. Abah
awal-awal lagi sudah menyatakan pendiriannya. Dia meminta aku pulang sahaja ke
Malaysia sahaja untuk menenangkan fikiran. Aku akur sahaja dengan kendendak
abah. Rasanya aku tidak mampu lagi untuk berada di tanah yang mencoretkan sejarah
hitam dalam diari hidup ku ini. Segala yang ku pandang amat menyakitkan.
“Aku tak mahu kembali lagi ke sini, Meen. Aku
nak balik terus,” luah ku pada petang terakhir sebelum aku pulang ke Malaysia.
Cuti semesta akan bermula lusa tetapi aku sudah membuat keputusan untuk pulang
sebelum cuti semesta bermula. Biarlah.. bagi ku semua itu tidak penting lagi
untuk ku pertahankan. Biarlah aku dibuang sahaja dari pengajian. Aku sudah tidak
peduli lagi. Aku terlalu sedih.. kerana cerita mengenai itu bukan lagi rahsia
kami. Sudah ada manusia yang baik budi menghebohkannya. Sehingga kini kami
tidak bertegur sapa dengan Nenny. Aku menganggap dia juga pendorong sehingga
terjadi semua ini.
Memang aku akui.. ada yang bersimpati dengan
nasib yang menimpa ku. Tidak ketinggalan juga yang menganggap semua itu hanya
kisah yang biasa-biasa aja. Tiada apa yang perlu disedihkan. Ada juga yang sudah
tidak hairan.. kerana mereka cukup kenal siapa manusia durjana bernama Estaban
itu. Sikap kaki perempuan dan nafsunya tidak mengira siapa.
Kata-kata ku itu mebuatkan Ameena memandang ku
dengan wajah sedih. Cuti semesta kali ini Ameena tidak pulang ke Malaysia. Dia
akan bekerja untuk mengisi masa terluang itu untuk mencari duit perbelanjaan
sampingan bagi sesi pembelajaran semesta yang akan datang. Itu sudah menjadi
resam kami di situ. Tetapi kini, semua keseronokkan bergelar pelajar di sini
terpaksa aku lepaskan.
“Habis tu macamana dengan pelajaran kau?
Sayang kalau kau berhenti setakat ini. Kita pun dah nak masuk tahun ke dua.
Sedihnya aku aku kalau kau dah tak kat sini, Syira. Tinggal aku dengan Izah
aja. Nanti kita orang mesti sunyi bila kau takde,” luah Ameena terkilan dengan
keputusan ku.
“Kau akan dapat sesiapa yang boleh
menggantikan aku, Meen. Tapi aku tak boleh menggantikan apa yang dah hilang
dari diri aku ni. Aku tak boleh nak menghadap jantan tu seolah-olah macam apa
yang berlaku sebelum ini takde salahnya. Aku tak boleh berlagak seolah-olah
semua tu tak pernah berlaku,” balas ku semula. Aku mahu dia faham.. bukan mudah
untuk aku ambil keputusan sebegini. Tetapi aku juga harus akur dengan hakikat.
Tidak semua yang aku rancangkan akan terjadi.
Ameena terdiam seketika. Wajahnya layu masih
tidak terpujuk. Aku sedar selama ini Ameena hanya bersama dengan ku. Ke mana
sahaja kami pergi, kami pasti akan berdua jika Hamizah enggan menuruti kami.
Jika tiada lagi aku di dalam hidupnya sudah tentulah dia berasa kekurangan. Aku
juga pasti akan begitu. Tetapi kali ini aku benar-benar tidak dapat menunaikan
apa yang dimahukan oleh Ameena. Semuanya terlalu sukar untuk diri ku. Peristiwa
hitam itu terus mengasak hebat ke dalam diri ku sehingga aku jadi sengsara
menahan luka.
“Aku redha dengan apa yang berlaku, Meen.
Hanya Allah saja yang akan membalas segala perbuatan Estaban pada aku. Aku
harap dia akan gembira lepas apa yang dia dah lakukan pada aku,” kata ku sambil
merenung ke luar jendela. Sebutir manik mengalir lesu di pipi ku buat kesekian
kalinya. Ah! Aku cukup sedar, daya ku tidak hebat! Aku cuma seorang perempuan
yang lemah.
“Aku sedih tengok keadaan kau, Syira. Kalaulah
kita balik berdua malam tu..”
Aku menoleh kepada Ameena yang duduk di katil
ku. “Aku tak pernah salahkan kau, Meen. Kalau aku tahu akan terjadi perkara tu,
aku pun takkan menempah susah balik seorang diri. Lebih baik aku tunggu kau aja.
Tapi kita cuma orang yang lemah. Aku anggap ini ujian Allah pada aku. Tentu ada
hikmah di sebalik semua kejadian ini. Aku nak berpegang kepada keyakinan tu.
Aku dah tak mahu fikir yang lain.” Aku segera mencantas kekesalan sahabat ku
itu. Sebenarnya semua itu sudah tidak penting lagi. Apa yang terjadi sudah
tidak boleh ditarik semula.
“Aku pun tak tahulah jantan tu jantan jenis
apa. Lepas perkara tu berlaku dia masih boleh pergi kampus macam takde apa-apa.
Bukan setakat kau, aku sendiri rasa nak bunuh dia bila tengok muka dia tu,” ucap
Ameena benar-benar geram. Aku memandang lagi ke luar jendela. Marah? Geram? Geram
atau marah kami tidak akan menjadi kudis kepada Estaban. Lelaki seperti itu
tidak pernah tahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Dia tidak pernah berpegang
kepada akidah sebagai manusia yang beragama. Apa yang dia tahu tentang semua
itu. Lelaki seperti dia seumpama parasit dalam hidup seorang wanita.
Saat itu Hamizah pula datang ke bilik ku. Aku
tahu dia baru sahaja pulang dari kampus. Baju kurung yang dipakainya sewaktu ke
kampus pagi tadi masih terlekat di tubuhnya. Dia berdiri di muka pintu bilik
sambil memerhatikan kami berdua.
“Syira takkan balik sini lagi, Izah..” ucap
Ameena kepada Hamizah.
“Aku dah agak dah!” sambut Hamizah perlahan.
Aku menoleh seketika kepada teman ku itu. Dia hanya tenang memandang kepada ku.
“Aku nampak ayah Estaban tadi,” kata Hamizah lembut. pandangannya masih tidak
terkalih dari ku.
Aku hanya memandang teman ku itu tanpa
menjawab. Tiada apa yang perlu dikomenkan tentang itu. Ayah Estaban ke.. nenek
Estaban ke.. mereka semua tidak ada kena mengena dengan diri ku. Biarlah dia
nak bawak moyang dia ke kampus sekali pun, aku sudah tidak kisah!
“Ayah dia buat apa kat kampus kita?” soal
Ameena kehairan. Nampaknya dia lebih berminat mahu tahu mengenai kedatangan
lelaki yang dikatakan sebagai ayah Estaban itu berbanding aku.
“Entah. Aku cuma ternampak ayah dia waktu aku
nak keluar dari kampus tadi. Tapi tadi kawan baik jantan tak guna tu ada datang
jumpa aku. Dia tanyakan kau..” kata Hamizah lagi sekadar memberitahu apa yang
berlaku di universiti sepanjang ketiadaan aku di sana.
“Kawan baik dia yang mana, Izah?” soal Ameena
masih mewakili aku yang langsung tidak berminat untuk bertanya dengan lebih
jelas lagi.
“Si Ryan dengan Darrien. Dia tanya kau dah
berhenti belajar kat kampus ke?” kata Hamizah tenang sambil mendekati kami di
dalam bilik itu.
Aku diam lagi tanpa reaksi. Namun hati ku
terus berkata-kata sendiri. Nampaknya kawan-kawan Estaban juga sudah maklum dengan
apa yang menimpa diri ku. Ah! Sudah tentulah Estaban dengan bangganya mengakui
yang dia telah melakukan ‘itu’ kepada ku. Bukankah misinya hanya untuk menang
ke atas diri ku? Ah! Lantaklah apa yang mahu ditanyakan oleh dia orang. Aku dah
malas mahu mengambil pusing lagi. Kawan-kawan si tak guna itu sebenarnya lebih
kurang sama aja. Mereka memang sekufu dan sekafat dengan Estaban.
“Habis tu kau cakap apa?” masih juga suara
Ameena lagi yang kedengaran memberi reaksi kepada cerita Hamizah. Aku sudah macam
patung pula berdiri di jendela memandang ke luar.
“Aku kata Syira nak balik KL malam esok.” ujar
Hamizah perlahan.
Ameena mula terdiam. Bilik itu hening buat
sesaat dua.
“Kau dah tetap keputusan nak balik KL ke,
Syira?” Hamizah bertanya sekali lagi pendirian ku.
“Aku dah takde apa kat sini lagi, Izah..”
Bagaimana semalam.. seperti mana tadi, begitulah juga keputusan aku sekarang
ini.
“Kau ada aku dengan Meen. Jangan fikirkan apa
kata orang lain, Syira. Mulut orang ni sekejap saja mereka bercakap. Nanti senyaplah
bila mereka dah puas berkata. Sayang pada pelajaran kau, Syira. Kau antara best student kat sini. Takkan kau nak
lepaskan semua tu kerana jantan tak guna tu?” ujar Hamizah mula berusaha
memujuk ku pula setelah Ameena berputus asa sekejap tadi.
Aku menoleh kepada Hamizah sambil berpeluk
tubuh “Kalau ada rezeki aku akan sambung lagi, Izah. Tapi bukan kat sini. Aku
bukan nak lepaskan pelajaran aku kerana malu pada mulut orang atau kerana
sedihkan apa yang dah dia buat pada aku. Tapi kalau kau boleh lenyapkan iblis
tu dari kampus tu.. sekarang juga aku akan batalkan keputusan aku untuk balik
Malaysia. Aku tak boleh tengok muka dia tu, Izah. Aku benci!” balas ku pula.
Sahabat ku itu terdiam seketika. Kata-kata ku
akhirnya dibalas dengan anggukan perlahan. Hamizah mengeluh panjang. “Yalah..
Kalau aku jadi kau pun memang aku tak boleh tengok muka dia tu. Kalau aku
sendiri tak boleh tengok muka dia inikan pula kau yang mengalami perkara ni.
Takpelah.. aku faham, Syira. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Aku harap kau
berjaya capaikan cita-cita kau di tempat lain.”
“Mungkin rezeki aku kat tempat lain. Bukan di
sini saja aku boleh teruskan pengajian. Janganlah kau orang bimbangkan aku. Aku
tetap akan sambung belajar,” balas ku pula bagi menyedapkan hati teman-teman ku
itu.
“Baguslah kalau kau fikir macam tu. Tapi kalau
kau ubah fikiran untuk kembali ke sini jangan lupa beritahu aku, Syira. Aku
akan tolong kau untuk buat rayuan pada pihak universiti. Kami takkan biarkan
perkara ni macam ni aja, Syira. Suatu hari nanti Estaban pasti akan mendapat
apa yang berhak dia dapat. Tengoklah!” janji Hamizah bersungguh.
“Apa maksud kau, Izah?” Ameena segera
menyampuk perbualan aku dan Hamizah.
“Kau akan tahu juga suatu hari nanti. Tunggu
dan lihat aja! Dia takkan terlepas daripada apa yang dia dah buat,” ucap
Hamizah sambil memandang Ameena.
Aku terdiam cuba memahami apa yang sedang disampaikan
oleh Hamizah namun aku enggan bertanya lagi. Baginya biarlah masa yang
menentukan segalanya. Aku tidak mahu menggantung apa-apa harapan dahulu buat
masa ini. Aku hanya mahu melupakan peristiwa hitam itu. Itu sahaja!
“Jangan lupa email kami nanti. Kalau kau rasa
kau nak balik ke sini semula bagitahu kami. Kami akan cuba buat apa yang boleh,”
tambah Ameena pula.
Aku sekadar mengangguk sahaja. Balik semula ke
UK? Dalam keadaan hati ku begini? Mungkin tidak!
Bab
6
Pak
Pandir dengan kuih kuaci,
Si
Luncai pula dengan labu,
Jangan
dicabar pantang diuji,
Takdir
yang datang siapa tahu.
Kepulangan aku ke Segamat disambut dengan
deraian air mata emak. Emak memang sedih kerana setelah melihat fizikal anaknya
ini yang sudah susut, tidak seperti dahulu lagi. Melihat air mata emak mengalir
aku memang tidak mampu menahan dari rasa hiba. Aku sedar, bukan ini yang diharapkan
oleh kedua orang tua ku saat mereka merelakan pemergian ku ke London hampir 3
tahun yang lalu. Aku juga sebenarnya tidak pernah bermimpi untuk pulang dalam
keadaan begini.
Abah yang paling tenang antara kami semua. Dia
tidak banyak mengungkit hal itu. Aku tahu abah tidak mahu aku bertambah
tertekan jika kami selalu sangat bercakap tentang itu. Apa yang sudah berlaku
memang tidak dapat ditarik semula biarpun dengan berlori-lori sumpah seranah.
Apa yang penting masa depan aku nanti.
Tiga minggu di rumah orang tua ku itu, aku
mulai memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan apa yang aku
cita-citakan selama ini. Perjuangan untuk mencapai cita-cita masih belum tamat.
Hidup harus diteruskan seperti biasa. Tidak cukup sekadar bermuram durja.
Aku mulai melayari internet di rumah. Selain
dari melayari laman-laman web universiti tempatan, aku sempat juga bertukar
khabar dengan sahabat-sahabat ku yang masih berada di London. Hamizah dan
Ameena kini sedang berkerja untuk mencari wang poket buat diri mereka. Aku
sedar mereka juga seperti aku. Tidak mewah untuk pulang bersantaai ke Malaysia
apabila ada cuti panjang seperti ini. Aku sendiri juga pernah berkerja untuk
mencari wang sara diri ketika masih di Balles College dahulu.
Malam itu sewaktu mahu mendirikan solat isyak
emak tiba-tiba datang kepada ku. Emak memandang aku lama sehingga pelik aku
melihat gelagatnya. Ada sesuatu di wajah emak yang membuatkan aku
tertanya-tanya. “Kenapa mak pandang Syira macam tu? Mak tak pernah nampak Syira
pakai telekung ke?” tegur ku selamba kepada emak ku itu.
“Takdelah. Mak saja je tengok, Syira..” jawab
emak perlahan.
“Ada apa ni, mak?” soal ku tetap ingin tahu.
Kalau tiada apa-apa hal, masakan emak memandang aku sebegitu rupa. Pelik aku
melihat kelainan tingkah emak saat itu.
“Syira dah datang bulan ke? Mak tengok
hari-hari Syira bersolat?” tanya emak lembut.
“Belum lagi, mak. Kenapa pulak mak tanya Syira
dah datang bulan ke belum?” aku kembali menyoal emak. Tidak pernah pula emak
bertanya bila masanya aku datang bulan. Aku sebenarnya tidak hairan mengapa aku
masih tidak datang bulan. Kerana sebelum ini pun aku kadang-kadang lambat
datang bulan. Setakat ini apa yang aku tahu kelewatan sehari dua seperti itu
masih normal. Bukannya memaksudkan dia mengalami penyakit yang serius.
“Solatlah. Saja je mak bertanya,” ucap emak
sebelum meninggalkan aku sendiri di bilik ku.
Aku sempat terpaku melihat sikap emak yang
kelihatan lain macam. Perasaan ku jadi tidak enak. Datang bulan? Ya! Aku masih
belum datang bulan. Adakah ini bermaksud aku..? Aku lekas-lekas menggeleng mahu
menepis kesangsian yang mulai menyerang diri. Ah! Tidak mungkin! Ini cuma
andaian kosong! Bisik ku untuk menyedapkan hati ku sendiri.
Aku yang sudah siap berdiri di atas sejadah
segera mengangkat takbir meneruskan solat yang tertunda tadi. Persoalan tentang
datang bulan itu mati terus dari fikiran ku tanpa mahu difikirkan lagi.
Namun tiga hari kemudian saat bangun dari
tidur kaki ku kejang entah kenapa. Sakitnya bagaikan meresap sehingga ke urat
saraf sehingga aku jadi tidak berupaya untuk menggerakkan kaki ku. Akibat panik
dengan serangan mengejut itu, aku menjerit memanggil emak di bilik sebelah. Aku
memanggil lagi apabila terasa lama sungguh masa yang diambil oleh emak untuk
datang ke bilik ku itu.
“Kenapa ni, Syira?” soal emak yang kelam kabut
apabila mendengar jeritan ku tadi.
“Kaki Syira ni sakit, mak. Tak boleh
bergerak..” keluh ku sambil memegang betis yang sakit. Berair mata ku menahan
sakit.
Emak terus memegang betis ku. Kemudian
dipicitnya betis ku itu sehingga aku menjerit kesakitan. “Tak boleh bergerak
langsung ke?” soal emak mulai bimbang. Betis ku diurut lembut.
“Tak boleh. Sakitnya, mak.” Aku sudah
mengerang tidak tahan.
“Tunggu sini..” emak terus menghilangkan diri
seketika dari bilik itu. Kemudian emak kembali semula ke bilik itu dengan
sebotol minyak sapu. Kali itu adik-adik ku juga ikut menjenguk aku di atas
katil.
“Kenapa kaki Kak Syira, mak?” soal Syahril
dari sisi katil.
“Kejang agaknya ni. Sejuk pagi-pagi macam ni
memanglah senang kena kejang otot,” jawab emak tanpa menghentikan urutannya.
“Selalu ke akak kejang otot pagi-pagi macam
ni?” Syahril terus menyoal ku pula. Wajahnya mula memaparkan rasa bimbang
dengan keadaan ku.
Aku pantas menggeleng. Inilah kali pertama aku
mengalami kejang otot diwaktu pagi. Tetapi aku segera teringat kepada cerita
Ameena yang emaknya kerap mengalami kejang otot ketika tidur. Agaknya aku juga
sedang mengalami masalah yang sama dengan emak Ameena.
“Sebelum ni Syira tak pernah kena macam ni,
mak. Kat London tu sejuk juga tapi Syira tak pernah kejang otot macam ni.” Aku
meluahkan kata agak payah dalam erangan kesakitan.
Emak hanya diam sambil terus mengurut kaki ku.
Berkerut-kerut dahi ku apabila emak memicit kuat otot-otot betis ku yang sedang
mengeras. Tidak lama kemudian kekejangan yang ku rasai mulai berkurangan. Namun
kesakitannya masih dapat ku rasakan.
“Syira salah tidur agaknya..” itulah komen
emak yang mulai bimbang dengan keadaan ku.
“Entah. Syira tak tahu..” jawab ku perlahan
sahaja.
“Pergilah solat subuh dulu. Waktu dah nak
habis ni,” ucap emak lantas meninggalkan aku di situ.
Seminggu kemudian aku sekali lagi mengalami
perkara yang sama. Walaupun sudah diingatkan supaya tidur dengan memakai
stoking namun kesakitan itu kembali semula. Tetapi kali ini sakitnya membuatkan
air mata aku mengalir. Sekali lagi aku terpaksa diurut oleh emak supaya aku
dapat menunaikan solat subuh. Apabila aku bertanya tentang ini, emak hanya diam
sahaja sambil terus mengurut kaki ku. Namun sebenarnya aku dapat lihat sejalur
keresahan di mata emak setiap kali dia memandang ku. Aku sendiri sudah tidak
tahu apa sebenarnya yang sedang melanda diri ku. Namun aku pasti.. ini bukan
soal enteng!
Hari yang sama, selepas
sarapan pagi emak dan abah memutuskan untuk membawa aku ke klinik kesihatan di
Segamat. Emak ikut menemani aku masuk ke bilik rawatan untuk bertemu dengan Dr.
Ishak. Tetapi hasil pemeriksaan oleh doktor lelaki itu, aku bagaikan mahu
meraung di bilik itu. Langit seakan-akan telah runtuh di atas kepala ku. Pada
saat aku mendengar khabar itu dada ku bagaikan tidak mampu berdenyut lagi. Amat
berat dugaan ini untuk ku galas. Melihat
keadaan aku yang cukup lemah untuk menerima hakikat itu, abah lekas membawa aku
kembali ke rumah. Aku menonong keluar dari kereta abah sebaik sahaja kereta itu
berhenti di hadapan rumah.
Apabila naik ke atas, air mata ku sudah tidak
mampu ku seka lagi. Plastik ubat ku campak entah ke mana. Aku terus masuk ke
bilik.
“Syira..” emak cuba memanggil ku. Namun
panggilan emak tidak ku layan. Aku terus berbaring di atas katil dan menangis.
“Syira, sabar ya nak?” pujuk emak.
“Syira nak mati.. biar Syira mati!” jerit ku
tiba-tiba bagaikan histeria di dalam bilik itu.
“Astghafirullah-al-adzim..” rintih emak tidak
sanggup mendengar apa yang aku ucapkan.
“Ya Allah.. mengucap, Syira. Jangan cakap
macam ni. Tak baik..” Emak memeluk tubuh ku erat sambil diperhatikan oleh abah.
Aku terus menangis di dalam pelukan emak. Syahril dan Fairuz ku mula menerpa ke
bilik itu apabila terdengar suara ku. Mereka terpaku memandang aku.
“Syira tak nak anak ni, mak. Tolonglah Syira..
Syira tak mahu semua ni jadi pada Syira. Biar Syira mati aja! Syira tak nak
anak haram ni!” rayu ku dalam esakan yang kuat. Aku menangis kuat bagaikan
sedang dirasuk dirasuk. Tangan ku ikut memukul-mukul perut ku agar anak di
dalam kandungan ku itu dapat dilenyapkan. Namun emak terus menghalang perbuatan
ku.
“Mengucap, Syira..” pujuk emak terus menggosok
belakang ku agar aku tenang. “Jangan cakap macam ni. Mengucaplah.. Ingat Allah
banyak-banyak!” Emak terus memeluk ku erat bagi memberikan aku sedikit kekuatan
untuk bersabar.
“Macamana Syira nak sabar? Syira mengandungkan
anak haram!!!” jerit ku semakin tidak kuat memegang hakikat itu. “Kenapa hidup
Syira jadi macam ni? Apa salah Syira, mak? Kenapa Syira yang kena tanggung
semua ni?” ucap ku semakin tidak mampu bertahan. Semakin dipujuk aku semakin
tidak mampu mengawal perasaan sakit itu.
“Ini semua ujian Allah..” ucap emak.
“Syira tak boleh terima anak ni. Estaban!!!
Kau memang binatang!” aku terus memekik meluahkan kemarahan ku.
“Mengucap, nak. Ya Allah.. apalah nak jadi
ni,” keluh emak benar-benar cemas dan buntu dengan keadaan aku. Tubuh ku terus
dipeluknya sambil kepala ku diusap agar tersalur sedikit kekuatan untuk aku
bertahan. Namun air mata emak ikut mengalir menangisi apa yang menimpa diri ku.
Akhirnya setelah kepenatan meneran suara aku
hanya mampu menangis terisak-isak di dalam pelukan emak. Percuma sahaja aku
melakukan itu semua kerana apa yang mahu aku lenyapkan tetap ada di dalam rahim
ku.
“Sabarlah, Syira. Ini semua ujian Allah.
Jangan berputus asa pada Allah. Allah takkan uji kita melebihi daripada
kekuatan kita untuk menggalasnya. Emak dan abah ada. Mak takkan membuang Syira
dan anak ni,” pujuk emak lagi apabila melihat aku sudah tidak sebrutal tadi.
“Tapi ini anak haram. Syira tak sanggup, mak.
Syira tak sanggup mengandungkan zuriat dari lelaki jahanam tu. Syira tak mahu
anak ni..” rayu ku tanpa dapat berfikir lagi. Apa yang aku tahu aku tidak
sanggup menanggung malu dengan kehadiran anak yang tidak mempunyai ayah seperti
ini.
“Jangan panggil anak ni macam tu. Ini anak
Syira. Jangan lupa Syira adalah ibu yang mengandungkannya. Memang malu tapi
kita tak berhak menolak apa yang Allah dah beri. Emak tahu memang berat apa
yang Syira tanggung saat ini tapi ingatlah.. Allah akan menggugurkan dosa-dosa
kita untuk setiap kesengsaraan kita. Semua ini akan ada ganjarannya asalkan
kita sabar dan redha.” Emak terus memujuk sambil membelai tubuh ku.
Aku menggeleng enggan menerima nasihat emak
itu. “Syira malu, mak. Syira nak gugurkan kandungan ni,” putus ku nekad.
“Jangan, Syira! Abah tak izinkan Syira buat
macam tu,” suara abah terus menerpa lantang apabila terdengar kemahuan gila aku
itu.
“Syira tak peduli, abah! Syira tak mahu anak
ni. Syira tak mahu!” jerit ku kembali tertekan.
“Dengar cakap abah, Syira. Berdosa kita buat
macam tu. Apa pun alasannya dosa tetap dosa. Jangan sesekali kita ingkar apa
yaang dah Allah tetapkan. Ingatlah Allah sentiasa melihat kita. Memang di dunia
kita akan mudah tapi tidak di akhirat nanti! Tak tertanggung kita azabnya
nanti. Anak ni tak salah apa-apa. Dia juga tidak meminta untuk berada di dalam
rahim Syira. Dia juga tak meminta untuk hadir dalam keadaan emaknya dianaiya
orang. Allah telah memberikan dia hak untuk berada di dunia ini. Syira tak
berhak merampas hak itu. Terimalah keadaan ini seadanya. Beristighfarlah..”
kali ini dengan sedikit lembut abah cuba untuk memujuk aku.
“Tapi Syira malu, abah. Anak ni takde bapak.
Apa Syira nak cakap pada semua orang? Semua orang akan ketawakan Syira. Semua
orang akan hina Syira,” Rayu ku dalam linangan air mata. Gugur sudah impian ku
satu persatu dengan semua kenyataan ini. Aku masih tidak tahu bagaimana untuk
menghadapinya.
“Anak tu memang takde bapak tapi jangan lupa
sudah ditetapkan Syira adalah emaknya. Syira adalah pemiliknya. Tanggungjawab
Syira mendidik anak ni supaya dia menjadi orang yang beriman. Ada hikmahnya
segala yang telah berlaku. Jangan pedulikan apa yang orang nak kata. Apa yang
penting kita berada di pihak yang benar. Kuatkan hati Syira untuk bersabar
dengan dugaan ini. Allah akan membantu mempermudahkan jalan untuk Syira
sekiranya Syira reda. Insya-Allah, Allah sentiasa bersama orang yang sabar..”
“Tapi Syira tak boleh, abah. Anak ni semakin
mengingatkan Syira pada lelaki tu. Syira tak sanggup, abah. Kenapa Syira mesti
jaga anak ni. Nanti anak ni jahat macam bapak dia! Syira tak mahu..” Aku tetap
berdegil enggan mengikuti nasihat abah itu.
“Jangan cakap begitu. Jangan membayangkan
sesuatu yang di luar kemampuan kita. Lapangkan dada Syira terima takdir Allah.
Syira orang islam.. menentang takdir yang Allah dah tetapkan bermakna kita
tidak beriman kepada qada dan qadar. Siapa lelaki yang menjadi ayah kepada anak
ini tak penting. Apa yang penting anak ni tetap anak Syira... anak ni tetap
cucu mak dan abah. Dia berkongsi nyawa dengan Syira di dalam sana. Kasihankan
anak tu. Dia tak bersalah, nak. Seorang anak tidak berkongsi dosa dengan
ayahnya. Anak ni ibarat kain putih yang bersih dan suci dari dosa. Jangan lupa,
anak ni harta ibu dan ayah sehingga ke dalam kubur. Kalau Syira buang dia hari
ni, siapa yang akan mendoakan Syira bila Syira mati nanti?” kali ini emak pula
yang memujuk aku.
“Kak Syira, jangan pedulikan apa yang orang
nak katakan. Yang penting ini adalah darah daging kita. Dia juga berhak untuk
hidup. Kami semua akan terus menyokong Kak Syira. Takde siapa yang akan
membuang Kak Syira dengan baby tu.
Jangan buat dia macam tu. Kasihan dia, Kak Syira. Baby tu tak salah apa-apa.” Syahril yang semenjak tadi hanya
melihat sahaja turut memujuk aku akhirnya.
“Betul apa kata Syah tu, Syira. Emak dan abah
akan selalu menyokong Syira. Emak tahu anak mak tak salah. Ini ujian dari
Allah. Banyakkan istighfar. Jangan sampai fikiran kita dipengaruhi iblis yang
mahu menghancurkan iman kita. Emak tahu Syira anak yang baik, dah tentu Syira
juga akan menjadi emak yang baik. Allah akan sentiasa membantu orang yang
bersabar, Syira. Percayalah..” ucap emak tenang. Emak dan abah begitu reda
menerima takdir ini. Namun aku?
Aku akhirnya terdiam kehilangan idea untuk
menolak kata-kata orang di sekeliling ku itu. Reda? Tapi bagaimana? Walaupun
aku sudah puas mencubanya tetapi hakikat yang satu ini bukan mudah untuk aku
terima. Bagaimana untuk aku menjaga anak ini jika hanya ada kebencian yang
menghuni segenap ruang nafas ku kepada ayah anak ini. Aku takut kebencian itu
ikut berpindah setiap kali aku memandang wajah zuriat ku nanti.
“Tolong abah ambilkan air suam di dapur,” ucap
abah kepada dua adik lelaki ku itu.
Fairuz terus berlalu dari bilik itu. Tidak
lama kemudian dia kembali dengan air suam yang diminta oleh abah. Abah
membacakan sesuatu pada air itu.
“Minum air ni, Syira. Baca selawat tiga kali,”
pinta abah lembut.
Emak segera melepaskan dakapannya kepada ku.
Dia sempat mengangguk meminta aku mengambil air yang dihulurkan abah. Dengan
lafas bismillah dan selawat ke atas nabi seperti yang disuruh oleh abah, aku
meneguk air itu perlahan sehingga habis separuhnya. Kemudian gelas itu aku
kembalikan kepada abah yang masih memerhatikan aku.
“Rehatlah, Syira. Tenangkan fikiran. Jangan
fikir banyak. Ingat pesanan doktor tadi. Syira tak boleh banyak tertekan,” kata
emak lembut.
Aku hanya mengikut sahaja apa yang disuruh
oleh emak tanpa kata. Emak turut membantu aku membaringkan tubuh ku ke atas
katil itu. Sempat juga emak mengusap kepala ku dengan penuh kasih sayang. Tanpa
dapat ditahan air mata ku mengalir lagi. Aku sedih mengenangkan nasib diri.
Sebahagian hati memang hancur tetapi sebahagian lagi selalu membisikkan kalimah
istighfar untuk meniup kembali semangat agar aku terus berjalan dengan sabar.
Entahlah.. aku masih tidak tahu apa yang akan
terjadi pada masa depan ku nanti. Segalanya kabur dan kelam. Anak ini bagaikan
sedang menenggelamkan diri ku di dalam lautan sengsara. Semuanya kerana
Estaban! Aku bertekad. Aku sama sekali tidak akan memaafkan lelaki itu!
Aku takkan maafkan dia sampai mati!
Bab 7
Pukul gendang pukul rebana,
Buah meriah si majlis kahwin,
Hilang akidah jiwa merana,
Bukan mudah mencari yang lain.
Semua
ini bukan mimpi!
Seminggu yang lalu aku telah disahkan hamil. Itu memang bukan mimpi. Aku
sudah mula merasa kesan yang sering dialami oleh wanita yang sedang hamil.
Namun semenjak mula aku mendapat berita itu aku lebih banyak termenung di dalam
bilik. Sepanjang masa aku hanya termenung memikirkan segala-galanya. Sayangnya
hati ku ini masih menelan setiap bait rasa benci itu apabila aku memujuk diri
agar menerima qada dan qadar dari Allah. Aku sedar kini.. tidak dengan sejam
dua aku dapat menenangkan fikiran. Tidak dengan sehari dua aku dapat
melapangkan dada. Hakikatnya aku masih tidak mampu menelan hakikat ini.
Lantaran hati yang bengkak, tidak aku pedulikan saranan doktor yang meminta aku
berbuat itu ini untuk menjaga kandungan ku. Pil asid folik dan vitamin yang
dibekalkan oleh doktor langsung tidak ku makan. Aku nekad membuangnya melalui
tingkap setiap kali emak meminta aku memakannya. Untuk apa aku memakannya jika
hasrat ku yang sebenarnya adalah untuk melenyapkan zuriat ini dari hidup ku?
Bukankah bagus kalau aku keguguran sahaja? Itu fikiran ku selama ini.
Namun detik yang berlalu aku kian keletihan.
Kepada siapa kemarahan ini aku lemparkan sebenarnya? kepada Tuhan? Kepada anak
ini? atau kepada Estaban yang nun jauh di sana? Sepanjang masa berkurung di
dalam bilik aku meratapi nasib, tiada apa yang berubah kepada diri ku.
Sepanjang masa aku langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling
ku, apa sebenarnya yang aku cari? Jawapannya mudah sahaja.. termenung, meratap
dan mengutuk nasib diri tidak akan mengubah apa-apa. Inilah kehendak Allah.
Hanya Allah sahaja yang berhak untuk mengubahnya. Aku yang menumpang belas
kasihan Tuhan, tiada daya yang kuat untuk melawan takdir ini.
Seketika kemudian aku mulai kesal dengan
perbuatan ku menyiksa diri dan anak di dalam kandungan ku. Datang kesedaran
kepada diri, hati ku segera berbisik.. untuk apa aku menyiksa anak dan diri ku
sedangkan nanti yang merananya juga aku. Kenapa mesti aku khilaf sedangkan anak
adalah anugerah biar siapa pun dia..
Naluri keibuan ciptaan Tuhan pantas meresap ke
dalam diri ku yang lemah. Aku sedar aku tidak harus menghukum kandungan ini
walau apa pun yang telah terjadi kepada diri ku. Anak ini tidak bersalah
sedikit pun kepada ku. Dialah yang akan menemani aku susah dan senang nanti.
Aku menangis lagi buat kesekian kalinya. Kali
ini tangisan ini tangisan kekesalan kerana aku terlalu tunduk kepada kecewa dan
hati yang rapuh. Perut yang masih leper ku usap lembut. Namun hati ku merasa amat
hiba mengenangkan nasib anak ku kemudian nanti. Aku tidak bisa menidakkan
hakikat.. ada sayang yang Allah anugerahkan kepada ku buat anak ini. Ini adalah
zuriat yang suci tanpa sebarang dosa. Tetapi satu hakikat itu bagaikan membuatkan
aku bagaikan tidak mampu bernafas dengan tenang.
Anak ku tiada ayah! Anak luar nikah..
Apa kata orang nanti?
Ya Allah.. rendahkan lah hati ini dalam
menerima cubaan Mu. Bantulah aku untuk bangkit semula..
Anak anugerah Allah. Kenyataan itu cukup
menyedarkan aku akan hakikat hidup ini. Bukan semua kepahitan itu tidak berguna
dan bukan semua kesengsaraan itu menghancurkan. Setiap yang berlaku biarpun
pahit tetap ada hikmahnya.
Aku bangun dari katil apabila
tersedar ada tetamu yang memberi salam seawal ini. Namun aku sekadar mengintai
melalui pintu bilik kerana abah ku ada untuk menyambut tetamu itu. Aku
tertanya-tanya seketika. Mengapa ada tamu yang tidak dikenali datang sewal jam
sepuluh pagi ini? Abah dan emak pula bagaikan sudah menjangkakan ketibaan
tetamu itu semenjak awal lagi. Mereka tidak ke ladang seperti biasa. Seperti
memang sedang siap menanti tetamu itu. Malas mahu mengambil tahu aku kembali semula
ke katil.
Lelaki itu berbual seketika sahaja di ruang
tamu rumah kami. Tidak lama selepas itu emak masuk ke bilik ku meminta aku
bersiap segera. Kata emak kami akan ke Kuala Lumpur dengan lelaki itu sebentar
lagi. Apabila aku bertanyakan tujuan kami mengikut lelaki itu, emak tidak menjawab.
Sebaliknya emak hanya meminta agar aku segera bersiap.
Dengan agak kemalasan aku bersiap juga untuk
mengikut emak dan abah ke Kuala Lumpur. Tambahan pula Syahril dan Fairuz juga ikut menyertai pemergian kami ke Kuala
Lumpur. Di halaman rumah aku lihat ada sebuah van jenis mercedec terpakir. Pada
pintu van itu tertera tulisan Royal Swiss Hotel. Kami nak ke hotel ke? Nak buat
apa? Aku tertanya-tanya lagi. agaknya dek kerana pembawakan budak, aku masih
menguncikan mulut daripada bertanya mengapa kami dibawa oleh pihak hotel itu ke
Kuala Lumpur. Aku benar-benar mahu tahu tetapi entah kenapa lidah ku ini terasa
amat berat untuk meluahkan kata-kata. Orang lain mengandung malas buat kerja
rumah, aku mengandung.. malas bercakap pulak. Ada ke macam tu? Entahlah!
Tolak campur waktu untuk bersolat dan makan
pada jam empat petang kami semua tiba di hotel lima bintang itu. Aku semakin
tidak faham apa tujuannya kami berada di situ. Emak dan abah nampak bersahaja
seolah-olah sudah tahu apa agenda kami berada di situ. Tetapi dalam pada mulut
terus terkunci, mata ku ini begitu kagum melihat dekorasi lobi hotel lima
bintang itu. Kemudian kami disambut pula oleh dua lelaki lain. Dua lelaki
membawa Insyirah bersama dengan keluarganya ke ball room untuk bertemu dengan seseorang.
Emak dan abah masih tenang duduk di satu meja.
Aku pula canggung apabila berada di dalam hotel mewah itu. Tidak pernah sekali
pun seumur hidup ku ini menjejakkan kaki ke tempat semewah ini. Fikiran ku
masih tidak lepas tertanya-tanya mengapa kami harus berada di sini.
Tidak sampai lima minit kami menanti akhirnya
meja itu dihampiri oleh tiga orang lelaki dan seorang wanita. Namun saat telihat
salah seorangnya, jantung ku bagaikan tercopot serta merta dari tangkainya.
Cepat sahaja aku terfikir mahu melarikan diri dari situ. Mata ku ini sudah tidak
sanggup untuk melihat lelaki itu lagi. Nyawa ku bagaikan mahu terbang. Aku
pernah menyangka yang aku tidak akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Tetapi ternyata
aku salah! Di mana sahaja aku berada, lelaki itu juga boleh berada.
Hati ku kembali mendongkol benci. Kenapa lelaki
itu asyik datang ke dalam hidup ku? Mengapa mesti dia datang ke sini?
Aku bangun dengan pantas dengan niat mahu
melarikan diri dari situ setelah Estaban berdiri di hadapan meja itu dengan
wajah tenangnya. Betapa bencinya aku melihat reaksi lelaki itu. Tetapi emak lebih
pantas memegang erat lengan ku meminta aku bersabar.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu, mak!”
tanpa mempedulikan orang sekeliling, juga lelaki-lelaki yang datang, aku
menundingkan jari ku kepada Estaban yang tenang sahaja di belakang dua lelaki
inggeris itu. Lantang suara ku mula menarik perhatian semua orang di meja itu.
“Sabar dulu, Syira. Kita di sini nak
selesaikan masalah Syira ni,” pujuk emak lembut. Syahril adik kedua ku itu juga
turut memegang aku, tidak mahu kakaknya ini melarikan diri.
“Selesaikan macamana? Masalah Syira selesai
kalau anak ni hilang dari dalam perut Syira ni. Syira tak boleh nak bersabar
kalau hanya ada kebencian yang penuh meluap-luap dalam jiwa Syira ni bila
memandang muka dia tu. Syra benci!” tekan ku terus kuat tanpa mempedulikan
pandangan lelaki yang paling berusia di antara mereka semua manusia asing itu.
“Duduklah dulu. Malu orang tengok..” rayu emak
ku cuba berlembut lagi.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu. Syira
nak balik!” tegas ku tetap berdegil.
“Syira.. duduk!” suara abah mula keluar, tegas
melawan kedegilan ku. Matanya mencerlung tajam memarahi sikap biadap ku.
“Syira..”
“Duduk!” tekan abah lagi dengan matanya terus
menikam tajam kepada ku. Tidak sempat aku mahu berkata apa-apa. Tiba-tiba aku
merasa amat gentar melihat pandangan mata abah seperti itu. selama ini dengan
pandangan seperti itulah abah menegur setiap tindak tanduk kami.
Aku mula terdiam kekalahan dengan ketegasan
abah. Aku akhirnya merelakan diri ku dibawa emak supaya duduk semula di tempat
ku tadi. Tetapi dalam diam jiwa ini hanya ada pemberontakan yang amat dasyat
menanti masa untuk dilepaskan. Kalaulah abah tiada di sini.. aku mahu melempar
apa sahaja yang ada di hadapan ku itu kepada lelaki bernama Estaban itu.
“Bawak bertenang, Ini semua untuk kebaikan
Syira. Juga untuk masa depan anak dalam perut Syira ni,” kata emak meminta
sikap rasional ku.
Aku hanya mampu berdiam mendengar bicara emak.
Dengan bantuan lelaki yang membawa kami ke
hotel ini sebagai orang perantaraan aku akhirnya mengerti apa mahunya lelaki-lelaki
inggeris itu dari kami sekeluarga. Rupanya lelaki inggeris yang paling berusia
itu adalah Christopher Buhler, ayah kepada Estaban dan yang lebih tua
berbanding Estaban adalah Samuel, abang kepada Estaban dan wanita itu adalah
kakak Estaban, Celina Buhler. Aku tidak tahu dari mana mereka semua mengetahui
keadaan ku sekarang ini. Aku juga hairan dari mana ayah Estaban tahu mengenai
kejadian hitam itu?
Christopher menjelaskan hasrat murninya dengan
meminta aku mengahwini anak lelakinya itu. Terbeliak mata ku mendengar itu. Menerima
Estaban sebagai suami? Entah kenapa aku mahu ketawa sampai pengsan pula
mendengar itu. Gelihati sungguh mendengar lamaran seperti itu. Itu tidak masuk
akal! Teramat mustahil!
“Tidak!” jawab ku tegas apabila pendirian ku
tentang itu ditagih mereka.
Abah dan emak terpaku sekekyika dengan
ketegasan ku menolak kemahuan lelaki itu. Sesungguhnya ini memang tidak masuk
akal. Tidak mungkin aku akan mengahwini seorang perogol! Tidak mungkin aku akan
mengahwini lelaki yang tidak seagama dengan ku. Bagaimana untuk aku terima dia
jika aku hanya mampu membenci lelaki itu seumur hidup ku?
“Kenapa kamu tak mahu? Kamu sedang hamil,
Insyirah..” ucap Christopher lembut sahaja. Lagak seorang ayah yang terlebih
sayangkan anak memang jelas dalam nada suaranya. Mungkin kerana dia sering
memanjakan anaknya menyebabkan Estaban membesar, lalu menjadi liar.
“Tak kisahlah apa yang telah terjadi kepada
saya. Yang penting saya tak rela bersuamikan dia. Dia dah menjahanamkan hidup
saya dan saya tak boleh sediakan tempat dalam hidup saya untuk lelaki seperti
dia. Semenjak saya kenal dia hidup saya memang malang. Entah apa yang akan
terjadi kepada saya jika saya mengahwini lelaki macam dia..” kata ku tegas
dengan jari yang ditundingkan kepada Estaban yang berdiam sahaja bersebelahan
dengan abangnya.
Abah juga hanya diam membiarkan aku berkata
apa yang aku mahukan. Namun emak memegang lembut bahu ku, meminta aku
menimbangkan kata-kata yang paling elok dalam meluahkan perasaan. Di hadapan ku
ini adalah seorang lelaki yang lebih tua dari abah ku sendiri. Aku tetap harus
hormat kepadanya.
“Saya tahu dia bersalah, Insyirah. Tetapi saya
mahu anak itu lahir di dalam perkahwinan. Ini untuk masa depan anak kamu juga,”
kata Christopher Buhler cuba berdiplomasi dengan ku.
“Masa depan anak ini adalah tanggungjawab
saya. Masalahnya dia memperlakukan saya di luar perkahwinan. Hakikat itu tidak
akan berubah sampai bila-bila walaupun saya menyembunyikan kenyataan dengan
meletakkan nama dia sebagai ayah. Dia hanya menganggap saya perempuan yang
boleh disentuh sekali dan ditinggalkan di tempat gelap. Patut ke saya menerima
lelaki kejam seperti dia menjadi suami saya? Tanpa dia pun anak saya tetap akan
terus hidup. Saya tak perlukan dia semata-mata untuk meletakkan nama dia
sebagai bapa kepada anak saya. Saya lebih rela meletakkan salah satu daripada
sembilan puluh sembilan nama Tuhan sebagai nama bapa kepada anak ini. Nama itu
lebih suci. Sekurang-kurangnya nama itu bukan dari seorang lelaki yang
hipokrit! Saya tak rela anak saya terpalit noda yang diberikan oleh lelaki
seperti dia. Saya jijik pada dia! Saya tak sanggup untuk berkongsi apa-apa pun
dengan dia. Lebih baik awak bawa dia balik tempat awak. Jangan ganggu saya
lagi.” Aku tetap berdegil.
Christopher terpaku dengan kata-kata ku. Dia
memandang anak perempuannya Celina untuk meminta bantuan. Panjang keluhannya
seolah-olah sudah buntu dengan masalah ini.
“Insyirah, anak di dalam kandungan kamu adalah
pewaris kepada empayar hotel ini. Tolong pertimbangkan..” kali ini Celina pula
yang bersuara untuk memujuk ku.
Aku tergelak sinis mendengarnya. Ada udang di
sebalik mee rupanya semua ini. “Oh! Inikah sebab utama kamu semua sanggup
datang dari jauh untuk mencari saya? Bukan masa depan anak ini yang menjadi
keutamaan tetapi masa depan hotel mewah ini yang kamu semua bimbangkan? Takut
hotel ini terlelong begitu sahaja kerana tidak ada pewaris?” Aku dengan selamba
mencemuh kata-kata wanita itu.
“Entah kenapa saya tak berasa sedikit pun
kegembiraan dari itu semua. Untuk apa anak saya jadi pewaris hotel ni kalau dia
dilahirkan bukan atas dasar kasih sayang emak dan ayahnya? Perasaan saya tak
boleh dibeli dengan duit dan kemewahan!” aku menambah lagi sindiran ku lantaran
hati yang sakit.
“Insyirah, mari kita berbual berdua,” pelawa
ayah Estaban amat lembut.
“Mari. Lebih mudah kalau kita berbual secara personal..” tambah Christopher lagi lantas
dia bangun mengajak aku ke meja lain.
Aku terpaksa juga mengikut lelaki itu setelah
emak memujuk agar aku menghormati lelaki itu usia tua lelaki itu. Anggukan abah
membuatkan aku semakin tiada pilihan.Aku dan lelaki tua itu duduk agak jauh
dari meja kami tadi. Kami duduk berhadapan dan berpandangan buat seketika.
“Saya sedar kemarahan kamu, Insyirah. Memang
wajarlah kamu marah kerana apa yang dilakukan oleh anak saya memang
keterlaluan. Saya sebenarnya teramat malu untuk bertemu dengan kamu dan orang
tua kamu. Tapi saya lakukan ini demi maruah kamu dan maruah saya juga,” ujar Christopher
cuba untuk mengerti perasaan yang menghuni dalam diri ku.
“Dari mana awak tahu mengenai keadaan saya?”
melihat kelembutan lelaki itu, aku tidak sampai hati pula untuk berkasar. Sekurang-kurangnya
rasa hormat ku masih ada untuk lelaki yang baik budi bahasa ini.
“Sebaik sahaja saya mengetahui apa yang telah
terjadi, saya mencari kamu melalui kawan-kawan Estaban tetapi sayangnya saya
gagal bertemu dengan kamu. Ryan memperkenalkan saya dengan kawan baik kamu
Ameena sehari selepas kamu pulang ke Malaysia dulu. Ameena mendapat tahu yang
kamu telah hamil dari emak kamu dan dia memberitahu saya beberapa hari yang
lalu. Kerana itulah saya berada di sini. Atas dasar tanggung jawab saya kepada
anak kamu itu, saya menebalkan muka saya untuk menemui ayah kamu, Insyirah.
Tolong pertimbangkan apa yang saya harapkan ini,” kata lelaki itu cukup agak
rendah.
“Saya tak sanggup..” balas ku sambil
menggeleng. Sekurang-kurangnya aku harus juga berfikiran rasional untuk memilih
lelaki itu sebagai suami. Oh! Tidak! Tiadakah calon yang lebih baik untuk diri
ku? Mengapa mesti lelaki itu? Hanya kerana anak di dalam kandungan ku ini?
Macamana dengan kehidupan ku nanti?
“Tolonglah saya. Hanya kamu sahaja yang boleh
membantu saya. Estaban itu anak bongsu saya. Dia kehilangan emaknya ketika dia
berusia empat belas tahun. Semenjak itu dia menjadi liar dan sukar dikawal.
Perangainya semakin menjadi-jadi apabila dia masuk ke universiti. Saya memang
terlalu kecewa apabila mendapat tahu yang dia sudah merosakkan kamu. Saya tidak
pernah membayangkan anak saya itu akan menjadi seorang yang sekejam itu,” luah
Christopher perlahan sahaja.
Aku diam tidak mencelah. Aku tahu lelaki ini
masih belum habis meluahkan perasaannya. Aku juga ingin mendengar ayat yang
lain, yang boleh meyakinkan diri ku dalam membuat keputusan selain daripada
kasihan kepadanya.
“Saya akui selama ini dia jauh dari didikan
moral dan agama. Dia tidak pernah ke gereja. Saya tidak pernah menyuruh malahan
dia tidak pernah belajar mengenai agama selama ini. Mungkin kerana itu dia jadi
begitu. Sebagai ayah saya tersiksa melihat cara hidup dia. Saya sedar lambat
laun hidupnya akan hancur jika dia terus berkeadaan begitu. Itulah yang paling
saya takutkan berlaku. Hotel ini bukanlah tujuan utama saya datang ke sini.
Saya mengenali keperibadian kamu daripada Ameena. Dari dia saya mendapat tahu
kamu seorang perempuan yang baik yang taat beragama. Dengan agama sahaja saya
dapat mengembalikan Estaban ke jalan yang betul. Saya sudah tidak sanggup
melihat dia menjadi begitu lagi. Cukuplah kamu seorang sahaja yang menerima
nasib seperti ini. Saya juga tidak sanggup membiarkan cucu saya lahir tanpa
bapa. Kita boleh memilih nasib yang lebih baik untuk anak ini, Insyirah.
Tolonglah saya. Saya yakin kamu akan berjaya membawa Estaban ke jalan yang
benar. Kerana agama islam adalah agama yang sempurna dan adil kepada
penganutnya. Agama islam adalah agama yang menerapkan banyak panduan kepada
umatnya agar lebih berdisiplin dalam hidup mereka,” ucap Christopher lembut
mendayu-dayu.
Aku terus terdiam mendengar Christopher
melahirkan harapannya. Dari riak wajah lelaki tua itu aku tahu Christopher
tidak main-main dalam hal ini kerana suaranya penuh dengan kesayuan dan
harapan. Masalahnya sanggupkah aku menggalas beban seberat ini? Kalau boleh aku
ingin menolak sahaja. Tetapi terkenangkan anak di dalam kandungan ku ini aku
mulai serba salah.
“Semua ini untuk Estaban? Untuk berkahwin
dengan saya dia perlu memeluk agama islam..” ucap ku kemudian.
“Itulah penyebab utama saya mahu dia
mengahwini kamu. Kalau kamu tidak hamil sekali pun saya tetap mahu dia
mengahwini kamu, jika kamu sudi. Kerana dengan mengahwini kamu, dia dimestikan
menganuti agama islam. Saya mahu dia dididik oleh agama kamu dan kamu sendiri,
Insyirah. Saya tahu hanya itu sahaja jalannya untuk membuat dia berubah.”
“Tapi memeluk agama islam memerlukan kerelaan.
Estaban bukan sahaja tidak mahukan agama tetapi dia tidak percaya kepada Tuhan.
Ini mustahil!” bangkang ku apabila teringatkan hal itu. Ini bukan lagi soal
keinginan lelaki tua ini sahaja. Tetapi aku tidak mahu mempermainkan agama demi
melunaskan kehendak lelaki ini. Besar bahayanya nanti.
"Kamu
tahu kenapa pada namanya ada diletakkan juga nama Joseph?" soal
Christopher kepada ku.
Aku
terus menggeleng. Manalah aku tahu! Bukannya aku yang letak nama waktu dia
lahir dulu. Kalau aku yang letak memang aku letak nama Bajingan bin Bengong!
"Dahulu
ketika mama Estaban mengandungkan dia, kami terdengar cerita tentang kisah
seorang nabi Allah bernama Yusuf. Yusuf seorang nabi Allah yang cukup tampan
dan amat budiman. Ketampanan Nabi Yusuf sehingga membuatkan wanita terpukau
sehingga ada yang terpotong tangan sendiri ketika memandang nabi Allah itu.
Malah Zulaikha sanggup mefitnahnya kerana marah cintanya tidak dibalas. Namun
Nabi Yusuf tidak pernah alpa dengan keistimewaan yang ada pada dirinya. Dia
tetap seorang nabi yang taat kepada Allah. Dia tetap seorang lelaki yang sabar.
Mama Estaban sangat sukakan kisah nabi Allah itu. kerana itulah dia meletakkan
nama Joseph pada Estaban dengan harapan suatu hari nanti akan ada sedikit
keperibadian lelaki istimewa itu berpindah kepada Estaban. Yusuf di dalam bible
disebut sebagai Jospeh." Christopher terdiam seketika memikirkan kata-kata
seterusnya. Aku pula terpaku mendengar kisah itu. Begitu ke kisahnya?
“Kamu tentu akan dapat membuat dia percaya.
Kamu adalah kelemahan dia, Insyirah.” Christopher terus membalas yakin.
“Saya kelemahan dia? Apa maksud awak?” soal ku
semakin tidak mengerti.
“Saya melihat keistimewaan kamu yang tiada
pada perempuan lain yang pernah dibawa oleh Estaban. Kamu memang cantik sebagai
perempuan islam dan sikap kamu yang lantang berbicara membuatkan saya kagum
dengan kamu. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dia tergamak juga menyentuh kamu
dalam keadaan begitu. Saya ada memikir.. jika tujuan utamanya hanya sekadar
memuaskan nafsu, dia boleh mendapatkannya dari wanita lain yang lebih pandai
melayani dan lebih rela. Betulkan?” ucap Christopher sambil memandang ku.
“Tetapi daripada cerita Ryan dan kawan-kawan
dia yang lain saya mendapat tahu yang Estaban sebenarnya tergila-gilakan kamu.
Dia tetap mahukan kamu biarpun hanya untuk sekejap sahaja. Ada keistimewaan
kepada kamu sehingga membuatkan dia begitu nekad. Selama ini saya tidak pernah
menyangka yang anak saya akan tergamak memperlakukan ini kepada kamu. Rasanya
dia tidak perlu merisikokan hidupnya dengan memperlakukan kamu seperti itu jika
hanya untuk sekadar mahu mengejar keseronokan sementara. Pasti ianya lebih dari
itu!” ujar lelaki berambut perang itu lagi. Kedutan di wajahnya itu memaparkan
mungkin dia sudah terlalu keletihan dengan olah anak-anaknya. Mungkin olah
Estaban antara yang paling dasyat.
“Selepas kamu pulang ke Malaysia dia semakin
teruk. Saya mendapat tahu setiap malam dia mabuk. Pelajarannya juga semakin
teruk. Pernah juga Ryan mengatakan ketika Estaban mabuk dia menyebut-nyebut
nama kamu. Saya benar-benar bimbangkan dia. Tolonglah terima lamaran saya ini.
Saya tahu Estaban akan memeluk agama islam jika dia diminta berkahwin dengan
kamu. Saya tahu itu! Selebihnya sebagai isteri kamu tentu mampu membuat dia
berubah kerana wanita ada senjata yang mampu melemahkan lelaki. Saya akan
memastikan dia bertanggungjawab kepada kamu dan anak yang kamu kandungkan ini.
Saya janji!” ujar lelaki tua itu lagi dengan cukup bersungguh.
“Semua ini bukan mudah. Saya tak pernah
bermimpi untuk bersuamikan dia. Saya tak sukakan dia. Macamana saya nak
menerima dia dan mendidik dia? Ini semua sungguh berat untuk saya,” luah ku
pula. Mengapa aku pula yang dipilih untuk menanggung semua ini? Hanya kerana
aku sudah hamil, jadi inilah kesempatannya?
“Dah tentu, Insyirah. Kamu juga tidak pernah
bermimpi untuk mengandungkan anak Estaban tetapi itu tetap juga terjadi. Kamu
percaya kepada takdir tetapi kenapa tidak percaya kepada jodoh? Mungkin inilah
jodoh kamu.” Sekali lagi ucapan lelaki tua itu melantunkan keyakinannya.
Aku terdiam patah bicara mendengar kata-kata
bapa Estaban itu. Apa yang dia tahu tentang jodoh?
“Saya tahu kamu memang tak cintakan dia tetapi
demi anak yang awak kandungkan itu tolonglah terima lamaran ini. Saya merayu
kepada kamu, Insyirah. Tolong kasihankan lelaki tua ini. Saya yakin hanya kamu
sahaja yang boleh membuatkan Estaban berubah. Saya mahu hidup dia lebih
bermakna. Dan saya mahu dia membesarkan zuriat dia ini dengan sempurna. Masakan
kamu mahu membiarkan anak ini lahir sebagai anak luar nikah? Mungkin bagi
masyarakat di barat ini semua sudah biasa tetapi tidak bagi orang islam.
Lagipun saya ada terdengar ayah kamu memberitahu saya yang kamu malu kerana anak
ini anak yang akan dilahirkan di luar perkahwinan. Sekarang inilah masa yang
terbaik untuk kamu ubah takdir anak kamu itu,” tambah Christopher lagi. Pandai
sungguh lelaki tua itu mentarbiahkan aku sehingga pendirian ku jadi kelam kabut
begini.
“Saya tak tahu.. kalau saya menerima ini semua
saya tak tahu apa yang akan berlaku kepada saya. Sungguh, selama ini saya tak
pernah bermimpi yang ini semua akan terjadi kepada saya. Selama saya mengenali
Estaban, kami lebih banyak bertengkar dari berbaik. Saya tak tahu bagaimana
untuk saya jalani hidup dengan dia.” Perlahan sahaja keluhan itu ku lahirkan.
“Saya faham. Saya orang bukan islam tetapi
sebagai ahli perniagaan saya sudah pergi ke banyak negara dan melihat ramai
orang. Selama itulah saya berpengalaman mengenali agama islam yang pernah
diperkenalkan kepada saya oleh seorang lelaki arab. Saya amat kagum kerana
agama islam agama yang adil dan suci. Saya yakin dengan ajaran agama ini sahaja
Estaban dapat dijinakkan. Sebenarnya saya sudah lama memikirkan masalah Estaban
ini. Tetapi sebaik sahaja saya mengetahui Estaban hampir sahaja ditangkap
kerana memperkosa kamu, hati saya memang
hancur. Saya cuba mencari kamu tetapi malangnya kamu tidak lagi ke kampus. Apa
yang saya tahu kamu sudah balik ke sini. Susah untuk saya membuat keputusan
begini sebenarnya. Saya tak pasti apakah ini mampu saya laksanakan. Tetapi apa
yang saya pasti mungkin sudah sampai masanya saya berusaha sebaiknya untuk
membuatkan Estaban berubah. Mungkin Tuhan mempunyai sebab dengan membiarkan
kamu hamil, sedangkan tiada wanita lain di luar sana yang hamil angkara
Estaban. Mungkin inilah sebabnya,” balas Christopher pula. Semakin lama semakin
panjang hujahnya.
Aku menghela nafas panjang. Tangan ku itu tiba-tiba
beralik ke perut ku, bagaikan tindakan refleks. Patutkah aku menerima lamaran
itu demi anak yang sedang ku kandungkan ini? Sememangnya kalau boleh aku mahu
anak ini lahir dengan sempurna. Mempunyai ayah dan juga ibu seperti kanak-kanak
lain. Juga lahir dari sebuah perkahwinan yang sah. Sungguh memalukan jika aku
melahirkan anak di luar perkahwinan. Lebih malang lagi apabila anak ini dewasa,
aku tiada jawapan yang mampu menyenangkan hati anak ku tentang status dirinya.
Itulah yang paling menakutkan aku sebenarnya.
Kini
aku kabur dengan jalan yag harus ku pilih. Sanggupkah aku melalui keadaan itu?
Tahankah hati ku nanti jika anak ini menjadi bahan ejekan orang lain kerana
statusnya sebagai anak luar nikah? Aku tahu demi masa depan anak ku ini, aku
harus siap mengorbankan perasaannya kepada Estaban.
Buat kesekian kalinya aku kembali bertanya
kepada diri ku. Benarkah aku yang harus berkorban saat ini? Entahlah! Ya
Tuhan.. berilah aku jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan