Prolog- BIMA
Suasana Kampung Paya Keli, Masjid Tanah tenang sekali. Namun tidak di rumah
pasangan muda itu..
“Berambus!!!!!!!!!” pekikan itu cukup-cukup menggegarkan rumah kampung
sederhana besar itu. Dumm!! Lantai papan itu terus mengeluarkan dentumannya
apabila ada sesuatu yang terjatuh di atasnya. Serentak itu kedengaran suara
anak kecil meraung dari salah sebuah bilik di dalam rumah itu.
Raduan lekas-lekas naik ke rumah apabila terdengar raungan anak kecil itu.
Dentuman yang kedengaran sebentar tadi sudah diagak apa puncanya. Apabila dia
masuk ke bilik matanya melihat tubuh anak kecil berusia sembilan bulan itu
sudah terlentang di atas lantai papan sambil menangis. Tangan mungil itu
terkapai-kapai seakan meminta tolong.
“Apa ni, Nab? Apa awak buat pada budak ni?” soalnya kesal. Matanya masih
menadah bayi kecil itu yang masih meraung sehingga kemerahan mukanya.
“Aku benci tengok budak ni. Bawa dia berambus. Jangan menyemak depan mata
aku ni!! Anak haram bejadah! Kalau aku tahu masa lahir dulu aku cekik-cekik dia
biar mampus! Buat malu akau aja ada anak macam ni!!!” wanita bernama Jurinab
itu memekik kepada Raduan pula. Tangannya ditundingkan kepada anak kecil yang
terkapar tidak berdaya akibat ditolak olehnya.
Raduan menggeleng dalam menahan hati yang terhiris. Terlalu bisa kata-kata
sang isteri. Perlahan anak kecil itu diambilnya. Tubuh anak pertama mereka itu
ditepuk perlahan. Belakang kepala bayi itu juga diusapnya bagi menghilangkan
kesakitan anak itu. Kesal benar dia dengan kekasaran isterinya itu kepada anak
yang tidak tahu apa-apa ini.
“Jangan buat macam tu, Nab. Dia tak salah apa-apa. Awak tak kasihan ke pada
dia?” keluh Raduan sedih melihat anak kecil itu diperlakukan sebegitu oleh
isterinya. Entah apa sebabnya Jurinab bersikap begitu dia sendiri tidak tahu.
“Tak salah? Awak tengok muka dia tu! Tengok!!! Aku tak boleh terima anak
aku macam tu...” pekik Jurinab bagaikan hilang pedoman.
Raduan menggeleng perlahan. Dikumpulkan segenap kesabarannya untuk menadah
kelakuan isterinya itu. Perlahan pipi bayi itu dikucupnya penuh kasih. Belas
hatinya melihat nasib anak sulungnya itu. “Sayang.. sayang.. abah ada sini.
Diam ya?” pujuknya perlahan kepada bayi itu agar tidak menangis lagi.
“Bukan salah dia, Nab. Kenapa awak hukum dia? Dia pun tak minta dilahirkan
macam ni..” keluh Raduan perlahan. Sekali lagi dia menggeleng. Tidak ada
perasaankah isterinya itu? Apalah yang diketahui oleh anak sekecil ini hingga
dia perlu dihukum seperti ini?
“Habis tu salah siapa? Salah kita? Anak haram bejadah!!! Buat malu aku aja
anak macam ni...” Jurinab terus menghamburkan kebenciannya kepada bayi itu.
“Jangan awak maki-maki dia. Dia tak salah langsung. Dia pun tak minta
dilahirkan ke dunia ni macam ni. Apa yang dah berlaku biarlah lepas. Jangan
awak hukum dia lagi. Apa pun keadaannya dia tetap anak kita..” lawan Raduan
enggan membiarkan Jurinab terus tenggelam dengan keegoan sendiri.
“Anak awak! Binti awak! Awak belalah dia! Kita tak mahu. Buat malu aja ada
anak macam ni...” dengan sombongnya Jurinab meluahkan bicara sehingga
menggeleng Raduan dibuatnya. Susah benar dia mahu mengubah sikap isterinya itu.
Semenjak dia menikahi Jurinab kira-kira setahun lima bulan yang lalu semakin
hari dia semakin melihat kelakuan Jurinab sebenarnya. Apa yang paling jelas di
matanya adalah setiap hari kata-kata Jurinab semakin lancang memaki hamun
cahaya mata mereka ini. Tidakkah Jurinab sedar bahawa cahayamata ini adalah anugerah
ALLAH biar bagaimana pun rupanya. Sekurang-kurangnya anak ini sihat walafiat
tanpa sebarang penyakit. Susah benarkan untuk isterinya itu menerima segala
ketentuan ALLAH. Mengapa anak ini harus dihukum sedangkan dia tidak tahu
apa-apa?
Di tangga hadapan rumah Raduan merenung masa hadapannya sambil memangku
bayi yang baru beberapa bulan mengenali dunia ini. Bayi kecil yang dinamakan
Intan Nur Darina binti Ahmad Raduan itu dibelainya. Diberikannya kasih sayang
dan pujukan agar anak itu kembali tenang. Namun memikirkan sikap Jurinab yang
begitu Raduan tidak tahu apakah sinar di hari muka akan terus menerangi anaknya
ini. Raduan tidak tahu. Cuma dia agak kesal. Jurinab tidak mahu mengakui
kesalahan sendiri sebaliknya menyalahkan Intan yang dilahirkan tidak seperti
anak-anak yang lain. Sedangkan anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain
putih tanpa dosa. Perlahan Raduan mencium kepala anaknya itu. “Takpelah. Abah
ada, sayang. Abah akan sayangkan Intan. Sabar ya, nak?” bisiknya tulus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan