Kudin
memandang lama ke arah belukar di belakang rumahnya itu. Bicara sang emak
melintas bagaikan deruan angin petang di telinganya, membawa jauh menungannya.
Ada seribu rasa sedang membadai hebat jiwa anak muda berusia 28 tahun itu dengan
tiap baris ayat yang dituturkan Mak Kunah. Sikap pendiamnya semakin
menjadi-jadi pula saat itu.
“Bila lagi, Din? Mak ni teringin nak benar nak tengok
kamu ada anak. Merasalah mak ada cucu. Mak ni dah tua, kamu tu pulak
satu-satunya anak mak,” ucap Mak Kunah lembut sahaja dari arah dapur. Diam
anaknya itu mengelirukan dirinya. Entahkan suka, entahkan tidak apabila isu
kahwin dihidupkannya.
“Belum ada jodoh, mak..” jawab Kudin amat perlahan tanpa
mengalihkan pandangan dari arah belukar itu. Seolah-olah belukar di belakang rumahnya
itu sejelita Lisa Surihani sehinggakan tidak jemu matanya memandang.
“Kamu tu bila mak bercakap pasal ni, itu ajalah jawapan
kamu. Mana nak ada jodohnya kalau kamu tu berat mulut benar? Janganlah begitu,
Din. Takkanlah kamu nak tunggu orang perempuan yang datang mengorat kamu? Jodoh
ni takkan datang macam tu aja. Kita kena usaha juga mencarinya.” Suara Mak
Kunah kedengaran lagi menasihati anaknya itu. Entah apa malangnya anaknya ini
liat benar jika diajak berbicara soal perempuan. Setahu Mak Kunah seumur hidup
Kudin dia tidak pernah mempunyai kekasih hati. Buruk benar ke rupa anak aku tu
sampai takde perempuan yang mahu? Rasanya tidak pulak. Kudin biarpun tidak
berkulit cerah namun tetap manis dipandang. Jadi apa yang tidak kena lagi? Mak
Kunah sering tertanya sendiri.
“Kalau ada adalah, mak. Dah takde nak buat macamana,”
jawab Kudin mudah. Serentak itu dia terus bangun dari duduknya. Malas mahu
menadah telinganya kepada ceramah emaknya bab perkahwinan.
Menggeleng Mak Kunah melihat Kudin. Keras benar hati
anaknya itu. Entah apa kenanya dia sendiri tidak tahu. Masakan lelaki macam
Kudin takutkan perempuan? Entah! Semakin tidak faham wanita tua itu melihat
sikap anak lelakinya itu.
“Kebun, duit.. tak boleh dibawa ke mati, Kudin. Doa
anak-anak yang akan mengiringi kita ke alam sana nanti. Macamana nak ada anak
kalau baru aja mak sebut soal kahwin kamu dah mula angkat kaki, bosan.” Mak
Kunah sempat lagi menitipkan nasihatnya sebelum anak lelakinya itu
menghilangkan diri.
Kudin tidak menjawab bebelan Mak Kunah. Terus dia mencari
motorsikalnya untuk ke kebun. Bukannya dia sengaja mahu berkurang ajar dengan
emaknya itu, tetapi dia serik! Serik dengan pengalaman yang lepas. Ejekan sinis
yang dilemparkan Maya kepadanya masih melekat utuh dalam memorinya. Membuatkan
dia menutupkan pintu hatinya kepada setiap gadis kampung yang melintas di
hadapan matanya. Cukuplah! Dia tidak ingin berbicara soal perempuan lagi. Jika
ada jodoh untuknya diberikan Tuhan maka dia terima. Jika tidak maka beginilah
dia sehingga ke akhirnya.
“Abang
Kudin ni bukannya tak hensem langsung tapi Maya tak berminat. Maya tak minat
lelaki yang takde masa depan ni. Maya ada kehidupan di KL. Takkanlah Maya nak
tinggalkan kerjaya Maya kemudian balik menetap dengan abang kat sini. Tak
mahulah! Kat kampung ni nak cari intenet pun susah. Macamana nak hidup? Maya
sendiri hairan kenapa abang masih nak duduk sini? Setakat kerja kebun mana
boleh hidup, bang. Perempuan macam Maya nak lebih dari itu.” Seiring dengan
keselambaannya Maya ketawa kecil bagaikan mengejek Kudin sekadar lelaki
kampung.
Kudin tertunduk mendengar bicara gadis itu. Terlalu mudah
untuk Maya meluahkan pendiriannya namun tidak bagi Kudin yang mendengar. Dia
merasa dirinya terlalu rendah tarafnya di mata Maya. Seolah-olah lelaki seperti
dia hanya layak untuk gadis yang rendah tarafnya. Atau dalam erti kata
lainnya.. dia hanya layak untuk gadis kampung yang kolot dan tidak berpelajaran.
Berpelajaran sangatlah si maya ni. Setahu Kudin si Maya ni cuma lepasan SPM aja
pun. Itu pun beratur C dengan D dalam sijil SPM dia. Nasib baik E dia tak
lengkapkan sekali. senang esok nak ajar anak belajar ABC. Tunjuk aja sijil SPM
mak.. confirm anak pandai ABC nanti. Jauh melalut fikiran Kudin saat itu.
“Abang tengoklah sendiri anak-anak dara kampung ni.
Semuanya dah nak ke bandar. Siapa nak duduk kat sini? Kahwin dengan lelaki
kampung pulak tu. No way! Maya lebih
berminat pada lelaki yang open minded
dan berpelajaran. Berduit juga salah satu dari kriteria lelaki idaman semua
perempuan. Tak ketinggalan Maya.” Maya menambah lagi apabila Kudin hanya
berdiam tidak lagi bersuara.
Kata-kata Maya segera diakui Kudin dalam diam. Memang benar
kebanyakan anak muda di Kampung ini, baik yang lelaki mahu pun perempuan
semuanya sudah berhijrah ke KL untuk meneruskan hidup. Tidak ramai lagi yang
mahu menjadi pekebun seperti dirinya. Kebun-kebun penduduk kampung ini
kebanyakan dikerjakan sendiri oleh pemiliknya yang sudah berusia lanjut dengan
dibantu buruh dari Indonesia.
“Maya harap abang janganlah kecil hati dengan Maya..”
Kudin menoleh kepada Maya. “Abang tak ambil hati. Terima kasihlah
sebab Maya sedarkan abang tentang ini semua. Tapi Maya janganlah terasa macam
abang ni dah nak ajak Maya kahwin sangat. Abang datang sini bukannya nak bercakap pasal tu. Takde kena mengena langsung,” jawab Kudin biasa sekadar mahu
menutupi maruahya sendiri.
Berubah wajah Maya mendengar kata-kata Kudin itu. “Habis
tu buat apa abang datang sini jumpa Maya?” soal Maya keliru.
Kudin tersenyum sinis sendiri. kau fikir aku hairan
dengan gelaran gadis bandar yang kau galas ni? Memang taklah! “Abang datang
sini sebab nak jumpa ayah Maya. Bukannya nak jumpa Maya. Abang pun dah takde
perasaan lagi pada Maya.” Kudin berkata selamba sambil mengerling tampang Maya
sekilas. Biarlah dia hipokrit kepada dirinya sendiri saat ini asalkan maruahnya
tidak jatuh menyembah bumi. Hakikatnya kasihnya kepada gadis ini masih terpasak
kukuh di tempatnya.
Memang pada mulanya tadi dia berhasrat nak berjumpa Maya,
gadis pujaannya ini. Namun sekarang entah kenapa dia hilang selera pula. Maya
sudah tidak seperti dulu. Maya sudah pandai bermake-up. Maya berlagak. Maya sudah lupa
dialah yang paling banyak bersusah payah untuk gadis itu selama ini. Belum pun
sempat Kudin membuka mulut bercakap apa-apa, Maya sudah menunjukkan kejelikkan
diri sendiri seolah-olah dia gadis paling rupawan sehingga jejaka-jejaka lain
semuanya meleleh air liur melihatnya. Maya sudah memandang rendah kepadanya.
Sekali lagi kata-kata Kudin membuatkan wajah Maya
berubah. Kali ini warna wajahnya juga ikut berubah. Malunya! Sangkanya Kudin ke
sini untuk menagih cintanya. Maya tahu selama ini Kudin ada hati kepadanya.
Kudin selalu memberi perhatian kepadanya kerana dia istimewa kepada Kudin. Dia sengaja
bercakap begitu dengan Kudin supaya Kudin faham-faham sendiri penolakannya. Tetapi
sekarang? Dia yang malu balik!
“Ayah Maya ke pekan..” ucap Maya dengan rasa malu yang
sudah tidak tertahan. “Baguslah kalau abang dah takde perasaan pada Maya lagi
sebab Maya pun takkan terima abang. Maya tak pernah cintakan abang selama ini.
Maya just bagitahu je sebab Maya tak
suka abang datang-datang sini cari Maya lagi.” Maya menambah lagi kata-katanya.
Sama seperti Kudin, dia juga tidak ingin kalah dalam menegakkan air mukanya.
“Okaylah.. abang balik dulu.” Kudin terus bangun. Tanpa memandang
atau menanti jawapan Maya, Kudin terus berlalu daripada halaman rumah gadis
itu. Dia ingin segera membawa pergi hatinya yang sudah tidak seceria semenjak
dia berhasrat untuk menjejakkan kaki ke rumah itu tadi. Tidak sangka telinganya
ini akan diperdengarkan kebongkakkan gadis kebanyakkan seperti Maya. Tidak sangka
Kuala Lumpur akhirnya mengubah Maya yang tidak ada apa-apa selama ini kepada
gadis yang cukup angkuh di matanya.
Kahwin..
Soal itu yang diperdengarkan oleh emaknya tadi membuatkan
Kudin mula membawa diri ke kolam ikannya itu. Dia berdiri memandang kolam
ternakan ikan keli miliknya itu. Dalam pada itu kenangan hampir 3 tahun itu
terus mengasak hebat benaknya. Dia terus berfikir tentang hasrat emaknya itu. Fobiakah
dia dengan perkataan itu? Kerana apa dia jadi begini sebenarnya? Atau apakah
kerana kesibukan menguruskan ladang dan kolam ikannya menyebabkan dia
menyendiri begini?
Entahlah.. Kudin tidak tahu apa puncanya. Cuma yang dia
tahu, sudah tidak banyak anak-anak dara yang boleh dingoratnya di kampung ini.
Kalau ada pun yang masih sekolah.. ish! Takkanlah aku nak ambil budak bawah
umur buat bini. Silap-silap bertambah lagi satu tanggungjawab aku sebagai
suami. Tak cukup kena sediakan nafkah zahir dengan batin, aku kena tolong
siapkan kerja sekolah bini. Memang taklah! Getus hati Kudin sendiri. Dahlah nak
kahwin pun susah. Kena mintak kebenaran mahkamah semua. Ish! Mengarut betul idea ni..
Akhirnya Kudin meluahkan keluhan sendiri. Dia tahu
emaknya mahu sangat dia berkahwin segera. Dia pun bukannya tidak mahu berkahwin. Tetapi calon
belum ada. Calon macam si Maya tu berlambaklah. Masalahnya yang spesis si Maya
tu bukannya nak pandang sangat dia dengan baju comotnya ini. Bukannya rela nak
menunggang lori buruknya itu. Malu nak menjejakkan punggung di atas kusyen motor
cabuknya itu. Apalah sangat lelaki seperti dia yang membanting tulang di tanah
berbanding lelaki-lelaki yang segak bertali leher di KL sana?
Kudin terus memikir sendiri sambil memandang di hujung
sana pekerja-pekerjanya yang sedang
sibuk membersihkan persekitaran kolam sebelum habis waktu berkerja. Memandang kolam
ternakan ikan kelinya ini, terdetik rasa bangga dalam diri Kudin. Ini adalah
hasil titik peluhnya sendiri. Siapa kata anak kampung macam dia, miskin duit? Siapa
kata orang KL sana lebih berfikiran terbuka? Bukan semua lelaki di KL sana tu
berkelulusan tinggi seperti dia? Kudin memang tidak hebat zahirnya. Tetapi anak
muda itu lulusan sarjana daripada luar negara dalam bidang perniagaan. Cuma dia
tidak pernah berhasrat untuk mencari kerja di KL semenjak dia mula pulang dari
US dulu. Pendiriannya lain. Kampung ini.. ruang untuk dia mencari rezeki sangat
besar. Tanah-tanah peninggalan arwah neneknya yang sudah lama terbiar mula diusahakan
dengan tanaman longan Brazil dan longan tempatan semenjak 4 tahun lalu. Kolam
ikan kelinya juga sudah mula mendapat perhatian. Ramai pemborong asyik berulang
alik ke situ untuk mendapatkan bekalan. Semua usaha Kudin sudah memberi pulangannya
sangat-sangat memberansangkan, walaupun agak payah untuk dia mahu memulakan
semua itu dahulu. Emaknya pernah menggadai gelang dan barang kemas untuk
menjayakan impiannya.
Alhamdulillah.. dia tidaklah miskin sebenarnya. Dia cuma hidup
seadanya. Dia hanya berdua dengan emaknya. Dia tidak perlukan kereta berjenama
mahal dan rumah banglo untuk terus hidup. Apa yang dia ada sudah memadai. Tidak
adakah wanita yang sudi menerima dirinya seperti ini? Kalau ada.. siapakah
wanita itu. hati Kudin terus merusuh sendiri.
darling.... bila nak sambung citer nih?
BalasPadamkisah yang ni sy akan sambung di group Jom Heboh beramai-ramai. klu belum join. meh join sekali..
BalasPadam