Sabtu, 24 Ogos 2013

Bab 3-4 Janji Pada-Nya

3
Jika padi katalah padi,
Tidaklah orang tertampi tampi,
Sekalipun benci janganlah dikeji
Takut nanti memakan diri.

Hari ini suasana kampus memang agak lengang. Aku mula merasa sedikit bebas untuk bergerak di dalam kawasan bangunan kolej ini tanpa kesesakan pelajar-pelajar. Kini yang masih tinggal di dalam kawasan kolej ini hanya mereka yang tidak beragama kristian. Hari ini aku bersendirian sahaja. Ameena ada di fakultinya. Namun kami sudah berjanji akan pulang bersama. Sebelum ke perpustakaan aku memilih untuk mengisi perut seketika di kawasan riadah pelajar-pelajar. Di sana ada kemudahan meja dan kerusi untuk pelajar-pelajar duduk melepak atau belajar secara berkumpulan. Sambil makan boleh juga menikmati permandangan sekeliling.
Setelah memilih satu meja kosong, aku terus membuka bekal makanan yang ku bawa dari rumah. Kawasan yang selalunya dipenuhi pelajar-pelajar kini sedikit lengang. Namun baru masuk suapan pertama ke mulut aku dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang tiba-tiba duduk di hadapan ku. Aku tersentak, hampir sahaja makanan yang ku kunyah tersembur keluar melihat manusia yang muncul tiba-tiba tanpa salam di hadapan ku ini.
“Hai..” sapa Estaban dengan sengihannya.
“Awak lagi! Hi! Kacau ajalah!” getus ku tidak senang dengan kehadirannya.
“Awak baru nak makan tengahari?” soal Estaban sambil memandang bekalan makanan ku.
Aku tidak menjawab soalannya. Tanpa mengajaknya aku terus makan seolah-olah dia tidak wujud di hadapan ku. Tapi melihat matanya memandang ku tanpa henti aku jadi segan pula.
“Kenapa benda tu warna merah macam tu?” Estaban memuncungkan mulutnya kepada lauk di dalam bekas tupperware ku itu.
Benda? Menyirap darah ku mendengar dia membahasakan lauk ku sebagai ‘benda’ seolah-olah jijik benar dia dengan lauk murah ku ini. Iyalah.. aku mana mampu nak makan luar selalu. Lagipun makanan halal bukannya ada merata-rata tempat walaupun tidak ku nafikan restoran halal sudah semakin banyak di sini. Nak senang, kami bawa bekal sendiri atau makan roti sahaja untuk mengalas perut.
“Ini ayamlah. Saya masak dengan cili sebab tu dia warna merah,” jawab ku biasa.
“Ooo..” Estaban meneguk liur pula melihat aku makan dengan selambanya. Aku pula yang merasa serba salah. Nak ajak ke? Alahai.. dahlah bekal ni memang cukup-cukup untuk aku seorang. Dia pulak menyemak kat sini.
“Awak nak ke? Ayam ni pedas tau!” ucap ku sekadar ajak-ajak ayam. Aku yakin dia takkan nak punya.
“Boleh jugak. Saya pun tengah lapar ni.” Dan dengan selambanya dia menarik bekas lauk ku dekat kepadanya. Terbeliak mata ku memandang dia mengambil seketul ayam masak sambal itu lalu disuakan ke mulutnya begitu sahaja. Bukannya aku nak kedekut tapi..
Estaban memejamkan matanya seketika. “Sedaplah. Awak masak ke?”
“Ya.” Aku menjawab tanpa dapat mengalihkan pandangan darinya. Kening ku mula berkerut kerisauan. Seperti yang ku jangka seketika kemudian wajah lelaki itu mula berubah sedikit kemerahan.
“Kenapa rasa macam ni? Mulut saya panas!” tegurnya sudah tidak tentu arah. Mata Estaban mula meliar mencari sesuatu. Sebaik sahaja nampak apa yang dicari, terus dicapainya lalu disumbat masuk ke mulutnya. Aku sekali lagi tergamam melihat air ku digogoknya dengan gelojoh. Pedas sangatlah tu..
 Alamak! Dia dah minum air aku, aku nak minum air apa? Takkan nak minum bekas dia pulak! Hilang terus selera aku nak makan dengan gelagat mangkuk ayun seorang ini.
“Pedaslah!” ucap Estaban setelah air dari botol itu sudah tiga suku disumbat masuk ke perutnya.
Aku sekadar diam sambil menutup bekas makanan ku. Siapa suruh makan macam tu aja? Itulah.. gelojoh sangat! Padan muka! Ejek ku dalam hati.
“Kenapa awak tak makan? Awak pun tak tahan pedas?” soal Estaban agak polos memandang ku.
“Saya dah hilang selera!” jawab ku hambar. Kau tak tahu ke yang aku tak suka kau ada kat sini? getus hati ku sendiri. “Awak kenapa ada kat sini? Bukan semua pelajar kristian kena ke gereja ke?” soal ku tidak senang. Setahu ku semua pelajar beragama kristian hadir ke gereja Great St Marry kerana ada khutbah di sana. Setahu ku acara itu wajib! Apasal dia ni memonteng pulak? Kemudian menyemak kat tempat aku nak bersantai ni..
“Saya malas nak pergi..” jawab Estaban selamba sambil terus meneguk air mineral milik ku itu. Dah macam dia punya pulak dibuatnya.
Aku menggeleng perlahan. “Sedap aja awak ni bercakap. Kalau kena tindakan disiplin nantikan susah?” ucap ku selamba. Semua pelajar di sini terikat dengan peraturan universiti yang digubal sepenuhnya oleh pihak gereja. Aku sendiri tidak ketinggalan. Setakat ini kami tidak bermasalah untuk patuh kepada semua undang-undang universiti kerana belum ada peraturan yang memaksa kami melakukan sesuatu yang di luar lunas agama islam. Adat berada di tempat orang, kenalah hormat dengan peraturan orang. Takkan nak ikut kepala sendiri aja!
“Saya tak suka masuk ke sana. Buang masa!” ucap Estaban sambil memandang ke arah lain. Matanya meliar memandang gadis-gadis berbangsa Cina yang melepak sesama mereka sambil belajar.
Aku memandang seketika wajah lelaki itu. Lain macam bunyi bicara Estaban. Mahu bertanya lebih-lebih, nanti dia ingat aku nak berkawan dengan dia pulak. “Habis tu yang awak mengacau orang sana sini, tu tak buang masa pulak?” sindir ku geram melihat lelaki ini.
Estaban kembali memandang ku dengan sengihannya. “Saya memang suka kacau awak. sebab awak cantik,” ucapnya kemiangan.
Aku sekadar tersenyum kelat memandang lelaki itu. Malas mahu melayannya, aku segera mengemaskan barangan ku. Aku mahu ke perpustakaan segera. Buang masa aja menghadap mula lelaki ini.
“Awak nak ke mana lepas ni?” soalnya pantas.
“Saya nak perpustakaan,” jawab ku tanpa memandang Estaban yang memandang segala perbuatan ku.
“Saya hantar awak balik hari ni boleh?”
“Tak payahlah. Saya dah janji nak balik dengan kawan-kawan saya.” Selesai mengemas, aku terus bangun untuk berlalu dari situ.
“Saya temankan awak ke perpustakaan?” pelawanya lagi.
“Estaban, baik awak ke gereja sekarang. Kalau tak awak jugak yang kena menghadap ketua gereja nanti. Tak payah sibuk nak temankan saya. Saya selamat kat sini!” getus ku tidak senang dia mahu mengekori ku. Aku tahu.. kalau dia ada dengan aku, aku memang tak boleh nak belajar.
“Saya tak suka masuk ke sana!”
“Suka hati awaklah. Yang kena nanti pun awak, bukannya saya!” getus ku malas mahu melayannya lagi. Tanpa kata aku terus berlalu tanpa sebarang kata-kata pamitan kepada lelaki itu.

Hari ini sekali lagi aku dihimpit oleh lelaki bernama Estaban Jospeh Buhler itu. Sebaik sahaja aku keluar dari dewan kuliah aku sama sekali tidak menduga wajah Estaban tertonggok menanti aku di situ. Gagal mengelakkan diri, terpaksalah aku mendepani juga lelaki itu lagi.
“Awak ni takde kerja lain ke asyik cari saya? Awak takde kelas?” desis ku geram.
“Kelas saya dibatalkan. Jadi saya carilah awak untuk isi masa terluang saya..” dia menjawab selamba sambil menyeringai kepada ku.
“Ada apa awak datang sini?” soal ku agak hambar sambil fail yang ku bawa ku peluk erat bagaikan sedang melindungi diri ku daripada mata lelaki yang miang itu. Geram melihat aksi Estaban merenung ku dari atas ke bawah.
“Awak dah makan ke?” soal Estaban cuba berlagak mesra dengan ku.
“Saya tak lapar.” Aku tetap menjawab hambar sambil melarikan pandangan ke arah lain.
Lelaki itu cuba mencari kata-kata lain pula cuba untuk memancing minat ku untuk berbual dengannya. Nampaknya dia memang tidak mahu berputus asa. “Kita pergi perpustakaan nak?” Estaban cuba membuat pelawaan yang mungkin sesuai dengan minat ku pula. Yalah.. kalau dia ajak aku pergi bercumbu kat tepi Padang Ragbi.. memang makan pelempang dia kat sini!
“Saya nak berjumpa dengan Puan Marry di pejabat dekan. Lain kali aja ya?” aku lantas mencipta alasan untuk mengelak lagi darinya. Padahal entah apa pula urusannya Puan Marry itu untuk bertemu dengan aku. Kenal aku pun tidak!
“Saya boleh tunggu hingga awak selesaikan urusan awak dengan Puan Marry. Tak jadi masalah bagi saya.” Estaban menjawab begitu pula. Dia nampaknya sudah terbiasa dengan alasan-alasan yang aku berikan. Dia sama sekali tetap tidak mahu mengalah.
Aku mula mengeluh letih dengan kerenahnya. “Tolonglah! Saya nak pergi sembahyang sekarang. Awak janganlah ganggu saya. Saya dah lambatlah! Saya tak suka awak tunggu saya,” ucap ku separuh tertekan dan merayu. Pening kepala aku dengan mangkuk ayun seorang ni. Tak faham bahasa ke?
“Takpe. Saya akan tunggu sampai awak selesai sembahyang. Takde masalah, sayang!”
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Saya tak mahu awak tunggu saya. Maaf ya.. saya kena pergi sekarang,” balas ku tanpa kompromi lagi. Harap-harap kali ini Estaban mengerti yang aku memang tidak ingin berada dekat dengan dia.
Wajah Estaban mula berubah. Sewaktu aku mahu meninggalkan dia di situ dia sempat mencapai lengan ku untuk menghalang. Aku terkejut dengan kelakuannya. “Jangan sentuh saya!” spontan itu aku terus merentap semula tangan ku darinya. “Siapa benarkan awak sentuh saya?” marah ku geram dengan gelagat lepas lakunya itu.
“Maaf! Saya lupa awak seorang yang taat pada agama. Orang alim macam awak tak bersentuhan dengan lelaki.” Estaban ketawa menyindir sambil meletakkan tangannya ke dinding untuk menyokong dirinya. Matanya terus meratah wajah ku yang sudah ketat seketat-ketatnya.
“Memang saya taat pada agama. Jadi apa masalahnya dengan awak? Saya tak ganggu orang lain, jadi saya tak suka awak ganggu saya!” bentak ku lantaran hati yang mulai panas dengan gelagat lelaki miang itu. Ikutkan hati nak aja aku sepak ehem-ehem dia. Baru dia rasa!
“Janganlah marah. Saya bergurau aja. Awak ni cepat terasa hatilah..”
“Saya tak suka awak mempersendakan agama saya. Saya sendiri tak pernah mempersendakan agama awak, jadi saya tak suka awak bercakap tentang agama saya. Belajarlah hormatkan orang lain,” balas ku sengit.
“Huh! Saya tak percaya pada agama. Saya tak perlukan agama dan Tuhan. Apa ada dengan semua itu?” sambut Estaban tanpa sedikit pun rasa berdosa berkata begitu. Aku segera beristighfar dalam hati mendengar kata-kata itu. Lelaki ini sudah jauh tersesat. Patutlah hidup lintang pukang begini.
“Jangan terlalu takbur, Estaban. Nanti apa yang awak katakan tu akan makan diri awak balik. Tuhan sentiasa melihat dan mendengar apa yang kita katakan setiap hari,” ucap ku dengan pandangan tajam kepada lelaki yang berdiri berhampiran dengan ku itu.
Estaban sekadar tersenyum meleret tanpa terkutik sedikit pun dengan apa yang diucapkan oleh ku. Malahan cara dia tersenyum bagaikan mempersendakan peringatan ku tadi. Aku menggeleng sedikit melihat sikap Estaban. Aku benar-benar sebal dengan pendirian lelaki ini yang ternyata salah. Tetapi apa hak ku untuk menegah dia? Kami bukannya pasangan kekasih. Kawan? Entahlah.. tetapi apa yang diucapkannya oleh Estaban tadi amat mengerikan telinga ku yang mendengar. Berani sungguh dia berkata begitu tanpa merasa bersalah!
“Setiap orang kena ada kepercayaan, Estaban. Kalau tiada kepercayaan hidup akan berjalan tanpa arah,” kata ku cuba juga untuk menyedarkannya.
“Saya tak perlukan pedoman atau Tuhan. Selama ini Tuhan sedikit pun tidak membuatkan saya hidup senang. Selama ini kehidupan saya baik sahaja tanpa Dia. Semua yang saya mahukan saya akan dapatkan termasuk juga awak!” balas Estaban dengan angkuhnya dia menundingkan jarinya kepada ku.
“Saya?” dengan kerutan di kening aku menyoal kembali sambil menunding diri ku sendiri. Betapa gelinya lubang telinga ku sehingga ke segala saraf yang ada, mendengar kata-kata itu. Spontan aku terus tergelak menyindir Estaban. Terlalu mudah bunyi bicara lelaki itu sehingga aku rasa nak termuntah hitam terus! Apakah dia rasa segala kuasa di hujung jarinya sudah cukup hebat sehingga boleh merubah pendirian orang lain kepadanya?
“Sila sebutkan masa dan ketikanya awak berjaya dapat saya? Saya tak ingat apa-apa pun? Awak ni mungkin perlukan pakar otak!” ucap ku dalam nada mengejek.
Dari ekor mata aku lihat Estaban memandang sahaja segala reaksi diri ku. Namun sekilas pandangan aku tahu aku sudah mencabar lelaki itu. Apa aku peduli? Apa perlunya aku menjaga hati lelaki seperti ini? “Minta maaflah.. saya bukan Jessica bukan Dorothie bukan perempuan yang boleh dicumbui di tepi padang dan bukan perempuan-perempuan yang boleh awak bawa keluar dan masuk ke bilik tidur awak sesuka hati, Estaban. Saya belum segila itu untuk menyerahkan diri saya pada lelaki kaki perempuan macam awak. Lebih baik saya terjun ke dalam laut daripada terjun ke dalam perangkap awak!” Sebelum sempat Estaban menambah kata aku melengkapkan lagi ejekan ku kepadanya. Pandangan menyirap Estaban kepada ku tidak ku pedulikan. Lantaklah! Ada aku kisah? Gerutu hati ku sendiri.
“Wah! Hebatnya awak? Mungkin bukan hari ini tapi saya tetap akan dapatkan awak. Saya tak pernah merasai tubuh badan perempuan Melayu. Kali ini saya akan dapatkannya dan saya memilih awak. Sebab awak memang cantik. Terlalu cantik, Insyirah. Awak buat saya terkejar-kejar.” Estaban membalas cabaran ku sambil menunding lagi jari telunjuknya ke dada ku.
“Kalau saya perlukan seorang lelaki, saya akan mencari seorang lelaki yang ada nilai sebagai seorang lelaki sejati pada mata saya. Saya tak perlukan seorang lelaki yang menganggap nilai wanita yang begitu rendah sehingga boleh dipakai dan dibuang bila-bila masa. Saya juga bukan objek pemuas nafsu lelaki macam awak. Secara terus-terangnya saya memang tak suka dengan awak dan tak pernah termimpi nak menjadi kawan awak biar pun untuk seminit. Naluri saya tidak pernah terdesak untuk ditiduri lelaki macam awak!” jelas ku tegas. Panas yang kami rasakan membuatkan kami saling ejek mengejek.
“Oh, ya? Awak tak ubah seperti seorang biarawati yang membuat perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Biarawati memang tidak bernafsu kepada lelaki dan tak mahu berkahwin kerana terlalu taksub kepada agama. Tetapi di sebalik itu mereka membuat hubungan sulit dengan paderi di dalam gereja untuk kepuasan batin mereka. Awak tak rasa itu satu perlakuan yang hipokrit dan paling menjijikkan?” tukas Estaban kembali menyakitkan hati ku.
Aku tersentak mendengar bicara yang cukup lancang menghina ku. Kata-kata itu ku rasakan cukup tajam bak belati yang sedang menyiat-nyiat hati ku. Mengucap panjang aku dibuatnya. Kalau aku ikutkan hati yang panas mulut lelaki ini sudah ku tampar.
“Rasanya biarlah saya perbetulkan sedikit pendirian sesat yang ada di otak awak tu. Janganlah disebabkan awak malas nak beragama, semua orang yang sukakan agama awak hina sesedap mulut awak, Estaban. Saya bukan biarawati yang tak mahu berkahwin kerana taksub pada agama, kerana saya ni orang islam. Semua orang ada cara mereka sendiri untuk taat pada perintah Tuhan dalam agama masing-masing. Tapi orang islam baik yang lelaki mahu pun perempuan digalakkan berkahwin kerana berkahwin itu adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Tetapi berzina adalah salah satu perkara yang amat dilarang dalam islam. Besar bezanya antara berkahwin dan berzina walaupun perlakuannya sama. Saya tetap berpegang kepada ajaran agama islam dan lelaki seperti awak yang tak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan dan mana-mana agama, sama sekali tidak memiliki tempat dalam hidup saya walaupun hanya untuk beberapa minit. Jadi jari yang awak tundingkan kepada saya tu tolong bersihkannya dari segala kekotoran noda dan dosa, sebelum awak biarkan jari tu menunding kepada saya. Buat masa ni apa yang paling menjijikkan lagi tidak berguna bagi saya adalah awak! Bukannya biarawati itu atau mana-mana orang lain! Orang yang saya harus jauhi adalah awak! Dapat itu?” ucap ku tajam.
“Awak berlagak dengan saya?” Estaban menyambut dengan marah yang tertahan. Dia semakin mendekati ku dengan pandangan mata yang tajam. Rahangnya dikertap keras.
“Saya tak peduli apa yang awak nak katakan. Suka hati awaklah nak anggap apa pun pada saya. Saya tak jatuh cinta sikit pun dengan muka awak yang konon-konon idaman ramai tu. Saya tak laparkan lelaki kaya lebih-lebih lagi awak, Estaban Buhler! Sesiapa yang bernama Estaban Joseph Buhler, saya memang tak suka!” Aku nekad membalas bicara Estaban dengan penghinaan itu. Namun mata ku sentiasa mengawasi rentak sang lelaki yang berdiri dekat dengan ku itu. Bimbang dia melampaui batasnya.
Estaban terdiam sambil merenung ku tajam. Dadanya turun naik menahan rasa. Aku tahu Estaban sudah naik hantu dengan kata-kata ku sebentar tadi. “Kenapa? Awak nak marah saya? Marahlah! Tapi kalau awak fikir dengan menyamakan saya dengan biarawati yang suka membuat hubungan sulit itu awak boleh mengubah pendirian saya.. awak memang silap besar. Saya tak hairan sebab saya bukan biarawati! Gunakan otak awak sebelum awak mengeluarkan kata-kata macam tu.” Aku nekad mencabar lagi.
“Baiklah! Ingat kata-kata saya ni dengan jelas.. saya tetap akan dapatkan awak dengan cara apa sekali pun. Walaupun hanya untuk beberapa minit! Sebelum sampai ke waktu itu awak boleh memilih untuk melarikan diri dari saya. Tapi saya tetap akan mendapatkan awak walaupun saya terpaksa melakukan dengan cara yang paling keji. Itu janji saya. Simpan itu dalam fikiran awak! Saya tidak boleh selamanya menerima penolakan awak. Ingat tu?” lelaki itu berkata dengan tekad dan dendam yang bersatu. Matanya yang kemerahan cukup mengatakan yang dia tidak berjenaka dengan ucapannya itu.
Kali ini aku pula yang terdiam. Kata-kata itu bagaikan sebuah ugutan bergaung kuat di telinga ku. Serta merta aku jadi seram pula apabila mengenangnya. Apa yang dimaksudkan oleh Estaban sebenarnya? Aku tidak tahu! Itulah.. tadi berani sangat.
“Apa maksud awak ni?” soal ku mula bimbang.
“Awak akan tetap menjadi milik saya nanti walaupun hanya untuk sekejap. Saya akan lakukan apa sahaja untuk dapatkan awak. Insyirah. Ini janji saya. Jangan nanti apabila awak bangun dari tidur awak merayu-rayu kepada saya semula,” ucap Estaban dengan pandangan yang amat tajam.
“Janjilah apa-apa yang awak mahu. Bersumpahlah apa yang awak suka. Saya tetap takkan berganjak dari pendirian saya. Walaupun saya terpaksa menghabiskan seumur hidup saya dengan memandang muka awak, saya tetap tidak akan meletakkan awak di tempat yang istimewa. Tempat itu takkan menjadi milik awak. Dan saya takkan merayu seorang lelaki yang tiada pedoman. Janganlah awak nak perasan. Lelaki macam awak hanya wujud untuk memusnahkan hidup orang perempuan! Pengecut!” Walaupun agak gentar aku tetap tidak mahu memperlihatkan ketakutan ku. Apa yang aku tahu aku tidak mahu kalah kepadanya.
Hilang sabar Estaban akhirnya menumbuk dinding di belakang ku untuk meluahkan rasa marah yang sudah tidak tertahan. Aku sempat terkejut mendengar dentuman di belakang ku itu. Menggigil juga kaki ku ini. Namun aku sedaya upaya berlagak tenang. Mungkin tidak kuasa berlawan cakap lagi Estaban akhirnya berlalu pergi begitu sahaja.
Aku sempat termenung mengenang semula apa yang diucapkan Estaban. Harap-harap esok dia terlupa apa yang dia ucapkan sebentar tadi.

Semenjak pertengkaran itu aku terpaksa menjadi pelarian pula. Apabila ternampak kelibat Estaban atau mana-mana teman baiknya, aku segera melencong ke arah lain ataupun menyorok darinya. Aku benar-benar tidak mahu kelihatan di hadapan matanya. Tetapi sebenarnya jauh di sudut hati ku ini, aku merasa bersalah pula kepadanya. Aku tahu aku sudah terlepas kata kepadanya. Aku tahu aku tidak seharusnya sesenang itu merendah-rendahkannya.
“Kau gaduh dengan Estaban ke, Syira?” Hamizah mula bertanya ketika kami sedang makan malam berdua. Ameena semenjak tadi tertidur langsung tidak terjaga walaupun sudah berkali dikejutkan untuk makan.
Aku mula mengangkat pandangan kepada teman serumahnya itu. Aku akhirnya mengangguk perlahan mengakui tentang itu.
“Pasal apa?” soal Hamizah ingin tahu.
“Pasal apa lagi? Pasal perangai kaki perempuan dia tulah. Taak habis-habis nak ajak orang keluar dengan dia. Boring tengok perangai dia tu!” ucap ku bagaikan tiada mood untuk berbicara mengenai lelaki itu.
Hamizah diam seketika sambil menyuap nasinya. Seketika kemudian wajah aku dipandang lagi. “Aku ada dengar cerita ni..” luahnya sebagai permulaan.
“Cerita apa?” tanya ku pantas.
“Kau tahu siapa budak dalam rumah ni yang dah jadi barua si Estaban tu?”
Aku terdiam seketika sambil merenung wajah Hamizah. Aku tidak faham apa yang dimaksudkan oleh teman serumah ku itu. “Barua apanya?” soal ku perlahan.
“Nenny.. dia bagitahu banyak pasal kau pada Estaban. Sebab tu mangkuk tu tahu ke mana kau pergi dan mana kau tinggal. Nenny jadi infomer dia.” Hamizah terus menjelaskan keadaan sebenarnya.
Terbeliak mata ku mendengar kata-kata Hamizah itu. Itu sesuatu yang tidak mampu aku bayangkan, malah sukar untuk aku percaya. “Mana kau tahu semua ni, Izah? Siapa bagitahu kau?” soalan itu menerpa pantas dari ulas bibir ku.
“Siapa yang bagitahu tu aku tak boleh nak bagitahu sebab dia minta aku rahsiakan nama dia. Tapi dia dapat tahu dari kawan baik Estaban tu sendiri. Dia kata selama ini Nenny jadi barua Estaban sebab mamat tu sanggup belikan apa aja yang dia mintak. Sebab tu dia nampak loaded selama ni.” Hamizah terus bercerita lagi tentang apa yang diketahuinya.
“Kurang ajarnya?” getus ku dengan mata membulat kepada Hamizah. Sesak dada ku mendengar itu. Tidak sangka rupanya teman serumah kami yang selama ini amat jarang menegur ku sanggup menikam ku dari belakang. Memang selama ini hubungan kami dengan Nenny Akmar tidak akrab. Sekadar menyapa satu sama lain apabila bertembung, itu sahaja. Sangka ku, Nenny orang yang baik. Tetapi rupanya tidak! Di belakang ku Nenny sanggup bersekongkol dengan Estaban hanya kerana mahukan sedikit ganjaran. Dia nak ganjaran itu dia punya hal. Tetapi apasal hal aku pulak yang dijajanya kepada Estaban? Ini melampau!
“Kau tak mahu tanya Nenny pasal ni?”
Aku mula menghela keluhan sendiri. Bertanya? Perlukah? Penghabisan nanti kami pasti akan bertengkar dan bermasam muka untuk entah berapa lama.
“Tanya untuk apa, Izah? Kalau aku marah dia sekalipun Estaban tetap datang cari aku. Aku bukannya bermasalah dengan Nenny tapi dengan si Estaban tu.” Aku menjawab perlahan. Aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apatah lagi Nenny teman senegara dengan kami.
“Aku rasa perbuatan dia tu kurang ajar..” komen Hamizah.
“Aku tahu. Tapi aku tak suka bergaduh dengan orang. Apatah lagi kita ni duduk satu rumah,” jawab ku rendah.
“Hmm.. dengan Estaban kau tak suka gaduh jugak? Patutlah semenjak kebelakangan ni kau asyik termenung aja. Susah hati bila dia marah dengan kau.. atau kau susah hati bila dia tak kacau kau lagi macam dulu?” Hamizah sempat melontarkan tekaan itu. Dia ketawa sedikit sebelum menyuap sisa nasi yang masih ada di dalam pinggannya.
“Kau jangan mengarut, boleh tak?” tukas ku geram.
Hamizah tersengih lagi. “Manalah tahu dalam diam kau dah jatuh hati dengan dia. Mamat tu biar kaki perempuan pun dia memang pandai mengayat. Takut kau aja yang tak tertahan diayat akhirnya jatuh cinta kat dia. Dia tu memang nakal tapi taklah jahat sangat. Dengan aku dia okay je. Kita ni kadang-kadang, lidah boleh berbohong. Tapi reaksi kita tak macam tu..” ucap Hamizah entah kenapa.
“Apa maksud kau ni?” soal ku semakin tidak keruan dengan telahannya itu.
“Kau tu lah.. jangan sampai benci tapi rindu dahlah! Depan kau benci dia berapi-api. Belakang kau asyik ingatkan dia.”
“Izah, kalau kau ni dah sewel aku bawak kau pergi hospital gila sekarang, nak? Aku bawak kau jumpa pakar terus biar kepala kau tu kena karan. Lepas kena karan nanti baru waras balik kot?” tukas ku semakin tidak senang dengan gelagat teman serumah ku itu. Wajah Hamizah ku pandang geram. Lawak itu ku rasakan amat tidak kena pada masanya.
Hamizah semakin galak ketawa melihat riak-riak kemarahan di wajah ku. “Janganlah marah. Aku gurau aja. Tahulah aku kau tu memang bencikan dia,” ucap Hamizah akur akhirnya.
“Baguslah kalau kau tahu. Jangan doakan yang tidak-tidak, Izah. Kau suka kalau aku tersiksa kerana lelaki macam tu? Aku selalu doakan kau bertemu dengan lelaki yang ikhlas dan sayangkan kau. Kau pulak nak doakan aku dengan lelaki macam tu?” balas ku masih dibaluti rasa tidak senang. Ku ya pun nak padan-padankan aku, jangalah dengan si Estaban tu. Macamlah takde calon yang lebih baik daripada itu.
Sorry, Syira. Aku main-main je. Janganlah ambil hati..” ucap Hamizah lembut.
“Dahlah! Jangan cakap pasal dia lagi. Aku kalau dengar aja nama dia mulalah angin aku naik sampai ke ubun. Karang tak pasal-pasal kau pulak yang kena sembur dengan aku. Dengan Si Nenny tu aku okay. Kau pulak yang jadi tempat aku lepaskan geram!” balas ku sebal.
Hamizah terus diam sambil meneruskan makan. Suasana meja kecil itu hening seketika.
“Tapi macamana kau tahu aku dengan Estaban tu bergaduh?” soal ku tiba-tiba. Hairan juga kerana rasanya aku tidak ada memberitahu sesiapa tentang itu. Ameena sendiri pun tak pernah tahu tentang pergaduhan aku dan Estaban tempoh hari. Aku tak pernah membuka cerita itu kepada Ameena.
“Aku dengar orang cerita kat kampus. Sebab tu aku tanya kau. Ada orang nampak agaknya. Sebab tu orang bercerita,” jawab Hamizah sambil memandang ku semula.
Aku kembali terdiam. Namun jawapan Hamizah itu berlegar di fikirkan ku berkali-kali. Siapa pulak yang heboh bercerita tentang itu? Memang benar ketika kami bergaduh, ramai yang lalu lalang di situ kerana kami bertengkar di hadapan bilik kuliah. Tetapi rasanya semua orang ketika itu tidak begitu mengambil tahu hal kami. Masing-masing hanya lalu lalang tanpa meleraikan pergaduhan itu. Itu seingat akulah. Tetapi tidak tahu pula aku yang hal sekecil itu pun mahu dijadikan topik bercerita di kampus.
“Kau tak rasa ke yang Estaban tu memang betul-betul suka kat kau?” soal Hamizah agak berhati-hati. Wajah ku dipandang lama oleh Hamizah.
Aku menghela nafas perlahan mendengar kata-kata Hamizah itu. buat seketika aku menyuap baki nasi tanpa memberikan apa-apa jawapan kepada teman ku itu. Seketika kemudian aku termenung pula mengenangkan apa yang masih utuh berada dipemikiran ku semenjak kebelakangan ini. Setiap kata-kata Estaban dahulu kerap ku imbas semula entah kenapa. Mungkin kerana hal itulah perasaan ku jadi tidak aman semenjak kebelakangan ini.
“Kau nampak macam susah hati, Syira. Kau fikir pasal dia ke?” ucap Hamizah lagi sambil terus merenung wajah ku.
“Entahlah..” keluh ku perlahan.
“Jangan cakap dengan aku yang kau ni dah jatuh hati pada dia,” tekan Hamizah dengan renungan ekor mata.
Aku pantas menggeleng. “Kalau aku selalu terfikirkan dia, tak semestinya aku dah jatuh hati pada diakan?” balas ku semula. “Tadi kau kata kau rasa dia betul-betul sukakan aku. Apa maksud kau? Kau nak aku bagi dia peluang?” ucap ku kepada teman ku itu.
Hamizah terdiam tidak mampu menjawab.  
“Kau nak tahu apa dia cakap pada aku masa kami bertengkar dulu?”
Hamizah pantas mengangguk. Wajah ku direnung bersungguh menanti inti pati kisah itu.
“Dia cakap dia tak perlukan agama. Dia tak perlukan Tuhan. Dia hina agama dia sendiri. Dia hina aku yang berpegangan macam ni. Pendek kata apa sahaja tentang agama baik agama apa pun, dia tak suka! Apa pendapat kau tentang itu? Ada makna ke kalau dia betul-betul sukakan aku pun?”
Wajah Hamizah jelas berubah mendengar apa yang aku bicarakan. “Dia hina agama?”
“Lillahita’ala.. aku tak bohong kau. Telinga aku ni sendiri yang dengar dia cakap yang bukan-bukan pasal agama. Dia rendah-rendahkan aku, hanya disebabkan aku tak suka bergaul dengan lelaki. Dia perli aku ni orang alim.”
“Astaghafirullah..” Hamizah beristighfar perlahan.
“Kau fikir aku ni takde perasaan kesian  pada dia ke? Aku fikir semua tu, Izah. Tapi dia.. dia lelaki yang takde pegangan langsung dalam hidup! Lelaki macam dia takkan kenal apa erti keikhlasan. Kalau aku beri dia peluang, serupa aku mempertaruhkan masa depan aku untuk dihancurkan oleh lelaki macam dia. aku bukannya anti dia sebab dia tak seagama dengan kita. Tapi aku tak mahu dekat dengan dia sebab dia takde agama. Besar bezanya tu, Izah. Kau tahu tak betapa bahayanya orang yang takde pegangan macam dia?”
Hamizah mula mengangguk perlahan. “Sorry, Syira. Aku sebenarnya tak tahu langsung pasal tu. kalau aku tahu Estaban tu macam tu, aku takkan cakap macam tu kat kau,” luah Hamizah mula kesal dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Lelaki macam tu, keikhlasan dia hanya wujud bila dia mahukan sesuatu. Sebaliknya bila apa yang dia nak dia dah dapat semua tu dah takde nilai lagi pada dia. Tak mustahil aku nanti akan jadi macam sampah terbuang. Itulah mungkin akan jadi pada aku kalau aku pertaruhkan kepercayaan aku ke atas lelaki macam dia. Untuk apa aku biarkan dia hancurkan hidup aku sedangkan aku boleh menghindar dari dia hari ni? Aku pun bukan orang yang hebat untuk membimbing dia ke jalan yang benar, Izah. Aku sendiri pun masih banyak kekurangan.” Aku menambah lagi luahan ku tentang itu. Bohonglah kalau aku tidak tertarik langsung saat memandang lelaki itu buat pertama kali dahulu. Tipulah jika aku tidak terpana saat menatap bening pandangan dan senyuman Estaban kepada ku. Lelaki itu memang ku akui terlalu tampan pada mata perempuan ku.
Tetapi hidup harus sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan berhadapan dengan hakikat. Bukan anganan kosong yang pastinya suatu hari nanti akan memusnahkan masa depan ku. Hari demi hari aku berhadapan dengan lelaki itu, hasilnya bukan perasaan asyik dilamun cinta yang lahir di dalam hati ku ini. Sebaliknya aku semakin jelak dan benci!
“Bunyi kau bercakap tadi tu, macam kau pernah sukakan dia aja. Betul ke sangkaan aku ni, Syira?” ucap Hamizah serius.
“Sukakan dia? Entahlah! Aku bercakap bukan kerana aku kecewa sebab tak dapat dekat dengan lelaki sekacak dan sekaya dia, Izah. Aku tak kecewa tentang itu. Sikit pun tidak! Tapi dia.. setiap kali dia datang dekat aku dia kata dia betul-betul sukakan aku, aku rasa terkilan sendiri. Kasih sayang dan cinta ni anugerah Allah untuk semua umat manusia, Izah. Tak ketinggalan juga dia. Tapi aku, tak mampu menggenggam kasih sayang daripada lelaki jenis itu. semuanya jadi sia-sia!” luah ku perlahan.
Hamizah mula mengangguk tanda mengerti pendirian ku saat ini. “Maksud kau kalau dia tak berpendirian macam tu kau akan mempertimbangkan perasaan dia tu ke?” teka Hamizah lembut.
Kali ini aku terdiam merenung pinggan yang sudah kosong di hadapan ku itu. Tidak tahu apa yang harus ku jawab kali ini. Aku sendiri pun keliru sebenarnya.
“Kau jugak pernah sukakan diakan? Hanya sebab dia macam tu kau jadi benci.” Hamizah meluahkan lagi telahannya itu untuk ku fikirkan.
“Entahlah.. aku tak tahu apa akan jadi kalau dia bukan seperti dia hari ni.”
“Mungkin dia boleh berubah nanti, Syira. Mungkin kalau betul caranya orang macam dia tu boleh diperbetulkan. Dia sebenarnya lemah. Lemah kepada perempuan. Kalau kau pandai menggunakan kelebihan yang kau ada, mungkin dia boleh berubah.” Hamizah berkata lembut kepada ku.
“Mungkin. Tapi itu kalau dia memang ikhlas dengan akulah. Kalau aku ni sekadar teman tidur dia aja macam yang lain tu, macamana? Lelaki macam dia tu bukannya boleh dipercayai. Risikonya masih teramat besar, Izah. Sedangkan apa yang kau katakan tadi tu masih samar-samar. Aku tak berani! Lagipun aku tak berada di sini kerana dia,” balas ku pula.
Hamizah akhirnya mengangguk. “Betul jugak apa kau cakap tu! Apa yang aku cakap tadi tu sebenarnya peratusannya masih teramat rendah. Sedangkan risiko yang jelas ada depan mata kita sekarang ni terlalu besar. Aku pun tak berani nak cakap banyak pasal ni. Takut nanti kalau tersalah percaturan, bukan sikit kehancuran yang kau akan dapat nanti. Takpelah, Syira.. apa nak jadi dengan dia, itu semua bukan urusan kita. Kita kat sini sebab nak belajar. Bukannya nak fikir pasal dia,” ujar Hamizah akur dengan kebenaran kata-kata ku tadi.
“Estaban tu sekadar salah satu dari cabaran selama aku berada di sini, Izah. Manusia datang dan pergi setiap hari. Macam tulah dia dalam hidup aku. Lepas aku habis belajar nanti nama dia takkan ada lagi dalam hidup aku dan aku percaya.. cinta lelaki macam dia umpama gula-gula getah. Bila manisnya hilang, dia akan mencari yang lain,” luah ku perlahan.

Hamizah terus diam tidak memberi apa-apa komen lagi. Bimbang tersalah cakap nanti aku yang menanggung akibatnya.  



4
Bunga seroja bunga cempaka
Elok dibuat si bunga rampai
Ada duka dan ada petaka
Tanda cubaan telah pun sampai

Ketukan pada pintu bilik membuatkan aku segera menoleh dari meja belajar ku. Hamizah terjengul di ambang pintu yang terbuka luas.
“Ada orang nak jumpa kau. Dia tunggu kau kat depan,” ucap Hamizah sambil memandang seketika ke arah pintu rumah kami.
Aku terus mengerut kening. “Siapa?” soal ku hairan.
“Pergilah tengok sendiri. Aku pun tak tahu kenapa dia sampai datang sini,” ucap Hamizah sambil menjungkit bahunya sedikit.
Kata-kata yang sebegitu membuatkan aku semakin kehairanan. Rasa tertanya-tanya membuatkan aku terus bangun lalu terus pergi melihat siapa yang datang. Namun sebaik sahaja terpandangkan orangnya mata ku terbuntang memandanya. Spontan aku terus berlari masuk semula ke bilik. Mangkuk ayun punya, Hamizah! Kenapa dia tak cakap yang datang tu lelaki? Getus hati ku sebal dalam pada aku kalut mencari tudung untuk menutupi rambut ku.
Selesai mengemaskan rambut ke dalam tudung, aku keluar semula untuk mendapatkan tetamu yang paling tidak diundang itu. Sempat juga aku mencapai jaket untuk melitupi tubuh ku kepada kedinginan luar musim luruh. Juga pada mata si Estaban itu!
“Awak nak apa datang sini?” soal ku setelah berada di hadapan lelaki itu. Pintu rumah ku rapatkan bagi mengelakkan dia melihat lebih jauh apa yang ada di dalam rumah ku itu.
Estaban tidak menjawab sebaliknya dia sekadar merenung ku lama. Aku mula naik segan melihat gelagatnya. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan tudung aku ni? Senget ke? Ke aku pakai tudung terbalik? Rasanya dah okay.. aku sempat meraba-raba kepala ku untuk memastikan apa yang bermain di fikiran ku itu tidak terjadi.
“Rambut awak cantik sangat..” ucapnya lembut dalam pada bola matanya masih tidak terkalih daripada wajah ku.
“Awak datang sini semata-mata nak tengok rambut saya ke?” ucap ku dengan kerlingan ekor mata.
Estaban tunduk seketika. “Saya nak minta maaf dengan awak pasal kejadian hari tu. Saya tak sengaja berkasar dengan awak. Saya tahu saya dah biadap dengan awak,” ujar lelaki itu perlahan sahaja.
Aku terdiam memandangnya. Dia minta maaf? Betul ke ni? Macam tak caya pulak!
“Saya susah hati sangat bila tak dapat bercakap dengan awak. Saya rindukan awak..”
Aku mengeluh dalam diam. Bab yang minta maaf tadi aku suka.. tapi bab-bab rindu ni semua aku tak gemar! “Kalau awak nak saya maafkan awak, saya boleh maafkan. Saya pun nak minta maaf sebab saya pun dah terlepas cakap hari tu. Tapi pasal rindu tu..”
“Takpe.. saya faham, Insyirah. Awak tak sukakan saya.” Estaban memintas sebelum sempat aku menghabiskan kata.
Baguslah kalau kau faham! Aku pun dah bosan ulang benda yang sama setiap masa.. detik hati ku sendiri.
“Insyirah, saya akan berubah kalau awak sudi beri saya peluang. Sekurang-kurangnya sebagai kawan awak. Tolonglah jangan hampakan saya lagi,” rayu Estaban bersungguh. Tidak cukup itu kelopak matanya sengaja diredupkan cuba menagih simpati dari ku.
“Estaban..”
“Saya tahu apa yang awak nak cakap. Tapi saya minta kali ni awak jangan pandang saya macam dulu lagi. Bagilah saya peluang untuk perbetulkan diri saya. Saya betul-betul sayangkan awak,” pintas Estaban sebelum aku dapat meluahkan penolakan ku kepadanya.
Aku mengeluh resah dengan rayuan lelaki itu. Bukannya aku mahu menyombong atau memandang rendah kepadanya. Tetapi ada perkara yang tidak mampu ku berikan kepadanya walaupun dia melutut di hujung kaki ku. Aku tidak ada perasaan cinta kepadanya! Aku sendiri pun tak faham kenapa dalam seramai-ramai perempuan yang mungil.. yang seksi.. yang sanggup tergedik-gedik kepadanya, aku pula yang dirayunya.
“Insyirah, tolonglah jangan menolak saya lagi. Saya cuma nak sedikit ruang untuk dekat dengan awak tanpa perlu kita bermusuh macam sebelum ini. Tolonglah..”
“Saya tak mahu beri awak harapan palsu, Estaban. Ramai lagi di luar sana yang sanggup buat apa saja untuk awak. Kenapa saya pulak yang awak cari?”
“Saya jatuh hati pada awak semenjak mula saya nampak awak dulu. Saya tahu perasaan ni bukan main-main. Saya hampir gila memikirkan awak setiap hari. Saya tak mampu lupakan awak walaupun saya pernah mencubanya sebelum ini,” ujar Estaban lemah.
Aku terdiam menahan rasa terkejut mendengar ucapannya itu. Aku tidak sangka dia seserius ini. Aku sangka dia sekadar mahu ‘menggatal’ dengan ku seperti mana dia sering menggatal dengan perempuan-perempuan lain. “Saya tak tahu nak cakap apa, Estaban..” luah ku perlahan.
Estaban menelan liur perlahan. “Saya tahu saya kaki perempuan. Tapi selama saya berada dengan mereka semua saya tak pernah rasa macam ni. Saya asyik memikirkan awak bila saya ada dengan perempuan lain. Awak tahukan apa maknanya tu semua?” dia membalas cukup lembut.
Aku terdiam lagi memandang muka seposen Estaban. Bab merayu.. memang serahlah kat dia ni! Agaknya kalau masuk pertandingan mesti dapat tempat pertama. Aku pulak yang mula rasa serba salah sekarang.
“Saya cuma nakkan sedikit perhatian dari awak. Jangan layan saya macam musuh awak. Saya tersiksa bila tengok awak membenci saya,” ujar Estaban lagi.
Aku terus diam sambil berfikir sendiri. Sekadar kawan.. apalah salahnya. Kalau dengan orang lain aku boleh berbaik, takkanlah dengan dia ni aku nak menyombong sepanjang masa? Tengok muka dia tu pun aku dah tak tahan. Kesian betul! Macam muka budak kecik hilang mak kat pasaraya aja. Lagipun aku sebenarnya dah letih bertengkar selalu dengan Estaban. Jadi apa salahnya kalau kami berkawan sahaja. Maksudnya kawan biasa ya.. jangan terlebih-lebih feeling pulak!
“Okaylah..” jawab ku akhirnya.
“Apa yang okaylah?” soal Estaban mula bersemangat semula.
“Saya terima awak sebagai kawan saya. Tapi kawan aja tau! Awak jangan nak perasan yang saya dah terima cinta awak. Jangan paksa saya buat benda yang saya tak suka,” kata ku serius.
Estaban terus menyeringai mendengar kata-kata ku itu. “Saya faham..” ujarnya mula ceria. “Kalau macam tu.. boleh saya ajak awak makan malam dengan saya malam ni?” ucapnya terus tanpa menunggu lagi.
“Makan makan, keluar bersama.. itu hanya termaktub dalam syarat sebagai kekasih awak. Jadi jawapannya tak!” balas ku selamba. “Kalau takde apa-apa lagi, lebih baik awak balik. Saya tak mahu nanti kawan serumah saya cakap apa pulak bila nampak awak kat sini,” ujar ku lagi.
Tiba-tiba wajah itu mendung semula. “Takkanlah awak nak suruh saya balik?”
“Habis tu takkan pulak saya nak ajak awak tidur kat rumah saya ni?” balas ku dengan pandangan sedikit mencerun kepadanya. Apa lagi dia nak? Aku dah setuju jadi kawan dia, takkanlah dia nak bertamu tangga kat sini pulak!
Estaban termanggu seketika memikir sesuatu. “Saya nak ajak awak keluar dengan saya. Kita pergi jalan-jalan di London mahu?” ajaknya lembut.
Aku menghela keluhan perlahan. Rasanya tadi aku cakap bahasa inggeris. Bukannya bahasa jawa.. bukannya bahasa Zimbabwe.. bukannya bahasa Sudan ke.. Kenapa dia ni tak faham jugak? “Saya dah pernah ke sana. Takde apa yang menarik pun..” balas ku dengan riak wajah tidak berminat kepada ajakan itu.
“Apa gunanya awak jadi kawan saya kalau keluar dengan saya pun awak tak sudi?” cebirnya mula buat muka merajuk.
“Saya cuma kawan awak. Sebagai kawan tak semestinya saya kena keluar dengan awak. Lagipun keluar berdua dengan lelaki itu bukan amalan saya.” Aku membalas selamba. Sedikit pun tidak terusik dengan olahnya.
“Awak ni jual mahal betullah!” getusnya sudah mula berputus asa kepada ku.
“Suka hati awaklah nak cakap apa. Baliklah lekas. Saya nak study ni..”
Estaban mencebik sendiri dengan ketegasan ku. Aku sekadar menjeling tanda malas mahu melayannya lagi. Apabila melihat dia mula berpaling mahu pergi aku segera mengucap syukur dalam hati. Setelah dia mengatur langkah berlalu aku mula membuka pintu rumah. Namun seketika kemudian aku terkejut apabila terasa sesuatu yang lembut dan hangat melekap sesaat di pipi ku. Apabila aku menoleh aku lihat wajahnya berada cukup dekat dengan pipi ku. Spontan aku menjauhinya.
“Apa awak buat?” bentak ku geram. Kurang ajar betul!
Estaban tersengih. “Akhirnya saya dapat cium awak..” ujarnya selamba tanpa merasa bersalah.
“Awak ni memang kurang ajarlah!” geram betul aku melihat sengihnya.
“Upps! Awak dah terlambat. Saya dah pun cium awak. Bye..” dengan muka selamba dia terus berlalu. Aku terpaku memandang lagak Estaban. Apa yang baru berlaku sebentar tadi macam mimpi pula ku rasa. Kenapa aku bodoh sangat? Dah tahu dia tu memang kaki kelentong perempuan.. yang aku pergi bagi muka kat dia buat apa? Padan dengan muka aku!

Di kampus kami berperang lagi..
Aku benar-benar tidak boleh bertahan dengan lagak Estaban. Sudahlah sebelum ini dia dengan berani mencium pipi ku. Sekarang lain pula ceritanya. Janji yang kami ukir bersama dahulu sudah tidak lekat lagi dibenaknya.
“Saya sebenarnya dah cukup letih nak buat awak faham pendirian saya. Estaban, saya tak mahu! Awak nak saya cakap bahasa apa supaya awak tak ajukan benda yang sama banyak kali? Awak ingat saya tak tahu ke apa yang awak cuba buat ni?” bentak ku sudah tidak boleh bersabar lagi dengan gelagatnya.
“Saya cuma nak ajak awak temankan saya ke sana. Sekejap pun jadilah!”
“Eh! Parti-parti ni semua tak masuklah dalam otak saya! Saya tak mahu, awak tak faham ke? Awak nak saya cakap macamana lagi?” semakin meninggi suara ku.
Estaban terdiam merenung wajah ku. Aku tahu, dia sudah mula muak dengan penolakan ku. Siapa suruh ajak aku? Ajaklah yang kaki parti macam dia!
“Saya dah malas nak layan awak lagi. Awak bukannya nak faham! Benda yang saya tak suka, itulah yang awak nak buat. Ini ke yang awak kata nak berubah sangat?” soal ku tajam. Malas mahu memandangnya aku pandang ke arah lain.
“Takkanlah saya nak ajak bersosial sikit pun awak tak mahu? Saya janji takkan suruh awak ambil alkohol. Saya tahu islam melarang umatnya meminum alkohol. Saya cuma nak awak bergaul dengan kawan-kawan saya yang lain. Salah ke?” ujar Estaban pula.
Aku ketawa sinis mendengar alasannya itu. Apa dia fikir dengan berkata begitu aku mudah meletakkan kepercayaan kepada dia? Minta maaflah! “Kalau saya nak bersosial pun.. tak perlu dengan parti-parti tu semua. Selama ni saya bersosial jugak. Tapi dengan cara saya! Saya tak paksa awak ikut cara saya, tapi awak janganlah nak paksa saya ikut kehendak awak pulak. Apa perlunya awak nak bawak saya ke sana. Saya bukannya teman wanita awak! Hidup awak takde kena mengena pun dengan saya.” Aku menjawab tajam.
“Awak ni degil betullah!” Estaban pula membentak kepada ku.
“Syukur seribu syukurlah kalau awak cakap saya ni degil. Jadi lepas ni tak payahlah awak pasang impian nak bawak saya ke tempat-tempat macam tu lagi ya? Itu bukan dunia saya!” jawab ku selamba.
Estaban mendegus tidak senang dengan bicara ku.
“Saya nak balik ni. Sebab awak, Ameena dah tinggalkan saya!”
“Saya hantar awak?” pelawanya pantas.
“Saya tak nak!” jawab ku keras. Kalau berdua sahaja, macam-macam dia boleh buat pada aku. Kalau sebelum ni cium kat pipi.. kalau dah dalam kereta? Mintak jauhlah!
“Awak memang tak ikhlas nak kawan dengan saya, Insyirah!” keluhnya kecewa dengan penolakan ku.
Aku tergelak entah kenapa. Gelihati pula mendengar kata-katanya. “Oh! Awak tahu apa itu ikhlas ya? Tapi bila awak melampaui batas yang saya benarkan, ada awak fikir yang awak ikhlas ke tidak dengan saya? Macam tu caranya awak nak saya ikut awak ke sana ke mari? Saya memang tak pernah percayakan lelaki pembohong macam awak ni, Estaban. Jangan fikir awak boleh kelentong saya lagi. Saya tahu awak sebenarnya anggap saya ni sama macam perempuan-perempuan lain. Saya tahu sebenarnya awak nak saya ikut cara awak.”
“Saya tak tipu bila saya cakap yang saya sukakan awak..”
“Saya pun tak tipu bila saya cakap saya langsung takde hati pada awak. Jadi awak berhentilah ganggu saya lagi. Saya tak inginkan ni semua,” ucap ku nekad.
Estaban sedikit terkejut mendengar bicara ku. “Apa maksud awak?”
“Saya rasa kita memang tak sesuai jadi kawan. Apatah lagi nak lebih dari itu. Jadi awak teruskanlah dengan kehidupan awak yang macam ni dan saya terus dengan kehidupan saya. Sekurang-kurangnya kita tak saling menyakitkan hati masing-masing,” ujar ku tanpa perasaan.
“Tapi awak dah kata nak beri saya peluang,” bantah lelaki itu sedikit keras.
“Peluang?” aku sempat ketawa kecil. “Peluang untuk apa? Untuk awak sentuh saya sesuka hati awak? Peluang untuk awak pujuk saya ke parti dengan awak? Lepas tu apa akan jadi? Awak nak pujuk saya ikut awak balik ke rumah awak? Awak fikir saya tak tahu ke apa yang bermain dalam otak awak tu?” tekan ku agak keras.
“Awak ni memang kolotlah, Insyirah. Salah ke kalau saya nak berseronok dengan perempuan yang saya suka?” bentaknya agak keras.
“Untuk awak tak salah tapi untuk saya itu memang salah! Dahlah! Saya dah bosan tengok muka awak. Saya nak balik!” tegas ku malas sudah mendengar kata-katanya. Semakin banyak dia bercakap aku semakin muak. Tanpa menunggu lagi aku terus meninggalkannya.
“Insyirah, nanti dulu..” Estaban mula mengekori ku. Lengan ku terus ditariknya sehingga aku terdorong semula kepadanya.
“Awak jangan nak melampau, Estaban! Awak ni memang jenis muka tak tahu malu! Awak tak faham ke yang saya tak suka awak?” jerit ku sudah hilang sabar. Beberapa orang pelajar yang lalu lalang sempat memandang kami. Ada yang memandang lama kepada Estaban.
Estaban terpaku melihat gelagat ku. Wajahnya mula bertukar warna.
“Awak nak saya cakap macamana lagi? Saya dah bosan dengan semua ni!” jerit ku masih tidak puas meluahkan kemarahan kepadanya. Melihat dia sekadar terpaku, aku akhirnya berlalu segera meninggalkan kawasan itu. Bimbang dia mengekori lagi, langkah ku hayun selaju mungkin meninggalkan kawasan rekreasi itu untuk ke pintu pagar utama. Kali terakhir aku menoleh, Estaban masih terpaku di tempat yang sama memerhatikan aku.

Hidup tidak selalunya indah.. Begitulah juga dengan hidup di atas dunia ini.
Semenjak pertengkaran itu, kami tidak berbaik seperti yang diharapkan. Aku benar-benar benci melihat gelagatnya. Kononnya mahu menjadi kawan.. tetapi disebabkan peristiwa itu aku tidak mampu lagi bertolak ansur kepadanya. Aku serik dipermainkan!
Hari ini aku nampak sikapnya sudah berbeza berbanding semalam. Di kampus aku masih nampak dia di mana-mana. Namun dia tidak lagi datang menegur ku. Walaupun pada hakikatnya inilah yang sangat aku mahukan, namun dalam diam ada rasa resah sering merantai hati ku. Bukan setakat dia mempamirkan gelagat acuh tidak acuhnya.. sebaliknya dia memalingkan wajah apabila bertembung dengan ku. Aku dapat merasakan ada benda yang tidak kena dengan Estaban.
Malam itu aku dan Ameena bertukar angin dengan keluar sembahyang berjemaah di Masjid Umar Faruqe berhampiran dengan King Hedges Road. Masjid itu tidaklah sebegitu jauh daripada rumah. Cukup sekadar berberjalan kaki sahaja. Kadang-kala apabila ada masa terluang kami akan ke sana memeriahkan jemaah masjid itu. Tetapi entah kenapa semenjak kebelakangan ini kami sudah lama tidak memperaktikkan tuntutan itu. Malam ini kami ke sana kerana ada ceramah agama dari pendakwah yang diundang daripada Arab Saudi.
Ketika kami sampai, masjid agak sesak dengan jemaah lain. Itu kami tidak hairan. Memang persekitaran rumah kami dihuni oleh ramai orang islam yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti dan tenaga pengajar untuk fakulti pengajian islam. Juga ramai warga Sudan dan Saudi Arabia.
Tetapi sepulang dari masjid, aku tidak lagi bersama Ameena kerana Ameena telah bertemu dengan rakan sekuliahnya di masjid itu. Dia masih berborak di masjid. Akhirnya aku terpaksa membawa diri pulang ke rumah sendirian. Aku sudah cukup keletihan untuk menunggu Ameena yang sememangnya kaki berborak itu. Waktu juga sebenarnya sudah lewat dan kebanyakan jemaah sudah pulang. Aku tidak bimbang kerana setahu ku kejiranan ini selamat untuk kami.
Kaki ku hayun sepantas mungkin apabila menyedari aku hanya seorang diri. Kawasan sekeliling sudah semakin sunyi. Kebanyakan kedai sudah melabuhkan tirai urus niaga. Sepanjang jalan boleh dikira berapa manusia yang aku temui. Entah kenapa aku seram sendiri. Lebih seram apabila laluan taman rekreasi yang selalunya ramai orang, kini sedang sunyi sepi tanpa sesiapa.  Malam ini pula sejuknya memang lain macam.
Tatkala melalui kawasan pejalan kaki taman itu hanya ada pokok di kiri dan kanan menemani ku. Aku cuba berjalan selaju mungkin. Namun di pertengahan jalan keluar satu lembaga dari sebalik pokok besar di hadapan ku. Langkah ku terus terhenti. Dada ku berdegup kencang melihat dalam kesamaran lampu noen seorang lelaki terhoyong-hayang mendekatiku. Aku terpaku di tempat ku berdiri memandang lelaki itu.
Estaban.. aku sempat menyebut nama itu dalam hati setelah mampu mengecam lembaga itu. Ada rasa tidak enak menerpa dalam diri ku apabila menyedari Estaban mungkin sedang mabuk dari caranya berjalan. Aku pula sedang berada di laluan yang sunyi tanpa kehadiran orang ramai. Tambahan pula kawasan itu agak malap kerana hanya diterangi oleh cahaya lampu noen.
“Lama kita tak berbual..” ucap Estaban apabila berada dekat dengan ku. Dia memandang ku lama sebelum menogok air dari dalam botol di tangannya.
Aku menelan liur kepahitan dalam kepegunan. Rasa tidak enak mula berganti dengan rasa gentar. Sekejap sahaja rasa itu mula menyerang seluruh urat saraf ku. Dalam kebisuan mata ku meliar memandang ke kiri dan kanan untuk mencari seseorang untuk meminta bantuan jika ada apa-apa berlaku.
“Awak nak apa dari saya?” soal ku buat-buat berani.
“Saya cuma nak berbual dengan awak sekejap,” jawab Estaban sambil tersenyum. Namun lain macam senyumannya. Kemudian dia meneguk lagi alkohol dari dalam botol di tangannya. Aku yang memandang semakin seram. Aku tahu dia sedang mabuk.
“Saya nak balik, Estaban.” Menyedari dia sedang tidak waras aku nekad mahu melarikan diri sahaja.
“Sekejap saja. Tolonglah!” Sepantas kilat Estaban mencapai tangan ku.
“Saya nak balik! Lepaskan saya!” bentak ku kuat. Aku cuba merentap semula tangan ku namun pegangannya terlalu kuat. Aku meronta-ronta cuba meleraikan tangannya sehingga beg telekong yang ku bawa terjatuh ke tanah.
“Tidak terlalu awal, sayang. Saya tidak menerima jawapan tidak pada kali ini. Awka dah cukup menyakitkan hati saya!” Estaban menjawab marah. Dengan pantas dia merentap pergelangan tangan ku sehingga aku terdorong kepadanya. Tubuh ku dipautnya dan dia terus menekup mulut ku. Dengan kudrat lelakinya aku ditarik kasar ke suatu kawasan yang agak gelap. Malang sekali ketika itu, tiada siapa yang ternampak perbuatannya kepada ku. Dan aku tidak terdaya untuk meminta tolong.
Aku semakin kuat meronta setelah aku sedar yang aku sudah di bawa jauh dari laluan tadi. Lelaki itu menolak ku sehingga aku terjatuh di atas rumput yang basah dan licin.
“Estaban, awak ni dah gila!” jerit ku cuba sambil cuba melarikan diri darinya. Namun lelaki itu terus menindih ku. Apa sahaja tindakan yang ada aku gunakan untuk melepaskan diri darinya. Namun dek kerana tubuhnya yang begitu berat, aku tidak mampu bergerak. Melainkan aku hanya terdaya memukul wajahnya.
Estana ketawa seronok melihat ku. “Saya memang dah lama gilakan awak!” ucapnya tajam. Kedua-dua tangannya ku dicapainya lalu ditekan ke atas rumput. “Hari ni awak akan terima balasannya. Saya dah puas dihina!” ucapnya tajam.
“Lepaskan saya!” jerkah ku. Tanpa belas kasihan Estaban menampar pipi ku. Serentak itu aku mulai terasa pening. Alam sekeliling terasa bagaikan sedang berputar.
“Saya akan tunaikan janji saya sebelum ini. Saya akan dapatkan awak. Saya sudah katakan dulu!” kata Estaban sambil menarik kasar tudung di kepala ku.
“Jangan, Estaban! Tolong lepaskan saya!!” rayu ku dengan sisa tenaga yang tidak seberapa. Aku cuba menolak tangan kasar itu yang rakus menjamah tubuh ku tetapi tenaga lelaki yang sedang dipengaruhi arak itu bukanlah tandingan untuk aku menangi.
“Merayulah.. saya memang nak dengar awak merayu pada saya!” ucap Estaban kasar. Bibirnya cuba dilekapkan ku. Aku hanya terdaya berpaling dari memandangnya dengan air mata yang sudah mengalir di pipi.
Estaban ketawa melihat kedegilan ku. “Saya takkan lepaskan awak. Saya memang dah lama mengimpikan untuk menikmati tubuh badan awak. Tiada siapa boleh halang saya sekarang. Cubalah hentikan saya kalau awak boleh. Atau awak boleh menjerit memanggil nama Tuhan sekarang. Awak bukan biarawati, masih ingat? Jadi apa salahnya jika kita berseronok sekejap?” Estaban ketawa-ketawa lagi mempersendakan aku yang sudah kekalahan. Tangannya semakin rakus cuba meragut apa yang sedang menutupi tubuh perempuan ku namun aku tetap menolak tangannya.
“Jangan degil, Insyirah!” bentak Estaban berang.
“Tolonglah jangan buat saya macam ni..” rayu ku dengan tangisan yang sudah tidak dapat ku kawal. Aku hanya melihat masa depan ku kian gelap segelap langit yang sedang berada di atas ku.
“Saya memang nak bawa awak ke parti tu supaya saya dapat tidur dengan awak lepas tu. Tapi awak tetap menolak! Jadi saya mesti dapatkan awak dengan cara macam ni,” ujarnya keras.
“Saya takkan menyerah pada binatang macam awak!” aku menjerit kuat sambil cuba menolak tubuh lelaki itu yang sedang memberat di atas tubuh ku. Sedang aku berhempas pulas, aku terdengar suara manusia. “Tolong..” aku cuba menjerit untuk menarik perhatian orang di laluan pejalan kaki. Tetapi dengan pantas Estaban menekup mulut ku dengan sebelah tangannya.
Peluang yang datang segera ku gunakan. Tangan lelaki itu aku gigit sehingga lelaki itu menjerit keras. Spontan Estaban segera menarik tangannya daripada mulut ku. Aku terus menendang perut lelaki itu sehingga Estaban tergolek di atas rumput di sebelah ku. Sepantas kilat aku bangun untuk melarikan diri. Tetapi baru sahaja selangkah aku merangkak untuk menjauhkan diri, sebelah kaki ku berjaya dicapai oleh Estaban. Tubuh ku mula terseret semula ke belakang apabila ditarik kuat oleh lelaki itu. Tubuh ku dibalikkannya lalu ditampar lagi.
“Kau memang sundal!” jerkah Estaban amat marah.
Aku menangis tidak berdaya. Hanya tinggal kata-kata yang mampu ku luahkan untuk menagih belas kasihan lelaki ini. “Tolonglah jangan buat saya macam ni..” rayu ku dengan derai air mata.
“Jangan melawan kalau awak tak mahu disakiti, Insyirah!!” ugut Estaban tajam. Dia merobek bahagian hadapan baju ku.
“Jangan, Estaban!” aku menolak lagi. “Tolong!” Aku sempat lagi menjerit untuk menarik perhatian orang. Tetapi tiada orang lain! Kosong sama sekali kawasan itu..
Ya Allah! Tolonglah aku.. rayu ku di dalam hati. Aku tahu aku sudah tidak berupaya melakukan apa-apa.
“Ameena.. Hamizah.. tolong aku!” Aku sempat merintih memanggil dua sahabat ku itu. Namun aku sedar tidak mungkin dua sahabat ku itu mampu mendengar kepada ku.
“Diam!” Estaban sekali lagi menampar pipi ku dengan kuat. Aku terus lembik akibat tamparan kali ke tiga itu. Kepala ku teramat sakit.
“Ya Allah..” hanya rintihan mendayu itu yang mampu ku luahkan apabila aku merasakan Sebastian hampir berjaya mendapatkan apa yang paling dihajatkan pada tubuh ku ini. Dengan kudrat yang tidak seberapa tubuh lelaki itu cuba ku tolak lagi untuk mempertahankan apa yang paling berharga pada diri ku. Namun dengan penolakan selemah itu, aky tidak mampu menghentikan kebinatangan lelaki itu.
“Ya Allah, bantulah aku..” akhirnya aku hanya terdaya mengongoi kekalahan akibat perbuatan kedurjanaan lelaki itu. Rayuan ku tiada yang mendengar. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakit yang dirasakannya saat ini.
Malam itu aku tewas juga kepada lelaki itu. Malam itu telah tertulis di buku takdir ku, Estaban berjaya juga menandakan noda kepada diri ku. Tangisan ku merupakan satu kemenangan yang maha besar buat lelaki itu. Setelah puas membalas dendamnya dengan mengulangi perbuatan itu berkali-kali, aku ditinggalkan di kawasan itu sendirian dalam keadaan yang hina.
Terlalu hina sehina perbuatannya itu!

Laporan polis sudah ku buat. Sudah berjam-jam rasanya aku berurusan dengan detektif di balai polis itu. Namun lelaki gemuk itu seperti orang malas sahaja melayan aduan ku. Dia tidak banyak bertanya sebaliknya hanya duduk di hadapan ku di dalam bilik siasatan itu sambil menulis sesuatu.
Aku bersendirian di situ. Sementara Hamizah dan Ameena diminta menanti di luar. Sejam selepas itu berulah kelibat Estaban tiba di balai polis itu dengan seorang lagi pegawai polis. Namun aku lihat dia tidak digari seperti seorang penjenayah. Estaban diarahkan masuk ke bilik yang sama dengan ku. Kami berdua sempat berpandangan. Namun aku lebih pantas mengalihkan pandangan. Menggelegak darah ku melihat senyuman sinis yang tersuging di bibir lelaki itu.
“Dia menuduh awak memperkosa dia, betul ke?” soal detektif gemuk bernama Martin itu kepada Estaban. Nadanya biasa sahaja seolah-olah tiada apa yang penting dengan perbuatan lelaki itu.
Estaban memandang ku tanpa segera menjawab soalan itu. Bibirnya masih sempat mengukir senyuman kemenangan. Langsung tidak terlakar rasa gentar sedangkan dia sudah melakukan satu jenayah yang berat. Jijik aku melihat gayanya itu. Mahu sahaja aku meludah muka lelaki itu.
“Awak perkosa dia atau awak berdua melakukannya suka sama suka?” soal detektif gemuk itu lagi setelah Estaban tidak menjawab kepadanya. Dia sibuk nak memandang kepada ku.
Tersirap darah ku mendengar telahan itu. Terlalu kurang ajar rasanya mulut pegawai polis itu. Semenjak tadi aku dapat merasakan berlakunya diskriminasi kepada warga asing seperti aku. Aduan ku itu tidak mendatangkan apa-apa reaksi dari pegawai polis itu. Detektif Martin sekadar memandang enteng dengan apa yang aku laporkan kepadanya. Namun aku harus akur, aku terpaksa bersabar memandangkan ini bukan tempat lahir ku. Mungkin cara mereka di UK ini melayan orang awam tidak sama seperti mana pihak polis di Malaysia. Semuanya sama rata.
Estaban tersengih lagi. “Periksalah dia kalau betul saya sudah perkosa dia. Dia memang suka ramai lelaki melihat tubuh badannya. Mungkin awak patut membawa dia untuk diperiksa oleh semua doktor lelaki di hospital itu. Bogelkan dia dan kamu periksalah setiap inci tubuh badan dia,” ucap Estaban mengejek.
“Awak ni memang binatang, Estaban!” jerkah ku sudah tidak tahan dengan kelakuan lelaki itu. Aku terasa mahu memekik untuk meluahkan perasaan ku. Apakah langsung tidak ada belas kasihan di hati Estaban atas segala yang terjadi?
Estaban hanya tergelak sahaja sementara pegawai polis itu memandang ku dengan muka serius. Pen yang dipegangnya dihalakan kepada ku. “Kita harus memeriksa awak untuk memastikan samaada ada bukti yang awak diperkosa. Kita akan buat ujian klinikal di hospital,” ucap detektif itu kepada ku.
Ujian klinikal? Bagaimana ujian itu dilakukan? Aku sudah menelan liur sendiri.
“Bagaimana?” soal detektif itu kepada ku.
Aku akhirnya mengangguk akur juga dalam ketidakrelaan ku. Aku sedar yang aku sudah tiada pilihan lain sekiranya mahu mendakwa perbuatan Estaban. Namun kata-kata Estaban sebentar tadi kembali menghantui fikiran ku. Rasanya tidak mampu aku membayangkan berapa ramai lelaki yang akan memeriksa tubuh ku nanti. Sanggupkah aku menempuh keadaan itu? Entah! Aku hanya mampu berserah kepada Yang Esa untuk menentukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan