1
Anak
kuda mati tersungkur,
Anak
badak mati tercekik,
Kepada
Allah harus bersyukur,
Jika
tidak mahu mati celik.
“Jaga diri, Syira. Jangan sesekali lupa solat. Solat tu wajib.
Itulah tiang keimanan kita. Biar sejauh mana Syira pergi Allah tetap mampu
melihat apa yang kita lakukan.” Pesanan abah itu aku sematkan ke dalam benak
ku. Riuh rendah suasana KLIA tidak ku pedulikan kerana sebentar lagi aku akan
terpisah dari keluarga ku di sini.
“Syira takkan lupa, abah. Syira sedar segala kebaikan
yang ada pada Syira itu semuanya kurniaan Allah. Solat adalah salah satu cara
untuk mensyukuri nikmat Allah,” ujar ku perlahan sambil menatap wajah abah. Apa
yang sering abah pesankan kepada ku. Aku ulangi semula.
Abah mengangguk sambil mengusap kepala ku yang dilapisi
tudung dengan penuh kelembutan. Dia tersenyum kepada ku namun masih dapat ku
kesan sayu pandangannya ke mata ku ini.
“Abah mahu Syira berjaya di dunia dan akhirat. Abah
selalu berdoa semoga segala yang diberikan kepada Syira itulah yang terbaik
untuk diri Syira. Syira satu-satunya anak perempuan abah. Minta dijauhkanlah
dari segala penganaiayaan dunia yang kejam. Minta-minta Allah lindungi Syira
selalu. Emak dan abah akan selalu mendoakan kejayaan Syira.” Abah terus
menasihati ku.
Aku diam sahaja sambil memandang abah. Terasa mahu ku
peluk tubuh itu kerana selepas ini kami akan terpisah untuk jangka waktu yang
lama. Hanya abah yang menghantar ku ke KLIA ini sementara emak tidak dapat
datang bersama kerana adik ku Imran demam campak semenjak semalam.
“Kalau ada apa-apa masalah cepat-cepat telefon abah ya?”
suara abah kedengaran sebak di telinga ku.
Aku sedih memandang
abah yang memandang ku lama. Matanya sudah mula berkaca menggambarkan berat
hatinya mahu melepaskan aku pergi. “Insya-Allah, Syira akan selalu hubungi abah
dan mak. Abah jangan bimbang. Syira akan selalu jaga diri.” Aku membalas sambil
mengangguk.
Di kala itu abah segera tersenyum bagi menyembunyikan isi
hatinya. “Memang abah tahu Syira tahu jaga diri. Tapi abah tetap akan bimbang
kerana Syira tak berada di depan abah. Syira satu-satunya anak perempuan, jauh
pula dari abah dan mak dalam usia yang masih muda. Abah harap Syira pandai
menyesuaikan diri di tempat orang. Berpeganglah pada agama. Jangan sesekali
tunduk kepada keadaan yang menghalakan kita kepada kesesatan. Insya-Allah,
Allah akan mempermudahkan segala kesusahan Syira kalau kita selalu berpandu
kepada Dia,” nasihat abah lagi dengan suara yang dikawal agar kesedihannya
tidak terlepas ke pendengaran ku.
“Syira ingat, bah. Syira takkan lupakan itu semua,” balas
ku.
Abah mengangguk perlahan. Sedih aku melihat wajah abah
kerana dia sedar sudah masanya untuk aku pergi.
“Pergilah. Nanti lambat pulak..” Abah menyuruh dengan
berat hati. Aku segera menghulurkan tangan ku kepadanya.
“Syira minta ampun atas segala dosa-dosa Syira, abah..”
ucap ku lalu tunduk mencium tangan abah.
“Abah ampunkan, nak. Ingatlah abah dan mak teramat sayangkan
Syira. Belajar rajin-rajin untuk masa depan Syira. Jaga diri ya, nak?” ucap
abah saat aku mencium tangannya. Abah terus meraih tubuh ku ke dalam pelukannya
sebaik sahaja aku kembali memandangnya. Jarang abah memeluk ku seperti saat ini
tetapi kali ini dia melakukannya kerana aku akan pergi jauh darinya.
“Syira pun sayangkan abah dan mak,” balas ku sayu.
Mengalir juga air mata ku tanpa dapat ku tahan. Sayu kerana seawal usia lapan
belas tahun aku sudah terpisah jauh dari orang tua ku kerana aku mendapat
tawaran untuk meneruskan pelajaran ke peringkat A-Level di London.
Berat hati ku untuk meninggalkan abah. Tetapi masa sudah
suntuk dan aku perlu ke balai perlepasan untuk pemeriksaan imigresen. Beberapa
ketika kemudian aku memandang semula kepada abah ku. Dia melambaikan tangannya
dengan senyumannya.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa beratnya hati ku
untuk berpisah dengan keluarga ku saat ini. Tetapi demi masa depan aku
lakukannya juga. Inilah impian emak dan abah kepada ku sebagai anak sulung di
dalam keluarga. Ini juga impian ku. Segala kepayahannya harus ku tempuh demi
sebuah cita-cita.
Ya! Semuanya demi sebuah cita-cita.
Hari ini aku harus pergi tetapi suatu hari nanti aku akan
pulang!
Mata ku meliar ke kiri dan ke kanan memerhatikan orang yang
lalu lalang. Pesekitaran kampus itu agak sesak dengan pelajar-pelajar yang baru
menghabiskan kuliah sama seperti aku. Manusia terus bersimpang siur di hadapan
ku dengan hala tujuan mereka sendiri. Tetapi aku di situ masih resah apabila
seseorang yang aku nanti masih tidak terlihat dek sepasang panca indera ku ini.
Aku sebenarnya sedang mencari teman akrab ku Ameena, yang juga merangkap rakan
serumah dengan ku. Kami memang sering pulang bersama setiap kali habis kuliah.
Lima minit kemudian barulah aku ternampak kelibat Ameena
yang terkocoh-kocoh datang kepada ku. Aku sempat menghela nafas lega apabila
melihat teman ku yang berbaju kurung dan berjaket tebal berjalan laju kepada ku
sambil menunjukkan sengihannya. Rundu
randah Ameena dengan beg dan segala macam buku-buku pengajiannya.
“Sorry, aku lambat..” ucap Ameena dalam
sedikit kecungapan. Sudahlah berjalan agak laju, ada banyak buku pula yang
sedang dipegang di tangan kirinya. Kelam kabut sedikit Ameena ku lihat.
“Takpe.
Aku pun baru aja ada kat sini,” balas ku sambil memandang Ameena. Kasihan melihat Ameena, sebilangan buku di tangannya
itu ku ambil sebagai bantuan untuknya. Minah kaki buku macam Ameena kalau tidak membawa
sebeban buku memang tak sah! Agaknya kalau perpustakaan boleh dibawak balik,
memang dia dah tarik bawa balik ke rumah.
“Thank’s a lots. Nasiblah ada sukarelawan
macam kau ni, Syira. Penat aku! Huh!” keluh Ameena sambil menghela nafas
kelegaan setelah sebahagian bebannya diambil alih oleh ku.
“Makin
kuruslah kawan aku seorang ni. Dahlah makan pun bercatu..” Aku sengaja membalas
meleret sambil mengerlingnya. Ameena tersenyum entah kenapa. Ada kata-kata ku
yang membuatkan hatinya tercuit.
“Jomlah
balik. Nanti tak sempat nak solat asar pulak,” katanya apabila menyedari kami
sudah kelewatan melebihi kebiasaannya. Sempat dia memandang jam dipergelangan
tangannya itu.
Tanpa
menunggu lagi kami bergegas meninggalkan dewan kuliah Austin, St Edmund
College. Namun saat mahu melepasi pintu di hujung dewan itu kami bertembung
dengan empat gerangan lelaki yang mahu melangkah masuk ke dewan itu. Akibat
mahu melalui pintu itu serentak kami hampir berlaga. Namun aku lebih pantas
mengawal langkahnya agar tidak melanggar salah seorang yang sedang menghadang
pintu itu dengan tubuh sasanya.
Spontan
aku memandang lelaki yang lebih senior dari ku itu. Mata kebiruan itu menatap
ku dalam-dalam sambil tersenyum meleret. “Hai..” sapanya dengan lagak ‘romeo
must die’.
“Hai..
maaf! Saya nak pergi sekarang. Minta laluan.” Aku menjawab selamba dalam bahasa
inggeris kepada lelaki itu sambil meminggir ke kiri untuk melepasinya. Renungan
lelaki itu sedaya upaya tidak ku layan.
Tetapi
lelaki itu dengan nakal juga ikut ke kiri menghadang jalan ku. Aku mula
memandang lelaki mat saleh itu dengan rasa meluat yang teramat sangat. Malas mahu melayan olahnya aku cuba untuk ke kanan pula.
Namun begitu juga dengan lelaki mat saleh itu. Perlakuan itu bagai
disengajakan.
Aku mula menghela nafas keras. “Estaban, tolonglah! Saya
nak lalu. Tolong ke tepi.” Suara ku mula meninggi kepadanya. Menyampah betul
aku melihat gelagat lelaki bernama Estaban itu. Memang semenjak pertama kali
kami berkenalan dia memang sudah meluat dengan gaya Estaban yang suka cukup
nakal mengganggu orang.
Lelaki mat saleh itu mula tergelak nakal dengan
teman-temannya. “Lalulah..” ucapnya tanpa mengalihkan tubuhnya daripada
menghadang pintu itu. Kesemua lelaki mat saleh itu tergelak macam suka benar
melihat aku menjadi bahan usikan temannya.
Aku menggerutu geram dengan tingkah laku Estaban. Untuk
menghindar lelaki itu, aku segera ke laluan yang kosong tetapi dengan selamba
Estaban turut ke tempat yang sama sengaja menghalang jalan ku.
“Apa
masalah dengan awak ni?” bentak ku mula hilang sabar.
“Takde
masalah..”
“Estanban,
saya tak mahu cari masalah dengan awak. Tolong ke tepi. Saya nak lalu..” aku
yang sudah naik angin menjerit agak kuat kepada lelaki itu.
Estaban ketawa-ketawa lagi dengan teman-temannya. “Bergurau
saja. Janganlah marah,” katanya sambil tergelak seronok melihat muka merah ku.
“Awak ni dah takde kerja lain ke?” herdik ku sambil
menjeling tajam Estaban yang tersengih selamba. Jahat betul! Aku juga tidak
ketinggalan menjadi tempias kenakalan Estaban. Memang menyampah sangat dengan
kelakuan mamat remeo itu tetapi aku tidak mampu menghindar daripada lelaki itu
kerana mereka bersebelahan fakulti walaupun berlainan tahun. Setiap hari aku
terpaksa melihat wajah romeo perasan itu di kampus.
Ameena
yang berjaya melepasi mereka mulai bengang. Dengan sekuat-kuat hatinya dia menolak tubuh Estaban dari
belakang dan terus menarik tangan ku untuk menjauhi kumpulan pelajar senior
itu. Kami berdua berjalan pantas meninggalkan Estaban dan teman-temannya itu.
Terus melayani lelaki tidak berguna itu di situ hanya akan membuatkan kami
terlepas solat asar yang cuma tinggal dihujung sahaja lagi.
“Hey! Tunggulah.. nanti kita akan bertemu lagi.” Laung
Estaban dengan gaya yang cukup menjengkelkan. Aku sempat menoleh dan menjeling
kepadanya. Kalau berjumpa nanti pun kenapa?
“Menyampahnya tengok mamat tu. Perasan hensem! Suka betul
ganggu orang,” kutuk Ameena yang bengang dengan kelakuan Estaban.
“Dah memang perangai dia macam tu nak buat macamana.
Kalau adik aku dah lama aku piat sampai biru. Tak pun aku pijak-pijak aja biar
mati cepat! Tapi itu kalaulah. Masalahnya dia bukan adik aku.” balas ku membuat
Ameena tergelak sedikit kelucuan.
“Tak jemu-jemu dia mengacau orang. Dia tak tahu ke orang
menyampah tengok muka dia? Macamlah dia seorang aja yang hensem kat sini! Muka
hensem pun kalau perangai macam jin, takde mananya orang nak suka.” Ameena
menambah lagi umpatannya. Kali ini aku pula yang tergelak mendengar apa yang
diucapkan oleh Ameena itu. Soal jemu itu dia memang sudah tidak boleh diubah. Tetapi
soal menyampah itu aku yakin yang Estaban tahu benar yang aku memang sangat-sangat
tidak suka dengan perangai lelaki itu. Tetapi Estaban bagaikan tidak kisah
dengan semua itu. Muka tembok punya orang!
“Lantaklah dia, Meen. Jangan kusutkan kepala fikir pasal
dia. Kita ni tak sembahyang lagi dah mengumpat orang. Asar dah lama dah masuk
ni,” tukas ku sambil mempercepatkan langkah.
“Ni semua si sengal tu punya pasal!” sempat lagi Ameena
menambah lagi dosa keringnya, mengutuk lelaki mat saleh itu.
Aku diam sahaja. Kami pantas keluar dari kawasan fakulti
dan segera menuju ke perhentian bas untuk pulang. Mujurlah nasib mereka baik
kala itu. Saat sampai sahaja di perhentian bas kelihatan ada bas double decker yang menghala ke Cambridge
Station sedang berhenti untuk mengambil penumpang. Melihat itu kami berdua mula
berlarian mengelak daripada tertinggal bas. Mujur sahaja Uncle Jack pemandu bas itu baik hati sengaja menunggu sehingga kami
tiba di pintu bas itu.
“Terima kasih, uncle.”
Dengan nada penuh kelegaan campur keletihan kami mengucapkan terima kasih
serentak kepada lelaki tua itu yang bermulia hati menunggu kami tiba di basnya.
“Jangan lambat lagi, anak manis..” balas lelaki itu sambil
tersenyum kepada ku dan Ameena. Baik sungguh hati lelaki itu.
Aku melepaskan nafas kelegaan sebaik sahaja selamat berada
di perut bas itu. Walaupun kami terpaksa meredah kesesakan di perut bas itu
namun itu semua alah bisa tegal biasa. Dalam waktu-waktu begini pengangkutan
awam sememangnya akan disesaki oleh pelajar-pelajar seperti kami.
Kami tiba di rumah pangsa yang menjadi rumah sewaan kami di
Tenison Evenue Norwich Strett setelah suasana menjadi gelap sedikit gelap. Cepat-cepat
kami berkejar masuk ke bilik masing-masing untuk mengejar waktu solat yang
tinggal sedikit sahaja lagi.
Aku
dan Ameena baru di tahun pertama pengajian di Universiti of Cambridge. Sebelum
ini aku merupakan pelajar lepasan A Level di Balles College di London. Setelah
menamatkan kursus A Level dengan keputusan cemerlang kami ditawarkan
melanjutkan pengajian ke Universiti Of Cambridge. Aku sedang dalam
pengajian perakaunan manakala Ameena pula dalam bidang Sumber Manusia.
Tinggal
di negara seperti ini kami semua harus belajar berdikit-dikit di dalam
kehidupan seharian dek kerana kos sara hidup di England agak tinggi disamping
yuran pengajian juga agak mahal. Mujurlah pembelajaran aku ditaja oleh Yayasan
Negeri kerana aku pernah mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran
Malaysia yang lalu dan sempat mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang.
Cambridge
yang terletak100 kilometer dari kota London ini merupakan pekan yang agak
kecil. Sebahagian pekan ini adalah universiti tempat mereka menuntut ilmu yang
juga merupakan institusi pengajian yang tertua di England. Di sini mereka semua
yang bergelar pelajar harus sentiasa berlumba untuk menjadi yang terbaik kerana
kami sedang berada di kalangan pelajar yang terbaik. Namun bagi aku mahupun
Ameena mereka sama-sama amat bersyukur dan menghargai peluang sebaik ini.
Selesai
solat maghrib barulah aku dan Ameena mula ke dapur pula. Sedang kami berdua
rancak memasak sambil dihiasi oleh keriuhan gelak ketawa, Hamizah pulang dari
kampus sendirian. Wajah lesunya cukup menyatakan yang dia begitu keletihan
dengan aktiviti seharian yang amat padat.
“Dari
mana, Izah?” soal ku biasa setelah Hamizah duduk di meja makan sambil memandang
aktiviti yang sedang berlangsung di dapur rumah kami.
“Dari kelaslah, Syira. Kau ni bertanya macam baru semalam
kenal aku..” kata Hamizah sambil melepaskan keluhan keletihan.
Aku tergelak sendiri menyedari soalan itu kedengaran agak
bodoh untuk teman sebijak Hamizah. “Saja je tanya. Mana tahu kau ubah angin
hari ni balik dari kelab malam pulak..” ujar ku lantas mengekek serentak dengan
Ameena. Melihat padangan Ameena kepada Hamizah kami berdua berpandangan
seketika kemudian tergelak lagi. Kami
memang suka memang suka menjadikan Hamizah sebagai bahan menyakat.
Terbuntang mata Hamizah mendengar kata-kata ku itu.
Tetapi tawanya terburai juga akhirnya. Ada kelucuan yang dirasakan kerana sepanjang
kami mengenali Hamizah, dia memang seorang yang amat kuat belajar. Keluar untuk
ke pasaraya juga amat jarang bagi teman serumah ku ini. Apatah lagi mahu ke
kelab malam! Hamizah seorang ulat buku.
“Pandailah kau, Syira.. kau ingat masuk kelab malam tu free? Daripada aku menghabiskan masa dan
duit kepada perkara yang boleh membawa aku ke neraka lebih baik aku tidur. Lagi
baik!” balas Hamizah selamba yang tua setahun dari ku. Selain Hamizah kami juga
mempunyai dua lagi rakan serumah iaitu Safira dan Nenny Akmar. Kedua-dua mereka
juga menuntut di tahun yang sama dengan Hamizah.
“Tolong ambilkan aku air, Syira. Kaki aku ni dah tak
larat nak jalan la..” pinta Hamizah dengan muka seposennya kepada ku. Sekali
pandang mimik mukanya macam baru lepas kena pelempang dengan mak mertua.
“Amboi.. mengada-ngadanya. Nak bermanja pulak ke? Nak
bermanja ke nak kumpul selulit kat punggung?” tegur Ameena dengan lantang. Aku
sudah menyeringai mendengar kata-kata yang cukup pedas daripada Ameena.
“Tolonglah..”
rayu Hamizah mula merengek manja kepada ku.
Kerana
kasihan kepadanya yang sedang kepenatan aku akur juga. Segelas air masak segera
ku ambil dan diserahkan kepada Hamizah. Melihat Ameena asyik dengan gulai di
atas dapur aku ikut duduk bersama Hamizah di meja itu.
“Kau masak apa malam ni, Syira? Sedapnya bau ni?” tanya
Hamizah sebaik sahaja aku duduk di
“Kari ayam. Eh! bukan aku
yang masak tapi Meen. Hari ni turn resepi
dia pulak. Aku tolong tengok aja, disamping tolong merasa apa yan petut,” balas
ku sambil memuncungkan bibir kepada si tukang masak yang mengambil giliran bagi
malam ini.
“Kau
masak untuk kau dua orang aja atau masak untuk semua, Meen?” Hamizah menyoal
sambil tersengih kepada Ameena.
“Untuk
semua la. Kau ingat aku ni buruk perangai nak melantak seorang? Beli barang share makan sendiri-sendiri pulak. Ha!
Jangan buat-buat lupa pulak. Esok turn
kau pulak memanaskan dapur ni,” balas Ameena laju dengan suara yang tegas.
Hamizah tersengih sahaja kepada ku. Kami semua sudah ada
perjanjian yang mensyaratkan mereka harus bergilir-gilir memasak makan malam.
“Izah kalau memasak mesti menjilat sampai jari kaki kita
nanti.” Aku sengaja mengusik Hamizah sambil tergelak. Ameena yang mengerti
maksud kata-kata itu juga mula melambakkan tawanya dari arah dapur. Agaknya dia
terbayangkan roti bakar rentung yang pernah dihidangkan oleh Hamizah kepada
kami dahulu sebagai sarapan pagi.
“Menyindir
nampak?” tukas Hamizah pantas sambil mengerling kepada ku dengan ekor mata.
“Aku
menyindir ke? Takdelah. Aku bagi kau semangat.” Dalam senyuman yang terkulum
aku sengaja menafikan kata-katanya. Namun tidak tertahan gelihati, tawa ku
terhambur juga tidak lama selepas itu. Kami sama-sama tahu apa yang dimaksudkan dengan sindiran itu.
“Aku tahulah aku ni tak tahu memasak. Bukan macam kau.
Masak apa pun sedap. Malaslah aku nak masak macam ni. Nanti korang mengata
pulak.” Hamizah merungut sambil mencebik.
“Kau jangan nak mengada-ngada ya, Izah. Ooo.. makan pandai.
Memasak malas! Baru kena sindir sikit dah nak merajuk kononnya. Takde mananya
kau boleh mengelak. Kalau kau tak masak esok siap kau. Aku sumbat ayam mentah
dalam peti ais tu dalam mulut kau sampai kau kenyang.” Ameena terlebih dahulu
menunjukkan reaksinya setelah mendengar kata-kata Hamizah. Dia datang bercekak
pinggang di hadapan kami dengan lagak cikgu disiplinnya.
Aku dan Hamizah tertawa kuat di meja itu melihat gelagat
Ameena. Mulutnya memang bak bertih goreng bila sampai bab memarahi orang. Boleh
terkatup mulut sesiapa yang cuba berlawan kata dengannya. Dia juga dikenali
sebagai orang yang suka bercakap dengan ‘volume’ yang tinggi. Memang sesuai
sangat kalau jadi cikgu!
“Aku main-main ajalah. Kau janganlah garang sangat, Meen.
Kau ni macam mak tiri dalam cerita Ratapan Anak Tiri aja. Seram anak tiri kalau
ada mak tiri macam kau.”
“Tiri-miri..
Kau tak masak esok siaplah kau!” Ameena sudah meluahkan ugutannya.
Aku semakin galak ketawa. Perkataan ‘tiri-miri’ yang
dikatakan oleh Ameenah itu semakin melucukan.
“Eh! Izah, kau ingat tak mangkuk Swiss yang perangai macam
lanun Somalia kat kampus tu?” soal Ameena tiba-tiba sahaja mengalihkan topik
saat itu. Reaksinya juga mendadak berubah seolah-olah ada sesuatu yang amat
serius yang mahu diberitahu kepada Hamizah saat itu.
“Mangkuk
Swiss??” Hamizah memandang aku dengan reaksi yang tidak mengerti. Aku
tercengang sedikit kerana aku juga tidak mengerti apa sebenarnya yang mahu
disoal oleh Ameena sebenarnya. Kening ku mula berkerut memandang sahabat ku
itu.
“Alah..
mangkuk yang kacau kau tadi tu, Syira.” Ameena menambah lagi sambil mencuit
bahu ku. Daripada lagak mak tiri kini macam mak joyah pula gayanya.
Kata-kata
itu mengembalikan aku kepada peristiwa siang tadi. “La.. lanun Somalia tu si Esteban ke?” sambut ku dengan
tawa. Bertambah lagi gelaran untuk lelaki itu. Sebelum ini kami serasi
menggelar Estaban dengan nama buaya paya. Sesuai sekali dengan perangai kaki
perempuannya. Kemudian gelaran ‘jantan macholah’ dikutip daripada lirik lagu
kumpulan KRU dan Adam yang bertajuk Terhangat Di Pasaran dan macam-macam lagi
yang mereka gelarkan S Estaban. Kini Ameena menambah lagi dengan gelaran lanun
Somalia.
“Estaban Joseph Buhler, budak Bussiness Study tu ke?” kali ini Hamizah pula yang menyoal bagi
mengesahkan gerangan makhluk yang ada difikirannya saat ini. Nampaknya
dia juga tidak suka dengan lelaki anak hartawan dari Swiss itu. Seluruh kampus
mengenali lelaki yang konon-kononnya rebutan ramai wanita kerana ketampanan dan
kekayaannya.
“Siapa lagi yang glamour
dengan perangai macam setan tu? Tadi dia kacau Syira lagi, kau tahu!” Ameena
dengan rela hati mengadu bagi pihak ku tanpa perlu diarahkan oleh ku.
“Dia kacau kau lagi, Syira?” Hamizah terus memandang aku pula seakan meminta
kepastian.
Aku sekadar mengangkat bahu sedikit. Aku dah tak
hairan lagi dengan ini semua kerana semenjak dari awal aku mengenali Estaban,
aku sememangnya selalu menjadi bahan untuk Estaban melampiaskan kenakalannnya.
Memang menyampah tetapi apa yang boleh aku lakukan untuk mengekang perangai
lelaki itu? Selagi terdaya aku akan mengelak. Jika tidak, kami akan bertengkar sahaja
seperti kebiasaan rutin kami.
“Habis tu apa kau buat kat dia?”
“Heh! Syira ni.. takkan kau tak kenal lagi, Izah? Tak
habis-habis nak bersabar dengan si setan tu.” Ameena terlebih dahulu menjawab sebelum
aku.
“Habis tu kau nak aku buat apa kat dia? Kalau ikut hati
aku ni nak aja aku kelar-kelar kulit dia bila nampak muka dia tu.” Spontan aku
lantas membela diri.
“Kalau aku, aku sepak ehem-ehem dia..” jawab Hamizah
selamba seolah-olah memberi idea kepada temannya itu untuk membalas segala
perbuatan Estaban di lain masa.
Terbuntang mata ku memandang Hamizah yang sudah tergelak besar
dengan Ameena. Sampai begitu sekali idea Hamizah. Tetapi apabila difikirkan
semula mungkin aku patut mempertimbangkan untuk menggunakan cara sadis itu bagi
menghentikan perbuatan lelaki itu kepada ku. Mana tahu Estaban insaf nanti.
“Dia suka kat kau tu. Nampak kau aja mesti dia gatal nak
kacau.” Hamizah mulai miang menyakat aku pula.
Terbeliak lagi mata ku memandang Hamizah. “Tolonglah,
Izah! Geli telinga aku ni dengar kau cakap. Aku ni menyampah tahap nak muntah
tengok muka dia tu, kau boleh cakap dia suka kat aku. Mintak Tuhan jauhkanlah
aku dari dia. Eei.. tak sanggup aku,” belas ku dengan reaksi geli gelaman.
Tubuhku bergegar-gegar bagaikan sedang kegelian yang teramat sangat apabila
terbayangkan lelaki itu.
Hamizah dan Ameena masih sakan tertawa melihat gelagat ku.
Namun tawa mereka kedengaran aneh. Aku sudah mula terasa seperti sedang
dipermainkan oleh mereka berdua.
“Apa ni? Korang ejek aku ya?” soal ku tidak berpuas hati.
“Manalah tahukan? Kalau tak takkanlah dia asyik mengacau
kau aja. Nampak aja kau mesti dia nak datang dekat.” Kali ini Ameena pula yang
berkata bagaikan menyokong telahan Hamizah. Dia menyeringai nakal kepada ku.
“Meen, kau memang dah tahu dia tu memang setan. Bukan soal dia suka aku atau tak tapi dah itu memang tu habit dia. Dia tu kalau kau pakaikan
pokok kelapa tu dengan baju seksi pun dia nak kacau. Dia tu jantan yang kemaruk
betina!” cemuh ku lancang menggambarkan lelaki bernama Estaban itu.
Hamizah
terus tergelak-gelak memandang Ameena. Mereka mengangkat kening berdua semacam ada sesuatu di antara mereka. “Betul
ke kau tak suka dia? Entah-entah dalam diam kau suka kena kacau dengan dia tak?
Kau pun suka main mata dengan dia. Aku tahu, Syira..” usik
Hamizah sambil tergelak sakan dengan Ameena.
Berdegup
kencang jantung ku mendengar ejekan itu. “Tolonglah! Tolonglah! Bila masa aku main mata dengan dia? Kalau dia jantan
yang terakhir ada kat bumi ni pun aku tak ingin. Biar aku tak kahwin lagi
baik!” tukas ku nekad mempertahankan pendirian ku tanpa memikirkan betapa
takburnya aku dengan kata-kata itu.
Dua teman ku itu semakin seronok ketawa. Gelihati benar
mereka berdua. Aku pula mencebik meluat apabila terbayangkan lelaki itu. Apalah
nasib diri jika tersangkut dengan lelaki gatal seperti itu?
“Jangan terlebih cakap, Syira. ALLAH
tak suka kita mengata orang. Masin
mulut kau, jantan yang kau kata tak nak tu nanti yang jadi laki kau..” kata
Hamizah entahkan masih mengusik atau pun sedang mengingatkan.
Aku terus tersentap mendengar itu. Aku mula tersedar yang
aku baru sahaja terlepas cakap tanpa mengira mungkin kata-kata itu akan memakan
diri ku semula. Serta merta aku
menekup mulut ku. Ya ALLAH! Jika masin mulut ku seperti yang dikatakan Hamizah
meranalah hidup ku nanti. Oh, tidak!
“Ya, ALLAH! Ampun! Ampun! Aku tak sengaja tercakap macam
tu. Eee.. mintak jauhlah dia jadi laki aku. Tak nak aku! Siksa hidup aku
nanti.” Aku terus menepu-nepuk mulut ku kesal kerana bercakap tanpa berfikir
terlebih dahulu.
Hamizah dan Ameena hanya memandang sahaja kelakuan ku.
Mereka tiada kata lagi untuk dikatakan. Mungkin mereka juga sedar bukan hanya
aku sahaja yang boleh ditakdirkan mengahwini lelaki seteruk itu jika terlalu
asyik mengumpat tanpa mengira ‘ada’ yang sentiasa mendengar. Mereka juga boleh
termakan hasil umpatan sendiri.
Selepas
kuliah tamat pada jam 2
petang kami berdua lebih senang melepak di perpustakaan di bangunan St Edmund
College untuk menelaah pelajaran. Aku sendiri masih sibuk di rak sambil mencari
buku yang diperlukan, sementara Ameena sudah duduk selesa di meja.
Sedang asyik membelek sebuah buku dia tiba-tiba terbau
sesuatu yang harum berhampiran dengan ku. Bau harum itu lebih kepada bau minyak
wangi lelaki. Dengan pantas aku menoleh ke sisi. Tersentap aku seketika menahan
debar apabila melihat lelaki yang berdiri di sisi ku itu.
Esteban mempamirkan senyuman meleretnya kepada ku. Aku
berlagak selamba sahaja kepadanya. Namun tidak mampu disangkal ketenangan hati
ku mulai berkocak dengan kehadiran lelaki itu. Untuk apa Esteban ada di sini?
Perpustakaan ini untuk pelajar-pelajat akaun sedangkan falkulti Estaban berada
di bangunan Gonville and Calius College bersebelahan dengan bangunan ini.
“Perempuan Melayu yang cantik..” Estaban tiba-tiba
menunjukkan kebolehannya berbahasa melayu.
Aku
sengaja mengerutkan kening tanda kabur dengan sikap lelaki itu. Sebahagian diri
ku memang terasa mahu tergelak berguling-guling mendengar pelat Estaban.
“Awak
nak apa?” soal ku tetap berbahasa inggeris kepadanya. Percuma sahaja pun aku bercakap melayu dengan mangkuk
ayun ni.. sebab aku tahu dia hanya tahu beberapa patah perkataan itu sahaja.
Itu pun mungkin dia mempelajarinya beberapa minit yang lalu. Entah siapalah yang
baik hati mengajar Estaban dua patah kata itu.
“Perempuan cantik.” Sekali lagi Estaban berkata dalam
bahasa melayu.
Aku terus memandangnya hairan. Aku benar-benar tidak
faham apa yang dimahukan lelaki ini. Mahu perempuan cantik? Dia ingat aku ni
ejen cari jodoh ke? Tak pun mak ayam? “Saya bukan perempuan cantik. Awak dah salah
orang..” balas ku sambil mengalihkan perhatian kepada buku di tangan ku semula.
Semoga Estaban faham yang aku tidak berselera mahu melayaninya.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya.” Esteban mula
menukar dialeknya semula saat mengajukan ajakan itu.
“Saya tak mahu!” jawab ku spontan sambil meletakkan
kembali buku itu ke rak. Aku tahu aku harus segera menjauhkan diri dari lelaki
ini demi kebaikan ku sendiri. Estaban tidak pantas untuk ku dekati apatah lagi
dalam keadaan kami sama-sama masih dalam tangga pengajian. Aku tidak mahu
merisikokan masa depan ku dengan membiarkan hati ku terusik kepada lelaki
persis itu. Sementelah aku memang cukup tahu Estaban memang suka mempermainkan
perempuan. Aku sedar aku harus gigih untuk mengejar ilmu di sini kerana bukan
mudah untuk kami mencapai tempat terbaik di Cambridge ini. Persaingan amat sengit di sini. Kesemua pelajar yang ada
memang cemerlang.
“Kenapa?” Esteban bertanya lembut.
“Sebab saya takde sebab untuk keluar dengan awak. Tolong
ke tepi, saya nak lalu.” Aku cuba untuk berlalu tetapi Estaban dengan pantas
menghalang dengan meletakkan tangannya di kiri dan kanannya bagi menghalang laluan
ku. Lorong di antara rak itu yang agak sempit dan rak itu yang disusun rapat ke
dinding telah membuatkan aku terkandang di situ tanpa dapat mencari jalan
keluar yang lain. Gelagat Estaban benar-benar membuatkan aku terasa mahu
menjerit untuk meluahkan rasa marah yang sudah meruap-rupa. Tetapi masalahnya
kami sedang berada di dalam perpustakaan. Terpaksalah ditahan hatinya yang
bengkak.
“Jangan
ganggu sayalah, Estaban. Saya tak suka. Tolong ke tepi!” aku sekadar mampu membentak
dengan nada tertahan.
“Keluar dengan saya. Kita pergi makan dan berjalan-jalan.
Saya nak dating dengan awak.” Estaban sekali lagi
mengulangi kemahuannya tanpa mahu berkompromi.
“Saya
tak nak! Awak tak faham bahasa inggeris? Saya tak pandai berbahasa lain selain dari itu. Saya belum lagi belajar
bahasa awak. Jadi tolong jangan buang masa saya. Saya malas nak layan awak!”
masih dengan bentakan yang tertahan aku menolak ajakan itu.
Estaban tenang sahaja dengan senyum menggoda. Dia
memandang ku lembut tetapi aku membalasnya dengan pandangan tajam. Sedikit pun
aku tidak tergoda dengan renungan lelaki itu. Satu perkara lagi yang aku tidak
suka dengan lelaki ini adalah mengenai rambutnya. Estaban yang
berambut keperangan menyimpan rambut panjang sehingga ke tengkok persis seorang
romeo. Aku pula lebih suka
lelaki yang berpenampilan matang dan kemas. Bukannya romeo biarpun hati ku
sering mengakui lelaki ini memang cukup tampan.
“Awak cuma membazir masa saya. Tepilah!” Aku cubaa
menolak tubuh Estaban apabila lelaki itu tetap enggan mengalah.
Esteban tergelak suka apabila tolakan itu tidak
mendatangkan apa-apa hasil. Sebaliknya berdua mula berdiri rapat. Peluang yang
datang segera digunakan oleh Estaban sebaiknya. “Saya dah lama sukakan awak.
Boleh jadi teman wanita saya?” bisik Estaban lembut.
“Saya tak suka awak langsung!” balas ku selamba sambil
menolaknya lagi tetapi Estaban masih juga tidak berganjak dari situ. Geram
sungguh aku dengan kelakuan Estaban. Seperti mahu mendidih darah ku melihat
sengih nakalnya.
“Tepilah! Saya jerit nanti awak juga yang susah!” aku
mula melemparkan ugutan itu dengan tegas agar lelaki miang ini mengerti yang
aku tidak main-main.
“Kalau
awak menjerit saya cium awak nanti. Saya tak kisah dihalau keluar dari sini
asalkan saya dapat apa yang saya angankan. Jeritlah!” dia membalas semula dengan
muka selamba. Ugutan ku itu kedengaran amat tidak laku untuknya. Aku pula yang
seriau mendengar ugutannya semula.
Cium?
Yeak! Menjijikkan sungguh. Melihat lelaki itu yang sememangnya tidak reti
bahasa aku akhirnya bertindak nekad memulakan tindakan. Tubuh lelaki itu ku rempuh kuat. Estaban terdorong
sedikit ke belakang. Dia sempat ketawa kecil dengan gelagat ku. Malas mahu
melihatnya lagi, aku terus berlalu ke meja belajar. Semua orang kelihatan
sedang sibuk mengulang kaji pelajaran tetapi Estaban sibuk menggatal pula.
Aku sangka semuanya akan berakhir di situ. Namun tidak!
Tidak berjaya kali itu Estaban berusaha lagi kali ini. Tumpuan belajar aku pula
yang sengaja diganggunya. Lelaki itu sengaja duduk berhadapan dengan ku selang
beberapa barisan meja dari tempat aku dan Ameena belajar. Dia sengaja duduk
menghadap kepada ku agar dirinya kelihatan di pandangan mata ku.
Aku mula lemas melihatnya. Aku cuba juga untuk tidak mengindahkannya
tetapi gagal. Aku benar-benar tidak selesa apabila Estaban duduk merenung
kepada ku dari tempat duduk lelaki itu. Menyampah dengan kelakuannya akhirnya
aku bangun dan berpindah duduk berhadapan dengan Ameena dan sekaligus
membelakangi Estaban. Ameena memandang hairan dengan kelakuan ku yang tidak
tentu arah itu.
“Ada setan kacau!” bisik ku teramat perlahan. Jikalau
pengawai perpustakaan itu mendengar suara kami akibatnya mungkin kami terpaksa
belajar di kaki lima perpustakaan sebagai hukumannya.
Ameena menahan tawa apabila ternampak orang yang
dimaksudkan oleh ku. Tanpa mempedulikan lelaki itu kami tetap meneruskan ulang
kaji. Tetapi keamanan itu hanya seketika menjadi milik ku. Aku pantas menoleh
apabila terdengar kerusi yang kosong bersebelahan dengan ku ditarik seseorang.
Bagaikan mahu pengsan aku apabila melihat dengan selambanya Estaban mula
berpindah duduk bersebelahan dengan ku. Ameena turut memandang kelakuan Estaban
dengan mata buntang. Dia juga terkejut dengan keberanian lelaki itu. Kemudian
dia mula menunjukkan muka tidak senangnya kepada ku bagaikan meminta aku segera
‘menguruskan’ lelaki tidak tahu malu itu. Dia sendiri sudah mula terasa
terganggu.
Aku menghela keluhan keras. Apa lagi yang dia nak ni?
Bentak hati ku sebal. Sakit betul hati ku dengan perbuatan lelaki itu. Bila
masanya aku dapat merasa hidup aman tanpa gangguan? Lelaki itu pula dengan
lagak machonya tersenyum mahu menggoda. Aku cuba bertahan dengan membiarkan
Estaban begitu sahaja. Bukannya apa.. bimbang juga aku jika akhirnya aku kalah
dengan kepakaran Estaban yang sememangnya amat pakar memikat perempuan. Oh,
tidak!
Estaban memulakan agendanya. Hujung lengan baju ku
dikuis-kuisnya sambil memerhatikan aku. Aku menoleh dengan renungan tajam.
Tetapi dia tersenyum sambil membuat gerak bibir yang dapat ku fahami. Katanya I
love you..
Aku menggeleng seketika sambil mencapai kertas memo pad
di hadapan ku, lalu aku coretkan sesuatu dengan pantas di atas memo pad itu.
Selesai itu kertas itu ku serahkan kepada Estaban dengan harapan selepas
membaca mesej itu dia akan segera mengerti dan pergi jauh dari ku.
+Stay away from me! I’m not intrested with
you!
Estaban
membacanya. Dia tersenyum biasa. Seketika kemudian dia mencapai pen di tangan
ku lalu mencoretkan sesuatu di atas memo pad yang sama lalu dikembalikan semula
kepada ku. Dia tersenyum meleret saat aku memandangnya. Aku menjeling lagi.
Tidak enak benar rasa di dada ku saat melihat senyuman lelaki itu.
-I don’t care. Dinner with you tonight,
please…
Aku
menggeleng sebal setelah membacanya. Memo pad itu ku ramas dan dengan selamba aku lemparkan kepada Estaban.
Malas melayan, aku kembali menumpukan perhatian kepada buku yang sedang terbentang
luas. Tiada gunanya aku terus melayan Estaban di situ. Dia memang jenis muka
tembok! Lelaki tidak tahu malu! Itulah persepsi ku kepada dia selama aku
mengenali lelaki itu.
Namun semakin bayangan lelaki cuba ku nyahkan dari ruang
mata ku, semakin itu perasaan ku haru biru dalam diam. Ternyata kehadiran
lelaki itu di sebelah ku membuatkan segalanya jadi tidak kena. Apa yang aku
baca di atas muka buku itu pun tidak mampu aku tafsirkan. Aku tidak tahu
mengapa.. perasaan ku jadi tidak aman sama sekali. Mahu bernafas pun aku terasa
teramat sukar. Aku benar-benar lemas dengan kehadiran buaya darat itu. Aku tak
suka dia! Jerit hati ku sendiri.
Akhirnya aku memutuskan untuk pergi sahaja dari situ.
Spontan aku mengisyaratkan Ameena agar kami pulang sahaja. Ameena yang mengerti
mula akur. Kami mula mengemas barang kepunyaan kami di atas meja itu. Mungkin
lain kali sahaja aku meminjam buku dari perpustakaan ini. Selesai itu kami
berdua terburu-buru meninggalkan Estaban yang terpinga-pinga memandang kepada
ku. Dia seperti tidak bersedia untuk ditinggalkan di situ sendirian. Sebelum
pergi hanya senyuman sinis yang sempat
ku hadiahkan kepada Estaban.
Aku tak hairanlah dengan kau, jantan!
2
Keluar makan dengan Menaci,
Terserempak pula dengan si Mutu,
Jangan sesekali berkata benci,
Jika hati sudah diusik rindu.
Ajakan
untuk keluar oleh Estaban mati begitu sahaja buat beberapa hari ini. Aku
benar-benar kelegaan setelah melihat Estaban bagaikan hilang mood mahu
mendekati ku apabila aku sekadar dingin dengan lelaki itu. Sehari-hari ini kami
memang ada bertemu tetapi selalunya aku melihat Estaban seronok berkepit dengan
gadis kampus yang sebangsa dan sekufu dengannya. Cinta konon!
Bagi ku jarak yang terhasil buat beberapa hari ini
bagaikan rahmat pula untuk ku. Kalau Estaban sibuk dengan gadis lain bermakna
dapatlah aku bernafas dengan aman tanpa dikacau lagi olehnya. Aku memang suka
sangat-sangat dia menumpukan perhatiannya kepada orang lain berbanding kepada
ku. Takut lama-lama nanti aku pulak yang sakit tekak menjerit kepadanya.. tak
pun sakit jiwa!
“Insyirah..” panggilan suara garau seorang lelaki
mematikan langkah ku yang sedang menuju ke Memorial Court. Aku segera mencari
siapa yang memanggil. Berkerut dahi ku sedikit apabila melihat Ryan teman sekufu
dengan Estaban datang mendekati ku. Namun sebagai tanda menghormatinya aku
tetap tersenyum kepada Ryan. Setahu ku kesemua kawan-kawan Estaban memang
terdiri daripada anak-anak orang kenamaan dan ada juga anak bangsawan. Aku tahu
Ryan juga tidak ketinggalan sebagai ‘anak seseorang’ di London ini kerana
bapanya ada membawa gelaran ‘duke’ pada pangkal namanya. Tetapi tidak pedulilah
anak siapa mereka. Jika mereka baik, tidak bersebab untuk aku menyombong dengan
mereka. Melainkan si jantan mancholah yang sering sahaja mengganggu
ketenteraman hidup orang lain, terutama sekali aku!
“Ada apa, Ryan?” soal ku bersahaja.
“Estaban berikan ini kepada awak.” Ryan lantas menghulurkan
sebuah beg kertas yang sederhana besar kepada ku.
Aku memandang seketika bungkusan itu tanpa segera mengambilnya.
Apa pulaklah kali ini? Mungkin ada senget sedikit otak Estaban jika dia menyangka
yang dia sudah mampu membeli jiwa ku dengan pemberian ini. Sama sekali tidak!
“Untuk saya ke bungkusan ini?” soal ku pura-pura bodoh
dengan kerutan di wajah. Sengaja buat-buat pelik padahal aku sudah lama tahu
inilah salah satu cara Estaban memikat perempuan.
Ryan mengangguk sambil tersenyum. “Dia memang sukakan
awak sungguh-sungguh, Insyirah. Jangan hampakan dia,” kata Ryan Edmund lembut.
Cuba memujuk ku pula bagi pihak teman karibnya itu. Tak tahu pulak aku yang
Ryan ni rupanya consultant cari jodoh..
Aku terdiam sambil berfikir seketika. Wajarkah aku
mengambilnya? Kalau kali ini dia menolak apa pula ulah Estaban yang seterusnya?
Tetapi seketika kemudian terdetik satu idea di fikiran ku. “Terima kasih,” ucap
ku setelah menyambut huluran Ryan itu.
Tanpa kata-kata lagi aku terus meninggalkan Ryan. Tetapi
hala tuju ku bukan lagi ke Memorial Court sebaliknya ke tempat yang boleh aku temukan
Estaban. Aku tahu mamat romeo itu pasti masih ada di sekitar kawasan fakultinya.
Aku sudah benar-benar faham inilah masa terbaik untuk playboy itu mengurat
gadis-gadis di kampus ini.
Aku yakin Estaban menganggap diri ku sama seperti perempuan-perempuan
lain yang selalu dikepitnya. Mungkin pada fikiran Estaban, aku juga boleh
dikelek sehingga ke tempat tidur dengan mudah. Kalau benarlah itu
penilaiannya.. nampaknya dia dah salah orang! Biarlah sekacak mana lelaki itu,
aku sama sekali tidak akan menggadaikan diri ku demi lelaki seperti itu.
Bodohlah aku jika membiarkan lelaki asing itu memperlakukan diri ku sama seperti
sepah yang boleh dibuang begitu sahaja setelah madu habis dihirup.
Sepanjang pencarian aku sempat bertanya beberapa orang
yang rapat dengan Estaban. Akhirnya aku menemukan salah seorang bekas teman
wanita Estaban. Anne mengatakan dia ada melihat Estaban bersama seorang gadis
di The Colony Sport Ground iaitu taman yang luas menjadi kawasan riadah untuk
pelajar-pelajar seperti kami. Di sana penuntut-penuntut boleh memilih untuk
mencuba apa-apa sukan yang disukai.
Mendengar jawapan wanita berambut perang itu aku lantas menghayun
kaki ke sana. Tidak lama selepas pencarian ku, kelibat lelaki yang ku cari mula
dapat ku temui. Estaban kelihatan sedang bersantai seperti sedang berkelah
bersama seorang gadis lain di tepi padang Ragbi. Senang hati betul Estaban
melakukan aksi bercumbu rayu di situ. Sikapnya benar-benar menjelakkan aku yang
melihatnya. Lelaki itu berbaring di atas rumput yang tebal dan bercumbu mesra dengan
gadis itu tanpa mempedulikan pandangan mata orang ramai kepada mereka berdua. Lama
aku berdiri memerhatikan gelagat lelaki itu.
“Ehemm..” Aku mencelah sedikit keasyikan mereka dengan
dehemannya itu tanpa berniat mahu mengganggu.
Estaban sepantas kilat menoleh mencari suara ku. Apabila
ternampak wajah ku, dia segera bangun dan tersenyum. Teman cumbuannya terus diabaikan.
Dia tersengih kepada ku tanpa sebarang rasa malu atau bersalah akan perlakuannya
tadi.
“Hai..” Estaban menyapa ku.
“Ini untuk saya?” soal ku sambil menayangkan beg kertas
yang dititipkan melalui Ryan sebentar tadi. Sapaannya tidak ku layan.
“Awak sudah terima?” soal Estaban mula senang hati
apabila melihat apa yang diberikannya sudah berada di tangan ku. Mungkin dia
menyangka aku datang untuk berterima kasih kepadanya.
“Awak rasa saya terima ke?” aku sengaja mengembalikan
soalan itu kepadanya antara nada sinis dan mengejek.
“Awak harus melihatnya. Saya membelinya di Lambordia dan
ianya bukan murah,” ucap Esbatan dengan senyum lebarnya. Ada terselit nada bangga
dalam kata-katanya.
Aku mula mengukir senyuman sambil menjenguk seketika ke
dalam beg kertas itu seperti yang disarankan Estaban. Tetapi biarpun sekadar
melihatnya sekali imbas aku tetap tidak berniat untuk membelek lebih lama baju
yang dibelikan Estaban. Baju itu tidak menarik sedikit pun pada mata ku ini,
walaupun aku tahu nama yang disebut Estaban adalah salah satu jenama gaun
wanita yang berharga ribuan pound. Bagi ku ini bukanlah satu pemberian tetapi
penghinaan.
Estaban mula mendekati ku. Beg kertas itu diambilnya dari
tangan ku. Isi kandungannya dikeluarkannya. “Tengok ni.. cantikkan?” ucap
Estaban lalu menayangkan gaun singkat itu kepada ku. Aku sekadar memandang
kosong tanpa terkutik biar sedikit pun dengan perbuatan lelaki itu.
“Awak akan kelihatan lebih cantik setelah memakainya.
Tengoklah.. ” Estaban mengunjukkan lagi gaun itu kepada ku.
Aku terus membiarkan gaun itu berada di tangan Estaban.
Tanpa menyentuhnya pun aku dapat melihat gaun itu sekadar menutup bahagian-bahagian
tertentu pada tubuh ku. Mungkin perekanya sengaja tidak menyediakan kain lebih
agar bahagian yang sulit terdedah. Dan kain itu juga agak nipis.
“Maaf, saya tak datang ke sini untuk berterima kasih,
sebaliknya saya mahu memulangkan semula gaun itu kepada awak. Saya tak pernah memakai
baju seperti ini,” jelas ku lembut namun serius.
“Awak belum memakainya bagaimana awak tahu awak akan
menyukainya atau tidak? Cubalah dulu. Sekurang-kurangnya saya takkan terasa
hati jika awak mengambilnya walaupun awak takkan memakainya untuk saya,” pujuk
Estaban separuh merayu.
Aku tetap menggeleng. Bagaimana untuk aku memakainya jika
tudung di kepala ku ini pun tidak pernah ku lepaskan di tempat terbuka. Inikan
pula anggota tubuhnya yang lain. Aku masih waras. Aku tidak akan memakai baju
seperti ini di hadapannya walaupun harga baju ini sama nilainya dengan yuran
pangajian ku di universiti ini. Mengambil pemberian lelaki ini begitu sahaja tanpa
perlu dibalas? Tidak mungkin! Aku tidak mahu menjerat diri dengan budi yang
berharga semahal ribuan pound seperti itu. Pasti ada sesuatu yang harus aku berikan
kepada lelaki itu sebagai balasan. Jika tidak hari ini pasti suatu hari nanti
aku akan tersepit juga!
“Saya benar-benar mahu melihat awak memakainya, Insyirah.
Ambillah..” pujuk Estaban separuh merayu. Dia masih menghulurkan gaun itu
kepada ku bagi menyatakan kesungguhannya menghadiahkan baju itu.
“Pakaian ini akan mendedahkan sebahagian tubuh perempuan,
Estaban.” Aku menjawab tegas agar lelaki ini mengerti akan pendirian ku.
“Kecantikan tubuh wanita memang untuk lelaki, betul kan?”
sambut Estaban lebih pantas. Dia mengucapkan kata-kata itu seolah-olah tiada
kesalahan untuk dia mempermainkan perempuan seperti yang sering dia lakukan
selama ini.
Aku menggertap bibir menahan rasa mendengar kenyataan
lelaki itu. Terlalu rendah nilai wanita di mata lelaki ini. Mengapa dia begini?
Adakah kerana dia kacak dan kaya dia sudah cukup hebat sehingga semua perempuan
harus tunduk kepada nafsunya?
“Kecantikan tubuh wanita lain memang untuk santapan mata
awak, Estaban. Tapi bukan tubuh saya. Saya orang beragama islam dan mendedahkan
tubuh pada mata lelaki yang bukan suami adalah salah di sisi agama. Saya tidak
akan melakukannya biar sebanyak mana wang yang dah awak habiskan untuk
mendapatkan gaun ini. Mungkin ada baiknya awak berikan pada perempuan itu
supaya duit awak tu tak membazir. Dia tentu lebih pandai menghargai berbanding
saya,” balas ku sambil mengerling gadis yang masih duduk di atas rumput sambil
menatap perbualan kami berdua.
Estaban memandang gadis yang ku maksudkan tadi. Tetapi
kemudian dia mengalihkan pandangan kepada ku semula. Wajahnya jelas berubah
saat memandang bola mata ku. Riak wajahnya lebih kepada marah dan terkilan kerana
aku sudah menolak pemberiannya. Tetapi biarlah apa pun riak yang mahu
ditunjukkan Estaban saat ini. Aku tetap tidak peduli.
“Jangan marah sebab saya tak suruh awak beli gaun ini.
Atau sekurang-kurangnya awak kenalah tanya saya dulu sebelum awak menghabiskan
duit untuk saya,” ujar ku tanpa merasa bersalah memaparkan muka tidak beremosi untuk
menyakitkan hati Estaban yang bongkak itu.
“Kenapa dengan awak semuanya begitu susah?” soal Estaban
serius.
“Kenapa mesti saya? Kan ramai lagi perempuan lain?” Aku
tidak menjawab sebaliknya bertanya semula kepadanya.
“Saya Tanya, awak kena jawab. Jangan jawab soalan saya
dengan soalan juga. Kenapa dengan awak semuanya susah?” nada lelaki itu mulai
tidak mesra kepada ku. Soalannya tadi diulang semula untuk ku jawab.
Aku menghela nafas perlahan sambil memandang wajah
Estaban. “Awak nak tahu, okay! Saya bagi tahu..” ucap ku nekad. “Dengan saya
memang susah, sebab saya bukan dia.. bukan juga perempuan-perempuan yang awak
peluk setiap hari. Saya bukan perempuan simpanan awak. Puas hati sekarang?” jawab
ku serius. Kedua-dua tangan ku silangkan ke dada dengan muka selamba. Aku sudah
bersedia untuk menentang apa sahaja pendirian lelaki ini mengenai diri ku.
“Awak juga perempuan. Apa naluri perempuan seperti awak
tidak sama dengan yang lain? Awak dari planet mana?” Estaban membalas kata-kata
ku dalam nada ejekan bagaikan sengaja mempersendakan pendirian ku tadi.
Aku mula menghela nafas perlahan mendengar ucapannya itu.
Sabar ajalah aku dengan jantan ni! Hati ku berbisik halus. “Ya.. saya memang
perempuan. Mata saya juga mata seorang perempuan yang suka memandang lelaki. Tapi
saya perempuan yang beragama islam. Saya berpegang kepada ajaran agama saya
yang melarang saya bergaul bebas dengan lelaki. Saya perempuan yang bermaruah
yang takkan sewenang-wenangnya membiarkan tangan lelaki asing memegang tubuh
badan saya. Saya perempuan yang tidak akan sesekali membiarkan mata-mata lelaki
asing melihat bentuk tubuh saya terutama sekali buaya darat macam awak, yang
sudah pakai kemudian tinggalkan! Saya perempuan yang tidak akan membiarkan diri
saya ditiduri oleh lelaki yang tak bertanggungjawab macam awak! Saya perempuan
yang tidak akan menanggalkan biarpun sekadar penutup kepala saya ni di hadapan
lelaki yang bukan suami saya iaitu awak! Sekarang awak tahu saya dari planet
mana?” jawab ku tegas enggan tunduk kepada kehendak lelaki itu.
“Wow! Awak begitu mahal..” Estaban mengejek ku lagi
sambil tergelak. Gaun itu dikembalikannya ke dalam beg kertas itu lalu diletakkan
di hujung kakinya. Dia berselok poket dengan wajah jengkel setelah mendengar ucapan
ku tadi.
“Terpulanglah kepada penilaian awak. Walau serendah mana
pun penilaian awak tentang diri saya, takkan mencacatkan saya sedikit pun. Saya
tetap macam ni. Awak boleh teruskan hidup awak dengan tabiat awak. Saya pula
akan teruskan hidup saya dan pendirian saya. Adilkan? Ini negara demokrasi!
Kita ada kebebasan memilih, wahai Estaban Joseph Buhler!” ucap ku mula
mengeraskan nada ku.
Estaban mula merenung ku dengan rahang yang sudah
dikertap. Dia benar-benar tercabar dengan kata-kata ku tadi. Aku hanya
memandang selamba lelaki di hadapan ku itu. Marah ke? Ada aku kisah?
“Saya dah takde apa nak dikatakan lagi. Ambillah semula
baju tu sebab saya tak perlukannya. Maaf, kalau kedatangan saya menggangu awak
bermesra dengan dia. Kasihan perempuan tu tertunggu-tunggu. Pergilah semula
pada dia.” Dengan selamba aku menyindir lagi. Sengaja aku menjuihkan bibir kepada
gadis tadi.
“Macamana caranya baru saya dapat keluar dengan awak,
Insyirah? Saya cuma nak habiskan sedikit masa dengan awak.” Estaban sempat
memujuk lagi sebelum sempat aku menghindar.
“Takde caranya. Saya perlukan sebab untuk keluar dengan
awak. Tapi malangnya saya takde sebarang sebab untuk buat macam tu. Tolong
berhenti buat macam ni. Saya takkan ubah keputusan saya biarpun awak membelikan
saya sebahagian tanah di London ini!” putus ku kemudian aku terus meninggalkan
Estaban bersama baju itu.
Saat berlalu pergi aku sempat tersenyum puas hati. Aku
harap selepas ini Estaban mengerti yang dia memang tiada sebarang kepentingan
dalam hidupku. Selama aku mengenalinya aku sama sekali tidak pernah menanam
biar secebis pun impian untuk didekati oleh lelaki seperti itu. Aku harap
Estaban mengerti itu semua sama sekali tidak pernah ada dalam agenda hidup ku
selama aku berada di Cambridge ini.
Aku dan
Ameena keluar untuk membeli barangan keperluan di Bismillah Halal Grocery yang
terletak di Mill Road pagi itu. Kami sama-sama tidak mempunyai kuliah dan
inilah masa yang sesuai untuk kami gunakan bagi membeli barang keperluan
harian. Di pasaraya itu muka kami semua memang sudah dicop sebagai pelanggan
tetap kerana di situ mudah untuk kami mendapatkan keperluan harian dan daging
halal dengan harga yang agak murah. Sesuailah dengan ekonomi aku sebagai pelajar
yang awal semesta penuh tengah semesta mula kempeslah poket.
Aku dan Ameena menghabiskan masa lebih empat jam membelek
barang-barang keperluan seperti barang dapur dan barang-barang mandian di situ.
Puas juga menjelajah pasaraya itu sehingga aku sendiri tidak sedar yang sudah
agak lama kami berada di situ. Lenguh lutut dibuatnya kerana berdiri terlalu
lama. Namun lama kelamaan aku dan Ameena sudah terpisah arah. Ameena entah di
lorong mana.
“Hai!” sapaan itu benar-benar mengejutkan aku yang
bersendirian membelek Krim mandian. Aku lantas menoleh. Tidak perlu diteka lagi
kerana aku sudah cukup kenal dengan suara lelaki itu.
“Awak?” soal ku masih terkejut. Hampir terbeliak mata ku
memandang Estaban yang sedang mengukir senyuman manis kepada ku.
“Ya..” Sepatah sahaja jawapan Estaban. Aku memandang
sekeliling. Bayang Ameena masih tidak kelihatan. Entah kenapa aku kalut
seketika di situ. Aku benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki
ini di sini.
“Dia ada kat sebelah sana..” ujar Estaban sambil
menunjukkan ke satu arah. Macam tahu aja siapa yang sedang aku cari.
“Siapa?” soal ku buat-buat tidak mengerti siapa yang
dimaksudkan lelaki itu.
“Kawan awak. Saya nampak dia kat lorong sana..” jelas
Estaban lembut.
“Awak buat apa kat sini?” soal ku kepada lelaki itu.
Gelagat lelaki itu yang berdiri sambil berselok poket jeansnya ku kerling
dengan ekor mata.
“Saya cari awak..”
“Cari saya untuk apa? Macamana awak tahu saya di sini?”
soal ku masih tidak berpuas hati. Takkanlah dia mengekor aku pulak?
“Saya tahulah.. saya pun tahu di mana awak tinggal. Inikan
tempat saya?” balas Estaban lembut. Matanya masih merenung mesra kepada ku
tanpa berkelip. “Awak cantik sangat macam ni. Saya suka tengok awak berpakaian macam
ni. Nampak ringkas..” pujinya perlahan. Matanya sempat memandang ku dari atas
ke bawah.
“Apa yang
cantiknya macam ni?” balas ku selamba sambil buat-buat membelek krim mandian di
tangan ku itu. Rasanya aku biasa aja. Dengan mengenakan blaus longar yang labuh
sehingga ke bawah punggung dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru,
apa yang cantik benar?
Estaban tidak membalas. Setelah beberapa ketika mereka
berdiam aku mula memerhatikan lelaki itu. Lelaki itu sedang memandang wajahnya.
Renungan itu membuatkan aku mula merasa canggung. Aku pun takde idea apa yang mahu
dibualkan dengan Estaban. Sedikiy sebanyak ketenangan ku sudah mula diusik
dengan kehadiran lelaki itu. Mahu marah.. rasanya tidak kena pula. Lagipun apa
hak aku untuk menghalang kedatangan lelaki itu ke situ? Pasaraya ini bukannya
aku yang punya!
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku mula tidak
senang dengan gelagatnya. Aku sendiri sudah merasa serba tidak kena. Malu pun
ada!
“Saya suka tengok awak. Awak buat apa lepas ni?” ucap
Estaban sambil tersenyum mesra.
“Balik!” jawab ku sepatah.
“Saya hantar awak, boleh?” tanya Estaban lembut.
“Saya datang naik bas jadi balik pun mesti naik bas..”
Aku menjawab selamba. Serentak itu aku bergerak meninggalkan kawasan itu untuk
menjauhi lelaki itu. Namun Estaban lantas mengekori ku.
“Kalau saya hantarkan pun takpekan? Takde salah.” Dari
belakang ku Estaban membalas.
“Tak salah. Tapi saya yang tak nak!” aku menjawab serius tanpa
memandang lelaki itu. Bakul yang ku bawa agak berat. Aku mula memegangnya
dengan kedua-dua belah tangan. Namun tiba-tiba terasa bakul itu ditarik
seseorang dari belakang.
“Tak payahlah! Saya boleh bawak..” getus ku tidak senang
apabila melihat Estaban mula menarik bakul itu dari pegangan ku.
“Takpe. Bakul ni berat. Biar saya yang pegang untuk
awak..” ucap Estaban enggan mengalah kepada ku. Bakul itu ditariknya juga
sehingga aku akhirnya membiarkan bakul itu berada di tangannya.
Namun aku mula menghela nafas perlahan. Aku benar-benar
tidak senang dengan keadaan ini. “Awak nak apa dari saya ni, Estaban?” soal aku
sedikit tertekan. Kalau boleh aku mahu terus berada di situ tanpa kehadiran
Estaban. Tetapi lelaki ini nampaknya juga mahu terus menghimpit ku.
“Saya cuma nak temankan awak..”
“Kan Ameena ada dengan saya? Tak payahlah awak
sibuk-sibuk mengekor saya ke sana ke mari. Saya rimaslah!” Aku membantah
kehendak lelaki itu. Aku tidak mahu Ameena ternampak Estaban berada di sini.
Nanti tiba-tiba sahaja Ameena bertukar minat menjadi wartawan gosip!
“Kalau saya yang temankan apa salahnya?” jawab Estaban
terus berlembut dengan ku.
“Estaban, awak ni memang tak faham-fahamkan? Saya tak
mahu awak ada di sini. Tolonglah pergi. Jangan ganggu saya!” tekan ku mula
geram dengan lelaki itu.
“Insyirah, saya cuma nak berkawan dengan awak. Awak belum
kenal siapa saya sebenarnya. Saya tak seburuk yang awak sangkakan. Saya cuma
nak dekat dengan awak.” Lelaki itu menjawab semula. Kali ini nadanya teralun
amat lembut bagaikan mengharap sesuatu dari ku.
Dah agak dah! Mesti dia nak sesuatu dari aku! Aku
mengeluh perlahan. Bakul di tangan Estaban cuba ku ambil semula namun lelaki
itu enggan melepaskannya.
“Please.. saya betul-betul sukakan awak,” ucap Estaban
lagi.
“Saya tak sukakan awak. Sikit pun tak!” tegas ku tidak
melayan luahannya itu.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Awak langsung tak mahu berbaik dengan saya?” Suara
lelaki itu merendah. Ada nada kecewa teralun dalam suaranya. Begitu juga dengan
pandangan matanya kepada ku. Namun sedikit pun aku tidak mahu memberi peluang kepadanya.
“Untuk apa saya berbaik dengan awak? Awak yang buat saya
tak suka dengan perangai awak selama ni. Lagipun ucapan ‘suka’ macam yang awak
sebutkan tadi tu.. tak boleh dipercayai langsung! Awak ni kaki perempuan. Jadi
tolong bagi balik bakul ni. Saya dah nak balik!” tukas ku keras tanpa mahu
melayan perasaan lelaki itu kepada ku.
Estaban terus kehilangan bicara saat itu. Akhirnya bakul
itu dilepaskannya juga kepada ku. Langkah ku yang semakin menjauhinya tidak
lagi diekori. Sebaliknya dia memandang sahaja dengan seribu kehampaan. Akhirnya
tanpa kata dia berlalu dari pasaraya itu.
Aku mula menarik nafas lega apabila dari jauh aku melihat
Estaban berlalu. Aku mula mencari Ameena yang kini entah ke mana hanyutnya.
Bimbang Estaban kembali semula aku nekad enggan terpisah lagi dari Ameena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan