“Mana anak-anak saya?” soal Ariff setelah
masuk ke bilik ku petang itu.
“Jangan kacau. Dia orang baru aja tidur,”
tegah ku. Aku tahu apa dia nak buat.
Ariff tersengih lalu duduk di tepi ku. “Kalau
awak tak bagi saya cium anak-anak saya.. biar saya cium awak,” ucapnya nakal.
Terus di dekatkan wajahnya ke pipi ku.
“Janganlah..” tolak ku sambil menjauhkan wajah
ku darinya. Bukannya aku kedekut benar.. kalau setakat bermesra begitu tidak
salah. Tapi yang jadi masalahnya, lelaki seorang ini bila dibagi betis mulalah
mintak paha pulak. Dalam keadaan aku begini separas pusat sehingga ke lutut
haram untuknya. Jadi paha dah kira haram dah tu!
“Kalau awak tak mahu, saya nak cium anak-anak
saya..” ugutnya selamba.
“Sabarlah.. anak-anak awak baru aja tidur.
Nanti terjaga saya jugak yang pening,” jawab ku sebal. Aku baru nak berehat.
Dia dah nak kejutkan hero aku dua orang itu.
Namun Ariff tetap tidak mempedulikan teguran ku.
Dia terus mendekati anak-anaknya di atas tilam kecil di sebelah ku itu. Ariff
terpaku seketika merenung wajah dua anak ku itu. Seketika kemudian dia
memandang aku pula. “Saya rasa seperti bermimpi sekarang. Semenjak saya tahu
awak dah nak bersalin, saya memang dah tak sabar untuk bertemu dengan mereka.
Sekarang baru saya tahu betapa indahnya perasaan menjadi seorang ayah,” luah
Ariff kepada aku yang sedang memerhatikannya. Aku tersenyum sebagai balasan
kepada bicara lelaki itu.
“Hello, sayang. Kenapa asyik tidur je?
Bangunlah.. main dengan daddy,” Ariff mengusik pipi anak sulung ku perlahan.
Kemudian dahi dua anak kecil itu dikucupnya secara bergilir. Kemudian berpindah
pula ke pipi anak-anak itu. Sehingga memerah pipi anak-anak itu akibat dikucup
gemas oleh Ariff. Aku yang memandang mula menggeleng. Kalaulah boleh susu badan
ku ini aku pindahkan kepada dia.. kan bagus? Biar dia pulak rasa macamana
payahnya menjaga anak. Orang lain satu aja baby, aku ni dua sekaligus! Bila
seorang terjaga, seorang lagi pun ikut terjaga jugak.
Namun melihat kemesraan Ariff melayan
anak-anaknya, aku merasa bahagia. Kini aku semakin yakin Ariff mampu menjadi
seorang ayah yang baik dan penyayang kepada dua putera kami itu.
“Mereka memang serupa dengan saya,” ucap Ariff
bangga. Tidak henti-henti senyumannya memekar di bibir. Raut anak-anaknya itu
dipandang penuh asyik. Bagaikan tidak pernah puas!
“Yalah.. macamana bapak macam tulah anak. Dia
orang memang lebih banyak ikut awak daripada saya,” cebir ku sendiri. Rambut
dah ikut Ariff. Muka dah dah sahlah seketul! Mana bahagian yang serupa dengan
aku? Entah!
Ariff ketawa perlahan mendengar ucapan ku itu.
“Awak jangan merajuk. Nanti bila kita ada anak perempuan, muka dia mesti ikut
awak. Sebab sama-sama perempuan,” ucap Ariff senang hati.
“Sedap aja awak bercakap nak anak perempuan
ya? Saya ni sihat pun belum lagi. Ngeri saya dengar apa yang awak cakap tu.”
Semakin galak pula Ariff ketawa. Seronok
benar! Yalah.. bab gentel anak serahlah kat dia. Cuba suruh bangun malam
susukan anak.. cepat aja dia tekup telinga dia dengan bantal. Cukup masa order
jelah nak anak lagi!
“Ariff, kita belum meletakkan nama kepada
mereka lagi,” kata ku cuba menarik perhatian Ariff kepada ku pula.
Ariff menoleh kepada ku. “Saya ingat abah dah
letakkan nama pada mereka berdua?” ujarnya dengan kerutan di kening.
“Kenapa pulak abah yang kena letakkan nama
sedangkan ini anak kita? awak bapaknya, awaklah yang kena letakkan nama,” getus
ku. Patutlah dia buat dono aja. Rupanya dia ingat itu semua abah punya urusan.
Ariff termanggu seketika. “Err.. saya tak
begitu tahu nama orang islam. Kalau saya letakkan nama yang saya tahu, pasti
awak akan menolak. Sebab nama itu tidak seperti nama orang islam,” balas Ariff
sambil terus memandang anak ku. Dikuit-kuitnya pipi anak sulung kami itu.
“Saya mahu meletakkan Muhammad pada mereka.
Nama awak ada Muhammad, seeloknya mereka juga harus ada nama seperti itu,” ucap
ku kembali. Itu yang sudah aku putuskan semenjak awal lagi. Nama itu juga
bersempena dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Kalau begitu saya mahu nama Mikhael dan
Rafael. Muhammad Rafael untuk abangnya dan Muhammad Mikhael untuk adiknya,”
balas Ariff spontan.
Aku terdiam seketika. Cuba memikirkan nama-nama
yang disebutkan oleh suami ku itu. Mikhael adalah nama malaikat pemberi rezeki,
sudah tentulah bagus untuk anak ku. Siapa tahu murah rezeki kami sekeluarga
nanti bersempena dengan nama itu. Tetapi Rafael agak asing pada ku. Dari mana
Ariff mendapat nama itu? Dah macam nama pemain bola sepak pulak.
“Awak tidak suka nama itu?” soal Ariff apabila
melihat aku tidak menjawab.
“Saya suka nama Mikhael kerana itu nama salah
satu malaikat tetapi nama Rafael agak lain. Macam nama orang Brazil aja?” jawab
ku sedikit ragu. Tampang suami ku itu ku pandang lama.
“Bukan! Itu bukan nama orang Brazil, sayang.
Saya pernah bertemu dengan orang islam yang bernama seperti itu. Saya sukakan
nama itu. Saya mahu salah seorang anak kita dinamakan dengan nama itu.”
Aku diam lagi sambil memandang suami ku itu.
Nak aku tolak.. tak sampai hati pula. Apa makna Rafael ya? Nantilah aku tanya
abah semula. “Macam nilah.. saya akan tanya abah dulu. Kalau nama itu tak
mendatangkan maksud yang buruk, saya setuju.”
Ariff ternyata amat gembira mendengar
keputusan ku itu. Dia kemudian mengesot kembali kepada aku yang sedang duduk
bersandar pada dinding bilik itu. Sempat juga dia mengipas-ngipas tubuhnya yang
kepanasan. Yalah.. bilik aku ni mana ada aircond macam bilik hotel mewah. Hanya
memiliki kipas di siling dan kipas meja.
“Panas ke?” sempat juga aku memerli melihat
gelagatnya.
“Bilik ni memang agak panas tetapi perempuan
di dalam bilik ni lagi panas..” jawab Ariff sambil tersengih-sengih kepada ku.
Dia duduk bersebelahan dengan ku sambil terus memaut tubuh ku kepadanya. Wajah
ku ditatapnya penuh rasa rindu. Segan pula aku dibuatnya.
“Hmm.. bau awak wangi macam.. er.. macam
resberry.” Ariff berbisik sambil menghidu dalam rambut ku. Sekali lagi dia mahu
melakukannya aku terus menolaknya.
“Saya tengah uzur. Selama saya masih di dalam
keadaan ini haram awak gauli saya. Saya harap awak faham. Bukannya saya tak
suka, tapi sentuhan awak harus tidak melebihi batas. Dari separas pusat
sehingga ke lutut haram untuk awak. jangan mulakan kalau awak tak kuat menahan
nafsu,” ujar ku lembut mengingatkan supaya Ariff membataskan sentuhannya kepada
ku. Kehendaknya juga harus tidak melebihi apa yang mampu aku berikan.
“Berapa lama awak akan begini?” soal Ariff
dengan sedikit kerutan di kening.
“Mungkin empat puluh hari mungkin juga lebih,”
jawab ku sambil mengerling lelaki itu.
“Kenapa lama sangat? Kurang sikit tak boleh
ke?” ucap Ariff selamba.
“Awak ingat melahirkan anak mudah? Anak awak
dua orang, Ariff. Saya terlantar berjam-jam menahan sakit untuk melahirkan
awak. Saya perlukan masa untuk sembuh. Takde kerja lain agaknya awak ni!” getus
ku geram.
“Oh.. begitu ke? Hmm.. takpelah. Untuk tempoh
ini awak berehatlah. Nanti bila awak dah sihat, awak beritahu saya ya? Saya
akan menunggu sampai awak sembuh.” Ariff berbisik lembut ditelinga ku. Senyuman
dan renungan mesranya menghantar keinginan lelakinya yang sudah lama tidak aku
tunaikan.
“Awak datang sini untuk itu saja? Awak ni
memang miang!” Aku menggumam geram. Itu sahajakah yang ada di fikiran lelaki
ini?
“Saya datang sebab saya rindukan awak dan
anak-anak saya. Tapi bila tengok awak saya macam ni memang tak boleh tahan.
Awak nampak seksi macam ni. Saya suka..” balas Ariff selamba sambil memaut
tubuh ku lebih erat.
Kata-kata Ariff itu membuatkan aku
terkebil-kebil memikir sendiri. Aku yang berkain batik dan bert’shirt begini
Ariff katakan sebagai seksi? Tang mana yang seksi benar?
Tetapi Ariff ketawa pula dengan reaksi ku itu.
Lengan ku diusapnya lembut. “Saya akan menunggu sehingga awak sembuh, sayang.
Lepas itu siaplah awak! Saya akan buat awak tertidur sehari suntuk sebab
keletihan,” balas Ariff dengan pandangan yang cukup mesra.
Seram sejuk aku melihat mata lelaki itu yang
redup semacam. Kata-kata serupa ugutan itu membuatkan aku kengerian.
Cepat-cepat aku mengalihkan perhatian kepada anak-anak ku itu. Salah seorangnya
bagaikan mengerti segera menyelamatkan aku dengan rengekannya.
Aku segera melepaskan pelukan Ariff. Anak itu
terus ku angkat lalu ku riba. Anak kedua ku itu terlelap semula apabila aku
menepuknya. Dengan kehadiran Mikhael takde Ariff boleh berbuat sesuka hati lagi
kepada ku. Selamat aku!
Malam
itu Ariff
bersantai sahaja di ruang tamu saat seluruh ahli keluarga ku itu sibuk bersolat
maghrib secara berjemaah. Aku pula yang baru selesai bertungku dan menyusukan
anak-anak segera memanggil suami ku itu masuk ke dalam bilik. Sebal benar aku
dengan sikap tidak tahu malu Ariff. Mujurlah emak dan abah mengerti keadaan
Ariff. Jika orang lain yang tengok, mesti aku yang akan dipersalahkan bila
suami tidak pandai bersolat. Langsung tidak ada segan silu Ariff dengan
kekurangannya itu.
“Awak tidak bersolat dengan mereka semua ke?”
soal Ariff kepada ku sebelum sempat aku meluahkan apa yang terbuku dalam hati
ku. Dengan selambanya Ariff duduk di sebelah ku di atas katil itu.
“Saya yang sepatutnya bertanya begitu dengan
awak. Saya tak bersolat kerana saya uzur. Haram saya bersolat dalam keadaan
saya tidak suci. Tapi awak tu.. saya nak ajar awak bersolat, awak degil. Saya
malu pada orang tua saya bila tengok keadaan awak macam ni,” tukas ku kesal
dengan sikap selamba Ariff.
“Kenapa nak malu pula?” soal Ariff mulai tidak
senang dengan bebelan ku. Aku sedar Ariff masih tidak tahu amat penting untuk
dia menjaga air mukanya sebagai orang islam. Amat penting untuk dia menjaga air
mukanya kepada Allah!
“Solatlah, Ariff. Awak dah ada kewajipan itu. Alasan
tak tahu, tak boleh diterima sebab awak diwajibkan belajar bersolat. Suatu hari
nanti apabila sampai masanya, anak-anak juga kena bersolat. Awak yang kena
mengajar anak-anak bersolat. Apa kata mereka kalau mereka nampak awak pula yang
tak bersolat?” pujuk ku cuba berlembut.
“Saya belum belajar lagi cara-cara untuk
bersolat. Nantilah..” balas Ariff selamba sambil menelentang di atas katil itu.
Reaksi sebegitulah yang paling menguji kesabaran aku, apabila aku mula bersuara
tentang agama kepada suami ku ini. Bukannya Ariff tidak mampu tetapi lelaki itu
sememangnya tidak mahu belajar! Malas memang alasan yang mudah untuk membiarkan
diri lalai.
“Sampai bila nak macam ni?” keluh ku sambil
menggeleng sendiri.
“Sampai bila-bila yang saya suka. Tengok sini
Insyirah, saya tak pernah memaksa awak dengan saya selama ini. Awak suka duduk
sini dengan keluarga awak, saya tak pernah membantah. Tetapi kenapa awak suka
memaksa saya membuat sesuatu yang saya tak suka?” balas Ariff dengan nada
tertahan. Mulalah dia naik angin. Namun masih dikawal suaranya. Mungkin dia
takut abah dan emak mendengar kata-katanya.
“Ini bukan soal paksa tapi kewajipan. Kalau
saya tak tegur, saya berdosa. Benda yang awak tak suka tu wajib hukumnya,
Ariff. Yang awak suka itu haram hukumnya. Saya bukannya nak paksa awak belajar
semuanya. Tapi belajarlah sikit-sikit dulu. Kemudian baru amalkan. Semua amalan
kita akan mendapat balasannya, Ariff. Allah tengok kita sepanjang masa. Awak
tak takut ke? Bukalah mata awak luas-luas. Awak suami saya. Takkan saya nak
relakan awak abaikan agama. Sedarlah.. awak seorang suami dan ayah sekarang.
Kita kena selalu berubah untuk kebaikan!” tekan ku bersungguh.
Ariff diam sahaja sambil menatap kipas yang
ligat berpusing.
“Ariff, awak dengarlah nasihat saya. Solat tu
ibarat sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumah. Kalau lima kali sehari
kita mandi di sungai itu lama-kelamaan segala dosa kita akan digugurkan Allah.
Awak tak mahu begitu? Bukannya susah. Hanya lima kali sehari semalam.
Belajarlah dulu, Ariff. Suatu hari nanti awak akan menjadi imam kepada saya dan
anak-anak kita,” nasihat ku lembut.
“Bila awak nak berhenti membebel mengenai hal
ini?” soal Ariff perlahan.
“Selagi Allah memberikan saya kekuatan saya
akan terus mengingatkan walaupun awak tak suka. Kerana itulah tanggungjawab
kita suami isteri. Kita saling melengkapi antara satu sama lain. Bila sampai
masanya Allah akan menutup mulut saya ni, awak takkan dengar lagi apa-apa dari
saya. Waktu tu awak akan buat apa sahaja yang awak suka sebab saya dah tak melihatnya
lagi!” serius kata-kata ku untuk membuatkan suaminya itu sedar.
Ariff menoleh memandang ku lama untuk memahami
ucapan ku tadi. Wajahnya mengeruh mendengar itu. “Apa maksud awak tadi? Awak
nak tinggalkan saya?”
“Hidup hanya sementara. Begitulah juga dengan
nyawa yang ada pada jasad kita ni. Kalau ditakdirkan saya diambil oleh Allah
kembali ke sisi-Nya, waktu tu segala tanggungjawab saya pada awak akan
terhenti. Tinggal awak sahaja mahu terus begini atau tidak. Selagi Allah
memberikan saya kesempatan dan kemampuan untuk menjalankan amanah ni, saya akan
jalankan sebaiknya. Tapi apa yang terjadi selepas itu saya hanya berserah pada
Allah,” jelas ku sekadar mahu mengingatkan.
Ariff mengeluh perlahan. “Saya sudah pernah
kehilangan suatu masa dulu. Tuhan memang tidak adil kepada saya kerana merampas
emak saya daripada saya dalam usia saya masih terlalu muda. Kalau terpaksa
kehilangan lagi Tuhan memang tidak pernah kasihan kepada saya selama ini,” luah
Ariff perlahan.
“Benarkah Allah tak adil kepada awak?” aku
menyoal lembut. Aku mahu Ariff menilai semula apa yang diluahkannya. Aku tahu
Ariff memaksudkan yang dia pernah merana setelah kehilangan ibunya dalam usia
yang muda. Bapa mertua ku pernah menceritakan tentang itu kepada ku.
“Allah rampas emak saya!” jawab Ariff pantas.
“Rampas? Perkataan tu tak sesuai untuk awak
gambarkan siapa Allah sebenarnya. Kita semua adalah milik Allah. Emak juga
sekadar pinjaman di atas dunia ini, Ariff. Tetapi Allah tidak pernah berlaku
kejam kepada setiap hamba-Nya. Allah tidak akan mengambil sesuatu dari kita
begitu sahaja. Setiap sesuatu yang Dia ambil Dia akan menggantikannya dengan
sesuatu yang lain. Pernah tak awak memandang semula apa yang ada dalam hidup
awak? Awak memang tiada emak tapi papa awak baik. Dia limpahkan awak dengan
kasih sayang. Dia mahu awak hidup sempurna dengan memberikan segala-galanya
kepada awak. Awak kaya raya dan ramai orang sayangkan awak. Awak tak perlu
bersusah payah untuk hidup selesa atas dunia ni. Tanpa pekerjaan yang baik atau
kelulusan tinggi awak tetap dapat hidup senang. Ramai orang lain disekeliling
awak yang ada emak tapi tetap tak seberuntung awak. Bukan semuanya yang kita
mahukan akan kita dapat, Ariff. Hidup tidak akan selamanya sempurna seperti
yang kita mahukan. Allah menguji kita dengan kehilangan untuk mengajar kita erti
bersyukur dengan apa yang kita miliki selama ini. Supaya kita dan orang
sekeliling kita beringat yang hidup ni bukan untuk selamanya. Kita tak patut
meminta-minta tapi kemudia tak mahu bersyukur,” balas ku lembut.
“Memang ramai orang sayangkan saya tapi
perempuan yang saya suka tak sayangkan saya. Betulkah Tuhan itu adil? Kalau
Tuhan adil mengapa dia buat saya jatuh cinta pada perempuan yang tak cintakan
saya?” celah Ariff lekas sahaja menggunakan topik itu untuk mematahkan hujah ku.
Matanya sempat mengerling sinis kepada ku.
Aku terpaku seketika memandang Ariff. Siapa
yang dia maksudkan? Aku ke? “Apa maksud awak?” rasanya lebih baik aku bertanya
daripada berbuat spekulasi sendiri.
“Awak tak cintakan sayakan? Saya tahu awak
memang tak pernah cintakan saya selama ini,” jawabAriff sambil merenung ku agak
tajam.
Aku sempat menghela nafas perlahan. “Apa bukti
yang mesti saya berikan untuk buat awak faham tentang perasaan sayang saya
kepada awak? Perhatian saya hanya pada awak seorang. Setiap apa yang saya
lakukan di belakang awak, saya akan fikirkan awak dulu. Saya tegur awak sebab
saya tak mahu hidup awak hancur, Ariff. Itu semua tak bermaksud yang saya
sayangkan awak?” balas ku sedikit kesal.
Ariff kembali terdiam. Dia kehilangan bicara
untuk membalas saat itu.
“Perlu ke kita menanti hingga kita hilang
sesuatu baru kita mahu menginsafi, Ariff. Apabila tiba waktunya masa yang dah
berlalu tidak akan berulang semula walaupun kita menangis dengan air mata
darah. Lebih rugi lagi kalau kita mati dalam keadaan Allah tidak ampunkan dosa
kita. Itu sangat dasyat, Ariff. Berubahlah selagi ada kesempatan. Bukannya
susah! Hanya mulakan dengan solat. Kalau jiwa kita dah terisi, insya-Allah
segala amalan yang buruk akan mudah untuk kita tinggalkan. Solat itu pembersih
jiwa, Ariff. Setiap apa yang kita lakukan setiiap hari itulah penyukat di mana
paras iman kita sebenarnya,” tambah ku lagi.
Ariff terus diam dengan muka ketatnya. Setiap
apa yang aku katakan macam tidak masuk langsung ke dalam dirinya. Aku hanya mampu
menggeleng melihat Ariff mula membalikkan tubuhnya menghadap ke arah lain.
Lelaki itu sudah mulai menunjukkan kebosanannya apabila diceramah lagi mengenai
Tuhan dan agama. Aku hanya mampu mengeluh melihat kedegilan suami ku itu. Susah
betul untuk menegur lelaki ini kerana tembok keegoannya mungkin melebihi
kukuhnya Tembok Berlin. Agaknya kalau dibom oleh nazi pun belum tentu runtuh
tembok itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan