Selepas masuk waktu asar aku
menjengukkan diri ke luar rumah. Dari ambang pintu dapur aku sudah terpandangkan
Ariff sedang duduk santai di pankin di bawah pokok rambutan di hadapan rumah ku
itu. Mata lelaki itu terdongak-dongak ke atas memandang buah rambutan yang
sedang melebat di pokok. Aku sempat menggeleng melihat dia berlenggeng dengan
baju yang tersangkut di bahunya. Aku terus bergerak untuk menyertainya. Bosan
pula berkurung sahaja di dalam rumah.
“Awak sudah baik?” Ariff segera bertanya apabila
melihat aku menjejakkan kaki ke tanah. Sebelum ini dia ada diberitahu oleh emak
ku yang aku sedang berpantang dari memijak tanah.
“Sikit..” jawab ku sambil duduk bersebelahan
dengan suami ku itu.
“Emak awak kata awak tak boleh memijak tanah
selagi awak masih..”
Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya
aku sudah tergelak. Keluguan si lelaki membuatkan aku rasa gelihati pula. Ariff
sudah tersalah faham dengan maksud emak ku itu.
“Kenapa awak ketawa?” soal Ariff hairan
melihat tingkah laku ku.
“Awak tak faham sebenarnya. Mak bukannya kata
saya tak boleh pijak tanah yang ada di kaki saya ni. Maksud dia, saya tak boleh
sesuka hati nak merayap keluar rumah dalam keadaan saya masih macam ni.
Contohnya saya tak boleh pergi ke kedai atau bershopping di pasaraya. Keluar
rumah pada waktu maghrib dan berembun di luar rumah waktu tengah malam memang
pantang besar bagi wanita yang baru lepas bersalin. Orang perempuan yang baru
lepas melahirkan anak tidak boleh membiarkan badannya kesejukan atau terdedah
pada angin luar kerana itu akan membuatkan badan akan sakit. Itulah maksud emak
saya,” jelas ku sambil tersenyum.
“Oh..”Ariff mengangguk akur dengan penjelasan
ku itu. “Emak awak walaupun sudah berusia empat puluhan tetapi dia masih cantik.
Dulu waktu saya pertama kali nampak mak saya ingat dia kakak awak,” komen Ariff
lembut.
Aku lantas menoleh memandang suami ku itu. Kembang
hati ku mendengar pujian itu. Tengoklah emak siapa? “Emak saya orang kampung
aja. Tapi orang macam kami ada banyak cara lain untuk menjaga kecantikan selain
daripada menghabiskan masa di Spa. Mak saya cuma suka makan sayur ulam-ulaman
selain dari mengamalkan petua orang-orang lama. Itulah yang dia ajarkan pada
saya selama ini. Kami tak mampu nak meluangkan masa di spa-spa sebab di rumah
ada banyak tanggungjawab,” ujar ku lembut.
“Iya? Apa petua yang mak awak ajarkan pada
awak? Boleh bagitahu saya?” soal Ariff berminat. Tampang ku ditatapnya mesra.
“Ini petua untuk orang perempuanlah! Awak
lelaki buat apa nak sibuk?” tukas ku selamba. Namun aku sempat tergelak melihat
gelagatnya.
“Emak awak cantik patutlah anaknya juga
cantik. Mungkin begitulah rupa awak bila awak berusia empat puluhan nanti.
Cantik dan langsing!” komen Ariff sambil tersenyum kepada ku. Bab memuji memang
serahlah kat dia..
Aku mencebik lantas pandangan ku larikan daripada
lelaki itu. Bukannya aku tidak suka pujian dari lelaki ini. Tetapi aku sudah
mengajar diri agar berhati-hati dengan pujiannya. Lelaki ini memang kaki
mengayat perempuan!
“Saya suka dengan kampung awak ni. Orang di sini
baik-baik semuanya,” ucap Ariff mengalihkan topik kepada kampung ini pula.
“Orang
di sini memang baik kepada orang luar. Tapi anak-anak dara di kampung ni awak
jangan buat main. Di sini awak kena berhati-hati dengan setiap perbuatan awak.
tidak semua orang di sini berfikiran terbuka,” ujar ku tentang adab sopan duduk
di kampung.
Ariff mula merenung ku dengan kerutan
keningnya. “Kenapa awak cakap saya begitu? Apa yang saya dah buat?” soalnya
tidak faham.
“Saya cakap ni bukanlah bermakna awak dah buat.
Tapi saya ingatkan sebelum awak buat. Jangan nanti awak nampak anak dara yang
putih melepak, awak kacau mereka sesuka hati awak macam awak buat pada saya
dulu. Kampung ni lain.. tak sama macam di London. Orang-orang tua di sini
memang baik dengan orang sekekiling. Tapi mereka juga tak moden tentang maruah
anak-anak perempuan mereka. Di sini kalau awak duduk berdua-duaan dengan
perempuan, orang kampung akan tangkap dan belasah awak. Lepas tu awak kena
mengahwini perempuan tu. Kalau awak nak rasa kena macam tu, cubalah buat!” dengan
lagak bersahaja aku memberitahunya.
Ariff terdiam seketika. Namun aku sempat
terkesan reaksi wajahnya sedikit berubah seolah-olah tidak menjangkakan sehingga
begitu sekali orang kampung ini menjaga maruah keluarga mereka. “Sampai macam
tu sekali ke? Kejamnya?” Ariff bertanya bersungguh.
“Saya dah kata kat sini tak begitu moden
seperti di London. Sikap saya awak anggap kolot sebab saya dah terbiasa dengan
persekitaran begini. Di sini emak dan ayah tak suka anak perempuan berkawan
rapat dengan lelaki sehingga menimbulkan pransangka tak elok orang lain. Semua
orang di sini menjaga adab sopan. Jangan berlagak seolah-olah awak sedang
berada di London, kalau awak tak mahu mendapat mimpi ngeri di sini. Kalau tak..
jangan pelik ini akan menjadi kali yang pertama dan yang terakhir awak berada
di kampung saya ni!” selamba sahaja aku berkata.
“Err.. saya takde kacau sesiapa. Kalau ada pun
saya hanya kacau awak saja. Saya tak pernah buat macam yang awak katakan tu
pada orang lain di sini. Jadi takde sebab mereka nak paksa saya kahwin dengan
sesiapa di sini. Saya sentiasa bersopan dengan sesiapa yang saya temui. Betul!”
ujar Ariff cukup serius.
Gelagatnya itu membuatkan aku segera
mengerutkan kening. Yang dia emosi sangat, kenapa pulak? “Saya ingatkan aja! Bukannya menuduh awak. Kalau
takde baguslah..”
“Awak menakutkan saya,
sayang.”
“Kenapa nak takut? Awak ada menggatal dengan
sesiapa ke di sini?” duga ku dengan kerlingan ekor mata.
“Sumpah takde! Saya tak pernah buat begitu!
Saya hanya selalu usik awak aja. Orang lain saya tak peduli!” tegas Ariff
dengan mata yang membulat kepada ku.
Aku mahu tergelak melihat wajah suami ku itu.
Kalau dah macam itu sekali reaksinya maknanya memang betullah dia tak buat.
Tapi sekali tengok memang gelihati. Tahu pun takut kau kan?
“Jadi awak akan ikut saya balik nanti?” soal
Ariff sambil menilik wajah ku dari tepi.
“Saya ingat awak tak mahu saya berada dengan
awak di sana.” Aku menoleh kepada Ariff dengan kerlingan ekor mata. Ariff
selalu terlupa apa yang diucapkan sebelum ini. Sebelum ini setiap kali kami
bertengkar mesti dia akan mengungkapkan yang dia tidak berharap yang aku akan
ke sana bersamanya. Sekarang lain cerita pula.
“Atau awak yang tak mahu berada dengan saya..”
Ariff pula membuat andaiannya sendiri tentang pendirian ku.
“Kalau saya tak mahu berada dengan awak, saya
takkan kahwin dengan awak. Saya sedar tangungjawab saya sebagai isteri, Ariff.
Awak tak benarkan saya keluar rumah bergaul dengan orang lain, saya ikutkan.
Apa lagi yang harus saya lakukan untuk membuktikan diri saya pada awak? Pernah
ke awak dengar saya kata saya tak mahu ikut awak balik ke London?” ucap ku agak
lirih. Susah benar mahu mencipta keserasian dalam hubungan ini. Kadang kala aku
rasa diri ku tidak difahami sedikit pun oleh lelaki ini.
“Kalau begitu kita akan balik ke London
bersama?” Ariff mula ceria mendengar kata-kata ku itu.
Aku menghela nafas perlahan. Bersama? Bermakna
dalam masa terdekat ini. Sudah bersediakah aku? Menjaga keluarga sendirian
tanpa kehadiran emak dan abah yang selama ini tempat aku meminta segala tunjuk
ajar. Cabarannya sudah dapat ku bayangkan Mampukah aku?
“Kita akan balik ke London bersamakan?” soal
Ariff sekali lagi setelah tiada kedengaran sebarang jawapan dari ku.
“Masakan sekarang? Awak dah tak tahan hidup di
sini?” soal ku semula. Bersungguh benar dia menagih jawapan. Aku jadi tidak
sanggup meminta sedikit masa lagi. Aku tahu lambat laun aku perlu juga ke sana.
“Bukanlah hari ini.. tapi dalam seminggu lagi.
Saya dah tak boleh tinggalkan kuliah lagi,” jawab Ariff lembut. Aku terdiam
memikir lagi.
“Kita balik nanti ya?” soal Ariff mesra sambil
memaut pinggang ku. Bibir ku segera mahu dicumbunya tetapi aku pantas mengelak.
Lelaki itu mula mendecit geram dengan
penolakan ku. “Masakan ini sahaja pun tak boleh?” ucap Ariff sebal.
“Janganlah kat sini. Orang tengoklah! Saya dah
puas menjadi bahan cerita orang. Saya tak mahu buat orang terus mengata saya
lagi,” balas ku perlahan.
“Bahan cerita orang? Apa yang awak maksudkan?”
soal Ariff tidak mengerti.
Aku lantas bercerita kepadanya apa yang sering
aku dengari dari orang sekeliling ku. Selalunya Syahril yang akan membawa
pulang cerita orang tentang kami. Ariff mula berubah reaksi apabila mendengar
tentang itu
“Maksud awak apa? Mereka panggil anak saya
anak haram?” soal Ariff mula dicuit oleh rasa marah dan geram. Wajahnya sudah
mula merah. “Kenapa mereka menyibuk hal orang lain? Awak hamil atau tidak itu
bukan urusan mereka semua. Di London ramai orang yang hamil dan mengugurkan
kandungan tetapi tiada siapa peduli. Saya tak ganggu orang lain dan saya tak
suka orang ejek anak-anak saya begitu. Kalau saya tahu siapa yang kata anak
saya begitu tahulah saya mengajar mereka,” tekan Ariff mulai tidak berpuas hati.
“Awak janganlah marah dia orang. Tak baik
bergaduh sesama jiran! Kita hidup dalam masyarakat yang saling mengambil berat
antara satu sama lain. Hamil suatu perkara yang baik. Tetapi jika di luar
perkahwinan itu memalukan kerana pasangan itu telah melakukan hubungan
terlarang. Perkara seperti itu dikeji masyarakat kerana kita telah melakukan
sesuatu yang amat dikeji Allah. Kebanyakan orang masih tidak mampu merelakan
perkara seperti ini sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat. Biarlah apa orang
nak kata. Kalau kita nak hentikan semua kata-kata orang, kita takkan boleh
hidup aman, Ariff.” Aku membalas lembut dalam pada memujuk suami ku itu. Orang
lain yang dikata orang lain pula yang naik angin!
“Mereka sepatutnya tutup mulut dan jangan kata
apa-apa! Saya tak ganggu orang lain dan saya tak suka mereka ganggu awak dan
anak-anak saya! Lain kali awak beritahu aja saya siapa yang jahat mulut begitu.
Biar saya ajar mereka!” desis Ariff masih dikawal oleh perasaan marahnya.
“Tak payahlah buat begitu. Takde gunanya,
Ariff! Lebih baik kita diamkan aja hal itu. Saya tak mahu nanti hal ini melarat
dan akhirnya rahsia yang saya kita selama ini terbongkar. Siapa yang malu
nanti? Kita juga,” ucap ku. Ariff diam sambil memandang tanah di hujung
kakinya. Kemudian dia memandang aku semula. Wajahnya mendung sedikit.
“Awak susah kerana hal itu?” soalnya perlahan
sahaja. Ada terbesit rasa bersalah di wajahnya. Pertama kali aku melihat suami
ku itu mengambil berat kepada perasaannya. Selama ini Ariff tidak pernah
peduli.
“Susah juga tapi ini semua ujian Allah. Kalau
saya marah atau memaki hamun sekali pun segalanya tetap akan begitu. Walaupun
pada mulanya saya marah tapi pilihannya tetap satu saja. Saya kena berdiam
diri. Jadi saya terima semua dengan hati yang terbuka. Semua ini ada hikmahnya.
Sekarang saya bahagia melihat anak-anak kita,” luah ku jujur. Perkara yang
lepas tidak sepenting masa depan anak-anak kami. Hanya itu yang berada dalam
ingatan ku saban hari.
“Anak-anak sahaja? Awak tak bahagia ke bila
tengok wajah saya?”
Ariff memang gemar bertanya soalan yang
membuatkan aku merasa serba salah. Dia mahu aku bahagia? Tapi macamana caranya?
Siapa yang akan merasa bahagia dengan suami yang tak setia? Walaupun aku tidak
pernah mengungkitnya tetapi itu tidak bermakna aku senang hati dengan tabiat
Ariff. Kenapa bila bersangkutan soal wanita, dia terlalu sukar untuk berubah?
Apa kurangnya aku? Kenapa ucapan cintanya untuk aku, tetapi dia masih mengelek
wanita lain di masa lapangnya? Kenapa? Kenapa? Semua soalan itu tidak pernah
aku temukan jawapannya.
“Kenapa awak suka tanya saya soalan yang awak
sendiri dah tahu jawapannya?” jawab ku masih berbentuk soalan.
Ariff diam seketika. Dalam pada itu dia
mengeluh sedikit. “Kalau bukan kerana anak kita, awak takkan memandang sayakan?
Semenjak dulu awak memang bencikan saya. Hanya saya saja yang beria-ia sukakan
awak. Selama ini apabila saya dekati awak, awak akan marah-marah dengan saya,”
ujar Ariff hampa dengan layanan aku selama ini.
Aku terkedu mendengar kenyataannya. Aku
marah-marah bila dia dekati aku? Bila masanya aku marah-marah dia bila dia
menuntut sedikit perhatian dari ku? Bila? Aku marah bila dia tak mahu mendengar
nasihat ku. Besar bezanya di situ. Oh! Jadi itulah maknanya yang selama ini aku
tidak cinta kepadanya.
“Saya percaya kita tak boleh mengubah diri
kita kerana cinta tetapi cinta boleh mengubah kita untuk menjadi orang yang
lebih baik. Tapi jangan cakap soal cinta kalau kita sebenarnya tak tahu apa
maknanya cinta. Jangan cakap soal sayang, kalau sekadar memberi kesetiaan pun
kita tak mampu. Cinta adalah tentang kejujuran pada diri kita, Ariff. Cinta
adalah tentang kesetiaan dan keikhlasan kita menerima seseorang dalam hati kita.
Kalau semua itu tidak pernah ada dalam diri kita, itu belum boleh dipanggil
cinta,” luah ku perlahan sahaja.
Ariff menoleh kepada ku dengan pandangan yang
tidak mampu ku tafsirkan maknanya. Namun kedengaran pula keluhan lelaki itu.
“Saya memang sukakan perempuan cantik. Awak salah satu daripadanya. Saya memang
tak pernah berniat untuk mengahwini mereka. Tapi dengan awak saya memang
tersilap dulu kerana tak berhati-hati..” ujar Ariff perlahan. Satu pengakuan
yang aku anggap teramat jujur.
Aku cuba untuk mendalami apa yang sedang dimaksudkan
Ariff sebaik-baiknya. Akhirnya seketika kemudian aku mengerti juga. Andaian
yang ada dibenak ku begini.. kegelojohan lelaki ini dahulu telah membuatkan aku
hamil. Sedangkan dengan wanita lain Ariff terlebih dahulu bersiap sedia dengan
menggunakan alat perlindungan supaya dia tidak perlu bertanggungjawab pada
wanita yang sudah digaulinya itu. Alangkah kejamnya kau wahai lelaki! Detik
hati ku benci.
“Jadi itulah cinta yang awak katakan pada saya
selama ini? Kalaulah ditakdirkan awak yang terkena semua itu, bagaimana awak
nak membalas cinta saya selepas saya puas menyakitkan hati awak?” tanya ku
serius.
“Saya dah kata saya tak sengaja. Saya mabuk
waktu itu, sayang.”
“Ya! Awak gauli saya dalam keadaan mabuk. Tapi
bagaimana dengan yang lain? Semuanya mabuk atau awak memang rela?” tekan ku
cukup sinis.
Ariff terdiam tidak mampu memandang ku. “Cuba
bayangkan kalau anak perempuan awak dipermainkan orang seperti yang awak
memperlakukan pada perempuan-perempuan itu, Ariff. Suka ke awak dengan keadaan
tu? Bagi saya samaada anak perempuan saya dipermainkan atau anak lelaki saya
mempermainkan perempuan, kedua-duanya saya tak mahu! Saya mahu anak saya menjadi
lelaki sejati. Lelaki sejati lelaki yang akan melindungi maruah wanita! Bukan
merosakkan wanita itu!” tambah ku sedikit tajam dan sinis.
“Tapi mereka sendiri yang suka dengan saya.
Saya tak pernah memaksa mereka ikut saya. Mereka sendiri yang bodoh kerana
menyerah!”Ariff dengan mudah meletakkan
kesalahan itu di bahu wanita-wanita yang menyerah kepadanya. Ah! Sekarang dia
cuba membayangkan aku pun bodoh sama macam perempuan-perempuan itu. Bodohlah
agaknya aku.. sepatutnya lelaki ini aku sumbat dalam penjara. Tapi lain pulak
ceritanya. Aku sanggup kahwin pulak dengan dia.
“Dalam
islam si penzina kedua-duanya akan dihukum. Kecuali kalau dipaksa atau
perhubungan itu dilakukan dalam keadaan terlupa atau salah sangka. Itu
dimaafkaan. Tapi kalau kedua-duanya sudi, keadaan fikiran cukup waras.. maka
boleh dikenakan hukum iaitu seratus kali sebatan setiap seorang. Tiada belas
kasihan baik pada di lelaki atau perempuan. Tidak kiralah siapa yang mengajak
siapa yang diajak. Sama-sama akan kena!
Allah ciptakan makhluk lelaki dengan sembilan
akal tetapi satu nafsunya. Berbanding wanita sembilan nafsunya tetapi satu
sahaja akal. Dalam islam juga diakui lelaki lebih bijak dari wanita kerana
itulah lelaki diangkat sebagai pemimpin dalam negara dan sesebuah keluarga.
Kerana itu juga Allah hanya melantik nabi dan rasul di kalangan lelaki sahaja.
Tetapi tidak semua lelaki menggunakan sembilan akal itu untuk tujuan yang baik
sedangkan Allah menetapkan lelaki adalah pembimbing kepada isteri dan
anak-anaknya. Wajarkah akal yang banyak itu digunakan untuk menipu daya wanita
yang bersifat naif yang seharusnya dilindungi?” balas ku pula.
“Saya ini terlalu teruk ke untuk awak,
Insyirah? Saya memang tiada tempat langsung di hati awak?” entah kenapa soalan
itu pula yang ditanyakan Ariff kepada ku.
Aku terkebil-kebil seketika saat itu. Dah ke
situ pula perginya lelaki ini. Lain yang aku cakap lain pula penerimaan Ariff. “Awak tetap suami saya selagi awak tak
menceraikan saya, Ariff. Selama itulah saya perlu mengingatkan awak supaya awak
menjadi orang yang lebih baik. Tanggungjawab kita adalah saling ingat mengingatkan
dan saling menegur apa yang tidak kena. Saya tak kata awak teruk. Saya beritahu
awak supaya awak tahu dan jangan ulanginya lagi selepas ini. Itu sahaja!” ujar
ku cuba untuk memperbetulkan tanggapan lelaki itu. Aku tidak berniat pun untuk
menghinanya.
“Awak tak jawab soalan saya. Adakah saya
memang tak pernah berada di dalam hati awak selama ini?” soal Ariff masih tidak
berpuas hati dengan jawapan ku tadi. Aku terus beristighfar dalam hati. Apa
yang dia nak dari ku sebenarnya?
“Beginilah, Ariff.. awak suami saya. Selagi
awak memerlukan saya, selagi itulah saya akan sentiasa dengan awak. Saya takkan
ke mana-mana!” Aku akhirnya menjawab juga setelah aku puas berdiam diri. Agak
melencong jawapan ku itu tetapi dalam keadaan begini, aku tidak mampu
berterus-terang apa sebenarnya yang sedang bermain di hati ku ini. Ariff
bukanlah seorang yang memahami. Aku tidak mahu jawapan jujur ku nanti
membuatkan aku bertengkar di sini. Aku paling tidak mahu kedua orang tua ku
melihat kerapuhan yang masih merwarnai hubungan kami.
“Jawapan itu sama sekali tak cukup bagi saya!
Saya mahu segala-galanya pada awak jadi milik saya termasuklah hati awak!
Kesetiaan awak memang kepada saya tapi hati awak bukan untuk saya. Saya tahu!”
Ariff mendegus tidak puas hati.
“Habis tu awak nak saya buat macamana?
Bagitahu saya bagaimana caranya untuk saya buat hati saya cintakan awak? Soal
jatuh cinta bukan kuasa saya, Ariff. Awak bercakap seolah-olah kuasa saya ni
tinggi sampai ke langit. Macamana saya nak rasa semua perasaan tu kalau awak
asyik mendesak saya? Fikirlah sikit! Awak nak saya jatuh hati pada awak, tapi
awak sibuk layan perempuan lain belakang saya. Saya ni bukannya robot boleh disetting sesuka hati!” bentak ku sudah
mula geram
Ariff terus membisu dengan jawapan ku itu.
Kami mula membisu apabila keadaan sudah terasa tegang. Tatkala kedengaran sayup
suara anak ku menangis. Aku lantas bangun meninggalkan Ariff seorang diri di
situ. Soal penerimaan lelaki itu, malas mahu ku fikir lagi. Biarlah masa sahaja
yang menentukan keadaan kami selepas ini.
Best!
BalasPadam