Selepas agak lama berada di rumah sahabat ku itu, aku dijemput pemandu untuk
kembali ke rumah. Sesampai di rumah aku sedar Ariff sudah pun berada di rumah
berdasarkan kelibat keretanya di tempat parkir di hadapan lobi kondominium itu.
Senang sahaja untuk aku tahu Ariff sudah pulang ke tidak. Cari aja kereta dia
di lot parkir itu. Tempat itu sememangnya sudah dikhaskan untuk kereta suami ku.
Kepulangan aku disambut oleh pembantu rumah warga Sudan itu
di muka pintu. Aku terus tersenyum kepada Malika. “Rafael dengan Mikhael ada
menangis ke tadi?” tanya ku kepada wanita itu.
“Takde. Mereka berdua masih tidur. Puan, sebentar tadi
bapa mertua puan ada menelefon ke sini. Dia mahu bercakap dengan puan tetapi saya
beritahu puan ke Cambridge. Dia minta puan telefon dia semula nanti. Penting
katanya,” ucap Malika lembut.
Aku termangu seketika mendengar itu. Apa yang penting
benar? Ariff ada buat masalah ke? Aku mula tertanya-tanya. Namun aku sekadar
mengangguk sahaja kepada pesanan itu. Di manakah Ariff ?
“Tuan Ariff dah balik ke?” soal ku terus kepada Malika.
Malika diam seketika dengan wajah semacam. Kemudian dia
mendekati aku. Reaksinya sempat menerbitkan rasa hairan dari ku.
“Tuan Ariff sudah balik sekejap tadi. Saya nampak dia
agak lain. Dia terus masuk ke bilik dan tidak keluar dari bilik setelah itu.
Saya agak dia mungkin sedang mabuk,” cerita Malika penuh berhati-hati. Perlahan
sahaja suaranya bagaikan takut orang lain akan terdengar kata-katanya.
Aku terkejut besar mendengar itu. “Mabuk?” soal ku
spontan membesarkan mata kepada Malika.
Malika hanya mengangguk. Aku pula mula terdiam menahan
rasa terkilan. Kenapa Ariff buat begini? Terasa tebal muka ku ini kepada Malika
dengan kelakuan suami ku itu. Ariff tak tahu rasa malu ke dengan perbuatan
seperti itu? Tanpa menunggu lagi aku terus masuk ke bilik tidur untuk melihat
lelaki itu.
Di dalam kamar itu aku ternampak Ariff sedang terbaring
dalam keadaan tertiarap di atas katil. Dia masih dengan baju yang sama
dipakainya ketika keluar dari rumah sebentar tadi.
Aku segera mendekati suami ku itu. “Ariff..” dengan
lembut aku menggerakkan tubuh lelaki itu. Namun tiada sebarang reaksi daripada
lelaki itu.
“Ariff, bangunlah!” sekali lagi aku cuba menggerakkan
tubuh Ariff.
“Hmm..” Ariff menjawab malas sambil membalikkan tubuhnya.
Seperti yang dimaklumkan Malika tadi, aku lihat wajah suami ku itu kemerahan mungkin
akibat penangan alkohol yang sudah diteguknya.
“Kenapa dengan awak ni?” soal ku dengan rasa sebal yang
tertahan.
“Saya pening ni. Jangan bising..” rungutnya dalam keadaan
mamai.
Aku menghela nafas sabar sambil memandang suami ku itu.
Memang sahlah Ariff mabuk! Bau masam hapak jelas sekali dihidung ku ini. Pelik
benar aku.. bagaimanalah Ariff boleh berselera meneguk air yang berbau seperti
ini? Sedap sangat ke? Kata-kata itu hanya bermain dalam hati ku.
“Kalau dah tahu alkohol buat awak pening, kenapa minum
jugak? Berdosa minum arak ni. Awak sedar atau tak?” degus ku dengan rasa geram
tidak tertahan. Waktu belum un menjelang tengah malam tetapi Ariff sudah mabuk
begini. Apa dia buat di luar rumah? Hee.. memang pelik laki aku ni! getus hati
ku semakin bengang.
“Janganlah marah saya. Kepala saya ni macam nak pecah ni,”
rungut Ariff lagi. Mukanya terus ditekup dengan bantal tanda tidak mahu
mendengar kemarahan ku lagi.
“Awak ni memang nak kena tau! Perkara yang saya tak suka
itulah yang awak buat. Awak memang sengaja nak bagi saya marah dengan awak.
Bila saya nasihatkan awak baik-baik awak tak nak dengar. Bila saya dah marah
nanti mulalah kita bergaduh lagi,” balas ku sedikit meninggi.
Ariff mengalihkan bantal yang menutupi mukanya. Wajah ku
dipandang dengan mata layunya. “Ini kali terakhir. Saya takkan minum lagi. Awak
tahulah.. kawan-kawan saya suka ajak saya ke bar. Mahu tak mahu saya terpaksa
ikut mereka,” ujar Ariff cuba menggunakan nama kawan-kawannya agar tidak
dimarahi oleh ku. Namun aku sudah menggeleng sendiri. Alasan lapuk!
“Kawan awak nak minum biarlah mereka. Awak janganlah ikut
mereka. Daripada awak keluar menghabiskan masa di luar sana tanpa arah tujuan
lebih baik awak duduk rumah jaga anak lagi baik!” tekan ku sedikit keras.
Ariff mula mendengus. “Awak ni suka membebellah! Saya
sakit kepala ni!” degusnya mulai tidak senang.
“Saya membebel sebab awak buat perkara yang tak
sepatutnya awak buat. Kalau awak tak buat salah, takkanlah saya nak marah awak
tak tentu hala. Orang gila aja yang buat macam tu!” balas ku enggan tunduk
kepada rungutan Ariff. Dia yang cari pasal macamana aku tak membebel?
Ariff mendegus lagi sambil menekup semula wajahnya dengan
bantal. Aku hanya mampu menghela nafas sabar melihat kelaku Ariff. Baru tadi
aku puji dia.. sekarang dia dah buat balik, bisik hati ku kesal. Aku boleh
berkata yang elok-elok sahaja kepada Ameena atau orang lain tentang Ariff.
Tetapi hakikat tidak akan berubah jika bukan Ariff yang mengubahnya. Aku tidak
tahu sampai bila Ariff masih mahu bergelumang dengan kehidupan lalunya.
Ikutkan hati mahu sahaja ku biarkan dia begitu sahaja.
Namun mata ku ini benar-benar tidak selesa melihat Ariff dengan baju yang sudah
ronyok dan berbau masam itu. Akhirnya aku mendekati Ariff. Butang baju lelaki
itu ku buka satu persatu dan kemeja itu ku tanggalkannya dari tubuh Ariff.
Namun apabila berdekatan dengan lelaki itu tanpa dapat ku
elak bau busuk yang memualkan menerobos masuk ke lubang hidung ku. Tetapi ku teruskan
juga kerja ku. Aku tidak mahu tidur sekatil dengan lelaki ini yang benar-benar
busuk dengan bau alkohol.
Tidak lama kemudian Ariff sudah selesai ku gantikan
dengan pakaian tidurnya. Lelaki itu ku biarkan sendiri di atas katil itu.
Tetapi seketika kemudian mulut Ariff mulai bising mengadu kepalanya yang sakit
terasa mahu pecah itu. Ketenangan aku saat mengerjakan solat isyak terganggu
dengan riuh mulut lelaki itu yang mahu aku melakukan sesuatu agar sakit
kepalanya itu dapat dikurangkan.
Mahu tidak mahu terpaksalah aku menyapu minyak angin
sambil memicit kepala Ariff. Beberapa ketika kumudian bilik itu kembali tenang
apabila lelaki itu kembali lena dalam pada jemari ku memicit lembut kepalanya.
Namun saat memandang suami ku itu aku termenung sendiru. Agaknya
selama aku takde dengan dia ni, perempuan manalah yang selalu memicitkan kepala
dia waktu dia mabuk begini? Siapa lagi yang pernah menyentuh dia selama ini
selain aku? hati ku mula bermonolog sendiri dengan persoalan itu.
Namun tiba-tiba aku kembali tersedar. Astaghafirullah.. jauh
benar melencong fikiran ku ini. Ish! Apasal aku fikir macam ni pulak? Aku
menggeleng sedikit untuk menghalau pergi segala prasangka itu. Setia benar
syaitan membisikkan topik ke telinga ku ini agar aku punya sebab untuk
membuatkan hubungan ini kucar-kacir.
Malas mahu memikir lagi aku hanya memandang wajah suami
ku itu yang masih kemerahan. Mata lelaki itu terpejam namun aku tahu Ariff
tidak tidur sepenuhnya. Dalam mata yang terpejam, dahi Ariff berkerut-kerut
sendiri. Mulutnya berbisik entah apa-apa membuatkan aku bertambah rimas. Apabila
terasa aku tidak lagi memicit kepalanya dia naik angin pula.
“Sayang! Marilah sini. Saya pening ni!” marah lelaki itu kuat.
Seolah-olah aku sedang berada beribu batu jauh darinya. Sedangkan aku masih
setia di sisinya semenjak tadi.
Aku buat tidak tahu sahaja. Malah mata ku mula menjeling
menyampah dengan gelagat Ariff seperti itu. Aku terus bangun dari situ untuk
mencari apa-apa kerja supaya aku dapat mengelakkan diri daripada menjadi orang
suruhan Ariff.
Menyampah betul! Dia yang sengaja mencari penyakit sendiri.
Sekarang dia nak menyusahkan aku pula untuk melayan segala kehendak dia pulak.
Dia ingat aku ni nurse ke apa?
“Sayang, picitkan kepala saya!” suara Ariff menyuruh ku
dengan lebih kuat lagi.
Aku menghela nafas keras. Kesabaran ku hampir hilang saat
itu. Geramnya!!! Kau yang mabuk, aku pulak yang kena. Namun biarpun perasaan
jengkel itu semakin hebat menekan diri, aku hanya mampu memekik meluahkan rasa
geram di dalam hati.
“Saya dah picit kepala awak. Apa lagi yang awak nak? Kalau
awak tak tahan sakit tu kenapa minum lagi, Ariff? Awak ni memang sengaja cari
masalahlah!” degus ku teramat geram.
“Janganlah membebelkan saya. Picit kepala saya ni. Ini
bukan masanya untuk awak mengungkit pada saya tentang dosa dan pahala! Awak
isteri saya, cepat picit kepala saya ni!” Ariff mula membentak kasar apabila
kehendaknya tidak ku balas. Sebaliknya aku dibebelkannya semula.
Akhirnya aku akur juga mendekatinya walaupun hati ku ini
sedang sakit yang teramat sangat! Kepala lelaki itu ku picit semula. Mujurlah
anak-anak tidur di bilik lain. Jika tidak pasti tidur anak-anak akan terganggu
dengan suara Ariff tadi.
Baguslah.. kata Ariff sebelum ini, dia memang tidak mahu
suara anak-anak menangis menganggu tidurnya. Tetapi sebenarnya kerenah dia yang
akan mengganggu tidur anak-anak yang masih kecil yang tidak tahu apa-apa. Ada
bagusnya juga permintaan suami ku ini dahulu. Jika tidak akulah yang pening
dengan rengekan anak-anak sekalian dengan rengekan bapak budak yang mahu aku
melakukan itu ini untuknya. Memang bahagia sungguh jadi isteri Ariff!
Sedang aku mengurut kepalanya tiba-tiba Ariff mengeliat
entah kenapa. Lelaki itu mengusap dadanya dengan wajah berkerut. Aku tahu dia
nak muntah. Namun belum sempat aku berbuat apa, Ariff bingkas bangun memuntahkan
isi perutnya ke atas permaidani di tepi katil itu. Aku yang memandang terus
tergamam tidak sempat melakukan apa-apa. Aku sekadar mampu memandang sahaja
Ariff yang muntah di tepi katil itu.
Betapa hebatnya ujian kesabaran yang sedang aku lalui
saat ini. Kalaulah tidak kerana gelaran suami yang sedang di galas Ariff,
rasanya dia sudah menjadi mangsa penendang aku malam-malam buta begini! Lepas
itu aku akan campak dia ke tingkat bawah supaya esok lusa aku tak payah lagi
melayan ragam lelaki ini.
Semakin menyirap darah ku melihat Ariff dengan selamba
berbaring semula dan terus memejamkan mata dengan penuh kelegaan.
“Pengotor betullah awak ni. Pergilah basuh mulut dulu ke
apa sebelum tidur!” Aku mendegus keras akibat rasa nak marah yang semakin tidak
tertahan.
“Nantilah..” keluh Ariff dalam mata yang terus terpejam.
“Awak picitlah kepala awak sendiri. Saya dah malas nak
layan awak!” paha lelaki itu ku tampar geram. Ariff terus terpejam dalam
erangannya tanpa mempedulikan bebelan ku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan