Aku sebenarnya segan dengan orang kampung dengan
kewujudan Ariff. Semenjak lelaki itu ada, rumah kami tidak putus-putus
didatangi orang. Ada sahaja yang mahu berkenalan. Yalah.. inilah pertama kali
mat saleh masuk ke kampung kami.
Tetapi semua itu tidak menjadi kudis bagi
Ariff. Pakej melawat aku dilengkapkan juga aktiviti perkenalan kepada suasana
kampung. Petang-petang dia selamba sahaja naik motor dengan Syahril pergi menjelajah
ladang sawit dan kebuh buah keluarga kami. Padahal pokok-pokok di kebun
buah-buahan abah itu bukannya ada berbuah pun. Belum musim..
Apatah lagi kebiasaan di kampung kebanyakan
penunggang motor memang tidak gemar memakai topi keledar maka semakin jauhlah
mereka berdua berjalan. Sehingga ke perkampungan lain pun ada. Kata Ariff dia
benar-benar seronok dengan pengalaman duduk di kampung. Dia suka mencuba
sesuatu yang tidak pernah dilihatnya terutama sekali makan mempelam muda dengan
sambal kicap. Pada mulanya aku mahu tergelak melihat muka lelaki itu yang
berkerut menahan masam. Katanya inilah pertama kali dia makan buah mempelam. Tetapi
selepas mula merasai kenikmatan mempelam muda dicicah dengan sambal kicap.
Makannya tak mahu berhenti. Aku pulak yang seram menengoknya.
“Cuba awak rasa.. sedap!” dengan selamba dia
menyuakan hirisan mempelam muda itu kepada aku. Tetapi emak lekas menegah aku
memakan mempelam itu.
“Saya tak boleh makanlah, Ariff. Awak
makanlah. Tapi jangan makan banyak sangat. Nanti kalau tak tahan awak boleh
kena gastrik. Buah ni banyak asid,” ucap ku sambil memandang dia makan. Lajunya
dia makan macam makan nasi. Kesian betul mat salih ni. Jakun..
“Kenapa awak tak boleh makan? Buah ini pun
berbahaya untuk awak?”
“Yalah. Awak rasakan buah tu amat masam?
Banyak asid. Kalau orang yang sihat walafiatpun boleh jatuh sakit bila makan
buah itu, inikan pula saya yang sememangnya tengah sakit. Awak tu jaga-jaga
sikit! Nanti sakit perut saya juga yang susah,” ucap ku lembut. Bukannya aku
tidak tahu betapa manjanya lelaki ini bila dalam keadaan sakit. Kalau boleh nak
mandi pun suruh aku jugak yang mandikan.
“Sedap! Saya tak pernah makan benda-benda
begini. Saya kena cuba! Nanti di London kita takkan dapat pengalaman begini
lagi.”Ariff menjawab selamba. Mukanya sudah kemerahan menahan pedas sambal
kicap itu. Macam tak hairan sahaja dia dengan peringatan aku tadi. Belum kena
memanglah nak cuba..
Malas mahu menegah lagi aku hanya membiarkan
lelaki itu makan sesedap rasanya. Dia mahu pengalaman pertama ya? Biarkan!
Akibatnya malam itu..
“Sayang, kenapa perut saya ni sakit?”
berkerut-kerut dia menahan sakit.
“Saya dah cakap siang tadi. Awak degil! Tengok
apa dah jadi..” keluh ku sudah tidak senang hati. Nak ke klinik, di sini mana
ada klinik beroperasi malam hari. Nak tak nak kenalah tahan sampai esok pagi.
“Sakitlah. Dada saya ni pedih sangat..”
keluhnya lagi. Tubuhnya mengerekot seolah-olah mahu menenggelamkan
penderitaannya sedalam yang boleh.
Inilah akibatnya kalau kepala batu! Aku jugak
yang susah.. nak belek anak lagi.. bapaknya lagi.. hish! Membebel juga aku
dalam hati. “Awak kena muntahkan balik apa yang awak makan tadi. Takpe.. biar
saya sapu minyak dulu,” ucap ku tetap tidak sampai hati mahu marah kepadanya.
“Cepatlah sapu minyak. Sakit sangat ni..”
Ariff semakin kuat mengerang.
Terhegeh-hegehlah
aku mengeledarkan lelaki manja seorang ini. Tidak cukup menyapu minyak, aku
bancuhkan susu pula supaya sakit pada ulu hati itu lega. Masih tidak lega juga,
dia suruh aku bancuh lagi sehingga Ariff akhirnya muntah. Selepas itu barulah
dia nampak tenang.
“Macamana? Nak makan buah tu lagi ke? Banyak
lagi kat pokok tu kalau awak nak.” Aku segera memerlinya apabila melihat dia
sudah tidak mengerang seperti tadi. Dia yang sakit aku pula yang tak boleh
tidur dibuatnya.. getus hati ku geram. Sempat aku memandang anak ku yang sedang
menyusu di tubuh ku itu. Ralik sungguh Muhammad Rafael tanpa mempedulikan apa
yang berlaku kepada ayahnya itu.
“Tak nak! Saya serik..” jawab Ariff lemah.
Barulah dia dapat berbaring dengan aman. Matanya terus dipejamkan. Sekejap
sahaja dia sudah terlelap.
Tinggal aku seorang melayan anak-anak yang
sudah mula terjaga. Macam ni.. alamat sampai ke pagilah aku tak boleh tidur.
Baru tiga orang lelaki Allah berikan kepada aku, aku sudah pening dibuatnya.
Kalau bertambah lagi nanti? Aduhai..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan