Kandungan ku kini sudah banyak menunjukkan perubahannya. Alahan semakin hari semakin
teruk. Kadang kala aku sampai tidak mampu berdiri kerana sakit kepala. Hari ini
setelah lebih dua bulan kami menginap di hotel ini Ariff akhirnya menyatakan
dia mahu pulang ke London. Aku tahu tidak lama lagi Ariff akan memulakan
pengajiannya untuk semesta yang seterusnya.
Kepulangan Ariff ke London bermakna bolehlah
aku pulang ke rumah orang tua ku semula. Aku pun sudah tidak tahan lagi hidup
menyinggah begini. Sakit jiwa pulak rasanya bila dah dua bulan lebih tak tengok
rupa dapur. Menginap di hotel mewah ini sebenarnya lebih kepada mengikut
kehendak Ariff yang sentiasa suka dengan suasana kota, sedangkan rumah keluarga
aku ada di Segamat. Bukannya aku tidak pernah mengajak Ariff pulang ke Segamat
tetapi dia yang tidak mahu. Malulah! Takut panaslah! Macam-macam alasannya yang
malas aku nak dengar. Akhirnya aku ikut sahaja rentak dia.
“Selama awak di kampung saya tak mahu awak
layan lelaki lain. Awak kena ingat saya ni suami awak,” ucap Ariff malam itu.
Dia duduk di birai katil sambil merenung aku yang sedang mengemas saki baki
pakaian milik Ariff untuk dibawanya pulang ke London esok malam.
“Saya tahu. Takkanlah saya nak layan lelaki
lain dalam keadaan saya macam ni. Takde siapa nakkan saya pun..” Aku sekadar
menjawab perlahan. Selesai mengemas pakaian lelaki itu beg itu terus ku zipkan.
“Mari sini duduk dengan saya..” pinta Ariff
lembut. Aku terus duduk di sisi lelaki itu.
“Lima bulan terlalu lama untuk saya. Saya dah
terbiasa awak ada dengan saya. Saya tahu saya akan rindukan awak. Saya nak awak
lahirkan anak kita cepat-cepat dan kembali ke London dengan saya nanti.” Ariff
berbisik lembut sambil merangkul tubuh ku.
“Saya tahu..” jawab ku perlahan.
“Esok pagi awak akan balik ke kampung.
Nampaknya saya terpaksa bersendirian bermula dari esok. Awak tahu tak.. selama
ini saya selalu bimbang. Saya bimbang awak akan berpaling dari saya dan memilih
lelaki lain. Saya tahu, selain saya pasti ada lelaki lain yang sering memandang
awak. Di kampung awak pasti ada lelaki-lelaki yang sukakan awak sama macam
saya. Saya takut awak akan layan mereka waktu saya takde. Saya nak awak tahu
yang saya tak suka awak bercakap dengan lelaki lain, awak faham?” ucap Ariff
lembut namun nadanya serius tanda mengingatkan.
Aku terus menoleh dengan sedikit kerutan di
kening. “Selama ni awak nampak saya suka melayan lelaki ke? Siapa yang nak
mengorat saya dalam keadaan saya macam ni?” soal ku pula. Rasanya yang sering
berbuat begitu, Ariff bukannya aku!
“Saya hanya ingatkan awak,” ucap Ariff lembut.
“Saya suka kalau awak ingatkan saya sebab awak
tak mahu saya jadi isteri derhaka. Tapi semenjak dari hari pertama saya jadi
isteri awak, sentiasa sedar yang saya dah bersuami. Saya belum hilang akal lagi
nak buat macam tu pada awak. Tapi persoalannya sekarang, kalau awak tak mahu
saya layan lelaki lain.. macamana pulak dengan awak? Masih nak melayan
perempuan-perempuan di luar sana ke?” balas ku sedikit sinis.
“Saya takkan buat begitu pada awak, sayang.
Saya hanya sayangkan awak seorang. Mereka semua cuma kawan waktu saya sunyi.
Saya tak serius pun dengan mereka semua.” Tanpa sengaja Ariff menjawab begitu.
“Lepas ni kita akan hidup berjauhan. Awak dah
tentu akan rasa sunyi bila sendirian. Jadi awak akan layan perempuan lain bila
sunyi ke?” tembak ku langsung tidak berpuas hati dengan jawapan Ariff. Bagi ku
alasan seperti itu langsung tidak boleh diterima.
Ariff terdiam sambil memandang kepada ku. Aku
turut membalas renungannya dalam pada aku cuba mencari kejujuran suami ku ini.
Sayangnya sehingga ke saat ini aku sebenarnya tidak cukup berani untuk
meletakkan kepercayaan kepada lelaki ini. Aku takut untuk meletakkan harapan
yang tinggi kepadanya. Mempercayai Ariff begitu sahaja bermakna aku telah
meletakkan sekeping hati ku untuk dilukai oleh lelaki ini semahunya. Apa yang sering
kelihatan di hadapan mata ku selama ini, Ariff sebenarnya tidak pernah berusaha
untuk berubah! Walaupun jelas dia cuba menjaga hati ku tetapi bab melayan
perempuan masih sama aja.
“Ariff, jangan lakukan sebab takutkan saya.
Jangan lakukan sebab awak tak mahu saya terluka. Tapi berhentilah lakukan itu
kerana takutkan Allah. Kalau kita takde rasa takut atau malu kepada Allah kita
akan melakukan sesuka hati kita apabila orang yang kita sayang tak mampu
melihat kita. Sifat seperti itu sifat orang munafik. Saya nak percaya yang awak
tak seburuk itu. Jadi awak jangan buat kepercayaan saya musnah. Kalau awak tak
suka saya layan lelaki lain, tak kurang juga saya begitu, Ariff. Takde isteri
yang sanggup melihat suami asyik berkepit dengan perempuan di belakangnya. Saya
tak larang awak berkawan dengan sesiapa yang awak mahu tapi ingatlah. Permulaan
zina adalah pergaulan lelaki dan perempuan yang tak mengira di mana batasnya.
Saya tak suka awak ulangi lagi perbuatan awak yang lepas-lepas. Belajarlah
untuk setia, Ariff. Ini untuk masa depan rumahtangga kita juga.” Aku meluahkan
bicara ku lembut. Aku bukannya jenis suka meleter. Tapi janganlah beri aku
sebab untuk berleter.
Ariff mengangguk perlahan. “Saya takkan
lakukannya lagi. Saya cintakan awak sangat-sangat, sayang. Walaupun hubungan
kita belum kukuh sepenuhnya tapi saya nak awak tahu yang saya bahagia kerana
awak dah jadi milik saya.” Perlahan lelaki itu berbicara dalam redup
pandangannya kepada ku.
“Saya tahu awak cintakan saya. Saya hargai
kasih sayang awak selama ini, Ariff. Saya minta maaf kalau layanan saya selama
ini tak setara dengan kemahuan awak. Saya seorang perempuan yang banyak kekurangan.”
Aku membalas lembut kepadanya.
Lelaki itu menggeleng perlahan. Serentak itu
Ariff meletakkan jemarinya di pipi ku. Lalu diusapnye lembut “Tak, sayang. Awak
dah cukup baik untuk saya. Semenjak awak jadi isteri saya perasaan sayang saya pada
awak semakin mendalam. Awak terlalu istimewa untuk saya. Awak sudah cukup
sempurna sebagai seorang isteri,” ucap Ariff separuh berbisik. Tubuh ku
ditariknya rapat kepadanya. Dahi ku dikucupnya lama. Kemudian dia meletakkan
jemarinya di perut ku yang sudah mula kelihatan.
“Jangan nakal-nakal, sayang. Jangan susahkan
mummy ya?” Ariff berbisik sambil tunduk di perut ku. Perlakuan lelaki itu
lantas membuatkan aku tersenyum. Hati ku sempat disapa bahagia. Pertama kali
aku melihat dia membelai anaknya. Seketika kemudian kami berpandangan. Entah
kenapa aku merasakan ada bisa yang menular di hati ku tatkala terkenangkan
perpisahan sementara ini. Buat seketika aku tertanya kepada hati, sayangkah aku
sebenarnya kepada lelaki ini? Adakah rasa itu sebahagian dari rasa cinta
sebenarnya? Sayanglah kut.. dah jadi suami takkan tak sayang, ya tak?
Sebenarnya dia ni memang hensemlah bila
pandang dekat-dekat macam ni. Sayangnya kaki perempuan. Kalau tak memang dah
lama aku tersangkut dengan dia ni.. hati ku sempat juga merepek meraban.
“Sayang, saya susah hati bila awak jauh dari
saya. Saya pernah merasa separuh gila bila tak dapat tengok awak walaupun hanya
untuk sehari. Sehari aja dah cukup menyiksakan, saya tak tahu macamana saya nak
melaluinya selama lima bulan ini. Saya hanya nak awak temankan saya
selama-lamanya,” luah Ariff agak sayu.
“Lima bulan aja. Bukannya lima tahun. Kalau
awak sabar lima bulan akan terasa seperti lima hari. Ini cuma untuk sementara.
Sampai masanya saya akan bersama awak di sana,” pujuk ku lembut. Kalau dia
susah hati, aku sendiri lebih dari itu. Tapi demi kepentingan anak ini, aku
harus mengorbankan perasaan ku.
Ariff mengalihkan pandangannya sambil
mengangguk-angguk perlahan. Seketika kemudian dia kembali memandang wajah ku.
Jemari ku diraihnya lalu dibawa ke bibirnya. Lama dia tunduk mengucup jemari ku
sebelum dia kembali memandang ku
“Maafkan saya atas perbuatan saya yang dulu
tu. Saya..” bicara lelaki itu terhenti seketika. “Saya tak tahu kenapa saya
tergamak buat awak macam tu. Saya tak sengaja, sayang.” Ariff berkata perlahan.
“Jangan sebut lagi tentang itu, Ariff. Saya
tak mahu terus mengingati perkara yang dah lepas. Saya dah maafkan awak. Saya
hanya mahukan masa depan yang baik untuk keluarga kita,” luah ku sedikit
merendah.
Namun lelaki itu menggeleng perlahan. Ada
sesuatu yang harus diperkatakan juga biarpun aku tidak mahu mendengarnya.
“Selagi saya tak katakan selagi itulah hati saya takkan aman,” ucap Ariff lemah.
Buat seketika dia tunduk lagi. Aku yang memandang lelaki itu mulai keliru.
Kenapa dengan dia?
“Sayang, saya betul-betul tak sengaja malam
itu. Saya tak sedar apa yang saya buat pada awak. Saya tak merancang nak
berbuat begitu pada awak pada mulanya. Waktu tu saya memang asyik teringatkan
awak. Saya pergi minum. Selepas itu apa yang berlaku saya sendiri tak sedar.
Sayang, percayalah.. waktu tu saya tengah mabuk. Apa yang saya buat bukan
kehendak akal fikiran saya. Saya tak sengaja lakukan itu pada awak, sayang.
Maafkan saya,” rayu Ariff sayu.
Aku terpaku memandang suaminya. Pengakuan itu
ternyata amat mengejutkan. “Saya ingat awak sengaja nak membalas dendam pada
saya?” luah ku yang masih dikuasai oleh kejutan itu. Kalau peristiwa malam itu
dia tak sedar.. apa ceritanya pula ketika di balai polis itu? Tak sedar jugak?
“Tak! Bukan begitu niat saya. Saya tak pernah
terlintas nak menyakitkan awak sehingga begitu sekali. Saya cari awak malam itu
sebab saya terlalu rindukan awak. Saya cuma nak berbual dengan awak. Sayang,
saya sayangkan awak.. saya takkan tergamak sakitkan awak macam tu. Cuma waktu
itu saya memang betul-betul kecewa bila awak asyik menolak saya. Saya tak
sengaja, sayang. Saya hanya sedar sepenuhnya bila saya balik ke rumah saya.
Waktu itu saya keliru dengan apa yang berlaku. Saya ingat-ingat lupa tentang
peristiwa itu sehinggalah awak mengadukan hal itu kepada polis. Kerana takut tertangkap..
saya tak mengaku perbuatan itu. Saya memang jahat. Maafkan saya.”
“Ariff, cukuplah tentang itu. Saya tak mahu
ingat lagi. Demi masa depan kita saya sedia maafkan awak. Saya tak mahu ingat
lagi tentang semua itu. Cukuplah!” putus ku sambil menggeleng. Bercerita
tentang itu hanya mengembalikan kepedihan yang mana sudah pergi meninggalkan
aku. Aku sudah tidak sanggup mengenangnya lagi.
Ariff lantas memeluk ku. Sebuah helaan nafas
kedengaran jelas di telinga ku. “Terima kasih, sayang.. terima kasih sebab awak
sudi maafkan saya. Saya janji saya akan bahagiakan awak,” balas Ariff dengan
nada terharu.
nie bakal terbit kan..sabar menanti
BalasPadamJanji Pada-NYa ditunda ke bulan 6..
Padam