Kini sudah lebih dua minggu aku
menjadi isteri lelaki itu. Abah emak dan adik-adik ku sudah lama pulang ke
Segamat. Sehari dua ini tanpa ketegangan, aku lihat suami ku itu memang
gembira. Lain pula dengan diri ku. Berkurung sahaja di hotel ini hati ku
benar-benar tidak aman. Kami pula bukannya pasangan yang sedang meraikan bulan
madu. Bukan juga pasangan yang sedang hangat di alam percintaan. Kadang-kadang
asyik menghadap kehendak dia aja.. aku jadi muak! Dah takde kerja lain agaknya!
Nak layan dia lagi.. aku sendiri pun sudah merasa alah semakin teruk. Aku
sering merasa tension sendiri.
Malam itu aku mengikut Ariff keluar. Kami ke
KL Tower menikmati makan malam di menara itu. Untuk manusia seperti aku yang
berasal dari kampung ini, semua ini memang asing pada diri ku. Tetapi kerana
Ariff yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang bermewah-mewah maka aku ikutkan
juga ragam suami ku itu dengan separuh hati. Sedangkan hakikatnya semuanya
terlalu canggung untuk ku.
Tetapi sepanjang malam itu.. aku mengenali
suami ku itu, dia sememangnya romantik orangnya. Senyumannya memang sentiasa
tidak lekang di bibir lelaki itu saat memandang diriku. Tetapi sayangnya
senyuman itu bukanlah untuk ku seorang. Melihat sikap mata keranjang Ariff yang
kerap merenung ke arah gadis yang seksi tidak jauh dari kami, aku terasa diri
seperti sedang dipanggang. Mungkin sekejap lagi aku akan bertukar menjadi
zombie. Dia dulu yang aku kunyah lumat-lumat!
Bukannya aku cemburu tahap jiwa-jiwa kepada
Ariff. Aku pun sudah cukup faham keberadaan dan ketampanan Ariff sememangnya
mudah menarik perhatian wanita-wanita cantik. Tetapi apa yang aku geramkan..
kerana kalau bukan wanita itu, Ariff sendiri memang sentiasa mencari peluang
untuk menggatal apabila ada peluang biarpun isterinya ini sedang tercongok di
hadapannya.
Terpaksalah aku menyabarkan hati demi melihat
kelakuan suami ku itu. nak marah pun kami sedang berada di luar. Malulah kalau
bertengkar di hadapan orang. Ariff sendiri pun boleh buat tidak kisah dengan
masam kelat wajah ku yang cukup tidak senang dengan kelakuanya. Tetapi semakin
dibiarkan, semakin menjadi-jadi pulak. Beberapa kali aku nampak dia
tertoleh-toleh kepada gadis berbangsa cina yang berada tidak jauh dari kami.
Gadis itu pula tanpa segan silu menjeling manja kepada suami ku. Siapa yang tak
sakit hati?
Akibatnya mood ku pecah berteraburan. Bila dah
meluat dengan lagak suami ku itu. aku asyik terfikir nak balik aja! Makan malam
yang seharusnya indah di tempat yang cukup eksklusif begini, langsung tidak
menggembirakan. Malah semakin membakar perasaan perempuan ku.
“Boleh kita balik sekarang? Saya sakit
kepala,” ucap ku hambar kepada lelaki di hadapan ku itu. Aku sudah bosan
melihat mata lelaki itu yang meliar ke sana ke mari memandang perempuan.
“Masih awal, Insyirah..” balas Ariff lembut.
Tangannya terus merayap menyentuh jemari ku di atas meja. Mungkin mahu memujuk
agar menunggu di situ untuk seketika lagi. Yalah.. masih ramai perempuan yang
nak dipandang.
“Tapi saya perlukan rehat, Ariff. Jangan lupa
saya tengah mengandung sekarang,” tekan ku sudah tidak larat menahan perasaan
di situ.
“Oh! Saya terlupa pulak yang saya akan dapat
anak nanti,” ujar Ariff bagaikan baru menyedari keadaan aku yang sedang
berbadan dua. Dia sempat ketawa kecil. Geram benar aku melihat gelagat miang
Ariff. Sudah berkahwin, bakal menjadi ayah tetapi gatalnya mengalahkan orang
bujang. Tidak sedar diri betul!
Ariff segera membuat pembayaran. Setelah
selesai segala urusan dia lantas bangun. Tanpa ku pinta, tangan ku digenggamnya
saat berjalan keluar dari kawasan restoran itu. Tetapi entah kenapa aku semakin
tidak suka dengan perlakuan lelaki itu. Sepanjang keluar dari restoran itu
Ariff memang senang mendapat perhatian orang ramai. Apatah lagi berpasangan
dengan perempuan melayu yang bertudung seperti aku. Ramai yang memandang pelik
dan kagum kepada kami.
“Awak macam tak gembira keluar dengan saya,”
luah Ariff setelah kami berada di dalam kereta yang membawa kami berlalu dari
situ.
“Saya gembira..” Aku sekadar membalas hambar.
Tidak mampu lagi untuk aku bersandiwara setelah hatiku disiksa pedih melihat
kelakuan suami sendiri. Saat ini mata ku lebih suka memandang permandangan di
luar kereta daripada memandang wajah Ariff di sisi ku. Entahlah.. mungkin aku
sudah terlalu banyak berdosa kerana berperasaan begini kepada suami sendiri. Tetapi
aku tidak mampu memaksa hati untuk menyenangi Ariff jika sikap seperti inilah
yang asyik ditadahkan kepada ku. Aku bukannya malaikat!
“Tapi mata awak tidak mengatakan begitu..”
Ariff membalas dingin. Semacam kecewa dengan jawapan ku tadi.
Aku mengeluh dalam diam. “Mata saya kata apa lagi
selain itu?” balas ku pula sambil mengalihkan pandangan kepadanya.
Kami berpandangan seketika. Namun pandangan
mata Ariff cukup tajam bagaikan mahu diratahnya aku di saat itu. “Ini bukan
perkara main-main, Insyirah!” tekan Ariff mulai keras nadanya.
Aku menggeleng perlahan dengan perasaan sebal.
Susahnya nak faham manusia seorang ini! keluh hati ku sendiri. Apa lagi yang
harus buat untuk membuat lelaki ini puas dengan ku. Aku sudah seperti lembu
mengikuti buntut Ariff ke sana ke mari tanpa hati dan perasaan. Melayan segala
kehendaknya tak kira siang ke malam.. sedangkan dalam keadaan begini aku
benar-benar perlukan rehat. Adilkah jika dengan sesedap mulut Ariff berkata
begini kepada ku. Patung ke aku ni?
“Apa lagi yang tak kena? Apa lagi yang awak
tak puas hati dengan saya? Apa lagi yang saya kena buat untuk awak? cakaplah!
Semua saya akan tunaikan,” ujar ku dengan nada agak kesal.
Ariff menghamburkan sebuah keluhan yang
kedengaran agak keras. Tiada jawapan yang diberikan tetapi aku tahu suami ku
itu sedang menahan marah. Aku tidak mengerti apa lagi mahunya lelaki ini dari
ku.
“Apa masalah awak ni, Ariff?” aku memberanikan
diri menyoal lelaki itu.
“Saya cintakan awak tapi awak sedikit pun tak
memandang saya begitu. Teruk sangat ke saya ni?” balas Ariff mula diamuk rasa
marah dan kecewa.
Aku terkedu tiba-tiba. Ariff menyintai ku?
Mahu tergelak pula aku mendengar pengakuan itu. Bukannya aku mahu mempersendakan
perasaan Ariff. Tetapi kerana cintakah mereka jadi begini selama ini? Kerana
cintakah perasaan ku jadi parah saban hari? Jika rasa yang ada itu benar maka
dengan senang hati aku akan menyambutnya. Tetapi satu persoalan yang masih
tidak mampu ku lepaskan saat ini ialah.. benarkah apa yang diucapkan Ariff itu
sebenarnya cinta yang ikhlas untuk ku? Atau sebenarnya Ariff menganggap aku
sekadar pelayan seumur hidupnya?
“Awak cintakan saya tapi mata awak juga suka
memandang perempuan lain. Awak tahu ke apa sebenarnya cinta?” aku membalas kata-kata
lelaki itu dengan nada yang tertahan. Seburuk-buruk perangai ku ini, aku tidak
tergamak mahu memalukan Ariff kepada lelaki yang sedang memandu di hadapan.
Ariff mendegus keras melepaskan bahang
kemarahannya. “Saya boleh buat apa yang saya suka. Anak di dalam perut awak tu
adalah penyebab utama saya terpaksa melalui hidup seperti ini. Jadi jangan
meminta saya melakukan sesuatu yang saya tak suka dan jangan menghalang saya
dari melakukan sesuatu yang sentiasa menjadi kesukaan saya, faham?” ujar Ariff
agak keras tanpa segan silu.
“Awak nak buat sesuka hati? Jadi saya ni siapa
dengan awak? Patung? Saya tak suka suami saya main perempuan sana sini!” ujar
ku serius mengingatkan Ariff tentang hakikat itu. Tiada isteri yang suka
suaminya bermain mata dengan wanita lain. Apatah lagi di hadapannya!
“Saya tak peduli. Awak tak cintakan saya dan
saya bebas melakukan apa yang saya suka! Awak penyebabnya saya jadi begini.”
Ariff ikut membalas dengan tegas. Apa yang aku ucapkan langsung tidak berkesan
untuk merebahkan keegoan Ariff. Semakin memantul pula nampaknya.
“Jadi awak lakukan ini semua sebab marah
dengan saya?”
“Katalah apa yang awak suka. Tapi jangan kata
pada saya jangan buat itu jangan buat ini. Saya bukannya kolot macam awak!
Jangan layan saya macam patung!” desis Ariff semakin tega menyakitkan hati ku.
“Siapa di sini yang dilayan macam patung?
Kalau awak tu patung, tak perlulah saya nak ikut awak sana sini. Saya tak perlu
nak buat apa-apa pun untuk awak sebab awak patung! Tapi hakikatnya lain. Awak
nak saya buat apa lagi untuk awak? ” aku pula yang mula menaikkan nada kepada
lelaki itu. Semakin menipis kesabaran ku dengan lelaki seorang ini.
“Awak cakaplah apa yang awak suka! Saya tak
suka dikongkong! Saya tak suka ditegur dalam banyak hal yang dah menjadi
kebiasaan saya! Saya kahwin dengan awak sebab nak bertanggungjawab pada bayi
tu. Bukannya untuk tunduk pada kehendak awak. Awak tak perlu nak atur hidup
saya.” Arif membalas tajam.
Aku terpaku seketika dengan bicara Ariff.
Selebihnya aku mula terasa malu kepada pemandu di hadapan apabila Ariff
mengungkit lagi tentang anak dalam kandungan ku ini. Buat seketika aku
memandang pemandu di hadapan. Lelaki itu hanya fokus kepada pemanduannya, tidak
begitu mempedulikan pertelagahan kami di belakang. Entahkan lelaki itu faham
apa yang kami berdua gaduhkan entahkan tidak kerana kami berbahasa inggeris
sedari tadi.
“Jaga sikit mulut awak! Saya tak mahu orang
lain tahu tentang hal itu. Kenapa awak nak biarkan orang lain tahu tentang
perkara yang memalukan ni? Bukan kita aja yang berada di dalam kereta ini!”
tekan ku dengan nada tertahan kepada lelaki itu.
Ariff menoleh dengan senyum sini. “Kalau bukan
kerana saya, anak ini sudah menjadi anak haram! Awak kena berterima kasih pada
saya dan bukannya mengatur hidup saya supaya jadi macam awak!” Ariff menambah
lagi bicaranya tajam.
Aku terus terdiam. Pandangan terus aku halakan
ke luar bersama rasa sedih yang teramat sangat. Kasihan aku .. kenapa aku mesti
jadi begini? keluh hati ku sebak. Betapa rendahnya aku pada pandangan suami ku
sendiri. Tidak tertanggung sakit di hati ku ini apabila Ariff menyebut tentang
status bayi ini. Akukah yang bersalah selama ini? akukah yang membuatkan
keadaan jadi sedasyat ini?
Setiba di hotel kami terus naik ke atas. Inilah
masa yang sesuai untuk kami putuskan apa yang perlu dan apa yang tidak dalam
hubungan ini.
“Betul ke awak tak mahu saya tegur awak lagi
selepas ini?” soal ku nekad setelah kami tiba di bilik. Saat itu kesabaran ku
lumat sama sekali kepada lelaki ini.
Ariff terdiam memandang wajah ku. Namun
renungan matanya tajam ke dalam mata ku seakan-akan sedang mencari kesungguhan
aku dalam meluahkan kata.
“Betul awak tak mahu saya tegur awak apa-apa
lagi? Setakat anak dalam kandungan saya ni, Insya-Allah saya mampu membesarkan
dia tanpa awak, Estaban Joseph Buhler! Bukan saya yang merayu kepada awak
supaya bertanggungjawab kepada bayi ni. Jadi sekarang cakaplah.. apa yang awak
mahu saya lakukan untuk puaskan hati awak yang penuh dengan keegoan tu? Awak
mahu saya tinggalkan awak supaya awak boleh hidup bebas tanpa teguran saya lagi?
Awak mahu saya pergi jauh dari hidup awak dan jangan kembali semula? Awak mahu
bebas selama-lamanya? Beritahulah apa yang awak mahu! Saya akan lakukan! Tapi
dengan dua syarat. Awak mesti lepaskan saya dengan saksi yang sah seperti mana
awak nikahi saya juga dengan saksi yang sah! Dan saya tak mahu tengok lagi muka
awak sampai saya mati! Syarat kedua, anak ni takkan jadi anak awak sampai
bila-bila. Papa awak juga jangan sesekali cari saya lagi untuk beritahu yang
awak mabuk sambil menyebut nama saya! Cakaplah mana satu pilihan awak?” tukas
ku agak lantang dengan dada turun naik menahan rasa. Aku tidak terasa mahu
marah tetapi sebenarnya aku terlalu ingin menangis untuk melepaskan tekanan ini.
Cukuplah aku mendengar diri ku diperendahkan oleh suami ku sendiri. Tiada
maruahkah aku sebenarnya? Tidak ada perasaan aku? Cukuplah dengan kesakitan
yang telah diberikan oleh lelaki ini kepada aku selama ini. Cukuplah dengan
semua itu!
“Anak ni anak saya! Sampai bila-bila dia anak
saya walaupun saya tak berkahwin dengan awak! Saya kahwini awak bukan kerana
saya yang mahu tapi papa yang paksa! Bagi saya perkahwinan tak memberi apa-apa
makna. Sebaliknya saya hanya terpaksa tunduk pada kemahuan awak sepanjang masa!
Tanpa perkahwinan sekali pun saya tetap berhak pada bayi ni!” Ariff semakin
menaikkan suaranya tanda enggan kalah pada ku.
“Itu kata awak! Saya tak berpegang kepada
kata-kata awak yang berpegang kepada konsep barat. Sebaliknya saya berpegang
pada hukum agama. Anak yang lahir kurang dari tempoh 6 bulan dua detik mengikut
perkiraan bulan islam dari tempoh mulanya perkahwinan ini tetap dikira sebagai
anak tidak sah. Biarpun bapa kandungnya ada di hadapan mata saya sekarang! Awak
tahu.. jika diikutkan anak ini tidak boleh dibinkan kepada awak sebagai ayahnya
sebab kita sama-sama tahu hakikatnya macamana dia boleh ada dalam rahim saya!
Tapi ayah saya tak benarkan saya sebut lagi peristiwa yang dulu tu sampai
bila-bila. Itu rahsia kita semua. Agama islam adalah agama yang sentiasa memaafkan
kesalahan penganutnya. Allah hanya mahu kita bertaubat, Ariff. Sekarang biar
saya beritahu awak.. dengan syarat yang saya katakan tadi anak ini layak dibinkan
kepada awak dan awak berhak ke atas dia sepenuhnya. Melainkan ada pengakuan
salah seorang dari kita, terutama sekali awak sebagai ayahnya yang menyatakan
anak ni adalah anak zina. Maka secara automatik anak ni akan jadi anak luar
nikah biarpun dia lahir selepas enam puluh bulan yang akan datang! Seorang ayah
yang baik tidak akan menggelarkan anak sendiri dengan anak haram. Kalau saya
sentiasa menahan diri dari berkata begitu, apa pula tujuan awak asyik menyebut
tentang status anak ini?” meledak lantang suara ku melawan kemarahan Ariff. Aku
sudah tidak peduli lagi dia siapa dengan ku. Tidak ada guna pun berlembut
dengan manusia kepala batu macam ni. Buang masa!
“Anak hasil zina adalah milik ibu sepenuhnya.
Awak memang tak berhak lagi ke atas anak ini. Tetapi saya berkahwin dengan awak
bukan sekadar mahu menjaga status anak ini. Tapi untuk menjaga hak awak sebagai
ayah jugak. Mana pergi perasaan awak? Awak ni manusia ke apa?” meledak lagi
suara ku memarahinya.
Ariff terdiam sambil memandang tajam kepada
ku.
“Papa merayu saya supaya terima awak supaya
saya boleh bantu awak jadi orang yang lebih baik. Tapi kalau awak sendiri tidak
mahu berubah datanglah berapa orang isteri dalam hidup awak sekali pun, Ariff!
Semua itu takkan bermakna apa-apa kalau awak sendiri memang jenis kepala batu!
Jadi fikirlah.. bagaimana anak ni akan jadi anak awak kalau awak sendiri yang
mengenepikan hak-hak dia? Seharusnya awak tutup mulut awak jangan sebut lagi
tentang status anak ini. Tapi tak! Jangan kerana dengan lidah tak bertulang
awak tu, anak yang tak berdosa ni akan menanggung keaiban kita berdua sampai
akhir hayat dia. Kalau itu harus berlaku untuk apa saya kahwini awak lagi?
Untuk apa saya berada di sini kalau awak memang tak perlukan saya? Lebih baik
saya tak payah ada suami!” tegas ku masih tidak puas melepaskan perasaan sakit
ku sebelum sempat Ariff membalas.
Ariff terus kelu melihat ketegasan aku
menghentam dirinya. Dia berdiam dengan wajah mencuka. Biarpun tidak mampu
membalas namun aku tahu dia sedang menyimpan rasa bengkak kepada ku. Lelaki itu
keluar ke balkoni.
Malas mahu bertekak lagi dengannya aku duduk
di birai katil. Perlahan tudung di kepala aku tanggalkan. Wajah ku raup
perlahan sambil beristighfar untuk meredakan kemarahan. Namun biarpun kemarahan
itu menghilang namun kesedihan ku tidak menyurut biar sedikit pun. Entah kenapa
aku merasa terlalu sedih. Setiap patah bicara Ariff sebentar tadi teramat-amat
melukakan. Selama mana aku mampu bertahan? Rasanya aku sudah tidak sanggup lagi
mahu menunggu lelaki seperti ini. Aku tidak sekuat itu! Aku lebih rela menarik
diri sahaja daripada terus hidup sengsara.
Tidak lama kemudian pintu luncur yang
memisahkan ruang santai bilik itu dan balkoni ditarik dari luar. Ariff masuk ke
bilik itu semula dengan wajah masamnya. Dia sempat mendegus keras sengaja mahu
menunjukkan keegoannya tatkala melontarkan tubuhnya ke sofa. Aku yang memandang
malas mahu melayan lelaki itu lagi. Biarlah lelaki itu mahu mendegus sebanyak
mana yang dia suka. Cintalah sangat macam ni! Yang ada hanya nafsu lelaki Ariff
kepada ku.
Ya.. buatlah apa yang kau suka sampai kau
puas. Tiba masanya nanti aku pulak yang akan berbuat apa yang aku mahu untuk
diri aku sendiri. Jangan nanti kau meraung melutut di hujung kaki aku ni. Aku
tak akan layan! Aku mengutuk sendirian.
Seperti sebelum ketegangan membawa kebisuan
kepada kami. Dia tidak banyak bercakap sepanjang berada di bilik itu. Aku pula
lebih senang menyiapkan diri mengerjakan solat. Ariff pula dengan senang hati
menghadap televesyen sambil berbaring di atas katil. Apa yang semakin
menyakitkan hati ku ini ialah.. sudahlah tak mahu solat. Itu tak kisahlah! Dia
sengaja membiarkan suara tv melantun kuat sehingga aku mula merasa terganggu.
Sudah banyak kali aku berpesan supaya memperlahankan suara tv waktu orang lain
sedang bersolat. Dalam banyak-banyak tempat kat sini jugak dia nak tengok tv.
Sedangkan tv ada di mana-mana dalam suit ini. Ariff memang sengaja mencari
fasal dengan aku. Sehingga aku selesai bersolat dia masih dengan muka
selambanya sengaja mahu menyakitkan hati ku dengan kedegilannya.
Memang dasar kepala batu! Degil tak kena
tempat.. degus hati ku meluat memandang muka Ariff.
Usai melipat marahan aku terus mengambil beg
baju dari dalam kloset. Tanpa kata aku mengemas segala barangan untuk
disumbatkan ke dalam beg itu. Kali ini aku nekad! Ariff pun memang tak perlukan
aku, jadi lebih baik aku balik ke kampung saja. Macamana untuk mereka hidup
bersama jika yang bersarang di hatinya saat ini adalah kebencian!
“Awak nak ke mana?” soal Ariff apabila sudah terpandangkan
perbuatan ku itu. Riak wajahnya mula berubah. Pantas dia bangun mendekati ku.
“Saya nak balik rumah orang tua saya!” jawab
ku tanpa serius.
“Sayang, awak marah saya? Awak kecil hati
dengan kata-kata saya tadi?” ucap Ariff mulai kalut.
Aku hanya diam enggan menjawab kepadanya.
Pakaian yang sudah dilipat kemas terus aku muatkan ke dalam begn. Namun
seketika kemudian tubuh ku mula ditarik oleh lelaki itu.
“Saya minta maaf kalau awak kecil hati dengan
kata-kata saya tadi. Saya tak bermaksud begitu, sayang. Tolong jangan buat
macam ni. Jangan tinggalkan saya..” pujuk Ariff pantas.
“Saya nak balik rumah mak ayah saya. Takde
gunanya saya berada di sini. Awak tak perlukan saya dalam hidup awak. Jadi
untuk apa saya menunggu di sini?” balas ku dalam getaran. Entah kenapa aku
terasa benar-benar mahu menangis pula saat ini.
“Bukan macam tu. Tadi.. tadi saya tengah
marah. Saya tak sengaja bercakap begitu. Maafkan saya! Maafkan saya. Jangan
buat macam ni.” Ariff semakin kalut memujuk ku. Tubuh ku cuba dipeluknya namun
aku terus menolaknya.
“Cukuplah awak menghina saya, Ariff. Saya dah
tak sanggup lagi! Hanya disebabkan saya macam ni awak senang meluahkan kata-kata
seolah-olah saya ni takde perasaan. Awak boleh teruskan kehidupan awak seperti
mana yang awak suka. Tanpa kongkongan saya, hidup awak akan lebih aman. Saya
juga tak perlu menadah diri saya untuk dihina oleh suami sendiri. Awak ingat
saya ni tak tahu rasa sedih ke? Bila-bila awak suka awak buat macam-macam pada,
saya tak kira saya bersedia atau tidak. Bila awak marah.. awak sanggup hina
saya seolah-olah saya ni seorang perempuan yang takde harga diri! Awak menghina
anak ni seolah-olah saya yang terlalu murah selama ini,” luah ku dengan deraian
air mata.
“Sayang, maafkan saya. Saya janji takkan cakap
begitu lagi. Tolong jangan buat macam ni. Saya betul-betul cintakan awak. Saya
hanya cintakan awak seorang,” rayu
lelaki itu teramat lembut. Tubuh ku terus dipaut Ariff.
“Saya dah lama jatuh cinta pada awak. Tolong
maafkan saya, sayang.” Ariff berbisik lembut di tepi telinga ku.
Aku hanya bungkam dalam dakapan lelaki itu.
Mahu menolak tetapi pautan lelaki itu terasa begitu erat. Aku pula memang
benar-benar tidak berdaya saat ini. Kesakitan yang ditanggung oleh jiwa ku,
ditambah lagi dengan kesakitan yang sedang ditahan oleh ku akibat kehamilan ini
membuatkan aku kalah pada perasaan. Akhirnya aku hanya terdaya menangis sayu
dalam dakapan lelaki itu.
“Saya janji takkan sebut lagi tentang itu,
sayang. Maafkanlah saya.” Ariff memujuk lagi setelah merenggangkan pelukannya.
Wajah ku yang basah diusapnya lembut. Perlahan dahi wanita itu dikucup syahdu.
“Saya sayangkan awak. Saya takkan ceraikan awak sampai bila-bila. Awak adalah
untuk saya dan saya tak izinkan awak pergi tinggalkan saya,” luah Ariff
bersungguh saat menatap bola mata ku.
Aku hanya berdiam tidak mampu untuk berkata
apa. Seketika kemudian Ariff mula membawa ku ke katil. “Awak berehatlah. Jangan
banyak fikir. Saya tahu awak penat. Kita tak seharusnya bertengkar dalam
keadaan awak begini. Maafkan saya, sayang. Saya tak sengaja.” Ariff memujuk
lagi dengan sikap prihatinnya.
Aku terus membisu. Berbaring di katil itu aku
menangis lagi. Wajah lelaki itu enggan ku pandang. Sengaja aku membelakangkan
Ariff yang ikut berbaring di tepi. Aku terus menangis sendiri memikirkan nasib
diri ku. Sehingga akhirnya tubuh ku ditarik oleh lelaki itu menghadap ke
arahnya.
“Saya janji saya akan bahagiakan awak, sayang.
Saya akan lakukan apa sahaja untuk awak. Tapi tolong jangan menangis. Saya
tersiksa bila tengok awak begini. Maafkan saya,” bisik Ariff teramat lembut.
Pandangan ku dibalasnya dengan penuh harapan agar aku memaafkannya.
“Maafkan saya, tolonglah...” pinta Ariff lagi.
Jemari ku mula dibawa ke bibirnya lantas dikucup lama. Aku sekadar memandang
wajah lelaki itu. Mata Ariff terpejam lama saat mengucup jemari ku.
“Saya perlukan awak dalam hidup saya melebihi
dari orang lain. Takde seorang perempuan pun yang pernah berada di hati saya
sama seperti awak. Awak terlalu istimewa untuk diri saya, sayang. Percayalah..”
bisik Ariff cukup lembut.
Mendengar itu sebahagian dari perasaan ku
mulai terpujuk. “Saya maafkan awak..” balas ku perlahan sahaja.
“Betul?”
Aku hanya mengangguk sambil menyeka air mata
yang masih bersisa di pipi ku. Ariff lantas tersenyum kelegaan apabila melihat
aku sudah mulai tenang. Perlahan tubuh ku dirapatinya. Juntaian rambut di dahu
ku disuaknya lembut. Dahi yang terdedah segera dikucupnya lagi. “Saya
sangat-sangat cintakana awak..” bisiknya sekali lagi.
Aku diam tidak membalas ucapan kitu. Seketika
kemudian bibir ku pula yang dijamahnya. Seperti sebelum-sebelum ini aku tidak
menolak. Tidak juga membalas. Sebaliknya aku hanya diam kaku seperti patung. Perasaan
yang masih tidak sembuh sepenuhnya membuatkan aku tidak mampu merasai apa yang
sedang dia rasai. Namun malam ini Ariff tidak lagi mengomplen apa-apa. Mungkin
dia mahu menjaga perasaan ku.
Cakap aja nak suruh aku berehat kononnya.
Kalau dah nama atas katil, itulah aja kerja dia! bisik hati ku sendiri.