Aku terus
menanti kepulangan Ariff
dengan perasaan yang bercampur baur. Cuba ku pujuk lagi hati dengan penuh
kesabaran walaupun masuk hari ini bermakna sudah empat hari Ariff tidak pulang
ke rumah. Telefon bimbitnya juga tidak dapat ku hubungi sehingga kini.
Hati ku kian resah tidak menentu memikirkan ke
mana Ariff menghilang. Sudah dua hari cuaca di luar memburuk. Suhu semakin
rendah dan dari dalam rumah aku lihat jendela rumah kami sudah diliput salji
tebal. Daripada berita kaji cuaca di tv aku dimaklumkan suhu di kotaraya London
akan terus menurun dalam sehari dua ini. Aku semakin bimbang mengenangkan apa
yang sedang berlaku di rumah ini. Anak-anak ku sudah tidak aman.
“Ariff, manalah awak pergi ni..” keluh ku kian
kebimbangan.
Namun kebimbangan yang paling utama saat ini bukan
lagi tentang di rumah siapa Ariff bermalam, sebaliknya ragam anak-anak yang
enggan tidur dan hanya menangis sahaja semenjak siang tadi. Aku dapat merasakan
ada sesuatu yang tidak kena dengan dua kembar kesayangan ku itu.
Apabila menjelang malam badan Rafael mula
terasa cukup panas. Kini Mikhael juga sudah mengikut jejak abangnya. Memikirkan
suhu yang dingin aku yakin anak-anak ku sudah sudah menghidap demam kerana dia
merasakan tubuh mereka berdua agak panas. Rafael dan Mikhael hanya menangis dan
tidak mahu menyusu lagi. Tidak tertanggung rasanya beban kerungsingan ini sendirian.
Aku sangat-sangat memerlukan Ariff saat ini.
“Mereka demam ni, puan. Suhu badan mereka
masih tak menurun. Saya rasa kita tak harus menunggu Tuan Ariff lagi. Mereka
harus segera dibawa ke hospital,” kata Malika yang juga sudah gusar dengan
keadaan bayi-bayi ku itu.
Berkali-kali kami meletakkan tuala basah ke
dahi anak-anak itu tetapi hasilnya masih tidak seperti yang ku harapkan.
Malahan ada kesan-kesan kemerah mula timbul di tubuh anak-anak itu.
“Saya juga rasa macam tu. Saya rasa saya mesti
ke klinik segera tanpa menunggu Ariff lagi. Saya tak boleh biarkan mereka
begitu sahaja. Badan mereka terlalu panas. Saya bimbang..” balas ku kian resah.
“Kalau begitu saya akan panggilkan pemandu. Saya
juga boleh temankan puan ke klinik. Susah kalau puan seorang diri di klinik
nanti.” Malika lantas menawarkan bantuannya. Mungkin dia kasihan mengenangkan
aku tidak ditemani suami saat itu.
Aku terus mengangguk. Sebetulnya aku amat
mengharapkan bantuan Malika. Akhirnya aku memutuskan untuk menghantar Rafael
dan Mikhael ke klinik yang paling hampir dengan rumah itu. Tidak dapat ku tahan
lagi kesedihan ku apabila mendengar raungan anak ku itu yang sudah lain macam.
Rafael dan Mikhael serba tidak kena dalam dukungan aku dan Malika. Anak-anak ku
tidak mampu ku pujuk lagi. Keadaan itu semakin membuatkan aku tertekan. Dengan
kecetekan ilmu dan kurang pengalaman, ditambah pula Ariff tiada bersama, aku
merasakan perasaan ku semakin rapuh kala ini. Mujurlah aku pembantu yang ada
amat berguna pada saat-saat seperti ini.
Tetapi sebaik diperiksa oleh doktor di klinik
itu aku diarahkan agar terus membawa membawa dua anak ku itu ke Evalina
Children Hospital kerana suhu tubuh Mikhael sudah hampir mencapai tahap
maksimum. Mendengar itu bertambah cemas aku jadinya. Kami dihantar ke hospital
itu dengan ambulan. Sesampai di hospital kedua-dua bayi ku dibawa pergi oleh
petugas bilik rawatan kecemasan dengan pantas.
Melihat Mikhael asyik menangis aku sudah tidak
mampu lagi menahan diri. Akhirnya aku menangis sayu saat berada di ruangan
menunggu di dalam wad kecemasan itu. Dari tempat aku menanti itu aku masih
boleh mendengar suara anak-anak ku biarpun doktor sudah membataskan pandangan
ku dengan mengembangkan tirai mengelilingi katil dua anak kecil itu.
“Bersabarlah. Insya-Allah mereka berdua akan
sembuh nanti.” Malika segera memujuk aku yang kesayuan.
Sesungguhnya hanya Rafael dan Mikhael yang
masih tinggal untuk ku. Mereka berdua adalah alasan kenapa aku masih bertahan
dalam kehidupan seperti ini. Tanpa mereka aku tidak tahu apa akan terjadi
kepada ku.
Sejam kemudian aku telah diberitahu bahawa
Rafael dan Mikhael terpaksa di tempatkan di wad ICU kerana telah mendapat demam
panas. Doktor lelaki itu menerangkan demam panas itu mesti dikawal segera untuk
mengelakkan kerosakan saraf yang boleh membawa kepada kecacatan kekal. Aku
hampir pingsan mendengar itu. Namun Malika di sisi ku terus meminta aku
bersabar dan berdoa kepada Allah.
“Kamu harus mencari suami kamu biar apapun
yang berlaku, puan. Dia mesti tahu keadaan anak-anak dia.” Malika berkata
kepada ku setelah kami keluar dari wad kecemasan itu.
Menghubungi Ariff? Bagaimana? Telefon
bimbitnya setiasa dimatikan. Aku tidak tahu apa cara lagi yang ada untuk aku
mencari lelaki itu.