Ahad, 23 Februari 2014

13-JIBAM KAHWIN JANDA VOUGE!

Tiada kenduri kendara! Tiada jemputan tetamu! Tiada persalinan indah!
Perkahwinan dijalankan secara rahsia yang mana hanya keluarga Katrina sahaja yang tahu di mana masjid tempat dua manusia itu disatukan. Itu permintaan Katrina.
Jibam meraup wajahnya seketika saat jurunikah menghulurkan tangan untuk memulakan akad. Dada yang berdegup kencang semenjak tadi cuba diredakan.
“Mohd Syahir Eddy Bin Mat Kuno..”
“Saya..”
“Aku nikah akan dikau dengan Katrina Emelda Binti Kamaruddin berwakil walikan akan Kamaruddin Bin Hamzah kepada diri ku dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 100 tunai!”
“Aku terima nikahnya Katrina Emelda Binti Kamaruddin dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 100 tunai.” Lancar sahaja suara garau Jibam menyambut akad yang dihulurkan kepadanya.
Dengan sekali akad itu maka saksi menerima kabul yang dilafaskan cukup lancar dan jelas sebagai sah. Maka terjalinlah sudah ikatan suci antara Jibam dan Katrina. Tan Sri Kamaruddin terus mengucap syukur dengan lidahnya. Puan Sri Najihah mengusap lembut belakang anaknya sambil tersenyum. Lega hatinya melihat Katrina kembali menjadi isteri dengan seorang lelaki bersama restunya. Harap-harap kali ini nasib anaknya tidak akan sama seperti dahulu.
Hanya sejam mereka berada di Masjid Besi Putrajaya itu. Masing-masing keluar dengan wajah penuh kelegaan setelah upacara penting itu sudah selamat berlangsung. Yang paling lega saat itu adalah Katrina. Hanya Allah yang tahu dan mendengar doa yang dialunkan di dalam hatinya untuk perkahwinan keduanya ini.
“Kita nak ke mana lepas ni?” tanya Kameel, adik bongsu Katrina.
“Baliklah..” jawab Puan Sri Najihah selamba.
“Tak nak balik, mummy!” sambut Keisya adik kedua Katrina. Kameel mengangguk cepat setuju dengan si kakak. Bukan selalu mereka dapat keluar sekeluarga begini.
“Kita pergi makan besar. Celebrate wedding kak long dulu..”
“Daddy, makan kat Tasik nak tak? Tak naklah makan kat hotel lagi. Bosanlah..”
“Tanya Kak Long. Dia yang nak belanja.” Tan Sri Kamaruddin memuncungkan mulutnya kepada Katrina di keretanya. Wanita itu sedang tersenyum memandang keluarganya.
“Makan kat tasik sana nak tak, Kak Long?” terkedip-kedip mata Keisya memujuk kakaknya itu.
“Okay..” jawab Katrina akur sahaja dengan kehendak adik-adiknya itu.
Jibam tersenyum senang memandang keletah adik-adik Katrina yang manja. Berkahwin dengan Katrina secara tidak langsung kini dia ada dua orang adik. Selama ini dia tidak pernah merasa ada adik beradik lain. Selama dia mengenali dua adik Katrina walaupun tidaklah rapat benar, dia tahu Keisya dan Kameel sangat manja dengan kakaknya.
Riuh rendah meja itu sementara mereka menanti pesanan. Melihat si kakak sedang rancak berborak dengan emaknya, Kameel tiba-tiba bangun dan berpindah duduk di sebelah Jibam. Dengan selamba bahu Jibam dicuit-cuit oleh anak muda berusia 17 tahun itu. Kemudian dia menarik tubuh abang iparnya itu agar dekat kepadanya. Mulutnya didekatkan ke telinga Jibam.
Katrina menoleh. Melihat adiknya seronok berbisik-bisik dengan Jibam, keningnya mula berkerut. Wajah Jibam berubah saat mendengar bisikan anak muda itu. Rasa mahu ketawanya ditahan sebaik mungkin. Banyak pulak hal yang nak dibisikkan Kameel kepada Jibam.
“Kameel!” getus Katrina sudah tahu apa yang sedang dibuat oleh adiknya itu.
“What?” dengan kening terangkat dia memandang kakaknya di sebelah kiri Jibam.
“Cakap apa ha?” degus Katrina lantas menolak adiknya itu.
Jibam tersenyum-senyum sendiri. Apa yang dibisikkan oleh adik iparnya itu membuatkan dia gelihati.
“Mana ada cakap apa-apa. Kameel cuma pecahkan rahsia kak long aja,” ujar Kameel lantas menarik Jibam semula.
Terbeliak mata Katrina melihat gelagat selamba adik bongsunya itu. Yang lain sudah ketawa gelihati. Semua orang di dalam keluarga ini sudah tahu rahsia itu.
“Kameel, janganlah! Jahat betullah dia ni,” rungut Katrina sudah mula merah mukanya. Melalui belakang Jibam dia menolak bahu adiknya itu.
“Biarlah Abang Long tahu perangai Kak Long. Nanti takdelah Abang Long terkejut tengok perangai Kak Long pelik-pelik.” Terkekeh-kekeh Kameel ketawa. Jibam akhirnya ikut ketawa.
“Gelak!” rengus Katrina sebal melihat Jibam ikut tergelak dengan adiknya.
“Ada lagi.. nak dengar?” ucap Kameel nakal. Katrina menghela nafas geram.
“Nak.. nak..”
Katrina hanya mampu menghela nafas geram melihat dua lelaki itu berbisik-bisik tentang dirinya sambil ketawa.
“Okay tak Kak Long?” tanya Kameel agak perlahan sambil mengangkat ibu jarinya kepada Jibam.
“Okay.. okay.. sekarang baru abang tahu perangai sebenar dia,” jawab Jibam lalu tergelak serentak dengan Kameel.
“Apa you all cakap ni ha?” Katrina menepuk bahu suaminya. Sakit hatinya melihat Jibam dan Kameel macam sedang mengolok dia.
“Takde apa-apa..” Jibam menoleh lantas menggeleng kepada Katrina.
Rahsia yang paling membuatkan dia mahu tergelak.. Katrina suka gunakan bilik air tanpa menutup pintu apatah lagi menguncinya. Itu dia memang kena berjaga-jaga. Takut nanti terambush pada waktu yang tidak tepat!
Rahsia kedua Katrina selalu paksa orang buka pintu kamar mandi kalau dia nak gunakan kamar itu kala itu juga. Rahsia seterusnya Katrina tak suka tengok tv sorang-sorang tapi suka conqure remote tv. Sebab dia nak mesti nak baring atas riba sesiapa sahaja yang ada dekat dengan dia. Atas riba orang orang gaji pun boleh. Asalkan ada! Kalau takde sesiapa temankan dia, dia tak suka tengok tv. Tapi bila dia dah ada depan tv bermakna semua orang kena tengok rancangan yang dia suka!
Seterusnya.. Katrina memang raja segala pemalas kalau tengah sedap tengok tv! Air dia minum pun dia suka paksa adik-adik dia buatkan untuk dia. Lagi.. Katrina selalu parking kereta tak tarik handbreak sampai daddy mereka terpaksa tukar pintu pagar rumah mereka sebanyak tiga kali disebabkan kecuaian Katrina. Ada lagi.. Katrina suka menyorok dalam tub mandi kalau merajuk dengan orang tuanya. Jibam tersenyum-senyum mengenang semua itu. Manis sahaja di pendengarannya walaupun agak kelakar.
“I dah tak buat perangai macam tu, okay. Kameel ni sengaja nak besar-besarkan cerita!” tukas wanita itu lantas menjeling Kameel di sebelah sana.
“Takde mananya! Kak Long tu memang suka paksa orang ikut cakap dia,” selar Kameel tidak setuju dengan ujaran Katrina.
“Yelah.. Adik kenalah ikut cakap kakak,” jawab Katrina selamba.
“Nak tahu rahsia lagi?” Tan Sri Kamaruddin pula mencelah.
“Daddy!” rengus Katrina mula menjegilkan mata kepada ayahnya itu pula.
Tan Sri Kamaruddin sempat berpandangan dengan isterinya itu. Masing-masing sedang menahan senyum.
“Alah.. ini rahsia yang tak berapa nak rahsia sangatlah. Kak Long selalu suruh angah lipat baju dia. Underware dia pun suruh kita yang lipatkan. Dahlah fesyen underware dia selalu pelik-pelik!” Laju sahaja Keisya membuka rahsia Katrina yang seterusnya. Meledak tawa di meja itu melainkan Katrina.
“Angah ni memang nak kenalah! Jangan bising boleh tak? Itu pun nak cerita ke?”
“Alah.. apa nak malu? Nanti Abang Long nampak jugak fesyen underware Kak Long tu macamana. Lainlah kalau Kak Long nak sidai underware tu dalam handbag Kak Long..” perli Keisya dengan cukup bersahaja.
Kah..kah..kah.. semakin lantang gelak tawa mereka semua mendengar ucapan Keisya yang meluncur selamba. Muka Katrina merah. Malunya dia terutama sekali kepada Jibam. Baru beberapa jam Jibam menjadi suaminya ahli keluarganya sudah memecahkan sebahagian tembelangnya.
Fesyen underware ya? Jibam tersenyum sahaja memandang wanita di sebelahnya itu. Lain macam perasaannya kala ini. Mungkin inilah perasaannya bagi semua lelaki yang baru sahaja bertukar status kepada suami.

Jibam terpaku lama saat pertama kali menjejakkan kaki ke rumah perempuan itu. Mula-mula masuk sahaja dadanya sudah terasa lain macam. Suasana rumah yang sangat privasi itu memberikan dia ketenangan. Dekorasinya sudah cukup untuk memberitahu sesiapa yang datang rumah ini milik seorang wanita.
“Ini bilik you..” ujar Katrina membuatkan Jibam menoleh ke arah Katrina. Perlahan dia menggerakkan kedua kakinya ke arah isterinya itu.
“Bilik Kat mana?”
“Ni..” Katrina menunjukkan ke arah pintu bertutup tidak jauh dari mereka itu. Kalau keluar serentak memang boleh berlaga. Dekat sangat!
Jibam menjengah ke dalam. Kemas sahaja bilik itu. Sedap matanya memandang.
“Baju you bila nak ambil?”
“Esok.” Sepatah sahaja jawapan Jibam tanpa mengalihkan pandangannya daripada persekitaran bilik itu.
“Malam ni you nak pakai apa? I takde baju untuk you.”
“Takpe. Hal kecik je tu. Esok pagi saya pergi ambil baju saya di rumah sana.” Jibam menoleh sebelum menjawab. Katrina dilihatnya sedang berpeluk tubuh sambil bersandar ke ambang pintu biliknya.
“Okay.. I nak masuk bilik dulu. Penat! You buatlah macam rumah sendiri.” Katrina mula berpaling untuk ke biliknya pula. Jam sudah melintasi angka 11. Dia sudah letih benar.
Hampir 30 minit di dalam bilik air wanita itu keluar setelah tubuhnya terasa segar. Kemudian dia menghadap cermin. Wajahnya dibeleknya seketika. Teringat yang dia sudah lama tidak membuat rawatan wajah menggunakan timun dan tomato tiba-tiba angin rajinnya sampai. Katrina terus bangun dari kerusi meja soleknya.
Langkah Katrina terhenti di ambang dapurnya. Kelibat Jibam yang sedang terbongkok-bongkok menilik suiz pemanas air itu ditatap seketika dari arah belakang. Dadanya mula tidak merasa tidak sedap. Ada paluan sudah membuatkan dia rasa nak lari dari situ segera.
Namun baru sahaja dia mahu berpatah balik Jibam sudah menoleh. Terpaksalah dia buat-buat selamba walaupun segannya dia memandang Jibam yang sedang tidak berbaju itu tidak terkata. Bukan setakat tidak berbaju. Tali pinggang dan butang atas seluarnya terbuka. Nasib baiklah zipnya elok lagi dizipkan sehingga ke atas.
Alahai.. jangan seksi sangat, boleh tak? Ada perempuanlah dalam rumah ni, keluh hati perempuan itu sendiri.
"Suiz ni rosak ya?" tanya Jibam sebaik sahaja Katrina masuk ke kawasan dapur itu.
"Ha'ah.. dah seminggu macam tu. Kalau on, habis satu rumah black out. I dah panggil maintanance tapi dia orang belum datang lagi," jawab Katrina tanpa memandang. Sekarang dia pulak yang takut memandang tubuh sasa Jibam. Dadanya semakin bergendang dalam diam. Agaknya kalau dia dibanting lelaki itu, sekejap aja patah dua dia jadinya.
"Saya boleh baiki tu. Esok saya buat," ujar Jibam sambil menggaru pelipisnya.
"Kat nak buat apa ni?" tanya Jibam saat terpandang Katrina bersandar sahaja ke dinding sambil memandangnya. Dengan lagak selamba Jibam menggaru dadanya pula di hadapan wanita itu.
“I nak.. err.. I dah lupa apa I nak buat tadi,” ujar Katrina kalut sendiri. Dia memandang sekeliling, cuba mencari idea apa yang harus dilakukan selain daripada menghadap Jibam yang begitu seksi itu.
“Nak minum air ke?”
“Emm.. aaa.. a’ah, I nak minum air.” Katrina sudah tidak tentu arah. Segannya dia mahu memandang Jibam. Sudahnya dia pergi menuang air sejuk di dalam gelas putih kemudian diteguknya sampai kembung perut.
Saat dia menoleh ke belakang Jibam sudah tidak ada di situ. Fuh! Lega.. Katrina tersandar ke kabinet di tepinya.
“Relax, Kat! Baru hari pertama. Jangan gelojoh!” ucapnya sambil menepuk-nepuk pipinya yang terasa hangat.
“Apa aku nak buat tadi ya?” Katrina berfikir sendiri. Ha.. nak buat masker!
Peti ais dibukanya. Sebatang timbun yang masih segar dan beberapa biji buah tomato diambilnya lalu dicuci. Kemudian dia membuka pintu kabinet bahagian atas. Sambil menjingkit dia meraba-raba rak yang paling atas. Namun hujung jarinya membuatkan mesin pengisar yang disimpannya di atas itu semakin tertolak ke dalam. Terjingkit-jingkit dia cuba mencapai lagi. Namun gagal.
“Alah.. malaslah nak ambil kerusi!” rengus wanita itu sendiri.
Namun tiba-tiba dia terasa ada tangan besar melekap di kedua-dua belah rusuknya. Dan tubuhnya terus terangkat ke atas tanpa sebarang amaran. Katrina sempat menoleh ke bawah dalam pada dia tergantung begitu.
Jibam tengah angkat dia! Mak ai.. macam angkat budak umur 5 tahun aja gelagat Jibam. Berderau darah Katrina dengan perbuatan lelaki itu. Namun terpandangkan mesin pengisar yang diperlukannya itu tanpa berfikir panjang Katrina terus mencapainya.
“Dah?” tanya Jibam.
“Dah!” serentak itu tubuhnya diletakkan ke bawah semula.
“Thank’s..” Tidak terpandang Katrina wajah lelaki itu. Malu sungguh!
“Nak buat apa tu?” tanya Jibam dari arah belakang.
“Masker..”
“Masker tu apa?” tanya Jibam tiba-tiba ramah pula dengan teman serumahnya itu.
“Emm.. benda yang perempuan selalu letak kat muka sebelum tidur,” jawab Katrina dengan tolehan sekilas. Jibam berdiri betul-betul di belakang dia. Belum habis debar di dadanya kini jantungnya rasa macam nak putus pula saat terpandangkan otot di atas dada lelaki itu bergerak-gerak entah kenapa. Menggigil tangannya saat dia cuba menghiris batang mentimun di tangannya. Pisau itu tiba-tiba terasa tumpul. Asyik tersasar aja.
“Pisau tu tumpul ke?” tanya Jibam. Hairan dia melihat pisau berkilat di tangan Katrina itu tidak mampu membelah timun itu.
“Ha?” Katrina tersentak diterpa suara Jibam.
Tanpa kata Jibam terus mengambil pisau dari tangan Katrina, juga timun itu. Hujung timun yang berwarna hijau pekat itu dipotongnya. Lalu bahagian yang terpisah itu dibuangnya. Kemudian timun itu dipotong kepada beberapa bahagian. Elok pula rasanya pisau itu. Takde tumpul pun. Kemudian semua biji tomato itu dibelah empat.
“Thank’s..” sekali lagi Katrina mengucapkan terima kasih setelah selesai lelaki itu selesai memotong semua bahan itu. Dia hanya tinggal mengaut kesemuanya untuk dimasukkan ke dalam mesin pengisar itu. Setelah dimasukkan sedikit air semua bahan-bahan itu dikisarnya.
“Kalau buat macam tu muka boleh putih ke?” tanya Jibam asyik sekali memandang apa yang dibuat oleh isterinya itu. Kalau boleh putih, dia pun nak buat juga rasanya.
“Takdelah boleh putih. Tapi boleh cantikkan kulit.”
Jibam mula meraba wajahnya. Terasa tunggul-tunggul jambangnya sudah mula keluar. Kasar!
“Kalau saya buat, boleh cantik ke kulit?” tanya Jibam lurus.
“You nak jugak ke?”
“Nak jugak..” jawab Jibam lantas memandang masker buatan tangan Katrina itu.
“Tahu ke cara pakai?”
Laju aja kepala Jibam menggeleng.
“Pergi cuci muka dulu. Nanti I ajarkan,” ucap Katrina lembut.
Laju kaki Jibam pergi menunaikan suruhan wanita itu. Tidak sampai seminit kemudian dia sudah berada di ruang tamu. Katrina sedang menunggu dia di sofa.
“You pakai pencuci muka apa?” tanya Katrina sambil menepuk sebelahnya, meminta Jibam duduk di situ.
“Emm.. selalunya saya pakai sabun mandi aja.”
“Ha?” terkedu Katrina mendengar jawapan Jibam. “Habis tu tadi you cuci muka pakai apa ni?” tanya Katrina sekali lagi.
“Saya pakai sabun mandi picit-picit yang ada kat dalam bilik air tu.” Sekali lagi Jibam menjawab penuh kejujuran.
Menggeleng wanita itu dibuat Jibam. “Mana boleh pakai sabun mandi. Nanti kulit kering. Baring cepat!” Katrina mula bangkit untuk memberi laluan kepada lelaki itu.
Jibam terus berbaring di sofa panjang itu. Namun saat jemari wanita itu melekap di wajahnya dia terasa macam direnjat eletrik. Sudahlah timun dan tomato hancur itu rasanya sejuk. Tiba-tiba dia terasa macam tidak mampu bernafas.
“Cukur misai you hari-hari ya? Nanti I belikan you pencukur eletrik. Senang you nak shave pagi-pagi,” ucap Katrina lembut sambil mengoles-oles wajah Jibam dengan masker alami itu. Dia langsung tidak sedang Jibam sedang kejung menahan nafas.
Jibam terbuntang memandang atas tanpa menjawab. Wajah Katrina yang berada dekat dengannya tidak mampu dipandangnya. Sudahnya dia keras macam mayat di atas sofa itu.
“Okay, dah siap! Tunggu sampai kering. Lepas tu cuci macam biasa.”
Jibam terus bangun setelah wanita itu menjauhinya.
“I nak masuk tidur ni. You nak tidur nanti tolong off lampu ruang tamu ya?” pesan Katrina lantas meninggalkan Jibam sendirian di sofa itu.

Jibam memandang. Hayunan punggung wanita itu dipandang sambil menelan liur. 3 tahun.. selama itu macamana dia nak menahan perasaannya yang kian tercuit kepada Katrina? Entah.. Jibam tidak tahu. Dia hanya mampu membiarkan masa yang mementukan semua itu.

Sabtu, 22 Februari 2014

12-JIBAM KAHWIN JANDA VOUGE!

Tengahari itu Katrina keluar bertemu dengan Ryan. Jibam semenjak pagi sudah menghilang dengan ayahnya. Dia sendiri tidak tahu ke mana dua lelaki itu pergi. Pelik dia melihat Jibam kamcing semacam dengan daddynya. Macam ada rahsia antara dua lelaki itu. Paling dia tidak percaya ayahnya gembira setelah mendapat tahu dia akan berkahwin dengan Jibam. Malah ayahnya langsung tidak bertanya mengapa dia meminta perkahwinan ini dijalankan secara tertutup.
“Daddy I dah tahu pasal hal I dan Jibam.”
“So apa kata dia?” tanya Ryan teruja.
“Dia setuju walaupun mula-mula dia terkejut. Mummy I lagilah terkejut,” jawab Katrina sambil tersenyum sedikit.
“So you cakap apa pada daddy you?”
“I tak cakap apa-apa. Mummy I yang pujuk..”
“Pandai you..” Ryan ketawa perlahan. Memang dia tahu Puan Sri Najihah rapat dengan Katrina. Senang sahaja memujuk wanita itu berbanding ayah Katrina. Dahulu pun atas pujukan Puan Sri Najihahlah dia dan Katrina dapat berkahwin.
“Ryan, kalau takde apa-apa masalah lagi I minta pernikahan ni dijalankan cepat. Paling lambat awal bulan depan.”
“I setuju. Kalau parent you semua dah setuju takde sebab kita nak tangguh lagi. I pun dah tak sabar, sayang.” Ryan terus menyambut tanpa berfikir lama.
“Tapi I ada hal nak beritahu you, Ryan.”
“Apa dia?”
Katrina diam seketika sebelum membuka cerita. “Daddy I tak tahu apa-apa pasal kita, Ryan. Kalau I cerita sekarang nanti dia akan menentang. So I perlukan Jibam untuk 3 tahun,” ujar Katrina penuh hati-hati.
“What?” hampir tersedak Ryan mendengar ujaran Katrina.
“3 tahun, Kat?” ulang Ryan dengan mata terbuntang.
“Yup..” jawab Katrina selamba.
Terkedu Ryan mendengar itu. “Lamanya? I tak boleh tunggu selama itu!” tegas Ryan masih dengan reaksi terkejutnya.
“I kena fikirkan perasaan orang tua I, Ryan. I tak mahu dia orang dapat malu. Apa nak kisah? Kita masih boleh berhubung macam biasakan?” kata Katrina terus selamba.
Ryan terdiam seketika. Masih memikir-mikir kewajaran permintaan Katrina itu. Setahun dia boleh tahan lagi. 3 tahun? Alahai.. berjanggutlah dia menunggu sedangkan rindunya kepada jandanya ini sudah tidak tertahan.
“Dan satu hal lagi ni mungkin you tak suka dengar tapi you kena tahu.”
“Apa dia?”
“You kata sebelum ni dia tak perlu jadi suami I sehinggalah dia ceraikan I. I faham apa maksud you. Tapi sebelum dia ceraikan I nanti dia kena sentuh I dulu barulah kita boleh berkahwin semula, Ryan. You know what.. bila you pilih lelaki macam tu memanglah I kena ambil masa untuk relakan dia sentuh I. Sebab tu I minta tempoh 3 tahun,” ujar Katrina mudah sahaja.
Ternganga mulut si Ryan mendengar itu.
“Sentuh maksud I.. make love to me.”
“You biar betul, Kat! Takkanlah you sanggup biarkan lelaki macam tu sentuh you?”
“Terpaksalah.. Hal ini I pernah tanya pada ustaz. Bila suami isteri bersama itu barulah dinamakan perkahwinan. Kalau tidak sia-sia saja I kahwin dengan Jibam. Kita masih juga tak boleh berkahwin,” ucap Katrina lebih jelas lagi. Pandai-pandai saja dia mencipta cerita. Ustaz manalah yang ditanyanya itu? Mana ada dia bertanya apa-apa pada ustaz.
Ryan terdiam memikir sendiri. Hatinya sudah mula tawar mendengar itu. Mana boleh lelaki lain sentuh perempuan yang dia sayang.
“So you macamana? Sanggup ke?” tanya Ryan setelah memandang semula wajah jandanya itu.
“Nak buat macamana? Kalau dengan lelaki lain pun apa bezanya. Sama jugak. I kena relakan diri I disentuh. Lainlah kalau you sanggup tunggu I jumpa lelaki yang I cinta dan berkahwin. You tunggulah sampai I dah bosan dengan perkahwinan tu barulah I mintak cerai. Tapi you kenalah terima kalau anak I dah berderet waktu tu.” Katrina sengaja menjawab dengan jawapan yang dia tahu akan membuatkan hati Ryan terbakar.
“Sayang, you jangan nak mengarut boleh tak? Sakit hati I dengar you cakap macam ni!” getus Ryan tidak senang. Wanita itu dijelingnya sedikit.
“Kalau you tak setuju sampai bila-bila pun keadaan takkan berubah, Ryan. Sama saja situasinya kalau I dengan lelaki lain.”
Ryan menghela nafas berat. Dalam hati dia memang tidak rela benar. Namun dia tahu dia sudah tidak ada jalan lain lagi selain daripada redha. “Okay. Tapi make sure sekali aja dan you tak pregnant, sayang..”
Suka hati akulah nak bagi dia pegang aku berapa banyak kali pun. Nak pregnant ke tidak apa kau nak sibuk? Perut aku yang punya! Aku yang beranak, bukannya kau! Sibuk aja! getus hati Katrina dalam senyum palsunya kepada dudanya itu. Seketika kemudian Katrina memandang jam di pergelangan tangannya. 15 minit lagi menunjukkan ke angka 2 petang. Dia harus pulang ke pejabat segera.
“I tak boleh lama. I kena balik office ni. I ada meeting dengan enggineer pukul 2 ni,” ucap Katrina lantas mencapai beg tangannya.
“I hantar?”
“Tak payah. Abang Sidik yang hantar I tadi.”
“Jibam mana?”
“Daddy I ambik Jibam jadi driver dia hari ni. Entah ke mana dia orang pergi I pun tak tahu.” Katrina menjawab sambil berdiri. Bajunya sempat dibetulkan.
“Bye, sayang..” ucap Ryan dengan senyum meleret kepada wanita itu.
“Bye..” tanpa memandang senyum menggoda itu Katrina terus meninggalkan meja itu. Kepada pemandu ayahnya itu dia meminta dihantar balik ke pejabat segera.
Setiba di pejabat Fazil sudah tiba di situ sedang menantinya. Katrina terus menggamit lelaki itu masuk ke biliknya. Katrina terus menutup semua tirai agar orang luar tidak dapat melihat ke dalam bilik itu.
“Apa khabar, Fazil?” Katrina bertanya saat duduk di kerusinya. Secebis senyuman dihadiahkan kepada lelaki berusia 40 tahun itu.
“Saya baik, Cik Katrina..”
“Good! I takde banyak masa nak bercerita panjang-panjang. Sekejap lagi ayah I akan balik. Macam ni, Fazil. I mintak you resign dari syarikat mulai bulan depan. Bagi notis 3 bulan.”
“Ha??” terbuntang mata Fazil mendengar ujaran Katrina yang cukup selamba itu.
“Kenapa? Saya ada buat salah ke sampai kena paksa berhenti?”
“Tak! I nak tawarkan you satu kerja lain. Bukan dalam syarikat ni tapi syarikat lain,” jawab Katrina lembut.
“Jawatan apa?”
Wanita berusia 29 tahun itu bersandar di kerusinya. “Jibam, dia juga akan berhenti kerja. I akan beri dia kerja lain lepas ni.”
Fazil memandang tajam wajah wanita itu. Tenang sahaja dilihatnya Katrina. Kalau Jibam berhenti apa kena mengena dengan dia? Kenapa dia kena berhenti sekali pulak?
“You ikut dia lepas ni,” ujar Katrina biasa. Namun serius.
“Maksud Cik Katrina apa?” tanya Fazil semakin tidak faham.
Katrina menarik sebuah dokumen daripada laci mejanya. Lalu diberikan kepada Fazil.
“Proposal untuk projek Lembah Bakun?” tanya Fazil setelah membaca kulit hadapan dokumen berbinding itu.
Katrina terus mengangguk.
“Syarikat mana ni? J&K?” Dahi Fazil berkerut membaca nama syarikat itu. Asing benar baginya nama itu.
“Syarikat baru. You akan kenal dengan pemiliknya nanti. Tapi buat masa ini I nak you guide dia dan I tak mahu orang ramai tahu siapa Jibam dengan I sehinggalah projek ni selesai. 3 tahun saja.” Katrina berkata dengan penuh hati-hati.
Semakin tidak faham Fazil. “Kenapa pulak?”
“I tak mahu ada orang tahu ini kes salah laku. I beri tender dalam projek Lembah Bakun tu pada syarikat ni macam tu aja. Proposal ni I yang buat sebenarnya. Untuk J&K!”
Fazil sudah ternganga. “Apa kena mengena hal ni dengan Jibam?”
Katrina menghela nafas perlahan. Dia tahu Fazil masih belum boleh menangkap apa yang sedang cuba disampaikannya.
“Please.. I harap I boleh letakkan kepercayaan pada you, Fazil. Tolong ajar dia tentang selok belok dunia business ni.” Lembut nada Katrina menagih persetujuan daripada Fazil. Dia tahu Fazil memang rapat dengan Jibam.
“Jadi Jibam tu..”
“Dia sebenarnya owner J&K.” Katrina terus mencelah sebelum sempat habis Fazil berkata-kata.
Terbeliak mata Fazil mendengar jawapan Katrina. Payah dia mahu menelan liurnya dek rasa tidak percayanya. Jibam sudah ada syarikat sendiri? Macam mimpi pula dia.
“Betul ke ni?” tanya Fazil sekali lagi. Pipinya ditampar-tamparnya membuatkan Katrina ketawa kecil melihat gelagat lelaki itu.
“Betul. Sepanjang J&K kendalikan projek Lembah Bakun ni I nak you bertindak sebagai proksi bagi pihak Jibam. Takde sesiapa pun boleh tahu Jibam adalah pemilik syarikat. Terutama sekali Infad Corporation.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab I akan berkahwin dengan Jibam. Kalau orang tahu dia pemilik J&K dan dia dapat projek tu dari I tanpa melalui perebutan tender, habislah I dengan dia, Fazil. Infad Coporation sepatutnya yang dapat kontrak ni tapi Ryan main-main. Daddy I marah. Dan I tak mahu daddy I anggap Jibam kahwin dengan I sebab nak hidup senang. Sama macam Ryan. Semua ni usaha I seorang, Fazil. Jibam tak pernah suruh I buat macam ni. I mesti buat macam ni untuk masa depan kami,” jelas Katrina tenang sahaja. Alasan selebihnya biarlah dia sahaja yang tahu mengapa semua ini dibuat dalam keadaan senyap-senyap. Dia terpaksa buat begini untuk selamatkan Jibam daripada tuntutan Ryan kemudian hari.
Terpaku Fazil memandang Katrina. Paling mengejutkan dia apabila mendengar berita yang Jibam akan berkahwin dengan Katrina.
“Tapi memang bahaya buat macam ni, Cik Katrina. Kalau ada orang syak tak mustahil akan ada laporan dibuat kepada SPRM,” ujar Fazil tidak lama kemudian.
“Sebab tu I minta you yang jadi proksi untuk dia. Tiga tahun aja, Fazil. Lepas tu keadaan akan kembali normal. Kerja dengan daddy I, you pun tahu. Dia paling tak suka orang yang main-main. Projek kena berjalan ikut masa. Selain dari itu dia tak mahu ambil tahu pun.”
Lama Fazil diam sambil memikir sendiri. Tawaran Katrina menarik juga baginya. Namun memikirkan perbuatan Katrina itu yang agak berisiko dia bimbang dia ikut terheret sekali.
“Macamana dengan Tan Sri? Apa saya nak jawab pada dia kalau dia tahu saya yang ambil alih projek Lembah Bakun tu?”
“Fazil.. takde salahnya kalau you yang ambil alih projek tu selagi you tak pegang apa-apa kepentingan dalam Temasek Holding. Daddy I mesti anggap you nak maju selangkah ke hadapan dengan membuka syarikat sendiri. You tahukan dia? Dia akan selalu bantu kontraktor kecil. Lainlah I ni,” ujar Katrina lembut.
Fazil mengangguk-angguk perlahan mendengar itu. “Okaylah. Saya setuju.”
Katrina tersandar penuh kelegaan. Sekali lagi urusannya dilicinkan dengan mudah. Tinggal selangkah sahaja lagi. Dia dan Jibam akan berkahwin. Gerbang itu dilihatnya sedang terbuka luas.

“Eh! Siapa tu?” Maria tertanya saat terpandangkan lelaki yang berjalan di belakang Tan Sri Kamaruddin. Katrina ikut menoleh untuk melihat lelaki itu sehinggalah dua lelaki itu terhenti dekat dengan dia dan Maria.
Jibam tersengih-sengih di hadapan perempuan itu. Mata Katrina terbuntang memandang Jibam. Dah ada gigi!
“You Jibam ke?” tanya Katrina macam tidak percaya melihat wajah Jibam.
“Ya, saya memang Jibam..” jawab Jibam selamba. Tan Sri Kamaruddin tertawa perlahan melihat mata anak perempuannya masih melekat di wajah Jibam.
Katrina tidak terkata melihat penampilan baru lelaki itu. Rambutnya dipotong pendek seperti askar. Jambang yang selalu berserabut di wajahnya sudah habis semuanya. Jibam nampak cukup kemas tanpa jambang serabutnya dan rambut kembang setamannya itu. Malah pakaian lelaki itu juga sudah berubah. Dia mengenakan baju tee berkolar yang disisip kemas ke dalam seluar slack kelabu yang berpotongan slim. Nampak lebih bergaya dengan baju yang melekap di tubuhnya membuatkan bentuk tubuh lelaki itu kelihatan jelas. Bergetar jantung wanita itu entah kenapa.
“Ehemm..” Tan Sri Kamaruddin berdehem sedikit cuba menyedarkan anak perempuannya itu.
Maria segera menekup mulut menahan senyum. Dia pun terpaku juga melihat Jibam tanpa sedar. Hotnya! Geram rasanya dia nak menyentuh bonggolan otot di dada dan lengan sasa Jibam. Machonya! Detik hati wanita itu. Akhirnya tanpa meminta izin Maria berpaling untuk ke biliknya. Bimbang dia lupa diri pula di situ dek kerana jakun melihat Jibam sudah jadi bergaya begitu.
Katrina menoleh segera kepada ayahnya. “Daddy, Kat dah nak balik ni. Dah lewat petang.” Katrina buat-buat menilik jam di pergelangan tangannya. Sudah jam 6 suku petang.
“Okay.. Jibam, hantar Kat balik terus ke rumah, okay?” Tan Sri Kamaruddin berpaling.
“Baik, Tan Sri..”
“Apa dia?” langkah lelaki tua itu terhenti semula. Wajah Jibam dicarinya semula.
“Err.. tak! Dad.. daddy..” tergagap-gagap Jibam mengubah panggilannya. Segan dia melihat renungan Katrina kepadanya.
Semakin terlopong Katrina. Amboi! Belum akad nikah dah panggil daddy? Aku tak suruh pun? Bisik hatinya semakin tidak keruan.
“Jom balik..” ajak Katrina setelah ayahnya masuk ke pejabat. Dia tahu ayahnya juga akan pulang sekejap lagi.
“You pergi mana dengan daddy I lama-lama?” tanya Katrina tidak puas hati. Semenjak jam 10 pagi tadi Jibam menghilang baru sekarang nampak mukanya. Dengan segala perubahan ini dia jadi tertanya-tanya!
“Saya hantar dia jumpa orang. Kemudian dia ajak saya pergi shopping tadi.” Jibam menjawab sambil memandang nombor untuk melihat di mana kedudukan lif saat itu. Sebenarnya daripada pagi tadi dia berurusan dengan doktor gigi. Kemudian barulah mereka keluar membeli belah. Dah macam perempuan mereka berdua tadi. Jibam tergelak dalam hati.
“Tak cakap dengan I pun..” cebir Katrina dengan sedikit jelingan untuk lelaki itu.
“Cakap apa?” Jibam menoleh kepada wanita itu.
“Pergi shoppinglah!”
“Saya pun tak tahu. Tiba-tiba aja daddy ajak pergi. Saya ikut aja.” Lembut sahaja jawapan Jibam.
“I tak suka rahsia-rahsia.”
“Saya pun sama..” ujar Jibam sambil memandang lama wajah itu. Dia tahu Katrina tahu apa yang sedang dimaksudkannya saat ini.
Katrina terdiam. Dia merasa tersindir tiba-tiba. Dia pun ada berahsia dengan Jibam. Janjinya selepas mereka berkahwin nanti dia akan berterus terang tentang itu. Tunggu sajalah.
“You kena teman I makan. I lapar sangat ni.”
Mereka masuk ke dalam lif serentak. “Tengahari tadi makan apa?” tanya Jibam kasihan melihat wanita itu.
“Makan hati..” jawab Katrina teramat perlahan. Dia tidak makan pun tengahari tadi. Dia hanya berjumpa dengan Ryan sebentar dan balik ke pejabat.
Jibam menoleh. Dia sempat terdengar jawapan itu. Seketika kemudian Katrina ikut menoleh. Masing-masing tersenyum tiba-tiba. Manis senyum Jibam dilihat Katrina selepas gigi palsu dipasang. Sejuk matanya memandang.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka mereka keluar serentak. Jibam terus membuka pintu belakang buat Katrina. Namun wanita itu dengan muka selamba membuka pintu di sebelah tempat pemandu. Jibam tergamam seketika melihat Katrina sudah masuk ke sebelah tempat duduknya. Wanita itu sengaja menjeling nakal kepadanya. Namun seketika kemudian dia ketawa kecil sambil menggeleng melihat gelagat wanita itu.
“Nak makan kat mana?” tanya Jibam sambil menghidupkan enjin kereta.
I rasa nak makan you sekarang ni. Geram! ucap wanita dalam hati. “Emm.. mana-mana ajalah. Janji kenyang,” jawab Katrina selamba.
“Gerai biasa aja boleh ke?” tanya Jibam sambil menarik tali pinggang keledar kepada dirinya.
“Boleh, Yang..” Katrina menjawab sedikit meleret tanpa memandang. Dia juga sedang memasang tali pinggan keledar ke tubuhnya.
“Ha??” Jibam terus menoleh ke sebelah.
“Apa?” tanya Katrina buat-buat selamba macam tidak ada apa-apa.
“Emm.. takde apa-apalah.” Jibam terus menggeleng. Agaknya dia salah dengar tadi. Berdiri pula bulu romanya dengan gelagat wanita di sebelahnya itu. Berdebar dadanya dalam pada dia tergaru-garu sendiri.
Katrina tersenyum memandang ke luar tingkap. Gelihatinya melihat Jibam kelam kabut dengan godaannya. Itu baru panggil, yang. Kalau panggil darling entahlah..
Terlihat sebuah restoran yang agak meriah dekorasinya, Jibam akhirnya memilih untuk berhenti di situ. Katrina terus keluar tanpa menunggu Jibam membukakan pintu untuknya. Mereka memilih sebuah meja di pinggiran restoran itu. Sedap mata memandang kerana terdapat sebuah kolam ikan kap yang berwarna warni tidak jauh dari situ.
“Nak makan apa?” tanya Jibam. Sudah lima minit mereka memandang menu.
Kening wanita itu berkerut membaca menu di tangannya.
“Somtam ni apa?” tanya Katrina lantas memandang lelaki di hadapannya itu.
Jibam tersenyum. “Kerabu betik..”
“Ha! I suka betik..” sambut Katrina sebelum habis Jibam menerangkan kepadanya.
“Tapi pedas..” ujar Jibam semula.
“I tak kisah..”
Jibam terus melambai pelayan. Tanpa dia sedari segala perbuatannya terus diperhatikan Katrina dalam diam. Tidak puas-puas matanya memandang lelaki itu. Lenyap habis rupa si Ryan dari hatinya.
“I suka tengok you macam ni..” ujar Katrina setelah mereka kembali berduaan sahaja di meja itu.
“Baju saya ni memang cantik,” ujar Jibam lantas menyengih kepada wanita itu.
“You nampak lebih kemas macam ni.”
“Selama ni saya tak kemas ke?” Jibam tergelak kecil memandang perempuan itu.
Katrina menjeling halus. Malas nak jawab. Tahu-tahu sendirilah.
“Tapi takde rambut macam ni kepala saya rasa ringan,” ujar Jibam lantas mengusap kepalanya. Rambutnya dipotong pendek sehingga nampak kulit kepala. Senang! Lepas mandi tak payah sikat.
“I duduk sebelah you, boleh?” tanya Katrina. Tanpa menunggu balasan Jibam dia terus bangun.
Jibam tidak terkata melihat keselambaan Katrina melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelahnya. Mulalah jantungnya kembali berdegup kencang. Tidak keruan melihat gelagat mesra selamba Katrina kepadanya.
“Daddy I bincang apa dengan you tadi?”
“Tak.. takde apa-apa,” jawab Jibam sedikit tergagap. Payah benar dia menelan liurnya. Mahu memandang Katrina pun dia tidak berani. Takut pengsan pulak dia nanti.
“Bohong!”
“Emm..” Jibam memikir seketika. Dia teringat perbualannya dengan Tan Sri Kamaruddin sebentar tadi. Mereka lebih banyak bercakap tentang hal perkahwinan dia dan Katrina yang bakal berlangsung nanti.
“Emm.. daddy kata kita dia nak kita nikah secepat mungkin. Kalau boleh hujung bulan ni,” ujar Jibam.
“So you kata apa?” ujar Katrina lantas mengalihkan tangannya ke belakang kerusi Jibam.
Jibam semakin tidak keruan melihat tubuh wanita itu mula rapat kepadanya. Tegak sahaja dia di kerusinya. Wanita di sebelah hanya mampu dijeling sekali sekala. “Saya kata okay..” jawab Jibam sambil menyapu dahinya. Berpeluh!
“I ni ganas. You tak kisah ke?” usik Katrina sambil menahan senyum. Seronok tengok lelaki itu kalut semacam.
“Ganas? Ganas yang macamana?” tanya Jibam dengan tolehan sesaat.
“Ganaslah. Alah! Takkan nak kena explain satu-satu baru you faham apa yang I maksudkan ni?” usik Katrina lantas mengusik lengan baju lelaki itu. Kemudian tangannya naik ke kolar baju lelaki itu.
Jibam tidak terjawab. Semakin lebat peluh di dahinya. Tiba-tiba baju di tubuhnya dirasakan tidak selesa sedangkan tadi enak sahaja berada di tubuhnya. Panas semacam dadanya ini.
"Kenapa pandang sana? Tak suka tengok I ke?"
"Takdelah!" tergeleng-geleng Jibam menahan rasa gentarnya.
“You takut dengan I ke?”
“Taklah!” laju Jibam menggeleng.
Katrina terus ketawa. “You ni pemalu ya, Jibam?” ucap Katrina lantas mengalihkan semula tubuhnya sedikit jarak daripada lelaki itu. Usik lebih-lebih nanti takut pitam pula Jibam di situ. Siapa pulak yang nak tolong angkat nanti.
“Saya.. saya tak biasa macam ni.” Jujur jawapan yang diberikan Jibam dalam pada dia tergagap. Melihat Katrina sudah berada sedikit jauh daripadanya perasaan sesak tadi mula mereda sedikit. Kalau tidak mahu bernafas pun dia tidak mampu.
Yes.. itu yang I nak, bisik hati Katrina sendiri.
“Susah nak jumpa lelaki macam you ni. Yang pantang tengok perempuan memang ramai muncul depan mata I. Ryan salah satu daripadanya,” komen Katrina selamba.

Jibam menoleh perlahan kepada wanita itu. Katrina mula memandang ke arah kolam ikan itu. Kalau dah tahu macam tu.. masih ke mahukan Ryan tu? Bisik hati Jibam sendiri. Mahu meluahkan di mulut dia tidak berani pula. Bimbang Katrina tidak senang dengan ucapannya itu.