Khamis, 26 September 2013

Maaf untuk dia..

Kandungan ku kini sudah banyak menunjukkan perubahannya. Alahan semakin hari semakin teruk. Kadang kala aku sampai tidak mampu berdiri kerana sakit kepala. Hari ini setelah lebih dua bulan kami menginap di hotel ini Ariff akhirnya menyatakan dia mahu pulang ke London. Aku tahu tidak lama lagi Ariff akan memulakan pengajiannya untuk semesta yang seterusnya.
Kepulangan Ariff ke London bermakna bolehlah aku pulang ke rumah orang tua ku semula. Aku pun sudah tidak tahan lagi hidup menyinggah begini. Sakit jiwa pulak rasanya bila dah dua bulan lebih tak tengok rupa dapur. Menginap di hotel mewah ini sebenarnya lebih kepada mengikut kehendak Ariff yang sentiasa suka dengan suasana kota, sedangkan rumah keluarga aku ada di Segamat. Bukannya aku tidak pernah mengajak Ariff pulang ke Segamat tetapi dia yang tidak mahu. Malulah! Takut panaslah! Macam-macam alasannya yang malas aku nak dengar. Akhirnya aku ikut sahaja rentak dia.
“Selama awak di kampung saya tak mahu awak layan lelaki lain. Awak kena ingat saya ni suami awak,” ucap Ariff malam itu. Dia duduk di birai katil sambil merenung aku yang sedang mengemas saki baki pakaian milik Ariff untuk dibawanya pulang ke London esok malam.
“Saya tahu. Takkanlah saya nak layan lelaki lain dalam keadaan saya macam ni. Takde siapa nakkan saya pun..” Aku sekadar menjawab perlahan. Selesai mengemas pakaian lelaki itu beg itu terus ku zipkan.
“Mari sini duduk dengan saya..” pinta Ariff lembut. Aku terus duduk di sisi lelaki itu.
“Lima bulan terlalu lama untuk saya. Saya dah terbiasa awak ada dengan saya. Saya tahu saya akan rindukan awak. Saya nak awak lahirkan anak kita cepat-cepat dan kembali ke London dengan saya nanti.” Ariff berbisik lembut sambil merangkul tubuh ku.
“Saya tahu..” jawab ku perlahan.
“Esok pagi awak akan balik ke kampung. Nampaknya saya terpaksa bersendirian bermula dari esok. Awak tahu tak.. selama ini saya selalu bimbang. Saya bimbang awak akan berpaling dari saya dan memilih lelaki lain. Saya tahu, selain saya pasti ada lelaki lain yang sering memandang awak. Di kampung awak pasti ada lelaki-lelaki yang sukakan awak sama macam saya. Saya takut awak akan layan mereka waktu saya takde. Saya nak awak tahu yang saya tak suka awak bercakap dengan lelaki lain, awak faham?” ucap Ariff lembut namun nadanya serius tanda mengingatkan.
Aku terus menoleh dengan sedikit kerutan di kening. “Selama ni awak nampak saya suka melayan lelaki ke? Siapa yang nak mengorat saya dalam keadaan saya macam ni?” soal ku pula. Rasanya yang sering berbuat begitu, Ariff bukannya aku!
“Saya hanya ingatkan awak,” ucap Ariff lembut.
“Saya suka kalau awak ingatkan saya sebab awak tak mahu saya jadi isteri derhaka. Tapi semenjak dari hari pertama saya jadi isteri awak, sentiasa sedar yang saya dah bersuami. Saya belum hilang akal lagi nak buat macam tu pada awak. Tapi persoalannya sekarang, kalau awak tak mahu saya layan lelaki lain.. macamana pulak dengan awak? Masih nak melayan perempuan-perempuan di luar sana ke?” balas ku sedikit sinis.
“Saya takkan buat begitu pada awak, sayang. Saya hanya sayangkan awak seorang. Mereka semua cuma kawan waktu saya sunyi. Saya tak serius pun dengan mereka semua.” Tanpa sengaja Ariff menjawab begitu.
“Lepas ni kita akan hidup berjauhan. Awak dah tentu akan rasa sunyi bila sendirian. Jadi awak akan layan perempuan lain bila sunyi ke?” tembak ku langsung tidak berpuas hati dengan jawapan Ariff. Bagi ku alasan seperti itu langsung tidak boleh diterima.
Ariff terdiam sambil memandang kepada ku. Aku turut membalas renungannya dalam pada aku cuba mencari kejujuran suami ku ini. Sayangnya sehingga ke saat ini aku sebenarnya tidak cukup berani untuk meletakkan kepercayaan kepada lelaki ini. Aku takut untuk meletakkan harapan yang tinggi kepadanya. Mempercayai Ariff begitu sahaja bermakna aku telah meletakkan sekeping hati ku untuk dilukai oleh lelaki ini semahunya. Apa yang sering kelihatan di hadapan mata ku selama ini, Ariff sebenarnya tidak pernah berusaha untuk berubah! Walaupun jelas dia cuba menjaga hati ku tetapi bab melayan perempuan masih sama aja.
“Ariff, jangan lakukan sebab takutkan saya. Jangan lakukan sebab awak tak mahu saya terluka. Tapi berhentilah lakukan itu kerana takutkan Allah. Kalau kita takde rasa takut atau malu kepada Allah kita akan melakukan sesuka hati kita apabila orang yang kita sayang tak mampu melihat kita. Sifat seperti itu sifat orang munafik. Saya nak percaya yang awak tak seburuk itu. Jadi awak jangan buat kepercayaan saya musnah. Kalau awak tak suka saya layan lelaki lain, tak kurang juga saya begitu, Ariff. Takde isteri yang sanggup melihat suami asyik berkepit dengan perempuan di belakangnya. Saya tak larang awak berkawan dengan sesiapa yang awak mahu tapi ingatlah. Permulaan zina adalah pergaulan lelaki dan perempuan yang tak mengira di mana batasnya. Saya tak suka awak ulangi lagi perbuatan awak yang lepas-lepas. Belajarlah untuk setia, Ariff. Ini untuk masa depan rumahtangga kita juga.” Aku meluahkan bicara ku lembut. Aku bukannya jenis suka meleter. Tapi janganlah beri aku sebab untuk berleter.
Ariff mengangguk perlahan. “Saya takkan lakukannya lagi. Saya cintakan awak sangat-sangat, sayang. Walaupun hubungan kita belum kukuh sepenuhnya tapi saya nak awak tahu yang saya bahagia kerana awak dah jadi milik saya.” Perlahan lelaki itu berbicara dalam redup pandangannya kepada ku.
“Saya tahu awak cintakan saya. Saya hargai kasih sayang awak selama ini, Ariff. Saya minta maaf kalau layanan saya selama ini tak setara dengan kemahuan awak. Saya seorang perempuan yang banyak kekurangan.” Aku membalas lembut kepadanya.
Lelaki itu menggeleng perlahan. Serentak itu Ariff meletakkan jemarinya di pipi ku. Lalu diusapnye lembut “Tak, sayang. Awak dah cukup baik untuk saya. Semenjak awak jadi isteri saya perasaan sayang saya pada awak semakin mendalam. Awak terlalu istimewa untuk saya. Awak sudah cukup sempurna sebagai seorang isteri,” ucap Ariff separuh berbisik. Tubuh ku ditariknya rapat kepadanya. Dahi ku dikucupnya lama. Kemudian dia meletakkan jemarinya di perut ku yang sudah mula kelihatan.
“Jangan nakal-nakal, sayang. Jangan susahkan mummy ya?” Ariff berbisik sambil tunduk di perut ku. Perlakuan lelaki itu lantas membuatkan aku tersenyum. Hati ku sempat disapa bahagia. Pertama kali aku melihat dia membelai anaknya. Seketika kemudian kami berpandangan. Entah kenapa aku merasakan ada bisa yang menular di hati ku tatkala terkenangkan perpisahan sementara ini. Buat seketika aku tertanya kepada hati, sayangkah aku sebenarnya kepada lelaki ini? Adakah rasa itu sebahagian dari rasa cinta sebenarnya? Sayanglah kut.. dah jadi suami takkan tak sayang, ya tak?
Sebenarnya dia ni memang hensemlah bila pandang dekat-dekat macam ni. Sayangnya kaki perempuan. Kalau tak memang dah lama aku tersangkut dengan dia ni.. hati ku sempat juga merepek meraban.
“Sayang, saya susah hati bila awak jauh dari saya. Saya pernah merasa separuh gila bila tak dapat tengok awak walaupun hanya untuk sehari. Sehari aja dah cukup menyiksakan, saya tak tahu macamana saya nak melaluinya selama lima bulan ini. Saya hanya nak awak temankan saya selama-lamanya,” luah Ariff agak sayu.
“Lima bulan aja. Bukannya lima tahun. Kalau awak sabar lima bulan akan terasa seperti lima hari. Ini cuma untuk sementara. Sampai masanya saya akan bersama awak di sana,” pujuk ku lembut. Kalau dia susah hati, aku sendiri lebih dari itu. Tapi demi kepentingan anak ini, aku harus mengorbankan perasaan ku.
Ariff mengalihkan pandangannya sambil mengangguk-angguk perlahan. Seketika kemudian dia kembali memandang wajah ku. Jemari ku diraihnya lalu dibawa ke bibirnya. Lama dia tunduk mengucup jemari ku sebelum dia kembali memandang ku
“Maafkan saya atas perbuatan saya yang dulu tu. Saya..” bicara lelaki itu terhenti seketika. “Saya tak tahu kenapa saya tergamak buat awak macam tu. Saya tak sengaja, sayang.” Ariff berkata perlahan.
“Jangan sebut lagi tentang itu, Ariff. Saya tak mahu terus mengingati perkara yang dah lepas. Saya dah maafkan awak. Saya hanya mahukan masa depan yang baik untuk keluarga kita,” luah ku sedikit merendah.
Namun lelaki itu menggeleng perlahan. Ada sesuatu yang harus diperkatakan juga biarpun aku tidak mahu mendengarnya. “Selagi saya tak katakan selagi itulah hati saya takkan aman,” ucap Ariff lemah. Buat seketika dia tunduk lagi. Aku yang memandang lelaki itu mulai keliru. Kenapa dengan dia?
“Sayang, saya betul-betul tak sengaja malam itu. Saya tak sedar apa yang saya buat pada awak. Saya tak merancang nak berbuat begitu pada awak pada mulanya. Waktu tu saya memang asyik teringatkan awak. Saya pergi minum. Selepas itu apa yang berlaku saya sendiri tak sedar. Sayang, percayalah.. waktu tu saya tengah mabuk. Apa yang saya buat bukan kehendak akal fikiran saya. Saya tak sengaja lakukan itu pada awak, sayang. Maafkan saya,” rayu Ariff sayu.
Aku terpaku memandang suaminya. Pengakuan itu ternyata amat mengejutkan. “Saya ingat awak sengaja nak membalas dendam pada saya?” luah ku yang masih dikuasai oleh kejutan itu. Kalau peristiwa malam itu dia tak sedar.. apa ceritanya pula ketika di balai polis itu? Tak sedar jugak?
“Tak! Bukan begitu niat saya. Saya tak pernah terlintas nak menyakitkan awak sehingga begitu sekali. Saya cari awak malam itu sebab saya terlalu rindukan awak. Saya cuma nak berbual dengan awak. Sayang, saya sayangkan awak.. saya takkan tergamak sakitkan awak macam tu. Cuma waktu itu saya memang betul-betul kecewa bila awak asyik menolak saya. Saya tak sengaja, sayang. Saya hanya sedar sepenuhnya bila saya balik ke rumah saya. Waktu itu saya keliru dengan apa yang berlaku. Saya ingat-ingat lupa tentang peristiwa itu sehinggalah awak mengadukan hal itu kepada polis. Kerana takut tertangkap.. saya tak mengaku perbuatan itu. Saya memang jahat. Maafkan saya.”
“Ariff, cukuplah tentang itu. Saya tak mahu ingat lagi. Demi masa depan kita saya sedia maafkan awak. Saya tak mahu ingat lagi tentang semua itu. Cukuplah!” putus ku sambil menggeleng. Bercerita tentang itu hanya mengembalikan kepedihan yang mana sudah pergi meninggalkan aku. Aku sudah tidak sanggup mengenangnya lagi.

Ariff lantas memeluk ku. Sebuah helaan nafas kedengaran jelas di telinga ku. “Terima kasih, sayang.. terima kasih sebab awak sudi maafkan saya. Saya janji saya akan bahagiakan awak,” balas Ariff dengan nada terharu.

Rabu, 18 September 2013

Teaser-Janji Pada-Nya (Semuanya tak semudah disangka..)

Kini sudah lebih dua minggu aku menjadi isteri lelaki itu. Abah emak dan adik-adik ku sudah lama pulang ke Segamat. Sehari dua ini tanpa ketegangan, aku lihat suami ku itu memang gembira. Lain pula dengan diri ku. Berkurung sahaja di hotel ini hati ku benar-benar tidak aman. Kami pula bukannya pasangan yang sedang meraikan bulan madu. Bukan juga pasangan yang sedang hangat di alam percintaan. Kadang-kadang asyik menghadap kehendak dia aja.. aku jadi muak! Dah takde kerja lain agaknya! Nak layan dia lagi.. aku sendiri pun sudah merasa alah semakin teruk. Aku sering merasa tension sendiri.
Malam itu aku mengikut Ariff keluar. Kami ke KL Tower menikmati makan malam di menara itu. Untuk manusia seperti aku yang berasal dari kampung ini, semua ini memang asing pada diri ku. Tetapi kerana Ariff yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang bermewah-mewah maka aku ikutkan juga ragam suami ku itu dengan separuh hati. Sedangkan hakikatnya semuanya terlalu canggung untuk ku.
Tetapi sepanjang malam itu.. aku mengenali suami ku itu, dia sememangnya romantik orangnya. Senyumannya memang sentiasa tidak lekang di bibir lelaki itu saat memandang diriku. Tetapi sayangnya senyuman itu bukanlah untuk ku seorang. Melihat sikap mata keranjang Ariff yang kerap merenung ke arah gadis yang seksi tidak jauh dari kami, aku terasa diri seperti sedang dipanggang. Mungkin sekejap lagi aku akan bertukar menjadi zombie. Dia dulu yang aku kunyah lumat-lumat!
Bukannya aku cemburu tahap jiwa-jiwa kepada Ariff. Aku pun sudah cukup faham keberadaan dan ketampanan Ariff sememangnya mudah menarik perhatian wanita-wanita cantik. Tetapi apa yang aku geramkan.. kerana kalau bukan wanita itu, Ariff sendiri memang sentiasa mencari peluang untuk menggatal apabila ada peluang biarpun isterinya ini sedang tercongok di hadapannya.
Terpaksalah aku menyabarkan hati demi melihat kelakuan suami ku itu. nak marah pun kami sedang berada di luar. Malulah kalau bertengkar di hadapan orang. Ariff sendiri pun boleh buat tidak kisah dengan masam kelat wajah ku yang cukup tidak senang dengan kelakuanya. Tetapi semakin dibiarkan, semakin menjadi-jadi pulak. Beberapa kali aku nampak dia tertoleh-toleh kepada gadis berbangsa cina yang berada tidak jauh dari kami. Gadis itu pula tanpa segan silu menjeling manja kepada suami ku. Siapa yang tak sakit hati?
Akibatnya mood ku pecah berteraburan. Bila dah meluat dengan lagak suami ku itu. aku asyik terfikir nak balik aja! Makan malam yang seharusnya indah di tempat yang cukup eksklusif begini, langsung tidak menggembirakan. Malah semakin membakar perasaan perempuan ku.
“Boleh kita balik sekarang? Saya sakit kepala,” ucap ku hambar kepada lelaki di hadapan ku itu. Aku sudah bosan melihat mata lelaki itu yang meliar ke sana ke mari memandang perempuan.
“Masih awal, Insyirah..” balas Ariff lembut. Tangannya terus merayap menyentuh jemari ku di atas meja. Mungkin mahu memujuk agar menunggu di situ untuk seketika lagi. Yalah.. masih ramai perempuan yang nak dipandang.
“Tapi saya perlukan rehat, Ariff. Jangan lupa saya tengah mengandung sekarang,” tekan ku sudah tidak larat menahan perasaan di situ.
“Oh! Saya terlupa pulak yang saya akan dapat anak nanti,” ujar Ariff bagaikan baru menyedari keadaan aku yang sedang berbadan dua. Dia sempat ketawa kecil. Geram benar aku melihat gelagat miang Ariff. Sudah berkahwin, bakal menjadi ayah tetapi gatalnya mengalahkan orang bujang. Tidak sedar diri betul!
Ariff segera membuat pembayaran. Setelah selesai segala urusan dia lantas bangun. Tanpa ku pinta, tangan ku digenggamnya saat berjalan keluar dari kawasan restoran itu. Tetapi entah kenapa aku semakin tidak suka dengan perlakuan lelaki itu. Sepanjang keluar dari restoran itu Ariff memang senang mendapat perhatian orang ramai. Apatah lagi berpasangan dengan perempuan melayu yang bertudung seperti aku. Ramai yang memandang pelik dan kagum kepada kami.
“Awak macam tak gembira keluar dengan saya,” luah Ariff setelah kami berada di dalam kereta yang membawa kami berlalu dari situ.
“Saya gembira..” Aku sekadar membalas hambar. Tidak mampu lagi untuk aku bersandiwara setelah hatiku disiksa pedih melihat kelakuan suami sendiri. Saat ini mata ku lebih suka memandang permandangan di luar kereta daripada memandang wajah Ariff di sisi ku. Entahlah.. mungkin aku sudah terlalu banyak berdosa kerana berperasaan begini kepada suami sendiri. Tetapi aku tidak mampu memaksa hati untuk menyenangi Ariff jika sikap seperti inilah yang asyik ditadahkan kepada ku. Aku bukannya malaikat!
“Tapi mata awak tidak mengatakan begitu..” Ariff membalas dingin. Semacam kecewa dengan jawapan ku tadi.
Aku mengeluh dalam diam. “Mata saya kata apa lagi selain itu?” balas ku pula sambil mengalihkan pandangan kepadanya.
Kami berpandangan seketika. Namun pandangan mata Ariff cukup tajam bagaikan mahu diratahnya aku di saat itu. “Ini bukan perkara main-main, Insyirah!” tekan Ariff mulai keras nadanya.
Aku menggeleng perlahan dengan perasaan sebal. Susahnya nak faham manusia seorang ini! keluh hati ku sendiri. Apa lagi yang harus buat untuk membuat lelaki ini puas dengan ku. Aku sudah seperti lembu mengikuti buntut Ariff ke sana ke mari tanpa hati dan perasaan. Melayan segala kehendaknya tak kira siang ke malam.. sedangkan dalam keadaan begini aku benar-benar perlukan rehat. Adilkah jika dengan sesedap mulut Ariff berkata begini kepada ku. Patung ke aku ni?
“Apa lagi yang tak kena? Apa lagi yang awak tak puas hati dengan saya? Apa lagi yang saya kena buat untuk awak? cakaplah! Semua saya akan tunaikan,” ujar ku dengan nada agak kesal.
Ariff menghamburkan sebuah keluhan yang kedengaran agak keras. Tiada jawapan yang diberikan tetapi aku tahu suami ku itu sedang menahan marah. Aku tidak mengerti apa lagi mahunya lelaki ini dari ku.
“Apa masalah awak ni, Ariff?” aku memberanikan diri menyoal lelaki itu.
“Saya cintakan awak tapi awak sedikit pun tak memandang saya begitu. Teruk sangat ke saya ni?” balas Ariff mula diamuk rasa marah dan kecewa.
Aku terkedu tiba-tiba. Ariff menyintai ku? Mahu tergelak pula aku mendengar pengakuan itu. Bukannya aku mahu mempersendakan perasaan Ariff. Tetapi kerana cintakah mereka jadi begini selama ini? Kerana cintakah perasaan ku jadi parah saban hari? Jika rasa yang ada itu benar maka dengan senang hati aku akan menyambutnya. Tetapi satu persoalan yang masih tidak mampu ku lepaskan saat ini ialah.. benarkah apa yang diucapkan Ariff itu sebenarnya cinta yang ikhlas untuk ku? Atau sebenarnya Ariff menganggap aku sekadar pelayan seumur hidupnya?
“Awak cintakan saya tapi mata awak juga suka memandang perempuan lain. Awak tahu ke apa sebenarnya cinta?” aku membalas kata-kata lelaki itu dengan nada yang tertahan. Seburuk-buruk perangai ku ini, aku tidak tergamak mahu memalukan Ariff kepada lelaki yang sedang memandu di hadapan.
Ariff mendegus keras melepaskan bahang kemarahannya. “Saya boleh buat apa yang saya suka. Anak di dalam perut awak tu adalah penyebab utama saya terpaksa melalui hidup seperti ini. Jadi jangan meminta saya melakukan sesuatu yang saya tak suka dan jangan menghalang saya dari melakukan sesuatu yang sentiasa menjadi kesukaan saya, faham?” ujar Ariff agak keras tanpa segan silu.
“Awak nak buat sesuka hati? Jadi saya ni siapa dengan awak? Patung? Saya tak suka suami saya main perempuan sana sini!” ujar ku serius mengingatkan Ariff tentang hakikat itu. Tiada isteri yang suka suaminya bermain mata dengan wanita lain. Apatah lagi di hadapannya!
“Saya tak peduli. Awak tak cintakan saya dan saya bebas melakukan apa yang saya suka! Awak penyebabnya saya jadi begini.” Ariff ikut membalas dengan tegas. Apa yang aku ucapkan langsung tidak berkesan untuk merebahkan keegoan Ariff. Semakin memantul pula nampaknya.
“Jadi awak lakukan ini semua sebab marah dengan saya?”
“Katalah apa yang awak suka. Tapi jangan kata pada saya jangan buat itu jangan buat ini. Saya bukannya kolot macam awak! Jangan layan saya macam patung!” desis Ariff semakin tega menyakitkan hati ku.
“Siapa di sini yang dilayan macam patung? Kalau awak tu patung, tak perlulah saya nak ikut awak sana sini. Saya tak perlu nak buat apa-apa pun untuk awak sebab awak patung! Tapi hakikatnya lain. Awak nak saya buat apa lagi untuk awak? ” aku pula yang mula menaikkan nada kepada lelaki itu. Semakin menipis kesabaran ku dengan lelaki seorang ini.
“Awak cakaplah apa yang awak suka! Saya tak suka dikongkong! Saya tak suka ditegur dalam banyak hal yang dah menjadi kebiasaan saya! Saya kahwin dengan awak sebab nak bertanggungjawab pada bayi tu. Bukannya untuk tunduk pada kehendak awak. Awak tak perlu nak atur hidup saya.” Arif membalas tajam.
Aku terpaku seketika dengan bicara Ariff. Selebihnya aku mula terasa malu kepada pemandu di hadapan apabila Ariff mengungkit lagi tentang anak dalam kandungan ku ini. Buat seketika aku memandang pemandu di hadapan. Lelaki itu hanya fokus kepada pemanduannya, tidak begitu mempedulikan pertelagahan kami di belakang. Entahkan lelaki itu faham apa yang kami berdua gaduhkan entahkan tidak kerana kami berbahasa inggeris sedari tadi.
“Jaga sikit mulut awak! Saya tak mahu orang lain tahu tentang hal itu. Kenapa awak nak biarkan orang lain tahu tentang perkara yang memalukan ni? Bukan kita aja yang berada di dalam kereta ini!” tekan ku dengan nada tertahan kepada lelaki itu.
Ariff menoleh dengan senyum sini. “Kalau bukan kerana saya, anak ini sudah menjadi anak haram! Awak kena berterima kasih pada saya dan bukannya mengatur hidup saya supaya jadi macam awak!” Ariff menambah lagi bicaranya tajam.
Aku terus terdiam. Pandangan terus aku halakan ke luar bersama rasa sedih yang teramat sangat. Kasihan aku .. kenapa aku mesti jadi begini? keluh hati ku sebak. Betapa rendahnya aku pada pandangan suami ku sendiri. Tidak tertanggung sakit di hati ku ini apabila Ariff menyebut tentang status bayi ini. Akukah yang bersalah selama ini? akukah yang membuatkan keadaan jadi sedasyat ini?
Setiba di hotel kami terus naik ke atas. Inilah masa yang sesuai untuk kami putuskan apa yang perlu dan apa yang tidak dalam hubungan ini.
“Betul ke awak tak mahu saya tegur awak lagi selepas ini?” soal ku nekad setelah kami tiba di bilik. Saat itu kesabaran ku lumat sama sekali kepada lelaki ini.
Ariff terdiam memandang wajah ku. Namun renungan matanya tajam ke dalam mata ku seakan-akan sedang mencari kesungguhan aku dalam meluahkan kata.
“Betul awak tak mahu saya tegur awak apa-apa lagi? Setakat anak dalam kandungan saya ni, Insya-Allah saya mampu membesarkan dia tanpa awak, Estaban Joseph Buhler! Bukan saya yang merayu kepada awak supaya bertanggungjawab kepada bayi ni. Jadi sekarang cakaplah.. apa yang awak mahu saya lakukan untuk puaskan hati awak yang penuh dengan keegoan tu? Awak mahu saya tinggalkan awak supaya awak boleh hidup bebas tanpa teguran saya lagi? Awak mahu saya pergi jauh dari hidup awak dan jangan kembali semula? Awak mahu bebas selama-lamanya? Beritahulah apa yang awak mahu! Saya akan lakukan! Tapi dengan dua syarat. Awak mesti lepaskan saya dengan saksi yang sah seperti mana awak nikahi saya juga dengan saksi yang sah! Dan saya tak mahu tengok lagi muka awak sampai saya mati! Syarat kedua, anak ni takkan jadi anak awak sampai bila-bila. Papa awak juga jangan sesekali cari saya lagi untuk beritahu yang awak mabuk sambil menyebut nama saya! Cakaplah mana satu pilihan awak?” tukas ku agak lantang dengan dada turun naik menahan rasa. Aku tidak terasa mahu marah tetapi sebenarnya aku terlalu ingin menangis untuk melepaskan tekanan ini. Cukuplah aku mendengar diri ku diperendahkan oleh suami ku sendiri. Tiada maruahkah aku sebenarnya? Tidak ada perasaan aku? Cukuplah dengan kesakitan yang telah diberikan oleh lelaki ini kepada aku selama ini. Cukuplah dengan semua itu!
“Anak ni anak saya! Sampai bila-bila dia anak saya walaupun saya tak berkahwin dengan awak! Saya kahwini awak bukan kerana saya yang mahu tapi papa yang paksa! Bagi saya perkahwinan tak memberi apa-apa makna. Sebaliknya saya hanya terpaksa tunduk pada kemahuan awak sepanjang masa! Tanpa perkahwinan sekali pun saya tetap berhak pada bayi ni!” Ariff semakin menaikkan suaranya tanda enggan kalah pada ku.
“Itu kata awak! Saya tak berpegang kepada kata-kata awak yang berpegang kepada konsep barat. Sebaliknya saya berpegang pada hukum agama. Anak yang lahir kurang dari tempoh 6 bulan dua detik mengikut perkiraan bulan islam dari tempoh mulanya perkahwinan ini tetap dikira sebagai anak tidak sah. Biarpun bapa kandungnya ada di hadapan mata saya sekarang! Awak tahu.. jika diikutkan anak ini tidak boleh dibinkan kepada awak sebagai ayahnya sebab kita sama-sama tahu hakikatnya macamana dia boleh ada dalam rahim saya! Tapi ayah saya tak benarkan saya sebut lagi peristiwa yang dulu tu sampai bila-bila. Itu rahsia kita semua. Agama islam adalah agama yang sentiasa memaafkan kesalahan penganutnya. Allah hanya mahu kita bertaubat, Ariff. Sekarang biar saya beritahu awak.. dengan syarat yang saya katakan tadi anak ini layak dibinkan kepada awak dan awak berhak ke atas dia sepenuhnya. Melainkan ada pengakuan salah seorang dari kita, terutama sekali awak sebagai ayahnya yang menyatakan anak ni adalah anak zina. Maka secara automatik anak ni akan jadi anak luar nikah biarpun dia lahir selepas enam puluh bulan yang akan datang! Seorang ayah yang baik tidak akan menggelarkan anak sendiri dengan anak haram. Kalau saya sentiasa menahan diri dari berkata begitu, apa pula tujuan awak asyik menyebut tentang status anak ini?” meledak lantang suara ku melawan kemarahan Ariff. Aku sudah tidak peduli lagi dia siapa dengan ku. Tidak ada guna pun berlembut dengan manusia kepala batu macam ni. Buang masa!
“Anak hasil zina adalah milik ibu sepenuhnya. Awak memang tak berhak lagi ke atas anak ini. Tetapi saya berkahwin dengan awak bukan sekadar mahu menjaga status anak ini. Tapi untuk menjaga hak awak sebagai ayah jugak. Mana pergi perasaan awak? Awak ni manusia ke apa?” meledak lagi suara ku memarahinya.
Ariff terdiam sambil memandang tajam kepada ku.
“Papa merayu saya supaya terima awak supaya saya boleh bantu awak jadi orang yang lebih baik. Tapi kalau awak sendiri tidak mahu berubah datanglah berapa orang isteri dalam hidup awak sekali pun, Ariff! Semua itu takkan bermakna apa-apa kalau awak sendiri memang jenis kepala batu! Jadi fikirlah.. bagaimana anak ni akan jadi anak awak kalau awak sendiri yang mengenepikan hak-hak dia? Seharusnya awak tutup mulut awak jangan sebut lagi tentang status anak ini. Tapi tak! Jangan kerana dengan lidah tak bertulang awak tu, anak yang tak berdosa ni akan menanggung keaiban kita berdua sampai akhir hayat dia. Kalau itu harus berlaku untuk apa saya kahwini awak lagi? Untuk apa saya berada di sini kalau awak memang tak perlukan saya? Lebih baik saya tak payah ada suami!” tegas ku masih tidak puas melepaskan perasaan sakit ku sebelum sempat Ariff membalas.
Ariff terus kelu melihat ketegasan aku menghentam dirinya. Dia berdiam dengan wajah mencuka. Biarpun tidak mampu membalas namun aku tahu dia sedang menyimpan rasa bengkak kepada ku. Lelaki itu keluar ke balkoni.
Malas mahu bertekak lagi dengannya aku duduk di birai katil. Perlahan tudung di kepala aku tanggalkan. Wajah ku raup perlahan sambil beristighfar untuk meredakan kemarahan. Namun biarpun kemarahan itu menghilang namun kesedihan ku tidak menyurut biar sedikit pun. Entah kenapa aku merasa terlalu sedih. Setiap patah bicara Ariff sebentar tadi teramat-amat melukakan. Selama mana aku mampu bertahan? Rasanya aku sudah tidak sanggup lagi mahu menunggu lelaki seperti ini. Aku tidak sekuat itu! Aku lebih rela menarik diri sahaja daripada terus hidup sengsara.
Tidak lama kemudian pintu luncur yang memisahkan ruang santai bilik itu dan balkoni ditarik dari luar. Ariff masuk ke bilik itu semula dengan wajah masamnya. Dia sempat mendegus keras sengaja mahu menunjukkan keegoannya tatkala melontarkan tubuhnya ke sofa. Aku yang memandang malas mahu melayan lelaki itu lagi. Biarlah lelaki itu mahu mendegus sebanyak mana yang dia suka. Cintalah sangat macam ni! Yang ada hanya nafsu lelaki Ariff kepada ku.
Ya.. buatlah apa yang kau suka sampai kau puas. Tiba masanya nanti aku pulak yang akan berbuat apa yang aku mahu untuk diri aku sendiri. Jangan nanti kau meraung melutut di hujung kaki aku ni. Aku tak akan layan! Aku mengutuk sendirian.
Seperti sebelum ketegangan membawa kebisuan kepada kami. Dia tidak banyak bercakap sepanjang berada di bilik itu. Aku pula lebih senang menyiapkan diri mengerjakan solat. Ariff pula dengan senang hati menghadap televesyen sambil berbaring di atas katil. Apa yang semakin menyakitkan hati ku ini ialah.. sudahlah tak mahu solat. Itu tak kisahlah! Dia sengaja membiarkan suara tv melantun kuat sehingga aku mula merasa terganggu. Sudah banyak kali aku berpesan supaya memperlahankan suara tv waktu orang lain sedang bersolat. Dalam banyak-banyak tempat kat sini jugak dia nak tengok tv. Sedangkan tv ada di mana-mana dalam suit ini. Ariff memang sengaja mencari fasal dengan aku. Sehingga aku selesai bersolat dia masih dengan muka selambanya sengaja mahu menyakitkan hati ku dengan kedegilannya.
Memang dasar kepala batu! Degil tak kena tempat.. degus hati ku meluat memandang muka Ariff.
Usai melipat marahan aku terus mengambil beg baju dari dalam kloset. Tanpa kata aku mengemas segala barangan untuk disumbatkan ke dalam beg itu. Kali ini aku nekad! Ariff pun memang tak perlukan aku, jadi lebih baik aku balik ke kampung saja. Macamana untuk mereka hidup bersama jika yang bersarang di hatinya saat ini adalah kebencian!
“Awak nak ke mana?” soal Ariff apabila sudah terpandangkan perbuatan ku itu. Riak wajahnya mula berubah. Pantas dia bangun mendekati ku.
“Saya nak balik rumah orang tua saya!” jawab ku tanpa serius.
“Sayang, awak marah saya? Awak kecil hati dengan kata-kata saya tadi?” ucap Ariff mulai kalut.
Aku hanya diam enggan menjawab kepadanya. Pakaian yang sudah dilipat kemas terus aku muatkan ke dalam begn. Namun seketika kemudian tubuh ku mula ditarik oleh lelaki itu.
“Saya minta maaf kalau awak kecil hati dengan kata-kata saya tadi. Saya tak bermaksud begitu, sayang. Tolong jangan buat macam ni. Jangan tinggalkan saya..” pujuk Ariff pantas.
“Saya nak balik rumah mak ayah saya. Takde gunanya saya berada di sini. Awak tak perlukan saya dalam hidup awak. Jadi untuk apa saya menunggu di sini?” balas ku dalam getaran. Entah kenapa aku terasa benar-benar mahu menangis pula saat ini.
“Bukan macam tu. Tadi.. tadi saya tengah marah. Saya tak sengaja bercakap begitu. Maafkan saya! Maafkan saya. Jangan buat macam ni.” Ariff semakin kalut memujuk ku. Tubuh ku cuba dipeluknya namun aku terus menolaknya.
“Cukuplah awak menghina saya, Ariff. Saya dah tak sanggup lagi! Hanya disebabkan saya macam ni awak senang meluahkan kata-kata seolah-olah saya ni takde perasaan. Awak boleh teruskan kehidupan awak seperti mana yang awak suka. Tanpa kongkongan saya, hidup awak akan lebih aman. Saya juga tak perlu menadah diri saya untuk dihina oleh suami sendiri. Awak ingat saya ni tak tahu rasa sedih ke? Bila-bila awak suka awak buat macam-macam pada, saya tak kira saya bersedia atau tidak. Bila awak marah.. awak sanggup hina saya seolah-olah saya ni seorang perempuan yang takde harga diri! Awak menghina anak ni seolah-olah saya yang terlalu murah selama ini,” luah ku dengan deraian air mata.
“Sayang, maafkan saya. Saya janji takkan cakap begitu lagi. Tolong jangan buat macam ni. Saya betul-betul cintakan awak. Saya hanya cintakan awak seorang,”  rayu lelaki itu teramat lembut. Tubuh ku terus dipaut Ariff.
“Saya dah lama jatuh cinta pada awak. Tolong maafkan saya, sayang.” Ariff berbisik lembut di tepi telinga ku.
Aku hanya bungkam dalam dakapan lelaki itu. Mahu menolak tetapi pautan lelaki itu terasa begitu erat. Aku pula memang benar-benar tidak berdaya saat ini. Kesakitan yang ditanggung oleh jiwa ku, ditambah lagi dengan kesakitan yang sedang ditahan oleh ku akibat kehamilan ini membuatkan aku kalah pada perasaan. Akhirnya aku hanya terdaya menangis sayu dalam dakapan lelaki itu.
“Saya janji takkan sebut lagi tentang itu, sayang. Maafkanlah saya.” Ariff memujuk lagi setelah merenggangkan pelukannya. Wajah ku yang basah diusapnya lembut. Perlahan dahi wanita itu dikucup syahdu. “Saya sayangkan awak. Saya takkan ceraikan awak sampai bila-bila. Awak adalah untuk saya dan saya tak izinkan awak pergi tinggalkan saya,” luah Ariff bersungguh saat menatap bola mata ku.
Aku hanya berdiam tidak mampu untuk berkata apa. Seketika kemudian Ariff mula membawa ku ke katil. “Awak berehatlah. Jangan banyak fikir. Saya tahu awak penat. Kita tak seharusnya bertengkar dalam keadaan awak begini. Maafkan saya, sayang. Saya tak sengaja.” Ariff memujuk lagi dengan sikap prihatinnya.
Aku terus membisu. Berbaring di katil itu aku menangis lagi. Wajah lelaki itu enggan ku pandang. Sengaja aku membelakangkan Ariff yang ikut berbaring di tepi. Aku terus menangis sendiri memikirkan nasib diri ku. Sehingga akhirnya tubuh ku ditarik oleh lelaki itu menghadap ke arahnya.
“Saya janji saya akan bahagiakan awak, sayang. Saya akan lakukan apa sahaja untuk awak. Tapi tolong jangan menangis. Saya tersiksa bila tengok awak begini. Maafkan saya,” bisik Ariff teramat lembut. Pandangan ku dibalasnya dengan penuh harapan agar aku memaafkannya.
“Maafkan saya, tolonglah...” pinta Ariff lagi. Jemari ku mula dibawa ke bibirnya lantas dikucup lama. Aku sekadar memandang wajah lelaki itu. Mata Ariff terpejam lama saat mengucup jemari ku.
“Saya perlukan awak dalam hidup saya melebihi dari orang lain. Takde seorang perempuan pun yang pernah berada di hati saya sama seperti awak. Awak terlalu istimewa untuk diri saya, sayang. Percayalah..” bisik Ariff cukup lembut.
Mendengar itu sebahagian dari perasaan ku mulai terpujuk. “Saya maafkan awak..” balas ku perlahan sahaja.
“Betul?”
Aku hanya mengangguk sambil menyeka air mata yang masih bersisa di pipi ku. Ariff lantas tersenyum kelegaan apabila melihat aku sudah mulai tenang. Perlahan tubuh ku dirapatinya. Juntaian rambut di dahu ku disuaknya lembut. Dahi yang terdedah segera dikucupnya lagi. “Saya sangat-sangat cintakana awak..” bisiknya sekali lagi.
Aku diam tidak membalas ucapan kitu. Seketika kemudian bibir ku pula yang dijamahnya. Seperti sebelum-sebelum ini aku tidak menolak. Tidak juga membalas. Sebaliknya aku hanya diam kaku seperti patung. Perasaan yang masih tidak sembuh sepenuhnya membuatkan aku tidak mampu merasai apa yang sedang dia rasai. Namun malam ini Ariff tidak lagi mengomplen apa-apa. Mungkin dia mahu menjaga perasaan ku.

Cakap aja nak suruh aku berehat kononnya. Kalau dah nama atas katil, itulah aja kerja dia! bisik hati ku sendiri.